PENGUMUMAN MH370
Pengumuman bahawa serpihan kapal terbang yang dijumpai di Reunion Island adalah sisa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang lebih setahun lalu seharusnya memberi semangat kepada pihak-pihak berkuasa untuk mempertingkatkan usaha dalam pencarian pesawat tersebut.
Saya menyeru Kerajaan Malaysia dan rakan-rakan antarabangsa untuk teruskan pencarian tanpa mengira penat lelah sehinggalah menjumpai serpihan pesawat MH370, serta jenazah penumpang dan anak kapal dapat dipulangkan ke pangkuan keluarga.
Ini sememangnya suatu penemuan yang besar, namun begitu kami masih mengharapkan penyelesaian yang jitu terutamanya dalam mendapatkan kata putus mengapa tragedi itu boleh berlaku.
Sekali lagi kami mengucapkan takziah kepada keluarga tersayang penumpang dan anak kapal pesawat MH370, dan kami akan terus menyampaikan doa kepada kesemua mangsa tragedi tersebut.
Pada ketika ini, kami harap seluruh rakyat Malaysia boleh bersatu dan berdiri teguh bersama mereka.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
KEADILAN UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA MANGSA NAHAS MH370
Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.
Setelah lebih 515 hari, kita hari ini akhirnya menerima pengesahan melalui penemuan bahagian kapal terbang dan bagasi yang dijumpai di Reunion Island bahawa pesawat MH370 telah terhempas.
KEADILAN merakamkan ucapan takziah buat ahli-ahli keluarga mangsa nahas MH370. Ini merupakan waktu yang teramat sedih. Semoga ahli-ahli keluarga mangsa tabah menerima berita ini, dan kita mendoakan agar roh mangsa-mangsa tragedi ini dirahmati Ilahi.
Pada masa yang sama, ucapan ribuan terima kasih ingin dirakamkan buat para petugas pasukan mencari dan menyelamat, staf Joint Agency Coordination Centre (JACC), serta kesemua penganalisa data yang telah bertungkus-lumus mencari kepastian tentang nasib dan lokasi terakhir kapal terbang MH370. Walaupun kita masih belum mengetahui lokasi sebenar pesawat, kita berharap soalan-soalan yang masih berlegar di fikiran - di mana pesawat MH370 terhempas, dan sebagainya - akan terjawab juga suatu hari nanti.
Akhir sekali, jangan kita sesekali melupakan tragedi ini, serta pengajaran-pengajaran tentang koordinasi, persefahaman antarabangsa, serta semangat cekal dan tabah mengharungi dugaan yang telah kita alami. Semoga proses dan sistem ditambah baik untuk memastikan tragedi seperti ini tidak akan berulang lagi.
Buat mangsa-mangsa yang beragama Islam, Allahummaghfir lahum warhamhum wa 'afihim wa'fu 'anhum. Al-fatihah.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
6 Ogos 2015
PENDIRIAN KHAIRY DEDAH WATAK SEBENAR
Khairy Jamaluddin hari ini akhirnya bersuara berkenaan isu-isu yang berbangkit sejak beberapa minggu ini setelah sekian lama menyepi.
Namun begitu apa yang disuarakan oleh beliau langsung tidak mengejutkan, kerana seperti yang disangkakan beliau berdiri teguh bersama Perdana Menteri.

Sebagai seorang yang tidak mementingkan ketelusan, tidak hairan Khairy boleh berkata begitu.
Dengan mengarahkan ahli Pemuda Umno untuk tidak mempersoalkan Najib Razak, beliau menunjukkan dirinya yang sebenar berbeza dengan watak progresif dan berketerampilan yang sering diketengahkan.
Apa yang penting bagi Ketua Pemuda Umno itu adalah survival politik. Malah, tidak tolak juga kemungkinan jika dana negara hilang lebih RM2.6 bilion sekalipun, Khairy tidak akan ambil peduli.
Sekarang sudah jelas bahawa Khairy, yang sebelum ini beliau sendiri pernah memohon penjelasan daripada Najib Razak berkenaan 1MDB, hanyalah seorang yang lebih gemar bersandiwara politik dan bukannya ikhlas ingin mengetengahkan kepentingan awam dan masa depan anak muda.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA
LAPORAN KEPADA SPRM UNTUK SIASATAN SUMBANGAN POLITIK BERJUMLAH RM2.6 BILION
Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bahawa sejumlah RM2.6 bilion wang yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah derma politik mengundang lebih banyak persoalan mengenai rasuah dan pecah amanah yang perlu disiasat.
Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan rakyat Malaysia bahawa skop siasatan Pasukan Petugas Khas (“Special Task Force”) yang dianggotai oleh SPRM, BNM, PDRM dan Peguam Negara adalah untuk menyiasat secara keseluruhan urusniaga 1MDB untuk memastikan tidak ada pecah amanah atau salah guna kuasa. Ini meliputi semua tuduhan yang dibawa sebelum ini termasuklah tuduhan wang 1MDB dipindahkan ke akaun milik individu yang rapat dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti Jho Low; sehinggalah kegagalan 1MDB memenuhi komitmen kewangannya untuk membayar hutangnya yang telah mencecah RM42 bilion.
Urusniaga pemindahan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak hanyalah satu tugasan kecil yang kebetulan mendapat perhatian rakyat apabila Wall Street Journal mendedahkan adanya dana yang dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri. Oleh yang demikian, kenyataan SPRM semalam tidak sedikit pun menjawab soalan-soalan penting yang perlu disiasat oleh Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk merungkai semua persoalan mengenai 1MDB.
Malah, kenyataan SPRM semalam mengundang lebih banyak persoalan mengenai sumbangan politik berjumlah RM2.6 bilion itu, terutamanya berhubung peruntukan-peruntukan khusus Akta SPRM 2009 seperti berikut:
§ Seksyen 3 Akta SPRM menetapkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah penjawat awam yang tidak dibenarkan menerima “suapan” dalam apa jua bentuk sekali pun. Takrifan “suapan” di bawah akta ini termasuklah hadiah dan derma apabila hadiah dan derma itu diberikan untuk mendapat balasan.
§ Seksyen 50 Akta SPRM menetapkan bahawa sekiranya seorang penjawat awam memberi atau menerima suapan, penjawat awam itu telah melakukan satu rasuah.
§ Seksyen 16 Akta SPRM menetapkan bahawa seseorang yang didapati bersalah melakukan rasuah boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.
Tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang boleh menerima penjelasan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak menerima derma sebanyak RM2.6 bilion dari seseorang untuk membiayai kempen PRU13 Barisan Nasional tanpa penderma itu mendapat sebarang balasan. Oleh itu, derma yang disebut-sebut oleh pimpinan Umno sekarang ini boleh digolongkan sebagai suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM.
Oleh itu, pada hari ini telah mengarahkan pimpinan KEADILAN di seluruh negara di semua peringkat untuk membuat laporan kepada SPRM mendesak SPRM memulakan siasatan terhadap sumbangan politik itu mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009. Satu pekeliling dengan laporan contoh telah dikeluarkan kepada pimpinan KEADILAN di seluruh negara bagi tujuan ini.
(muat turun dan cetak)
https://drive.google.com/file/d/0B2GRLI8QVQQgamFXWTdZS2FGZEU/view?usp=sharing
Saya menjemput seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turut sama membuat laporan SPRM untuk menyiasat mengenai sumbangan politik kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak ini sebagai luahan rasa marah rakyat kepada perkembangan politik mutakhir.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
4 OGOS 2015
s ·
KHAIRY MESTI MENYATAKAN PENDIRIAN
Ketika negara dilanda begitu banyak isu beberapa minggu ini;
termasuklah rombakan kabinet dan pemecatan Timbalan Perdana Menteri, serbuan di pejabat SPRM dan penahanan beberapa penyiasat kes 1MDB serta penangkapan rakyat Malaysia yang hanya menunaikan hak asasi mereka, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin masih terus mendiamkan diri.

Saya rasa begitu pelik bagaimana Khairy tidak sedikit pun bersuara
sedangkan negara sedang melalui satu kemelut politik yang besar.
Najib dan barisan kabinet yang baru telahpun menyatakan niat mereka untuk memperketatkan lagi undang-undang yang akan mengganggu hak asasi rakyat disebabkan 1MDB. Kita juga sedang menyaksikan dengan jelas pemusnahan lanjut institusi-insitusi yang menyemak dan mengimbangi kuasa kerajaan.
Oleh itu saya menggesa Khairy Jamaluddin untuk menyatakan
pendiriannya, sama ada beliau berdiri bersama Najib dalam hal 1MDB ataupun beliau bersama rakyat Malaysia yang lain termasuk anggota UMNO sendiri yang mempersoalkan skandal berbilion ringgit ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
ISU DERMA RM2.6 BILLION KE AKAUN PERIBADI DATO' SERI NAJIB RAZAK SEPERTIMANA YANG DINYATAKAN OLEH SPRM
AMK Selangor memandang serius kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh SPRM berkaitan wang RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib Razak. Siasatan SPRM mengesahkan bahawa akaun itu wujud dan duit itu adalah duit derma dan bukan dana daripada 1MDB.
AMK Selangor mendesak dan menuntut SPRM agar segera mendedahkan kepada umum siapa yang mendermakan duit tersebut dan atas tujuan apa duit sebanyak itu didermakan kepada DS Najib. SPRM wajib bertindak dengan berani dan tegas demi menyelamatkan negara ini daripada kehancuran akibat sikap rakus dan tamak pemimpin utama negara.
Isu ini bukan lagi bersifat berbeza pandangan politik tetapi AMK Selangor melihat ia sebagai cubaan mencabar kedaulatan negara. Maka, pertembungan ini adalah pertembungan diantara Najib dan rakyat Malaysia. Maka, rakyat Malaysia perlu tangkas bangkit dan melawan cubaan menghancurkan negara ini.
AMK Selangor mendesak supaya DS Najib meletakkan jawatan dengan segera dan segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihanraya Umum diadakan. Di samping itu, AMK Selangor menyokong penuh usaha SPRM dan Badan Penyiasat Khas untuk terus menyiasat dan membongkar penyelewengan 1MDB demi negara tercinta. AMK Selangor juga meminta supaya PDRM membantu dengan telus usaha ini dan jangan menganggu penyiasatan yang sedang dijalankan ini. Sementara itu, Jawantankuasa Kira-Kira Negara (PAC) hendaklah dibenarkan untuk bersidang bagi menyiasat 1MDB. Maruah Parlimen Malaysia perlu dimuliakan tanpa sebarang gangguan pihak eksekutif.
Akhirnya, AMK Selangor ingin membuat penegasan bahawa negara kini sedang terjerumus ke dalam gaung yang amat dalam. Negara kini berada dalam kedudukan yang sangat bahaya dengan skandal 1MDB yang sangat menggila. Justeru, AMK Selangor mengajak semua anak muda dan anak Malaysia untuk sama-sama bangkit dan melawan kezaliman dan penyelewengan yang semakin membarah ini. Jangan biarkan diri kita terus menjadi hamba kepada sang penguasa yang zalim, rasuah dan rakus merompak harta negara.
Lawan tetap lawan !!!
Selamatkan Malaysia !!!
Salam Reformasi,
ZAINOL ABIDIN MOHAMED
Timbalan Ketua AMK Selangor/Ketua AMK Gombak.
4hb Ogos 2015
s
ISU PEMBIAYAAN POLITIK HELAH MENUTUP SKANDAL 1MDB
Sejak beberapa hari yang lepas, ada cubaan yang tersusun oleh pimpinan
Umno untuk membawa isu baru iaitu pembiayaan parti-parti politik.
Perkara ini mula-mula disebut oleh Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan disambut sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Dalam ucapannya di Seremban, Dato’ Seri Najib mengumumkan kesediaan
beliau untuk menyatakan punca kewangan Umno dan penyumbang-penyumbang
kepada dana Umno lalu mencabar parti-parti pembangkang untuk turut
menyatakan punca kewangan kami.
Operasi harian KEADILAN
termasuk membayar gaji kakitangan di ibupejabat, sewa pejabat-pejabat
KEADILAN negeri dan perbelanjaan ibupejabat ditampung oleh potongan gaji
oleh wakil rakyat KEADILAN. KEADILAN mempunyai 29 ahli parlimen dan 40
ADUN di seluruh negara. Ahli Parlimen dan ADUN di Selangor dan Pulau
Pinang (negeri yang diperintah pakatan pembangkang) menyumbang 20% dari
gaji bulanan kepada KEADILAN. Ahli Parlimen dan ADUN dari negeri lain
menyumbang 10% dari gaji bulanan kepada KEADILAN.
Bagi
perbelanjaan lain, KEADILAN mengadakan majlis mengutip derma dari semasa
ke semasa terutamanya menjelang pilihanraya. Kutipan dana dari majlis
mengutip derma ini bergantung kepada kehadiran – ada yang berjaya
mengutip dari RM50,000 sehingga RM500,000 bergantung berapa banyak tiket
dijual.
Walau bagaimana pun, isu pembiayaan parti-parti
politik ini hanyalah helah yang dimainkan oleh Umno dan Dato’ Seri Najib
Tun Razak. Saya berpandangan bahawa isu ini ditimbulkan untuk menutup
dua persoalan besar yang tidak boleh dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun
Razak:
1. Ke manakah wang RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB
dan benarkah wang itu telah diambil oleh individu-individu yang rapat
dengan Perdana Menteri seperti Jho Low?
2. Kenapakah RM2.6 bilion yang sebahagiannya dituduh turut berasal dari dana 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri?
Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan dan
Datuk Azalina Othman setakat ini memberi gambaran seolah-olah dana RM2.6
bilion itu kononnya adalah sumbangan dermawan antarabangsa kepada Dato’
Seri Najib Tun Razak dan bukannya dana 1MDB.
Saya tidak
terkejut sekiranya Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui jurucakapnya
seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam masa beberapa minggu ini akan
menjual cerita-cerita berikut:
1. Dana RM2.6 bilion itu adalah
derma dari orang kaya dari Timur Tengah secara peribadi kepada Dato’
Seri Najib Tun Razak. Derma itu digunakan oleh Dato’ Seri Najib Tun
Razak untuk membiayai kempen pilihanraya Umno dan Barisan Nasional dalam
PRU13 yang lalu
2. Ada bukti dalam bentuk dokumen bahawa kononnya dana RM2.6 bilion itu adalah derma kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak
3. Oleh kerana dokumen itu, maka pemindahan RM2.6 bilion itu bukanlah
berunsur rasuah dan hanyalah sumbangan politik seperti mana kes RM40
juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato’ Seri Musa Aman, Ketua
Menteri Sabah satu ketika dahulu.
4. Berdasarkan perkara ini,
siasatan ke atas 1MDB dan dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi
Perdana Menteri akan menyimpulkan bahawa tidak ada unsur rasuah dan kes
ditutup begitu sahaja
Isu-isu yang dibawa kebelakangan ini
berkaitan pembiayaan parti-parti politik hanyalah untuk mempersiapkan
orang ramai dengan skrip yang telah disediakan iaitu siasatan berkenaan
1MDB dan dana di dalam akaun peribadi 1MDB mendapati tiada unsur rasuah
dan kes ditutup begitu sahaja.
Saya yakin rakyat Malaysia yang
celik tidak akan termakan dengan putar alam begini. Saya juga berharap
pimpinan Umno yang masih ada sedikit maruah seperti Tan Sri Muhyiddin
Yassin terus mengkritik Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya rakyat tidak
diperbodohkan dengan cerita dongeng kononnya dana RM2.6 bilion ini
adalah sumbangan derma orang kaya Timur Tengah kepada Dato’ Seri Najib
Tun Razak.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
--