Keadilan Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa Nahas MH370 - Wan Azizah
KENYATAAN MEDIA
KEADILAN UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA MANGSA NAHAS MH370
Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.
Setelah lebih 515 hari, kita hari ini akhirnya menerima pengesahan melalui penemuan bahagian kapal terbang dan bagasi yang dijumpai di Reunion Island bahawa pesawat MH370 telah terhempas.
KEADILAN merakamkan ucapan takziah buat ahli-ahli keluarga mangsa nahas MH370. Ini merupakan waktu yang teramat sedih. Semoga ahli-ahli keluarga mangsa tabah menerima berita ini, dan kita mendoakan agar roh mangsa-mangsa tragedi ini dirahmati Ilahi.
Pada masa yang sama, ucapan ribuan terima kasih ingin dirakamkan buat para petugas pasukan mencari dan menyelamat, staf Joint Agency Coordination Centre (JACC), serta kesemua penganalisa data yang telah bertungkus-lumus mencari kepastian tentang nasib dan lokasi terakhir kapal terbang MH370. Walaupun kita masih belum mengetahui lokasi sebenar pesawat, kita berharap soalan-soalan yang masih berlegar di fikiran - di mana pesawat MH370 terhempas, dan sebagainya - akan terjawab juga suatu hari nanti.
Akhir sekali, jangan kita sesekali melupakan tragedi ini, serta pengajaran-pengajaran tentang koordinasi, persefahaman antarabangsa, serta semangat cekal dan tabah mengharungi dugaan yang telah kita alami. Semoga proses dan sistem ditambah baik untuk memastikan tragedi seperti ini tidak akan berulang lagi.
Buat mangsa-mangsa yang beragama Islam, Allahummaghfir lahum warhamhum wa 'afihim wa'fu 'anhum. Al-fatihah.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
6 Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...