Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Kenyataan Donald Trump Dikecam - Khalil Hadi



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

KENYATAAN DONALD TRUMP DIKECAM!

DPPM mengecam kenyataan calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump yang mahu semua umat Islam diharamkan masuk ke negara ‘Uncle Sam’ tersebut. Kenyataan tersebut jelas berbaur hasutan, diskriminasi, prejudis dan menimbulkan sentiman ketakutan terhadap umat Islam di Amerika Syarikat.

Ini bukan kebebasan ekspresi atau bercakap, tetapi ia dilihat satu provokasi terhadap masyarakat Muslim sedunia. Tambahan lagi, Donald Trump adalah individu yang berpengaruh dan sedang berkempen untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016. Ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak polisi luar khususnya terhadap negara-negara di Timur Tengah.

DPPM mengutuk sekeras-kerasny
a tindakan keganasan ISIS dan siri-siri pengeboman di Eropah (Paris dan California), namun tindakan negara-negara kuasa besar untuk menghentam umat Islam dan juga Syria adalah tidak bertamadun dan merupakan satu jenayah antarabangsa. Polisi menghapuskan ISIS sebenarnya turut mengheret umat Islam ke arah penderitaan.

DPPM mahu sebarang usaha mempotretkan Islam sebagai agama keganasan harus dihentikan. Malaysia juga turut didesak agar lebih tegas menyuarakan pendirian bagi mewakili negara-negara umat Islam berhubung tindakan pihak antarabangsa menyerang secara menyeluruh umat Islam khususnya di Syria. Ia bukan hanya disasarkan ke atas ISIS, tetapi keseluruhannya!

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Khamis, 10 Disember 2015 | 28 Safar 1437H

Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah - Abdul Hadi Awang



KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
10 Disember 2015 / 28 Safar 1437 M

“Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah”


1) Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah organisasi yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah, Ijma' ulama dan Qiyas sebagai rujukan dalam menentukan prinsipnya termasuklah dalam gerakerja dan tindakan untuk membina masa depan yang sejahtera.

2) Lebih enam dekad PAS berjuang membawa Islam dan syariatnya. PAS mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menyedarkan masyarakat termasuk pemimpin politik dan negara agar meletakkan agama sebagai teras pemerintahan dan penyatuan ummah untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya. PAS juga terus berjuang menolak mungkar politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus, dan kerosakan akhlak serta rasuah dalam praktis bernegara.

3) Pastinya apabila ada suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk keseluruhannya, PAS selamanya berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap hasrat perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah SWT dengan mana - mana pihak, samada Islam atau kalangan bukan Islam.

4) Berdasarkan prinsip inilah, maka sebarang perkembangan baharu dalam gerak politik PAS akan dinilai, dibincang, dan diputuskan diberbagai peringkat proses dalaman parti, termasuklah perbincangan oleh Jawatankuasa PAS Pusat sehingga mencapai keputusan secara kolektif.

5) PAS juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk UMNO kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, samada politik, sosial mahu pun ekonomi. PAS beriman kepada Allah bahawa pintu taubat tidak pernah ditutup dan rasa keinsafan yang murni adalah kunci mendapat keampunan dari Allah SWT.

6) PAS ingin menegaskan bahawa pada waktu ini, PAS adalah rakan Tahaluf Siyasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan komited dengan kerjasama ini sebagaimana yang dicapai dalam Muktamar dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Melayu Masih Menjadi Cagaran - Ustaz Hj Idris Hj Ahmad



Melayu Masih Menjadi Cagaran
Ustaz Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
10/12/15

Berkobar-kobar DS Najib berucap merasmikan Persidangan Agung Umno 2015 di hadapan 2654 perwakilan dari 191 bahagian Umno. Terdapat nada sinis kepada Timbalan Presiden TS Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Shafie Afdal dan mantan Presiden Umno Tun Mahathir. Keputusan Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno yang tidak membenarkan Timbalan Presiden merasmikan mesyuarat sayap-sayap Umno dan terbaru hanya membenarkan Presiden sahaja yang membuat pergulungan pada hari terakhir merupakan keputusan luar biasa. Semuanya almaklum.

Setiap tahun laugan hidup Melayu kedengaran supaya Umno terus dipercayai, Tektik menakutkan perwakilan dan pemerhati dengan andaian jika Umno kalah, seolah-olah Melayu juga akan kehilangan kuasa. Sudah menjadi lumrah, melayu akan dijadikan bahan cagaran untuk kekalkan kuasa. Ini hanya skrip yang diulang tayang setiap tahun. Mereka tahu bahawa orang melayu terpengaruh dengan emosi, sehingga tidak sedar siapa yang menyebabkan melayu hilang taring dan kuasa politik dan ekonomi. Sepatutnya amanah yang digalas oleh Umno sejak merdeka tidak kedengaran lagi melayu terpinggir daripada semua sudut, walau pun ada perubahan. Tetapi tidak sepadan dengan waktu yang diamanahkan untuk Umno mentadbir.

Walau pun penubuhan agensi yang bertujuan untuk mengangkat darjat melayu masih tidak kesampaian. Walau pun adanya FAMA, Felda, Felcra,Lembaga Kemajuan Nelayan, Tekun, semuanya mendapat dokongan kerajaan, namun natijahnya gagal. Kerana sikap tidak amanah dan dikendalikan oleh mereka yang bukan ahlinya. Projek dianugerah bukan kerana merit, tetapi kerana parti. Berapa banyak tanah orang-orang melayu terlepas ke tangan orang lain, semuanya angkara tokoh-tokoh politik Umno yang rapat dengan pihak berkuasa. Saya tidak perlulah ulang beberapa fakta yang melibatkan orang Melayu seperti tanah rezab Melayu, royalti kepada Kelantan, diskriminasi pembahagian baja, subsidi masih lagi berlaku. Semuanya dilakukan oleh orang sesama bangsa, yang hari ini bertempit sorak hidup Melayu. InsyaAllah Pas bersedia menggantikan Umno untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

Mahfuz Omar: Isu RM2.6 Billion Bukan Sekadar Penderma Tapi Isu Besarnya Ialah Penerima Dan Wang Yang Diterima.



Kenyataan Media

ISU RM2.6 BILLION BUKAN SEKADAR PENDERMA TAPI ISU BESARNYA IALAH PENERIMA DAN WANG YANG DITERIMA.

1. Perakuan SPRM yang menyatakan sudah bertemu dengan penderma yang memasukkan wang sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri menimbulkan persoalan kenapa tidak diumum siapa penderma tersebut? Apa yang sukar untuk SPRM dan PM Najib mengumumkan nama dan negara asal penderma tersebut? Datuk Zahid TPM pun dalam penjelasan di Parlimen dalam tempoh tiga minit tidak pun menyebut nama penderma RM2.6 bilion tersebut. Jadi dari mana rakyat boleh dapat tahu dan bila rakyat nak diberitahu?


2. Persoalan pokok isu ini bukan sekadar nama penderma tetapi isu besarnya ialah penerima dan jumlah wang RM2.6 bilion yang diterima dalam akaun peribadi penerima iaitu Najib PM Malaysia. Jika wang tersebut untuk Umno atau negara kenapa dimasukan ke dalam akaun peribadi. Ini yang mesti diperjelaskan oleh SPRM yang melakukan siasatan.

3. Persoalan kedua ialah ke mana wang tersebut diguna dan dibelanjakan oleh PM Najib selepas dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau? Berapa jumlah yang belanjakan dan berapa baki wang tersebut? Adakah baki wang tersebut masih berada dalam negara dan di dalam akaun siapa dan bank mana baki tersebut berada? Ini semua mesti dijawab oleh SPRM yang menjalankan siasatan.

4. Jawapan juga diperlukan dari siasatan SPRM ialah apakah motif derma tersebut kepada akaun peribadi PM Najib? Jangan hanya sekadar meyimpul pada rakyat yang SPRM sudah bertemu dengan penderma tersebut. Jangan lah di waktu rakyat mula simpati, hormati dan percayai, SPRM pula bertindak untuk melindungi. SPRM adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bukannya Suruhanjaya Penderma Rosmah Mansor.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA!

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
8 Dis 2015/26 Safar 1437H

Sembah Takziah & Dukacita Atas Kemangkatan Y.A.M Tunku Abdul Jalil - Khairuddin Aman Razali



PERUTUSAN TAKZIAH DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

SEMBAH TAKZIAH & DUKACITA ATAS KEMANGKATAN Y.A.M. TUNKU ABDUL JALIL

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan sembah takziah kepada baginda DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh Kerabat Diraja Johor atas kemangkatan Y.A.M Tungku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni DYMM Sultan Ibrahim pada malam semalam.


Seluruh ahli DUPP turut berdukacita dan mengharapkan seluruh keluarga diraja khususnya baginda DYMM Tuanku bersabar atas ujian ini. Semoga Allah menempatkan Almarhum di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

" اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ , وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ , وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ , وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ , وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ , وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، وَأَدْخِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ , وَأَهْلا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ , وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ , وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ , وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ , وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ " .

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan

Ahad 6 Disember 2015

Jaminan yuran universiti tak naik Najib satu tragedi - Tuan Ibrahim Tuan Man



Jaminan yuran universiti tak naik Najib satu tragedi

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji tidak akan menaikkan yuran universiti di negara ini.

Walaupun PAS mengalu-alukan cadangan itu, tapi sebenarnya cadangan itu adalah satu tragedi untuk menutup pelbagai kenaikan yang lain.


Para pelajar di kota kini berdepan dengan kenaikan harga buku, harga pengangkutan awam, harga makan dan kenaikan saman di sekitar universiti.

Kenyataan Najib itu memperlihatkan bahawa beliau kini terpisah daripada realiti kesusahan rakyat bawahan dan pelajar marhaen.

Pengumuman tidak menaikkan yuran universiti tidak dapat menutup penarikan pelbagai subsidi daripada rakyat.

Semua yang dijanjikan sehingga kini tidak berlaku. GST tidak mengurangkan harga barangan. Pengurangan subsidi juga tidak mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM623.3 bilion.

Menteri BN mengatakan Malaysia tidak akan bankrap, tapi jika BN terus memerintah nescaya ramai rakyat dan pelajar yang bankrap sebelum masanya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
7 Disember 2015

Akta MKN: Najib Pinggirkan Majlis Raja-Raja Melaui. Majlis Raja-Raja Melayu perlu bertindak - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

AKTA MKN : NAJIB PINGGIRKAN MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU.
MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU PERLU BERTINDAK.


1. Penggubalan, pembentangan dan kelulusan Akta Majlis Keselamatan negara (MKN) di Dewan Rakyat baru-baru ini oleh Kerajaan BN adalah suatu perbuatan yang sangat rakus. Kerakusan Kerajaan BN kalau dibolehkan kuasa Allah juga mahu dirampasnya.

2. Kewujudan Akta MKN adalah satu lagi proses pemusatan kuasa Perdana Menteri dengan mengenepikan peranan perlembagaan sebagai kuasa tertinggi perundangan negara. Akta MKN telah dengan sendirinya menafikan tugas Duli Yang DiPertuan Agong yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengistihar darurat.

3. Walaupun peruntukan tersebut masih wujud dalam perlembagaan, tetapi Akta MKN secara licik merampas kuasa Yang DiPertuan Agong dengan memberi kuasa kepada PM untuk mengistihar darurat dengan berselindung atas nama kawasan keselamatan. Berselindung di sebalik keselamatan, kuasa PM boleh saja disalahguna apabila keselamatan politik dan ancaman terhadap kedudukan kuasa PM terancam bagi membolehkan beliau terus berkuasa. Tiada lagi peranan semak imbang Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara untuk melindungi negara dan rakyat.

4. Sudah tiba masanya Majlis Raja-Raja Melayu yang tidak pernah dirujuk dalam isu Akta MKN bertindak menghalang Akta MKN dibentang dan diluluskan di Dewan Negara kerana setiap Raja-Raja akan bergilir menjadi Yang DiPertuan Agong. Sudah pasti sebagai Yang DiPertuan Agong yang memayungi negara dan rakyat perlu memiliki kuasa semak imbang untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dilakukan oleh Perdana Menteri.

5. Kepada YB Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong sewajarnya menjadi penyelamat daripada Malaysia menjadi pemerintah diktator. Divbahu YB Ahli-Ahli Dewan Negara semua lah sebagai benteng akhir mempertahankan Yang DiPertuan Agong sebagai kuasa semak imbang untuk mengistiharkan darurat dengan membantah dan menolak Akta MKN pada sidang yang sedang berlangsung sekarang.

SELAMATKAN MALAYSIA DARI MENJADI NEGARA DIKTATOR.

Selamat bersidang YB Ahli Dewan Negara demi Rakyat dan Malaysia tercinta.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
7 Dis 2015/25 Safar 1437H

Recent Posts Widget

.

.