Kenyataan penjelasan Dato' Saifuddin Nasution Ismail mengenai kenyataan Edmund Bon:
1) Kedua-dua peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju supaya mencari jalan agar perbicaraan tidak diteruskan. Oleh itu, pada hari pertama perbicaraan dimulakan Selasa lalu, peguam Tan Sri Khalid menyediakan draf pertama untuk dipertimbang oleh saya.
2) Saya menyatakan bahawa saya dan KEADILAN tidak akan meminta maaf tetapi boleh membuat penjelasan bahawa konteks dokumen yang dipertikaikan oleh Tan Sri Khalid itu adalah satu penjelasan politik.
3) Oleh kerana Tan Sri Khalid masih mahu ada penyataan meminta maaf, saya memaklumkan keputusan saya untuk meneruskan dengan perbicaraan.
4) Sebab itu pada pagi ini mahkamah bersedia untuk memulakan perbicaraan dan saksi saya seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah.
5) Namun, dengan kehadiran Dato' Seri Anwar Ibrahim, beliau memohon supaya perbincangan diteruskan agar penyelesaian dicapai tanpa perbicaraan.
6) Atas nasihat Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan mengambil kira semangat Syawal untuk bermaaf-maafan dan meletakkan kepentingan membela rakyat didepan, akhirnya saya dan Tan Sri Khalid bersetuju untuk sama-sama meminta maaf supaya ia satu keputusan "win-win".
7) Saya kesal dengan kenyataan peguam Tan Sri Khalid, Edmund Bon yang memberi gambaran yang berlainan. Malah semasa perbincangan tadi pun, walaupun Tan Sri Khalid lebih awal mahu sama-sama memohon maaf, beliau yang tidak begitu berkenan dengan penyelesaian itu.
8) Sebarang gambaran bahawa Tan Sri Khalid tidak memohon maaf dan penyataan maaf dari beliau yang direkodkan mahkamah tadi adalah bersempena Syawal seperti amalan raya adalah tidak tepat, tidak ikhlas dan mahu terus mengheret perkara ini.
9) Jika ia satu ucapan maaf raya yang tidak berkaitan dengan persetujuan saling meminta maaf, maka tidak perlulah ucapan itu diperintahkan oleh mahkamah untuk dibuat oleh Tan Sri Khalid dan dimasukkan sebagai rekod mahkamah.
10) Perintah mahkamah jelas menunjukkan bahawa penyelesaian ini melibatkan satu kenyataan maaf dari saya dan satu kenyataan maaf balas dari Tan Sri Khalid.
11) Saya bersetuju dengan rujukan Syawal di dalam kenyataan maaf Tan Sri Khalid dalam konteks semangat maaf-memaafkan dalam bulan Syawal agar masing-masing dapat meletakkan kepentingan rakyat di depan. Tindakan sesetengah pihak memutar belit bahawa rujukan Syawal dalam kenyataan maaf Tan Sti Khalid itu adalah satu ucapan maaf sempena hari raya adalah tidak jujur.
13) Saya berharap agar penyelesaian saling maaf memaafkan ini tidak terus dipanjang dan diputar belitkan oleh pihak lain sebagai menghormati persetujuan di antara saya dan Tan Sri Khalid di hadapan Dato' Seri Anwar tadi.
Terima kasih.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA PENGGANTUNGAN #UIA2
Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak pengurusan tertinggi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang telah menggantung Saudara Hanif Mahpa, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UIA dan Saudari Afiqah Zulkifli, EXCO MPP UIA selama dua semester (iaitu setahun) berkenaan isu penganjuran forum GST dan menjemput Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
Hukuman yang terlampau berat itu, hanya kerana memberi ruang kepada seorang ahli Parlimen untuk berdiskusi perihal GST, amatlah mendukacitakan. Ini kerana ia bukan sahaja melanggari prinsip kebebasan akademik, tetapi ia juga memberi kesan kepada kehidupan dua orang pimpinan mahasiswa.
Apakah pihak Universiti tidak memikirkan kebajikan dan masa depan anak muda ini? Bukankah kepentingan mahasiswa itu merupakan pertimbangan utama sebuah institusi pendidikan? Apakah kesalahan mereka begitu berat sehingga perlu menggantung pelajaran untuk sekian lama?
Saya rasa tidak salah jika saya katakan bahawa Rektor yang sedia ada sekarang ini merupakan antara yang paling menghampakan di dalam sejarah Universiti tersebut. Mengimbau kembali perilaku dan tindak balas beliau kepada beberapa perkara semenjak perlantikannya, ia seakan-akan Universiti tersebut sudah lebih ke belakang dari segi kebebasan akademik dan perkembangan ilmu. Dua perkara yang amat penting bagi sesebuah institut pengajian tinggi.
Sedangkan UIA pada suatu ketika dahulu adalah lebih terbuka, malah menggalakkan perkongsian ilmu tanpa mengira latar belakang penyampainya. Saya sendiri beberapa kali turut serta dalam forum di UIA.
Rektor yang sedia ada terlalu menitikberatkan faktor politik UMNO – daripada berusaha mempertingkatkan martabat Universiti yang
menampilkan moto "Taman Ilmu dan Budi".
Saya menggesa pihak Universiti untuk menimbang semula keputusan tersebut dan membenarkan kedua-kedua belajar tersebut untuk menyambung pelajaran serta-merta. Saya juga ingin menyarankan agar UIA memulihkan kredibiliti Universiti dengan memberikan keutamaan semula kepada kepentingan akademik dan pelajar.
Cukup-cukuplah mencalarkan reputasi sebuah institusi akademik yang dahulunya disegani ramai, tiada manfaat yang baik jika terus-menerus berpaksikan dasar dengan politik UMNO yang kolot.
NIK NAZMI NIK AHMAD
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR
14 OGOS 2015
PENYELESAIAN KES SAMAN TAN SRI KHALID IBRAHIM vs DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL dan PARTI KEADILAN RAKYAT
Kedua-dua pihak plaintif (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan defendan-defendan (Dato' Saifuddin Nasution Ismail dan Parti Keadilan Rakyat) telah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman plaintif di luar mahkamah.
Dato' Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir sebagai saksi defendan telah berbincang dengan kedua-dua pihak plaintif dan defendan pagi ini. Sebagai menghormati beliau dan mengambil kira kepentingan masyarakat terutamanya dengan latar belakang kemelut politik negara akibat skandal melibatkan Dato' Seri Najib Tun Razak, kedua-dua pihak bersetuju perkara-perkara berikut:
1) Tan Sri Khalid Ibrahim menarik balik saman;
2) Dato' Saifuddin Nasution Ismail dan KEADILAN memohon maaf kepada Tan Sri Khalid Ibrahim; dan
3) Tan Sri Khalid Ibrahim memohon maaf kepada Dato' Saifuddin Nasution Ismail dan KEADILAN.
Persetujuan ini dimeterai dan difailkan di mahkamah seperti di dalam dokumen mahkamah yang disertakan bersama.
Bagi pihak KEADILAN, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
DATO’ SERI NAJIB AKAN TERLEPAS DARI TINDAKAN JIKA RAKYAT BERDIAM DIRI: PENGANJURAN SOLAT HAJAT DAN RAPAT UMUM
Saya ingin melahirkan kebimbangan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan terus kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri sekiranya tiada tindakan yang berterusan dari rakyat dan pimpinan masyarakat mendesak beliau mengundur diri.
Hari ini, pendedahan Wall Street Journal mengenai dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau telah berlalu lebih sebulan. Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kabinet kerana kritikan beliau terhadap 1MDB juga telah berlalu hampir 2 minggu.
Saya merasakan bahawa keadaan kembali sejuk seolah-olah perkara-perkara ini akan berlalu begitu sahaja dan rakyat merasakan mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Sekiranya rakyat berputus asa bahawa tiada apa yang mereka dapat lakukan, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan terus kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri dan lebih banyak kerosakan akan berlaku.
Sebab itu, saya ingin mengingatkan rakyat, NGO dan pimpinan masyarakat tidak kira apa jua latar belakang untuk mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan tekanan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk berundur. Usaha untuk memastikan skandal-skandal besar tidak sejuk dan berlalu perlu diteruskan dan inisiatif ini perlu dipikul oleh semua pihak.
Oleh yang demikian, saya sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu solat hajat dan himpunan rakyat #selamatMalaysia #saveMalaysia #sokongSPRM #supportSPRM bagi memastikan tekanan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dizahirkan dalam bentuk terbuka.
Aturcara solat hajat dan himpunan rakyat ini adalah seperti berikut:
Tarikh : Khamis, 13 Ogos 2015
Masa : 730 malam hingga 11 malam
Tempat : Padang Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah
729 malam : Solat Maghrib
750 malam : Bacaan Yassin
841 malam : Solat Isyak
900 malam : Solat Hajat
915 malam : Pidato umum
Majlis akan bermula dengan solat hajat yang akan disertai oleh rakyat beragama Islam sebelum disambung dengan himpunan rakyat dan pidato umum untuk rakyat pelbagai kaum bermula jam 915 malam.
Pimpinan parti politik yang akan hadir termasuklah YB Lim Kit Siang (Pengerusi Parlimen DAP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (Pengarah Pilihanraya KEADILAN), Saudara Mohamad Sabu (Pengerusi GHB), YB Dato’ Iskandar Abdul Samad (Naib Presiden PAS), YB Tiew Wei Keng (ADUN Teratai), YB Wong Chen (Ahli Parlimen Kelana Jaya), YB Manivannan (Ahli Parlimen Kapar) dan ramai lagi. Pimpinan NGO seperti Saudara Amidi Dato’ Abdul Manan dan pimpinan yang lain juga akan berucap pada malam esok.
Saya menyeru supaya seberapa ramai rakyat turun menyertai solat hajat dan himpunan rakyat seperti ini bagi menzahirkan desakan agar Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk berundur. Saya yakin jika ia tidak dilakukan, skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion akan cuba dikuburkan seperti mana skandal-skandal lain dan beliau kekal berkuasa.
Saya juga menyeru supaya ahli-ahli Parlimen lain dan tokoh masyarakat yang lain bersama-sama NGO menganjurkan solat hajat #selamatMalaysia #sokongSPRM yang sama ditempat masing-masing setiap minggu sehinggalah Dato’ Seri Najib Tun Razak meletak jawatan dan satu siasatan bebas disempurnakan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab bersabit skandal-skandal ini ke muka pengadilan.
Majlis-majlis solat hajat dan himpunan rakyat seperti ini jika diteruskan setiap minggu akan membina gelombang rakyat menjelang Perhimpunan BERSIH4 yang akan berlaku hujung bulan ini sebagai salah satu kemuncak rakyat menzahirkan protes terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
12 OGOS 2015

Apa tujuan Affin Bank beli tanah 1MDB? Rakyat amat meraguinya..
Pengumuman oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Affin Holdings Bhd, pada 10 Ogos bahawa Affin Bank telah memeterai perjanjian untuk membeli sebidang tanah daripada syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan harga RM255 juta untuk membina ibu pejabat baru adalah menghairankan serta meragukan.
KEADILAN mempersoalkan tujuan Bank Affin membelanjakan ratusan juta ringgit sedangkan bank yang dikuasai LTAT secara tidak langsung itu sudah memiliki bangunan ibu pejabat mewah di Jalan Raja Chulan.
Affin Holdings sebelum ini mengumumkan bahawa akibat peruntukan kerugian pinjaman perniagaan bank, keuntungannya selepas cukai bagi suku tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 telah merosot kepada RM34.8 juta berbanding dengan RM142.7 juta bagi suku tahun kewangan yang sama pada 2014.
Prestasi kewangan Affin Holdings dan Affin Bank itu langsung tidak memberikan keyakinan dan rangsangan kepada mereka untuk membelanjakan ratusan juta ringgit lagi untuk sebuah pejabat baru.
Tambahan pula, wujud aspek percanggahan kepentingan (“conflict of interest”), di mana Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin merupakan pengerusi lembaga pengarah 1MDB dan timbalan pengerusi lembaga pengarah Affin Holdings Bhd. Amat penting untuk kita ketahui sama ada Tan Sri Lodin telah mengundi di dalam isu pembelian tanah ini? Beliau perlu memberikan penjelasan agar tidak timbul persepsi yang tidak baik mengenai isu ini.
Saya juga meminta pimpinan LTAT mengambil tindakan segera supaya Affin Holdings dan Affin Bank mengkaji semula perjanjian jual beli tanah dengan 1MDB ini bagi mempertahankan kepentingan LTAT serta kepentingan anggota tentera.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
12 Ogos 2015
Kerajaan Najib yang korup dan menghabiskan wang rakyat harus disaman
12 OGOS
UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA
KEADILAN Kemuka Saman Sivil Kesalahan Pilihanraya Ke Atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Seperti yang telah dijanjikan, KEADILAN hari ini telah memfailkan saman terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, 1Malaysia Development Berhad dan Suruhanjaya Pilihanraya melalui peguam Tommy Thomas di Mahkamah Jalan Duta.
Saman ini dipimpin Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan parti KEADILAN Rakyat; beserta saya sendiri, Dr Dzulkefly Ahmad, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan YB Tian Chua.
Saman ini adalah tindakan lanjutan daripada pendedahan yang telah dilakukan oleh Wall Street Journal berkenaan dengan wang RM2.6 billion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib bagi kegunaan kempen pilihanraya umum ke-13 - dan terkini diakui sebagai 'wang derma.'
Fakta-fakta kes ini mendedahkan pelbagai rasuah dan taktik korup yang telah digunakan oleh Barisan Nasional dalam meraih kemenangan dalam pilihanraya umum ke 13. Ternyata, RM2.6 billion yang digunakan ini melebihi 26 kali ganda had yang dibenarkan seperti digariskan oleh undang-undang Malaysia.
Perlu diingat bahawa Seksyen 19, Akta Kesalahan Piliharanraya 1954, menghadkan perbelanjaan pilihanraya kepada hanya RM200,000 dan RM100,000 setiap calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Selama ini, rasuah secara terang-terangan seperti tidak diendahkan oleh SPR ; contohnya seperti yang dilihat berlaku dalam kes Pilihan Raya Kecil Sibu. Walaupun Datuk Seri Najib yang didakwa berkata, “I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me… If Robert Lau becomes the MP on Sunday, on Monday I will ask [for] the cheque to be prepared. Do we have a deal or not? We do! You want the RM5 million, I want Robert Lau to win”; SPR masih mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat.
Justeru, kami berpendapat bahawa SPR telah bersubahat dengan menyatakan bahawa mereka cuma boleh bertindak terhadap calon sahaja, manakala lain-lain orang termasuk menteri kabinet tidak boleh didakwa. Seksyen 5(1)(a) Akta Piliharaya telah menggariskan seliaan pilihanraya mestilah dibuat dengan adil dan mengikut peraturan dan undang-undang.
Penafsiran undang-undang yang berubah mengikut kepentingan berpihak; sepertimana kes di Sibu, dilihat cuma memenuhi kepentingan BN sahaja tanpa mengambil kira peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara.
Natijahnya, SPR telah bersubahat dalam konspirasi untuk memusatkan kuasa dalam tangan BN dengan membelakangi perlembagaan.
Lanjutan ini, termasuklah bukti transaksi korup yang berlaku dalam PRU13 yang lalu menzahirkan saman yang menuntut agar keputusan pilihanraya umum ke 13 bagi kesemua 222 kerusi dibatalkan; dan sebuah pilihan raya umum yang baru diadakan.
Dalam pada itu, di peringkat lapangan - KEADILAN, menerusi Jawatankuasa Piliharaya Negeri-Negeri telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di seluruh negara berkenaan penggunaan RM2.6 billion dalam kempen PRU13 Barisan Nasional.
Sebanyak 11 laporan telah dibuat diantara 31 Julai dan 12 Ogos termasuk di Kedah, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Perak, Pahang, Perlis dan Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.
Laporan-laporan ini dibuat dalam memperkukuhkan usaha SPRM menyiasat mereka yang terlibat dalam amalan korup - termasuklah Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional. Mereka yang bersalah wajib diadili dan dihukum sewajarnya.
Kami akan berusaha bersungguh-sunguh demi memastikan KEADILAN tertegak dan kesucian demokrasi negara ini dipulihkan!
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah JPRP KEADILAN
KENYATAAN MEDIA
Berikut adalah perutusan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disampaikan melalui peguam beliau semalam.
"Negara di dalam krisis ekonomi dan politik, namun kerajaan BN bagai tidak mampu atau tidak mahu mengambil tindakan yang tegas dan pantas.
Dakwaan berat terhadap Perdana Menteri di dalam skandal kewangan 1MDB telah ditambah dengan kejadian-kejadian terkini, termasuk pemecatan Peguam Negara dan gangguan yang jelas terhadap SPRM.
Akibatnya nilai mata wang ringgit telah merudum ke tahap yang amat rendah dan keyakinan pelabur terus hilang; ini akan mendatangkan kesan amat buruk terhadap kehidupan Rakyat.
Namun DS Najib dan pentadbiran beliau kelihatan lebih mementingkan masa depan politik diri mereka sendiri berbanding masa depan negara.
Dengan tidak memberi penjelasan dan tidak mengambil tindakan yang pantas, seluruh kabinet dan Barisan Nasional terlibat dan bertanggungjawab di atas krisis ini.
Sejak merdeka malah sebelumnya lagi, begitu ramai Rakyat patriot yang telah berkorban demi membina, mempertahan dan memakmurkan negara ini, termasuk angkatan tentera dan pasukan polis.
Adakah begini caranya DS Najib dan konco-konconya membayar balik hutang budi itu? Dengan memacu negara menuju tebing kehancuran?
Saya menggesa semua parti dan pemimpin politik, dan para wakil rakyat, untuk mengetepikan perbezaan di kala krisis ini. Ketengahkan kepentingan Negara dan Rakyat dan ketepikan perkiraan lain.
Dengan keberanian dan ketegasan, kita masih mampu mengatasi krisis ini, dan memulakan proses reformasi, mengembalikan demokrasi, dan menyelamatkan Malaysia.
Tapi kita tidak punyai masa, kita mesti bertindak segera!"
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
11 Ogos 2015
-
MEDIA RELEASE
Below message from Datuk Seri Anwar Ibrahim conveyed through his lawyers yesterday.
"The nation is in a state of crisis, economic and political, yet the BN government seems incapable or unwilling to take strong, decisive and immediate action.
The serious allegations against the PM in the 1MDB corruption scandal has been compounded by the machinations of the previous weeks, including the sacking of the A-G and gross interference with the MACC.
As a result, the ringgit worsens to historic lows and investor confidence evaporates; this will have serious consequences for the well-being of every Malaysian.
But Najib and his government appear to be more interested in their own political survival than in the interests of the nation.
By not speaking up or taking immediate action, the whole of the cabinet and the Barisan Nasional is also complicit and responsible for the current crisis.
Since independence and before, countless patriotic Malaysians have sacrificed a great deal to build, protect and prosper this country, including members of the armed forces and police.
Is this how Najib and his associates repay them? By bringing the country to the brink of ruin?
I urge all political parties and leaders, and elected representatives, to set aside their differences in this hour of crisis.
Put the interest of the Nation and our people above all other considerations.
With courage and resolution, we can yet overcome this crisis; and put in place urgent reforms, restore democracy, and save this nation.
But time is of the essence, action must be immediate!"
Fahmi Fadzil
KEADILAN Communications Director
11 August 2015