Pertembungan PDRM Dan SPRM Boleh Menjejaskan Kestabilan Dan Keselamatan Negara - Shamsul Iskandar

9:16 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
6 OGOS 2015

PERTEMBUNGAN PDRM DAN SPRM BOLEH MENJEJASKAN KESTABILAN DAN KESELAMATAN NEGARA

Saya memandang serius perkembangan mutakhir ini yang membabitkan semacam satu pertembungan di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua agensi utama di negara ini yang berperanan menjamin keselamatan rakyat serta ketelusan tatakelola.

Apa yang berlaku mengingatkan saya kepada pertembungan yang hampir sama awal tahun lalu di Indonesia membabitkan bantahan dari Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) dan Polis Republik Indonesia (Polri). Ini susulan bantahan dari KPK ke atas pencalonan Budi Gunawan yang dicadangkan sebagai Ketua Polis Republik Indonseia. Tindakan KPK yang menamakan Budi sebagai salah seorang suspek dalam satu kes rasuah telah mengundang reaksi balas dari Polri yang kemudiannya mengisytiharkan Ketua KPK, Abraham Samad dan timbalannya Bambang Widjojanto sebagai suspek dalam dua kes jenayah berasingan serta mengancam untuk menyiasat lebih ramai pegawai kanan KPK. Pertembungan dua agensi besar ini kemudiannya memaksa Presiden Joko Widodo menangguhkan pelantikan Budi dan menggantung tugas Abraham dan Bambang.

Tindakan PDRM menahan beberapa orang pegawai kanan SPRM temasuk Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin yang terlibat dalam proses siasatan skandal kewangan membabitkan syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengundang persepsi bahawa PDRM cuba untuk mencampuri dan menggangu proses siasatan yang sedang dilakukan oleh SPRM.

Hari ini, SPRM pula dilihat seperti menyerang balas tindakan PDRM dengan mengheret enam anggota polis ke mahkamah atas tuduhan menerima dan tidak melaporkan kesalahan rasuah bernilai RM8,000 tahun lalu. Kesemua tertuduh yang berpangkat konstabel, lans koperal dan koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, hari ini.

Perkembangan ini sememangnya amat membimbangkan dan sekiranya dibiar berterusan maka dikhuatiri akan mewujudkan implikasi negatif kepada kestabilan dan keselamatan negara. Kedua-dua agensi ini sewajarnya berperanan secara bebas dan telus serta tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak khususnya penguasa politik.

Memandangkan kedua-dua agensi ini terletak secara langsung di bawah jurisdiksi Yang Dipertuan Agong, maka saya dengan penuh takzim merafakkan sembah ke bawah duli yang maha mulia Raja-Raja Melayu dan mencadangkan Majlis Mesyuarat Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi menyelesaikan krisis pertembungan membabitkan dua agensi ini. Satu resolusi dan penyelesaian tuntas perlu diambil demi menyelamatkan kedua-dua agensi ini dari kerosakan lantaran campur tangan politik pihak tertentu.

Susulan lawatan saya bersama YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN dan beberapa pimpinan PAS, DAP ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi, kami turut berkesempatan mengadakan perbincangan bersama pihak SPRM dan mereka mengulangi tekad dan komitmen tinggi untuk bekerja secara jujur dan telus demi rakyat Malaysia.

Manakala negara sedang berada dalam keadaan yang semakin parah akibat korupsi, saya menyeru Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed beserta dengan timbalan beliau, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull supaya segera tampil dan bersama-sama dengan para pegawai serta kakitangan SPRM berganding bahu dalam usaha memerangi rasuah.

Usah khuatir dengan asakan dan ancaman politik dari penguasa atasan. Berdasarkan penelitian dan sentimen di bawah, majoriti rakyat kini dilihat bersama menyokong SPRM dalam usaha mereka untuk memerangi rasuah habis-habisan. Mari kita bersama-sama mengetepikan rasa takut dan berganding bahu untuk menyelamatkan negara ini demi masa depan anak cucu kita kelak.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.