PM Akan Ditentukan Bersalah Atau Tidak Oleh Siapa? - Khairuddin Aman Razali at-Takiri
PM AKAN DITENTUKAN BERSALAH ATAU TIDAK OLEH SIAPA?
Oleh :
Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus)
1. Speaker Dewan Rakyat, TS Pandikar Amin Mulia pada 31 Julai 2015 telah menyatakan ketetapan bahawa prosiding terhadap 1MDB oleh PAC tidak boleh diadakan tanpa pengerusi baharu bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamad yang telah dilantik sebagai anggota kabinet.
2. SPRM pula pada petang semalam telah mengesahkan bahawa Peguam Negara, TS Mohamed Apandi Ali menyatakan tiada keperluan untuk ada Pasukan Petugas Khas yang dianggotai secara bersama oleh SPRM, PDRM dan BNM bagi menyiasat isu 1MDB dan skandal yang dikaitkan dengan YAB Perdana Menteri.
3. Kesan tekanan daripada luar dan dalam UMNO/BN sendiri berhubung isu ini, DS Najib Razak telah melakukan pendekatan 'ekstrim' dengan menggugurkan TS Muhyiddin Yassin dan licik melalui rombakan semula kabinet justeru usaha-usaha PAC dan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat secara adil, menyeluruh dan telus kini terbantut.
4. Hasil dapatan siasatan sehingga setakat ini juga tidak dapat didedahkan kepada awam berikutan ada sekatan pada aspek perundangan.
5. Lebih mengeruhkan keadaan apabila PDRM melakukan serbuan dan tangkapan ke atas pegawai-pegawai SPRM justeru mengganggu ketelusan siasatan ini secara menyeluruh dan menjejaskan imej serta kredibiliti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya bebas.
6. Seluruh rakyat mahu tahu apakah kebenaran disebalik isu 1MDB dan tuduhan ke atas YAB DS Najib Razak. Jika ia tidak benar, itulah yang menjadi harapan seluruh rakyat. Tetapi, jika ia benar, semuanya mesti didakwa dan dihukum dengan sesungguhnya.
7. Namun, siapa yang akan menentusahkan kebenaran ini? PDRM kelihatannya diperalat, SPRM pula ditekan kuat, BNM masih membisu dan PAC pula sedang membeku.
Sekian.
Khamis, 6 Ogos 2015 | 21 Syawal 1436H
Sila kongsi artikel ini...