Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Rakyat Bangkit Selamatkan Malaysia - Wan Azizah



RAKYAT BANGKIT SELAMATKAN MALAYSIA

Di kala Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-58 dan Hari Malaysia yang ke-52, senario politik terkini tanah air semakin membimbangkan. Kenaikan harga barang akibat GST yang membebankan, merudumnya nilai mata wang ringgit, hilangnya kepercayaan pelabur dalam dan luar negara, serta rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi. Pelbagai insiden juga telah berlaku termasuk rombakan, pemecatan, dan tangkapan individu-individu yang terlibat di dalam siasatan isu 1MDB dan dakwaan "derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak, yang terkini didakwa telah dikeluarkan sepenuhnya.


Ada pihak yang berkata Malaysia bakal menjadi "negara gagal" ("failed state") jika tidak diselamatkan, namun pada masa yang sama ada pihak berkepentingan yang bertungkus-lumus berusaha menggagalkan proses menyelamatkan Malaysia.

Faktor terpenting dalam usaha ini ialah kemahuan dan kemarahan Rakyat. Adakah kita mahu terus hidup di dalam keadaan ekonomi dan politik yang tidak menentu? Adakah kita mahu anak cucu kita terus hidup ditindas dan dibelenggu pelbagai masalah yang kita hadapi hari ini?

Tidakkah kita impikan dan idamkan sebuah Malaysia yang lebih adil, yang lebih sejahtera, yang lebih stabil, yang lebih baik untuk kita semua?

Masanya telah tiba untuk Rakyat Malaysia menyuarakan kemarahan dan kemahuan agar Malaysia diselamatkan. Minggu hadapan, demi anak cucu kita, demi nusa dan bangsa, demi Rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama bangkit dan turut serta dalam perhimpunan aman Bersih 4 di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos.

Ayuh, Selamatkan Malaysia!

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan IsmailKetua Pembangkang
Presiden KEADILAN

Kenyataan Media
19 Ogos 2015


Nik Nazmi: Menyokong Permohonan Sarawak Untuk Lebih Kuasa Dalam Bidang Pendidikan



MENYOKONG PERMOHONAN SARAWAK UNTUK LEBIH KUASA DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Saya rasa tertarik dengan laporan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan pentadbiran Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem, berhasrat untuk mengambil alih sepenuhnya perihal pendidikan negeri untuk mendapatkan lebih kuasa autonomi daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengatakan bahawa Sarawak telah terkesan oleh polisi tidak tetap Putrajaya berkenaan pendidikan.


Saya amatlah bersetuju dengan perkara ini.

Lagipun, autonomi pendidikan merupakan sebahagian daripada Perjanjian Malaysia yang telah dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak. Perisytiharan Kuching 2012 yang turut ditandatangani KEADILAN, berhasrat antara lain memartabakan semangat Perjanjian Malaysia.

KEADILAN dan rakan-rakan kami juga telah berusaha mendapatkan autonomi pendidikan di negeri-negeri yang di bawah pentadbiran kami. Saya sendiri telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan pengagihan kuasa pendidikan ini.

Secara dasarnya, kita boleh mencontohi amalan terbaik negara-negara lain di mana pendidikan tinggi, kurikulum kebangsaan dan piawaian tetap dikawal oleh Kerajaan Persekutuan; manakala pendidikan rendah dan menengah adalah diseliakan oleh Kerajaan Negeri, dan pentadbiran sekolah pula mempunyai penglibatan lebih pihak tempatan.

Kami percaya penyeliaan Kerajaan Negeri bukan sahaja boleh
mempertingkatkan kualiti dan tahap pendidikan pelajar-pelajar
Malaysia, tetapi juga mampu menggalakkan perpaduan dan integrasi nasional.

Kerajaan Negeri adalah lebih arif, malah berada di tempat yang lebih baik untuk menangani isu-isu tempatan.

Ia juga akan mengalakkan persaingan yang sihat di antara negeri, dan akan merangsang pihak tenaga pengajar dan pentadbir demi mencari jalan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Yang hairannya Malaysia ini, walaupun kita merupakan negara
persekutuan, setiap perihal pentadbiran di negara ini adalah berpusat padahal negara-negara lain sekarang ini lebih menjurus kepada pengagihan kuasa. Ini termasuklah negara kesatuan seperti Indonesia yang sudah mula membentuk polisi pengagihan kuasa semenjak zaman Reformasinya, dan juga Afrika Selatan yang mengekalkan kuasa pendidikan rendah dan menengah kepada kerajaan wilayah.

Saya benar-benar berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan ini dengan teliti, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi untuk semua negeri-negeri yang lain juga.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI






pesanan lisan (verbatim) DS Anwar Ibrahim yang dituju khas kepada DS Zahid Hamidi



KENYATAAN MEDIA

Berikut merupakan pesanan lisan (verbatim) DS Anwar Ibrahim yang dituju khas kepada DS Zahid Hamidi di Mahkamah Jalan Duta hari ini:

"Saya minta pertimbangan DS Zahid Hamidi berkaitan urusan keluarga dan peguam. Semuanya terlalu ketat. Nak dera Anwar, faham. Saya faham. Itu saya tak ada masalah. Tapi janganlah dera keluarga saya. Keluarga nak jumpa susah... bagi lah jumpa sekejap. Jangan sekat peguam saya. Ini buku nota pun tidak boleh. Saya mintak DS Zahid timbang. Timbang keluarga dan kerja urusan peguam."


Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

19 Ogos 2015

Perutusan Takziah Tragedi Pengeboman di Bangkok - Wan Azizah




PERUTUSAN TAKZIAH TRAGEDI PENGEBOMAN DI BANGKOK


Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakamkan rasa sedih di atas kejadian letupan bom di Bangkok, Thailand yang mengakibatkan empat rakyat Malaysia dari Pulau Pinang terkorban.

KEADILAN berasa amat kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang elemen keganasan, khususnya yang menjadikan orang awam sebagai sasaran.


KEADILAN menyeru semua pihak supaya lebih peka dan bertanggungjawab, memelihara kebebasan beragama serta maruah manusiawi.

Tidak wajar sama sekali mereka menyasarkan rumah ibadat, institusi awam, hospital dan sebagainya sebagai sasaran mereka.

Hak-hak beragama dan hak manusiawi untuk hidup dengan aman dan sentosa mesti dipelihara sebaiknya.

Semua pihak mesti bekerjasama bagi memastikan keganasan yang seumpama tidak berulang lagi.

Di kesempatan ini, KEADILAN menyampaikan ucapan takziah kepada Puan Neoh Yee Ling yang kehilangan suami, anak perempuan berusia empat tahun, ibu dan adik lelakinya dalam kejadian malang tersebut.

Dalam mengharungi kesedihan ini, KEADILAN berharap mereka sekeluarga dapat mengharungi dugaan ini sabar dan tabah.

KEADILAN juga berharap agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh anggota keluarga yang terbabit dalam kejadian malang tersebut.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

18 Ogos 2015

Hentikan Perbincangan Undang-Undang Pembiayaan Politik Seloagi Perdana Menteri & Kabinet Tidak Mengisytiharkan Harta - Rafizi Ramli



18 OGOS 2015

HENTIKAN PERBINCANGAN UNDANG-UNDANG PEMBIAYAAN POLITIK SELAGI PERDANA MENTERI & KABINET TIDAK ISYTIHAR HARTA

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan mengenai usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kononnya ingin menggubal undang-undang mengawal pembiayaan politik selepas skandal dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi beliau didedahkan kepada rakyat.

Saya juga telah menerima jemputan sebelum ini dari Institut Integriti Malaysia yang ingin mengadakan rundingan meja bulat mengenai perkara ini.

Pendirian saya adalah jelas bahawa:

1. Isu penggubalan undang-undang mengawal pembiayaan politik ini hanya timbul ekoran dari keterdesakan Dato’ Seri Najib Tun Razak berdepan dengan kemarahan rakyat akibat skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion;

2. Isu penggubalan undang-undang ini adalah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenarnya dan cuba berdalih dengan rakyat mengenai bagaimana dana RM2.6 bilion boleh dimasukkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak;

3. Isu sebenar ialah kekayaan peribadi pimpinan politik yang tidak sepadan dengan gaji mereka yang disahkan dengan pengakuan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa dana RM2.6 bilion itu masuk ke akaun peribadi beliau sebagai derma kepada beliau.

Dakwaan oleh Sarawak Report pada hari ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membelanjakan sekitar USD1 juta (bersamaan RM3.5 juta) perbelanjaan melalui kad kredit CIMB dan Maybank ketika bercuti di Eropah dalam Ogos 2014 mendedahkan lagi berleluasanya gejala pimpinan politik yang hidup mewah melebihi pendapatan.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terbabit supaya memboikot sebarang usaha untuk menggubal undang-undang yang mengawal pembiayaan politik selagi Perdana Menteri dan keseluruhan anggota Jemaah Menteri tidak mengisytiharkan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan seperti yang pernah saya buat.

Hanya selepas pengisytiharan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan dibuat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri, barulah rakyat boleh membincangkan satu kerangka pembiayaan politik yang telus dengan harapan mana-mana menteri yang terbukti mempunyai harta dan berbelanja melebihi pendapatan didakwa dan dihukum terlebih dahulu.

Saya juga berpendapat pembiayaan politik yang telus boleh dicapai dengan menggunakan kaedah kerajaan memperuntukkan geran kepada parti-parti politik mengikut jumlah sokongan undi majoriti yang diperolehi di dalam pilihanraya yang lepas. Apabila kerajaan memperuntukkan geran sebegini, barulah undang-undang boleh diketatkan dengan mensyaratkan sebarang derma atau sumbangan politik kepada mana-mana ahli politik atau parti politik diisytiharkan secara telus – seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang matang amalan demokrasinya.

Oleh itu, saya menasihatkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low supaya cuba mendapatkan pengisytiharan harta dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri sebelum beliau sibuk memukul canang mengenai undang-undang pembiayaan politik.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


Kenyataan Takziah Presiden Keadilan



KENYATAAN TAKZIAH PRESIDEN KEADILAN

Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), saya mengucapkan salam takziah kepada PAS di atas pemergian Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Haji Adam Ahid ke rahmatullah subuh tadi.

KEADILAN merakamkan dukacita di atas pemergian Haji Adam dan berharap keluarga beliau bersabar serta redho di atas dugaan ini.


KEADILAN menghargai komitmen beliau untuk menyuburkan keadilan dan demokrasi di bumi Sarawak.

Semoga Allah menerima amal bakti beliau dan menempatkan beliau di kalangan solihin. Al-fatihah.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

17 Ogos 2015

Pendedahan Pegawai Bank Australia Memalukan MARA - Nik Nazmi



PENDEDAHAN PEGAWAI BANK AUSTRALIA MEMALUKAN MARA

Laporan berita Sydney Morning Herald pada 15 Ogos 2015 amatlah menggusarkan.

Menurut laporan tersebut, seorang pegawai bank Australia telah diugut oleh "seorang lelaki berwajah Asia" berkenaan permohonan pinjaman AUD22.5 juta oleh MARA untuk tujuan jual beli hartanah yang penuh kontroversi.


MARA, Pengerusinya Annuar Musa dan Perdana Menteri Najib Razak mestilah menjelaskan perkara ini dan menafikan dakwaan ini jika ia tidak benar.

Segala jawapan MARA berkenaan jual beli hartanah Melbourne setakat ini langsung tidak memuaskan, terutamanya dakwaan yang mengatakan AUD4.5 juta daripada nilai pembelian itu telah diambil oleh pegawai-pegawai Malaysia.

Rakyat Malaysia, terutamanya golongan Bumiputera, berhak mengetahui apa yang sedang berlaku. Jika ada kebenaran di dalam dakwaan tersebut, ia tidak boleh diambil mudah dan tindakan mestilah diambil ke atas pihak yang terlibat. Pada masa yang sama, pelajar-pelajar yang menerima pinjaman dan tajaan MARA menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan syarat yang tidak adil.

Malaysia tidak mungkin boleh menerima satu lagi skandal antarabangsa yang hanya akan mencemarkan nama negara.

Ketika lawatan saya bersama-sama Akmal Nasir (National Oversight and Whistleblowers Center / NOW) ke Melbourne sebulan yang lepas, isu ini merupakan isu paling hangat bukan sahaja di bandaraya itu malah di seluruh Australia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR


Recent Posts Widget

.

.