Tangkapan Mengecewakan, Zambry Perlu Berani Bersemuka Dengan Rakyat - Pemuda #HarapanBaru Perak

9:24 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
PEMUDA HARAPAN BARU PERAK
6 OGOS 2015

TANGKAPAN MENGECEWAKAN, ZAMBRY PERLU BERANI BERSEMUKA DENGAN RAKYAT


Tindakan pihak berkuasa melakukan tangkapan terhadap petani dan penternak yang melakukan himpunan aman di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak semalam sangat mendukacitakan.

Tindakan tersebut secara tidak langsung telah menafikan hak rakyat untuk bersuara menyatakan isi hati serta nasib mereka seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK dimaklumkan, petani-petani dan penternak-penternak terbabit telah diusir daripada tanah yang diusahakan mereka lebih 50 tahun oleh Perbadanan Menteri Besar, kerajaan negeri, syarikat swasta dan pejabat tanah yang ingin membangunkan kawasan terbabit.

Mereka mengambil keputusan untuk berhimpun setelah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak mengambil perhatian terhadap nasib serta aduan yang dilaporkan oleh mereka.

Mereka daripada 22 kawasan di negeri Perak itu telah menghantar memorandum sebanyak 7 kali dan berpuluh-puluh surat kepada Dr Zambry bagi meminta satu temujanji dengan Adun Pangkor itu.

Namun usaha yang dilakukan itu hanya berakhir dengan kegagalan apabila Dr Zambry enggan memberikan respon terhadap tuntutan petani dan penternak itu untuk bertemu dengannya.

Kami menegaskan, tindakan Dr Zambry menolak untuk bertemu dengan rakyat yang ingin meluahkan nasib mereka adalah satu tindakan yang sombong dan tidak bertangunggjawab.

Selaku menteri besar, Zambry seharusnya meraikan dan mendengar segala permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat seterusnya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

Bagi kami, beliau sebagai pemimpin tertinggi pentadbiran negeri seharusnya berani untuk bersemuka dengan rakyat terhadap apa jua isu yang dikemukakan.

Dalam isu berkaitan petani dan penternak ini, mereka telah menggunakan platform dan cara yang betul iaitu memohon untuk mengadakan pertemuan sebelum mengambil keputusan untuk mengadakan himpunan seperti itu.

Kami tidak melihat tindakan mereka itu adalah satu tindakan yang bersifat keterluan, ini kerana ia dilakukan setelah Dr Zambry enggan memberikan respon yang sepatutnya.

PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK mengingatkan kepada Dr Zambry serta seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Perak agar tidak takut untuk bersemuka dengan rakyat.

Mereka yang diberi mandat sepatutnya berusaha sedaya mungkin untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan, bukannya mengambil sikap 'lepas tangan'.

Kami komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat khususnya mereka yang ditindas dan dinafikan hak mereka tanpa mengira kaum dan agama!

‪#‎HarapanBaru‬

SHAFIQ ARIFFIN
Ketua Penerangan,
Pemuda Harapan Baru Negeri Perak


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.