1. Alhamdulillah akhirnya setelah setahun menunggu status keanggotaan saya yang digantung ketika Pemilihan PKR 2014, akhirnya saya mendapat juga surat dari Pengerusi Lembaga Disiplin PKRyang bertarikh 12 Jun 2015 yang menyatakan Biro Politik pada 26 Mei 2015 memutuskan untuk menamatkan penggantungan setelah meneliti bukti dan laporan dari Lembaga Disiplin.
2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Abdul Hadi Abd Khatab atas surat makluman tersebut dan amat dihargai usaha Ybhg Dato'.
3. Namun saya amat kecewa kerana penarikan atau penamatan penggantungan saya dibuat secara 'senyap - senyap' tidak semeriah seperti ketika saya digantung di mana ketika itu tanpa surat, tanpa dibacakan tuduhan atau dipanggil membela diri saya diumumkan digantung di depan media. Setelah mengetahui saya digantung saya sendiri pergi ke Ibupejabat Parti bagi meminta surat penggantungan dan saya terpaksa menunggu lama di Ibupejabat menanti surat itu disediakan, ini bermakna saya diumum digantung tanpa ada surat pergantungan pun tetapi diumum secara besar - besaran tetapi bila ditarik pergantungan kenapa secara senyap ?
4. Saya juga memohon untuk mengetahui adakah saya bersalah atau tidak atas tuduhan yang dikenakan ke atas saya di mana saya hadir membela diri serta mengikut semua prosedur yang ditetapkan. Jika saya tidak bersalah adakah adil saya dikenakan penggantungan (hukuman) tanpa saya bersalah atau dikenakan hukuman dahulu tanpa saya dipanggil membela diri.
5. Untuk pengetahuan Dato' Pengerusi Lembaga Disiplin, surat tuduhan dan proses tuduhan yang dikenakan ke atas saya sehingga saya hadir membela diri ternyata berbeza alasan tuduhan nya dengan surat penarikan penggantungan yang saya perolehi ? Saya faham Dato' merupakan Pengerusi Lembaga Disiplin yang baru malah tidak terlibat dalam proses lepas tetapi adakah Pengerusi lepas tidak membuat sistem file untuk diwariskan atau file - file disiplin lama dihilangkan demi melindungi sesuatu ?
6. Di sini saya juga bangkitkan perihal aduan - aduan yang saya bangkitkan malah ketika pemilihan saya membuat berpuluh aduan berbayar . Apakah status aduan saya dan jika disiasat apa keputusannya dan adakah saya boleh mendapatkan semula yuran yang saya buat tempoh hari ?
7. Saya mohon maaf Dato' Pengerusi Lembaga Disiplin kerana menulis kenyataan terbuka ini. Ini kerana untuk membela diri saya kerana selepas aduan dan saya dikenakan tindakan disiplin seolah semua disapu ke bawah karpet. Keadilan ialah asas perjuangan parti yang kita bina bersama, berilah keadilan untuk anggota sendiri dahulu sebelum melaungkan keadilan di luar sana.
8. Apa pun saya menyambut baik penarikan penggantungan saya dan saya akan gunakan ruang ini untuk terus memperjuangkan negara perubahan yang sama kita citakan.
TANGGUNGJAWAB ANGGOTA POLIS DAN KESELAMATAN MELINDUNGI PERHIMPUNAN BERSIH4
Saya kecewa dengan kenyataan-kenyataan Datuk NurJazlan Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baru yang seolah-olah mahu menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyertai Perhimpunan BERSIH4. Kenyataan beliau yang dipetik media turut menyebut tentang kewujudan anasir yang kononnya ingin menimbulkan huru-hara.
Hari ini juga, saya terkejut dengan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menyekat laman-laman yang mempromosikan BERSIH4.
Ini ditambah pula dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zulkifeli Mohd Zin yang menyebut bagaimana pihak tentera akan mengambil alih sekiranya kerajaan mengumumkan darurat.
Tindakan dan kenyataan-kenyataan ini adalah keterlaluan dan tidak membantu memastikan satu perhimpunan rakyat yang aman sedangkan BERSIH4 adalah satu perhimpunan yang menepati hak rakyat seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, keputusan-keputusan mahkamah dengan jelas menegaskan berkali-kali bahawa Perhimpunan BERSIH adalah sah di sisi undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, saya menyeru supaya pihak berkuasa baik Kementerian Dalam Negeri, SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya bertenang dan tidak membuat kenyataan atau tindakan yang boleh mengganggu kelancaran Perhimpunan BERSIH4. Pengalaman sebelum ini dari perhimpunan BERSIH yang pertama hingga BERSIH3 menunjukkan bahawa ratusan ribu rakyat akan tetap turun ke jalan raya di sekitar Kuala Lumpur untuk melahirkan pandangan mereka selaras dengan hak mereka di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak kira apa tindakan atau sekatan yang diambil oleh pihak berkuasa.
Oleh yang demikian, demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan peserta Perhimpunan BERSIH4 yang turun mengikut peruntukan undang-undang, adalah lebih baik sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah membantu kelancaran perhimpunan ini. Kenyataan atau tindakan yang cuba menyekat rakyat dari turun tidak akan berkesan dan hanya menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan dalam keadaan rakyat sudah matang mengenai hak mereka berhimpun secara aman.
Saya juga ingin mengingatkan setiap anggota polis dan keselamatan yang bertugas sepanjang Perhimpunan BERSIH4 ini bahawa kami berhimpun demi memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka juga:
1. Supaya anggota polis/keselamatan dan anak-anak mereka tidak perlu dibebankan dengan cukai GST dan tekanan ekonomi yang mendesak kehidupan mereka
2. Supaya anggota polis/keselamatan dan anak-anak mereka dapat hidup dalam sebuah negara yang menghormati undang-undang
3. Supaya anggota polis/keselamatan dan anak-anak mereka berkerajaankan pimpinan yang tidak makan rasuah dan menyeleweng wang rakyat
Saya yakin sahabat-sahabat dari kalangan anggota polis dan keselamatan akan bertindak profesional sepanjang Perhimpunan BERSIH4 untuk melindungi keselamatan dan hak peserta seperti amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
RAFIZI RAMLI NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG AHLI PARLIMEN PANDAN
Artikel : Siapa yang membangsatkan Melayu ? - Jawapan Kepada Najib Razak.
Semalam Rakyat Malaysia terus dikejutkan dengan kenyataan jujur YAB Perdana Menteri Najib Razak.
Siri-siri kegagalan retorika Perdana Menteri diteruskan dengan jayanya oleh beliau, kali ini dengan kenyataan orang Melayu akan terbangsat sekiranya Umno kehilangan kuasa. Kenyataan ini dikeluarkan oleh beliau sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong Umno di dua bahagian di Negeri Perlis semalam.
Saya melihat kenyataan ini merupakan satu lagi kegagalan perhubungan awam Najib, yang semakin hari semakin merendahkan kredibiliti beliau.
Umno telah tewas di Kelantan usai tahun 1990. Umno juga tewas di Selangor pada tahun 2008. Kedua-duanya negeri majoriti Melayu, dan kedua-duanya masih ditadbir oleh Menteri Besar Melayu secara muafakat PAS, KEADILAN dan DAP. Ironinya di kedua negeri ini orang Melayu makin terangkat wibawa dan upaya mereka melalui penggemblengan ekonomi dan sosial. Tidak hatta seincipun kebangsatan membelenggu orang Melayu di bawah muafakat KEADILAN, PAS dan DAP.
Hakikatnya yang sedang berlaku ialah Umno yang membangsatkan orang Melayu. Di bawah kepimpinan Najib Razak, pembangsatan itu semakin ketara dari hari ke hari. Malah pembangsatan ini bukan sekadar membelenggu orang Melayu, tapi rakyat Malaysia keseluruhannya!
Hakikatnya, menjangkau usia 60 tahun Malaysia dipimpin Umno-Barisan Nasional, enam Perdana Menteri menerajui tampuk pemerintahan yang merangkumi 2 Rancangan Malaya, 11 Rancangan Malaysia, 5 Rangka Rancangan Jangka Panjang, dan 57 belanjawan atau bajet, masih wujud persoalan besar: ke mana hala tuju Melayu hendak di bawa oleh Umno?
Jika ada kegagalan dan kelemahan terhadap kedudukan dan agenda Melayu serta bumiputera hari ini setelah 60 tahun maka Umno dan pemimpinnya yang perlu dipersalahkan. Mereka hakikatnya bertanggungjawab atas setiap kelompongan yang ada.
Umno hari ini sudah dipimpin oleh golongan "princelings" bukan lagi golongan "pioneers". Golongan ini merasakan kepimpinan sebagai suatu hak warisan atau "entitlement" bukannya amanah.
Budaya feudalistik, taqlid buta, anti ilmu, anti intektual, ampu, kesetiaan buta tuli dan parasit telah menjalar ke dalam urat saraf Umno.
Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila pemimpin ulung Umno yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdul Ghafar Baba di hujung hayatnya pernah mengatakan bahawa Umno tidak ubah seperti gajah berkaki plastik, besar secara fizikal tetapi berpotensi rebah pada bila-bila masa.
Pembangsatan Najib ke atas umat Melayu Malaysia ini bukan sesuatu yang boleh diraikan, malah tidak juga menimbulkan ketakutan. Maka ini sewajarnya menjadi satu asas yang jelas mengapa Bersih 4 pada hujung minggu ini harus menjadi satu platform bagi umat Melayu menunjukkan protes kepada Najib Razak dan Umno.
Hanya suara rakyat yang mampu menghentikan pembangsatan Najib dan Umno ke atas umat Melayu dan rakyat Malaysia. Usah risau, yang terbangsat kelak dengan kejatuhan Umno hanyalah Najib dan juak-juaknya.
24 Ogos 2015
Shamsul Iskandar Mohd Akin Naib Presiden KEADILAN Ahli Parlimen Bukit Katil
Seruan kepada Ahli-Ahli Parlimen dari semua parti untuk bersatu dalam undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri untuk menyelamatkan Malaysia.
Kenyataan Media Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN bertarikh 23.8.2015
Kami, sebagai ahli-ahli Parlimen, adalah amat risau dengan tindakan-tindakan yang diambil kebelakangan ini untuk melemahkan demokrasi, kedaulatan undang-undang dan urus tadbir baik kerajaan (good governance) di negara kita, khususnya, cara bagaimana institusi-insitusi awam kita telah diserang dan diperalatkan untuk melindungi Perdana Menteri dari disiasat mengenai penglibatan beliau dalam skandal kewangan 1MDB, termasuk RM2.6bil yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri.
Tindakan-tindakan di atas dan ketiadaan langsung ketelusan dan akauntabiliti dari pihak Perdana Menteri untuk menjelaskan sepenuhnya skandal kewangan 1MDB telah menggoyahkan keyakinan pelabur, memberi kesan negatif kepada Ringgit dan ekonomi secara keseluruhan, dan ini telah menyebabkan kesusahan kewangan kepada rakyat Malaysia.
Kami yakin bahawa jika penumpuan kuasa di tangan satu individu terus dibiarkan dan tidak dengan cepatnya dikembalikan kepada rakyat, Malaysia akan segera menuju ke arah menjadi satu negara diktator yang gagal.
Sebagai Ahli Parlimen, kita berkewajipan untuk mewakili kehendak dan suara rakyat, dalam menyokong penyingkiran Dato Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dalam undi tidak percaya demi negara kita, untuk memulihkan demokrasi dan integriti moral dan kebebasan institusi awam kita.
Kami akan bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti mereka untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri atas empat syarat luas berikut:
1. Untuk segera membentuk kerajaan peralihan berdasarkan perkongsian kuasa antara pembangkang dan Barisan Nasional;
2. Kerajaan peralihan akan memulakan pembaharuan segera bagi memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, media yang bebas, memperkukuh sistem demokrasi berparlimen, serta membentuk satu jawatankuasa ekonomi kecemasan untuk menangani kebimbangan Ringgit yang semakin lemah, GST, peningkatan kos hidup dan membasmi kroni kapitalisme;
3. Kerajaan peralihan hendaklah juga dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bebas untuk membuat cadangan bagi memastikan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 harus dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.
4. Kerajaan peralihan akan memanggil pilihan raya umum dalam dua tahun selepas pembentukan kerajaan peralihan untuk menamatkan kerajaan peralihan tersebut.
Tandatangan:
1. YB Nurul Izzah (Lembah Pantai), 2. YB Rafizi Ramli (Pandan), 3. YB Tian Chua (Batu) 4. YB Sivarasa Rasiah (Subang), 5. YB Zuraida Kamaruddin (Ampang), 6. YB Lee Boon Chye (Gopeng), 7. YB Datuk Johari Abdul (Sungai Petani), 8. YB Darell Leiking (Penampang), 9. YB Fuziah Salleh (Kuantan), 10. YB Sim Tze Tzin (Bayan Baru), 11. YB Dato Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), 12. YB Mohd Imran Bin Abdul Hamid (Lumut), 13. YB Wong Chen (Kelana Jaya), 14. YB William Leong (Selayang) 15. YB Dato Fauzi Abdul Rahman (Indera Mahkota) 16. YB Dr Michael Teo Yu Keng (Miri) 17. YB Dr Azman Ismail (Kuala Kedah) 18. YB Manivanan Gowin (Kapar), 19. YB Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), 20. YB Gooi Hsiao Leung (Alor Setar).
--
Call on MPs from all divide to unite in a vote of no-confidence against Prime Minister to save Malaysia.
Press Statement by KEADILAN MPs dated 23.8.2015
We, as Members of Parliament, are extremely alarmed by recent actions taken to undermine democracy, the rule of law and good governance in our country, in particular, the manner in which our public institutions have been subverted and used to shield the Prime Minister from being investigated concerning his involvement in the 1MDB financial scandal, including the alleged RM2.6bil which was deposited into the Prime Minister’s personal bank accounts.
The above actions and the total lack of transparency and accountability on the part of the Prime Minister to fully explain the 1MDB financial scandal has shaken investors’ confidence, negatively impacted the Ringgit and the overall economy, causing financial hardship to the people of Malaysia.
We are convinced that if the concentration of power in the hands of one individual continues unchecked and not quickly reversed, Malaysia will be pushed towards becoming a dictatorship and a failed state.
As Members of Parliament, we are duty bound to represent the will and voice of the people, in supporting the removal of Dato Seri Najib Razak as Prime Minister in a vote of no-confidence for the sake of our nation, in order to restore democracy and the moral integrity and independence of our public institutions.
We will work with all Members of Parliament irrespective of their party to support a no-confidence vote against the Prime Minister upon the following four broad terms:
1. To immediately form a transition government based on power sharing between the Opposition and the Barisan Nasional;
2. The transition government shall initiate immediate reforms to ensure free and fair elections, free media, strengthen our system of parliamentary democracy, as well as forming an emergency economic committee to address concerns on the weakening Ringgit, GST, increasing living costs and eradicating crony capitalism;
3. The transition government shall immediately establish an independent royal commission to make recommendations to ensure that the Malaysia Agreement 1963 shall be honored and be implemented to its fullest effect;
4. The transition government shall call for a general election to be held within two years after its formation to retire the transition government.
Signatories:
1. YB Nurul Izzah (Lembah Pantai), 2. YB Rafizi Ramli (Pandan), 3. YB Tian Chua (Batu) 4. YB Sivarasa Rasiah (Subang), 5. YB Zuraida Kamaruddin (Ampang), 6. YB Lee Boon Chye (Gopeng), 7. YB Datuk Johari Abdul (Sungai Petani), 8. YB Darell Leiking (Penampang), 9. YB Fuziah Salleh (Kuantan), 10. YB Sim Tze Tzin (Bayan Baru), 11. YB Dato Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), 12. YB Mohd Imran Bin Abdul Hamid (Lumut), 13. YB Wong Chen (Kelana Jaya), 14. YB William Leong (Selayang) 15. YB Dato Fauzi Abdul Rahman (Indera Mahkota) 16. YB Dr Michael Teo Yu Keng (Miri) 17. YB Dr Azman Ismail (Kuala Kedah) 18. YB Manivanan Gowin (Kapar), 19. YB Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), 20. YB Gooi Hsiao Leung (Alor Setar).
KEADILAN SASAR 20,000 ANGGOTA MENYERTAI BERSIH4, KEMPEN PROMO DI MINGGU TERAKHIR
BERSIH4 akan mencipta sejarah sebagai suatu perhimpunan rakyat yang terbesar di saat-saat negara melalui krisis politik dan ekonomi yang meruncing akibat hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
KEADILAN akan memberi sepenuh sokongan dan bantuan untuk menjayakan perhimpunan bersejarah ini. KEADILAN mensasarkan 20,000 anggotanya dari seluruh negara untuk turun bersama-sama menyertai BERSIH4. Saya telah mengeluarkan pekeliling kepada seluruh cabang-cabang KEADILAN dan pimpinan di setiap peringkat untuk menggerakkan kerahan bagi mencapai sasaran ini. Pada hari Ahad 23 Ogos 2015, YB Nurul Izzah Anwar dan YB Tian Chua iaitu Naib-naib Presiden akan mengadakan taklimat kerahan kepada semua pimpinan dan wakil rakyat KEADILAN dari seluruh negara untuk menjayakan sasaran 20,000 anggota KEADILAN hadir ke BERSIH4.
KEADILAN juga telah dijemput untuk menjadi sebahagian dari petugas keselamatan untuk memastikan BERSIH4 berjalan dengan baik dan lancar. Skuad Angkatan Muda KEADILAN (Skuad AMK) telah bersetuju untuk melatih dan mempersiapkan 700 sukarelawan sebagai petugas keselamatan di bawah kendalian YB Chang Lih Kang, Setiausaha AMK. Latihan bersama dengan sukarelawan BERSIH yang lain telah bermula sejak 2 minggu lalu.
Kesemua pimpinan kanan KEADILAN akan hadir sepanjang penganjuran BERSIH4 dan akan ditugaskan mengikut syif berada di 5 lokasi perhimpunan. Mereka juga akan dijadualkan berucap pada masa-masa tertentu disamping tanggungjawab umum membantu pimpinan BERSIH4 menangani perjalanan perhimpunan. Jadual pimpinan kanan yang ditugaskan di setiap lokasi akan diumumkan minggu depan menjelang BERSIH4.
KEADILAN juga akan memperhebatkan promosi di media sosial dalam minggu terakhir ini. Satu siri 3 video promosi akan dilancarkan setiap 3 hari bermula hari ini untuk mengajak lebih ramai rakyat yang prihatin turun menyertai BERSIH4.
Video pertama dilancarkan pada hari ini di laman Youtube Demi Rakyat yang boleh ditonton di capaian berikut:
KEADILAN juga telah mengarahkan anggota dan pimpinan untuk mengatur promosi-promosi berikut bagi mengajak orang ramai menyertai BERSIH4:
1. Menukar gambar profail dan grafik kepala (“header”) di laman sosial menggunakan grafik BERSIH4 bermotifkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (yang disertakan bersama)
2. Mengadakan “flash-mob” di seluruh negara untuk menarik minat anak muda menyertai BERSIH4
3. Mengadakan ceramah berbentuk “hit and run” (ceramah pendek menggunakan trak dari satu tempat ke satu tempat)
4. Ceramah dan edaran risalah yang akan diadakan di seluruh negara
KEADILAN yakin penyertaan seberapa ramai rakyat yang menjayakan BERSIH4 akan mencatat sejarah dan detik 0000 31 Ogos 2015 akan diingati sebagai detik rakyat membersihkan amalan politik di negara ini.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
AHLI PARLIMEN BARISAN NASIONAL BOLEH SELAMATKAN MALAYSIA
Rakyat Malaysia tidak pernah berada dalam keadaan kemurungan dan kehampaan seperti yang dialami sekarang sepanjang ingatan saya sejak hampir 30 tahun lalu. Sebelum ini, krisis-krisis politik tidak membawa kesan terus kepada ekonomi rakyat dan mereka terpisah dari percakaran orang atasan yang berebut kuasa.
Keadaan berbeza kali ini. Matawang yang merudum membawa kesan mendadak kepada harga barang, harga minyak, daya saing ekonomi Malaysia dan sentimen pelaburan antarabangsa yang terus meminggirkan Malaysia. Rakyat resah dengan pelbagai skandal kewangan yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, tetapi mereka berasa tidak ada apa-apa upaya untuk membuat perubahan kerana mereka tahu institusi-institusi utama juga dipengaruhi Perdana Menteri.
Rakyat semakin hilang keyakinan dan kepercayaan kepada ahli politik yang mereka lihat tidak mampu menolak ke tepi perbezaan politik demi menyelamatkan Malaysia. Lebih-lebih lagi ahli politik di pihak Umno dan Barisan Nasional yang nampaknya begitu mudah terpedaya dengan jawatan dan pangkat.
Saya yakin Ahli-ahli Parlimen baik dari parti-parti pembangkang atau Barisan Nasional faham sentimen ini. Sebab itu saya masih menaruh harapan bahawa akan ada 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih mempunyai kesedaran dan kecintaan kepada rakyat untuk berani tampil ke hadapan menyokong satu undi tidak percaya untuk menukar Perdana Menteri.
Saya faham mereka akan berdepan dengan ugutan atau tawaran pangkat dan wang. Namun, saya juga percaya mereka juga turut gelisah dengan perkembangan yang berlaku dan mereka masih ada kesedaran untuk membezakan yang benar dari yang tidak benar.
Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen, saya dengan terbuka menyatakan sokongan saya kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berjaya mendapatkan 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk membuat undi tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan syarat-syarat berikut:
1. Satu kerajaan peralihan (“transitional government”) ditubuhkan dengan mandat selama 2 hingga 3 tahun untuk memulihkan demokrasi dan institusi utama negara
2. Reformasi terhadap sistem dan amalan pilihanraya agar Pilihanraya Umum 14 (PRU14) dapat diadakan secara bebas, adil dan telus
3. Satu agenda reformasi yang jelas mengenai ekonomi rakyat (termasuk memansuhkan GST), keluhuran undang-undang, kebebasan media dan perkara-perkara lain dipersetujui secara bersama
Saya merayu Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional supaya meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan menyedari kuasa yang ada pada mereka. 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional ini boleh melakar sejarah sebagai pimpinan yang menyelamatkan Malaysia dari ambang kerosakan yang sedang berlaku.
Saya juga menyeru Ahli-ahli Parlimen yang lain yang bersetuju dengan undi tidak percaya bagi tujuan penubuhan sebuah kerajaan peralihan seperti di atas untuk turut sama menyatakan sokongan terbuka supaya rakyat tahu bahawa Ahli-ahli Parlimen tidak terpisah dari sentimen rakyat.
Siapakah 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang berani tampil untuk menyelamatkan Malaysia?
RAFIZI RAMLINAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG AHLI PARLIMEN PANDAN 21 OGOS 2015
KENYATAAN MEDIA : ANGKATAN MUDA KEADILAN MENYOKONG BERSIH 4
Angkatan Muda Keadilan menyatakan sokongan penuh kepada Himpunan Bersih 4, yang bakal berlangsung di tiga bandar utama, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos ini. Himpunan ini adalah bagi mendesak peletakan jawatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga menuntut satu kerajaan yang bersih dan telus - di saat beliau dan kerajaan yang dipimpinnya berhadapan dengan krisis kepimpinan dan integriti yang paling teruk dalam sejarah negara ini.
Bersih 4 adalah satu amalan demokrasi yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Hak untuk berhimpun dengan aman bagi menyatakan pendirian adalah amalan yang biasa dan sejarah siri himpunan yang lalu membuktikan bahawa bilamana aparatus kerajaan seperti Polis Di Raja Malaysia memberikan kerjasama penuh kepada penganjur, himpunan dapat dijalankan secara aman dan terkawal.
Bagi menzahirkan sokongan Angkatan Muda Keadilan kepada Bersih 4, beberapa acara telah diatur menjelang himpunan Bersih 4;
1 - Ceramah Selamatkan Malaysia : BERSIH 4
21 Ogos, Jumaaat - Tumpat, Kelantan
22 Ogos, Sabtu - Seberang Jaya, Pulau Pinang
23 Ogos, Ahad - Bagan Datok, Perak
25 Ogos, Selasa - Kuala Perlis, Perlis
27 Ogos, Rabu - Sungai Petani, Kedah
27 Ogos, Rabu - Ampang, Selangor
2 - Jelajah Bersih : Konvoi Bermotor
23 Ogos, Ahad bermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam
3 - Siri DIalog Anak Muda : Selamatkan Malaysia
Angkatan Muda Keadilan juga mengerakkan mobilisasi anggota kami dari seluruh negara untuk menyertai Himpunan Bersih 4, di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. Angkatan Muda Keadilan juga menyeru semua anak muda di negara ini, untuk turut sama menyertai Bersih 4 bagi menzahirkan penentangan kita terhadap segala bentuk kepincangan, kezaliman dan kebobrokan kerajaan Barisan Nasional. Bersama selamatkan Malaysia demi masa depan kita.
Dr AFIF BAHARDINTimbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN
20 Ogos 2015