Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Isu Bai'ah: Ahli Diminta Bersabar, Rujuk Ulamak Muktabar - Mat Sabu



KENYATAAN MEDIA

ISU BAI'AH: AHLI DIMINTA BERSABAR, RUJUK ULAMAK MUKTABAR

www.harapanbaru.com


Saya selaku Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) meminta semua ahli, khususnya mereka yang berasal daripada PAS dan kini menyertai parti Amanah, supaya mempunyai kesabaran paling tinggi terutama dalam menghadapi isu bai'ah ini.

Dalam menghadapi isu ini, saya menasihatkan ahli supaya berpeganglah kepada pandangan mana-mana ulamak atau mazhab atau perbezaan pandangan selagi ia ada kelonggaran.

Janganlah kita berpegang kepada satu-satu pandangan sahaja. Rujuklah kepada pandangan ulamak muktabar di Malaysia dan juga dari luar negara.

Bagi saya, pandangan Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin dan juga pandangan daripada Mufti Perlis dan Pulau Pinang harus diambil kira dalam hal bai'ah ini termasuk isu menceraikan isteri.

Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini, agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah, dan pada masa yang sama, berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara pandangan-pandangan ulamak yang boleh diterima pakai.

Sesungguhnya, ini adalah sebahagian ujian kecil yang sedang kita lalui bersama, dan banyak lagi ujian besar yang kita akan hadapi.

Paling penting adalah, untuk kita melepasi ujian-ujian ini dan pada masa sama mencapai keredhaan Allah sebagai matlamat tertinggi kita.

HJ MOHAMAD BIN SABUPengerusi
Parti Amanah Negara3 September 2015

Kaitkan BERSIH 4 dengan Perkauman Bukti UMNO Berniat Jahat - Salahuddin Ayub



KAITKAN BERSIH 4 DENGAN PERKAUMAN BUKTI UMNO BERNIAT JAHAT

Saya terpanggil untuk memberi reaksi kepada kenyataan pemimpin Umno yang cuba mengaitkan himpunan Bersih 4 pada 29 hingga 30 Ogos lalu, dengan isu perkauman.

Saya dengan tegas menjelaskan bahawa tidak timbul langsung isu perkauman dalam Bersih 4 seperti yang cuba diapi-apikan oleh pemimpin Umno itu.


Saya sendiri tidak akan mengikuti himpunan bermula Bersih 1 hingga Bersih 4, jika dengan jelas atau berselindung ia bertujuan mahu menjatuhkan kerajaan dengan kekerasan, menghapuskan kuasa aja-raja Melayu atau mempertikai hak dalam Perlembagaan.

Tetapi, semua rakyat termasuk saya sendiri, turun menyertai Bersih atas kesedaran yang tinggi dan sebab yang jelas, iaitu menuntut pilihan raya yang adil dan ketidakadilan dalam urus tadbir kerajaan seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Ingin saya tegaskan bahawa, rakyat yang turun ke himpunan Bersih tidak boleh dikaitkan dengan isu perkauman kerana yang turun itu terdiri daripada pelbagai kaum.

Adalah tidak benar sama sekali untuk mendakwa Bersih 4 cuba mencetuskan isu perkauman dengan melatarbelakangkannya dengan tragedi 13 Mei.

Bagi saya, tuduhan yang dibuat oleh pemimpin ini sangat jahat dan rasis.

Jika kita masih ingat, ketika himpunan Besih 1, ramai orang Melayu menyertainya, namun pemimpin Umno yang sama jugalah ketika itu menuduh bahawa Melayu yang turun ke himpunan itu adalah barua kepada orang Cina, kononnya Cina sibuk berniaga, orang Melayu pula hendak menjatuhkan negara.

Oleh yang demikian, saya daripada Parti Amanah Negara (Amanah) ingin menjelaskan sikap kita bahawa penyertaan dalam himpunan Bersih 4 adalah untuk bersama tuntutan rakyat dan tidak timbul langsung isu perkauman seperti yang cuba dimainkan.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Pengerusi
Parti Amanah Negara (Amanah)
2 September 2015

Apa kata tabligh tentang Bersih 4? – Mohd Azhar



ABIM, PKPIM, IKRAM, PAS, merupakan antara Jemaah dan Persatuan Islam di Malaysia yang mempunyai tempat dan pengikut tersendiri dan mempunyai pendirian masing-masing dalam membawa perjuangan serta matlamat Islam mereka.

Terbaru kumpulan GHB yang dilaporkan bakal membentuk sebuah parti politik Islam turut akan tersenarai sebagai sebuah pertubuhan membawa imej Islam dalam perjuangan mereka. Namun kita sering tertinggal untuk melihat pandangan dari sebuah kumpulan yang tidak kurang besarnya di Malaysia iaitu Tabligh, sebuah persatuan besar yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Kesemua pertubuhan yang disebutkan tadi mempunyai pendirian yang hampir sama menyokong demonstrasi aman Bersih 4 berdasarkan kepada tuntutan yang digariskan dalam perhimpunan tersebut kecuali PAS yang dilihat berhati-hati dan seakan-akan menolak secara halus perhimpunan tersebut atas alasan yang tidak begitu kukuh pada pandangan umum. Apapun mereka dikatakan akan menghantar wakil tetapi tidak mengerah ahlinya untuk sertai.


Saya sempat bertemu seorang rakan yang mengikut jemaah tabligh untuk berbual dan bertanyakan pandangan beliau tentang isu-isu semasa. Ramai di kalangan masyarakat di Malaysia mempunyai tanggapan pengikut-pengikut Tabligh ini tidak boleh bercakap dan menyentuh isu politik kerana mahu menjaga matlamat serta didikan asas mereka iaitu menjaga amal. Namun saya percaya politik dan siasah ini adalah fitrah dan ada dalam jiwa setiap manusia Cuma cara dan jalan mereka menginterpretasikannya sahaja berbeza.



Menyentuh isu kejatuhan ringgit dan penyelewengan besar dalam 1MDB dan derma 2.6 bilion, nada sahabat saya ini tidak banyak beza dengan sebahagian besar rakan-rakan anak muda saya yang lain. Beliau berkata semua ini adalah akibat daripada kepimpinan yang tidak mengikut cara nabi, kesan pendidikan yang berkiblatkan keduniaan dan bermacam-macam lagi hujah islamik yang dilontarkan. Saya mendengar dengan penuh minat kerana diselit-selitkan juga pesanan-pesanan makruf yang ikhlas. Cuma di hujung ulasannya itu beliau berkata semua ini adalah perancangan daripada pihak luar dan US untuk melemahkan dan memburukkan imej Malaysia.

“Semua ini mereka yang buat. Siapa yang kawal semua ini?.Amerika lah kan?So mereka memang mempunyai agenda untuk rancang semua ini?”, katanya bersungguh.

Saya hanya mendiamkan diri tanpa membalas kerana tujuan saya hanya untuk melihat sisi pandang beliau terhadap isu-isu semasa bukan berdiskusi mencari kebenaran. Namun di dalam hati saya berbisik, patutlah Tabligh tidak boleh bercakap soal politik kerana hujahnya akan tersasar dan kurang meyakinkan apabila menyentuh soal pentadbiran dan urus tadbir. Mungkin maksud tidak boleh itu bukan bermakna tidak dibenarkan tetapi tidak berupaya.

Perbualan kami diteruskan dengan menyentuh isu perhimpunan Bersih 4. Persoalan berupa andaian saya lontarkan kepadanya dengan nada kebimbangan. “Bagaimana agaknya perhimpunan Bersih 4 ni ya?Mesti kecoh” telahan saya sambil memandang ke atas seolah-olah membayangkan sesuatu.

Lantas beliau menjawab “Ha, Bersih 4? Bila tu?”. Saya terdiam seketika kerana tidak menyangka masih ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui perkembangan ini dalam suasana seluruh Malaysia memperkatakannya.

“Ya, sabtu dan ahad ni, 2 hari, macam ramai je yang akan turun”jawab saya ringkas. Mukanya berubah sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Kenapa?”, tanya saya kepadanya.

Beliau lantas bersuara mengatakan semua tindakan ini tidak betul. Jauh tersasar daripada apa yang sepatutnya dibuat. Tindakan seperti ini, berhimpun beramai-ramai, tidak mengikut apa yang nabi ajar. Nabi menganjurkan setiap permasalahan perlu diselesaikan di masjid. Bukan dengan cara menunjuk perasaan turun di jalan raya. Nabi kita tidak mengajar cara begini untuk menyelesaikan masalah. Berhimpun di jalan raya tidak akan menyelesaikan masalah dan akan hanya membawa kerosakan. Malah semua tindakan ini tidak disukai Allah. Kalau dilihat masa mereka berhimpun ini akan melewati waktu Zohor dan mungkin sampai ke Asar. Ini akan mendorong peserta yang hadir dalam perhimpunan itu meninggalkan solat dan sekiranya ada di kalangan mereka yang mati ketika itu, bagaimana mati mereka ini? Berbagai-bagai lagi hujah negatif yang diberikan.

Saya mangangguk-anggukkan kepala tanda faham persepsi beliau dengan perhimpunan ini. Sekali lagi saya tidak membalas kerana saya berbual sekadar untuk melihat pandangan beliau. Seusai beliau melontarkan hujah dan pandangannya, saya meminta izin beredar kerana bimbang beliau mengeluarkan hujah “Kau tengok PAS, PAS pun dah sedar, PAS pun tak sertai, kan betul apa aku cakap”.




PKR: Ringgit yang Lemah tidak Membawa Kebaikan kepada Rakyat



KENYATAAN MEDIA: Ringgit yang Lemah tidak Membawa Kebaikan kepada Rakyat

KEADILAN ingin menzahirkan kebimbangan mengenai penyusutan nilai ringgit berterusan ke tahap terendah dalam sejarah yang akan memberikan dampak negatif kepada ekonomi negara.


Kami berterima kasih atas tindakan pihak kerajaan yang telah mengambilkira cadangan kami untuk membentuk suatu jawatankuasa khas ekonomi. Saranan ini telah kami suarakan semenjak Januari 2015 ketika harga minyak mentah dunia jatuh merudum. Bagaimanapun, kami kurang percaya akan keberkesanan jawatankuasa tersebut kerana (a) ketiadaan Gabenor Bank Negara Zeti ataupun sebarang wakil daripada Bank Negara; dan (b) jawatankuasa ini akan hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri, seorang pemimpin yang tiada tekad politik untuk melaksanakan reformasi ekonomi. KEADILAN menggesa jawatankuasa ini untuk turut tampil melaporkan kepada Parlimen secara mingguan akan sebarang penemuan dan cadangan.

KEADILAN juga ingin menegaskan bahawa krisis matawang ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada ekonomi negara. Beberapa pimpinan kerajaan telah mengatakan bahawa nilai ringgit yang rendah ini adalah baik untuk eksport dan industri pelancongan negara. Bagaimanapun, analisa kami berdasarkan angka-angka kerajaan sendiri telah menunjukkan kesimpulan yang amat bebeza.

Nilaian eksport negara tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang bermakna walaupun dengan penyusutan nilai ringgit. Untuk tempoh separuh pertama 2015, jumlah eksport negara hanyalah RM 368 billion, iaitu RM 12 billion lebih rendah daripada tempoh yang sama 2014 (RM 380 billion). Ini berlaku walaupun ringgit bernilai 11% lebih rendah pada separuh pertama 2015 berbanding separuh pertama 2014. Penemuan ini amat membimbangkan kerana bertentangan dengan tahun sebelumnya. Ringgit yang 6% lebih rendah pada separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013 telah menghasilkan pertambahan nilai eksport RM 42 billion untuk separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013.

Jumlah pelancong asing juga tidak memuaskan. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 adalah 609 ribu orang lebih rendah daripada suku pertama 2014 walaupun ringgit 10% lebih rendah pada suku pertama 2015 berbanding suku pertama 2014. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 seramai 6.48 juta juga adalah hampir sama dengan suku pertama 2013 seramai 6.45 juta walaupun ringgit 17% lebih rendah berbanding suku pertama 2013.

Dengan harga minyak mentah dunia yang dijangkan susut dalam masa terdekat akibat pertambahan pengeluaran daripada OPEC dan Amerika Syarikat (Shale), penguncupan ekonomi China dan penghapusan sekatan ekonomi kepada Iran, pendapatan negara bakal terkesan. Jadi kita akan menghadapi satu keadaan di mana hasil petroleum akan berkurangan dan nilai ringgit yang rendah pula tidak dapat menjamin pengembangan yang lebih berkesan dalam industri pelancongan dan pertambahan eksport.

Kebimbangan terbesar kita akibat penyusutan nilai ringgit adalah pertambahan kadar inflasi akibat import yang bertambah mahal. Ini akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup untuk rakyat yang masih lagi menanggung beban GST. Kami ingin mencadangkan kepada jawatankuasa khas ekonomi agar tidak menaikkan kadar faedah sewenang-wenangnya sebagai langkah mudah untuk menangani inflasi yang bakal berlaku kerana ianya akan mengekang pengembangan akitiviti ekonomi domestik.

Sebaliknya kami ingin mencadangkan langkah yang lebih mudah, iaitu menurunkan kadar GST kepada 4% atau lebih rendah sebagai langkah sementara untuk membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan. KEADILAN komited dengan penghapusan GST sepenuhnya, tetapi dalam keadaan krisis ini, cadangan ini hanyalah sebagai suatu penyelesaian sementara yang praktikal.

KEADILAN menggesa Dato’ Sri Najib Razak untuk menerima cadangan ini dan memberikan tumpuan kepada ekonomi negara dan penderitaan rakyat dan bukannya memikirkan soal hayat politik beliau sahaja.

YB Wong Chen & Dr Fahmi Ngah
Biro Pelaburan & Perdagangan KEADILAN
28 Ogos 2015

-

PRESS STATEMENT: The Weakening Ringgit is not a Good Deal for the Rakyat

KEADILAN is extremely concerned that the Ringgit continues to free fall to record lows and that the same will have a wider negative impact to the economy.

We are pleased that the government has finally heeded our suggestion to form a special economic committee. We have been requesting the government to do this since January 2015, when the price of crude oil sustained deep falls. However, we are sceptical about the effectiveness of the committee on two points (a) the absence that Bank Governor Zeti or any other representative from Bank Negara; and (b) the committee will only report to the Prime Minister, a leader that has demonstrated time and time again, a lack of political will to reform the economy. KEADILAN urge the new committee to report instead to Parliament its weekly findings and recommendations.

KEADILAN also wishes to stress that the currency crisis will have a much deeper impact on the overall economy. Statements made by government officials seem to suggest that the weaker ringgit would be good for our exports and tourism. Our analyses using the government’s own figures have indicated otherwise.

Despite the weak Ringgit, our export numbers have not improved significantly. For the period 1H15 (this period was chosen as this is the most recent data available), total exports are only RM 368 billion, which is RM 12 billion lower than the same period last year (RM 380 billion). This is despite an 11% weaker ringgit (vs USD) in 1H15 compared with 1H14. This is a worrying trend, because a 6% weaker ringgit in 1H14 vs 1H13 had resulted in an export gain of RM 42 billion for 1H14 vs 1H13.

The tourist numbers are not impressive either. Total tourists for 1Q15 are 609,000 lower than 1Q14 despite ringgit being 10% weaker in 1Q15 vs 1Q14. The 1Q15 tourists total at 6.48 million is also almost similar to 1Q13 at 6.45 million despite ringgit in 1Q15 being 17% lower than 1Q13.

With international crude oil prices expected to be lower in the short term due to the rising production from OPEC and US shale, a weaker Chinese economy and also the recent lifting of sanctions from Iran, government revenue will be impacted negatively. So we now have a situation whereby our oil revenue will be lower, and a weaker ringgit that does not seem to be bringing in materially significant number of tourists or helping to improve our exports.

Our biggest worry from the Ringgit’s fall is rising inflation from more expensive imports. This will translate into higher cost of living for ordinary citizens already suffering from the GST. We also wish to caution the economic committee to be careful not to raise interest rates as an easy way to stabilize the impending inflation because it will diminish our much needed domestic economic activities.

Instead, we propose a simpler solution, to bring down GST to a more sane rate of 4% or lower as a temporary measure to hold back inflation and help out the business community. KEADILAN is committed to a complete revision of the GST but in light of the current crisis, we are suggesting this as a practical interim solution.

KEADILAN urges Dato' Sri Najib Razak to accept our proposal and to focus more on the economy and the rakyat’s suffering, instead of being preoccupied with his own political survival.

YB Wong Chen & Dr Fahmi Ngah
KEADILAN Investment and Trade Bureau
28th August 2015

Najib Guna Melayu dan UMNO untuk Selamatkan Diri - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

NAJIB GUNA MELAYU DAN UMNO UNTUK SELAMATKAN DIRI.

1.Kenyataan PM, Dato' Seri Najib kononnya Melayu akan terbangsat jika Umno hilang kuasa adalah tersangat dikesali.Kenyataan ini adalah suatu percubaan untuk memerangkap ahli ahli Umno agar mendiamkan diri dari menimbulkan dan mempertikaikan segala salah laku jenayah yang beliau dan rakan rakannya lakukan bagi mengelak hilangnya kepercayaan rakyat khususnya orang orang Melayu pada Umno.


2. Kenyataan Najib juga adalah bertujuan untuk menimbulkan ketakutan pada ahli umno dan orang Melayu akan akibat dari umno hilang kuasa.Kenyataan ini sebenarnya adalah usaha terdesak Najib bagi menyelamatkan dirinya dari menghadapi krisis kepercayaan dan undi tidak percaya terhadapnya.

3. Dengan berselindung disebalik kebangsatan Melayu bila Umno hilang kuasa, Najib mengharapkan pemimpin dan ahli Umno serta orang Melayu akan terus mempertahankan kedudukan beliau sebagai PM kerana bimbang Umno akan hilang kuasa.Kenyataan Najib sebenar satu percubaan menanamkam kebencian orang Melayu pada bangsa lain yang kononnya bila bangsa lain mendapat kuasa akan menindas orang Melayu.

4.Tetapi harapan Najib meleset apabila tampilnya pemimpin pemimpin Melayu dan pegawai kanan kerajaan mendedahkan salah guna kuasa kerajaan pimpinan Najib untuk merompak harta negara.Pendedahan ini menjadikan akar umbi orang Melayu makin meluat dan muak dengan Najib dan Umno.Perkembangan ini menyaksikan kesatuan orang Melayu dipelbagai peringkat bersama bangsa lain atas nama rakyat Malaysia sehati sejiwa mahukan perubahan politik negara dengan pemimpin yang beramanah dan sistem yang telus demi untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

5. Kepada Najib dan kuncu kuncunya hentikan lah berselindung disebalik nama Islam dan melayu untuk menyembunyikan jenayah politik dan ekonomi atas nama demokrasi.cukuplah penderitaan rakyat selama ini, turun lah secara terhormat demi Malaysia tercinta. Kepada Najib dan kuncunya saya tegaskan kamu semua ada masalah dan beban pada negara. Malaysia memerlukan pembaharuan.Malaysia baru tanpa anda semua dengan sistem yang lebih bebas, telus dan adil pasti akan memberikan kebaikan pada rakyat dan negara.

"SEHATI SEJIWA,SELAMATKAN MALAYSIA TERCINTA"

Dato' Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
28 Ogos 2015 / 13 Zulkaedah 1436H


Merdeka! Sokong BERSIH! - Anwar Ibrahim



MERDEKA! SOKONG BERSIH!

Gegaran Merdeka menandakan berakhirnya pemerintahan penjajahan curang kerana penindasan dan kezaliman. Merdeka juga mengusung gagasan besar dan keyakinan baru; menegak keadilan dan negara hukum serta memacu pertumbuhan dengan jaminan pengagihan saksama.

Walhasil, Merdeka 2015 dinodai keserakahan dan ketamakan; ekonomi meruncing dan kehidupan rakyat terus melarat. Terdapat ketimpangan luar biasa diantara cita-cita luhur kemerdekaan dan sekatan ke atas kebebasan rakyat. Institusi hukum tercemar dan kesenjangan pendapatan terus melebar.


Kita harus bertindak dan selamatkan Malaysia tercinta!

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

27 Ogos 2015

-

MERDEKA! Support BERSIH!

There is a tide in our affairs which, unless we seize it, will see our voyage for democracy and rule of law in shallows and in miseries. This is the rising tide of corruption and electoral fraud; financial malfesance; arrogance of power and transgression; and judicial impropriety!

It is therefore morally incumbent that Malaysians join hands in this effort and save Malaysia from the systemic crisis of governarability.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

27 Aug 2015

Perhimpunan Aman BERSIH 4.0 Penting Untuk Pertahakan Kuasa Moral Rakyat - Mat Sabu



PERHIMPUNAN AMAN BERSIH 4.0 PENTING UNTUK PERTAHAN KUASA MORAL RAKYAT.

1. Negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai skandal yang sangat menjolok mata, pembohongan melampau, pemerkosaan hak rakyat, dan salah urus kekayaan negara, seolah tiada lagi batasnya.

2. Pemimpin negara bertindak sesuka hati, para pegawai pelaksana undang-undang disingkir, suara yang menegur diugut dan ditekan, dan rakyat dibohongi saban hari.


3. Ekonomi negara pula sangat tenat. Nilai Ringgit merudum tiada kawalan. Harga rumah, barang keperluan harian, dan kos perniagaan meningkat di luar tahap kemampuan kebanyakan rakyat. Sedang harta negara diratah sesuka hati oleh para penguasa. Amanah hilang entah ke mana.

4. Kebejatan ini tidak mungkin berlaku di dalam negara yang punya KUASA MORAL yang tinggi. Tetapi, kuasa moral rakyat kelihatan cuba dihakis terus. Dhamir rakyat yang masih punya kuasa moral sangat terluka dengan keadaan ini. Mereka mesti bangkit menyatakan sikap dan pendirian.

5. Gerakan Harapan Baru menyeru semua pendokong dan penyokongnya, serta seluruh rakyat negara ini, agar turut serta dalam Perhimpunan Aman Bersih 4.0, yang akan berlangsung pada 29hb hingga 30hb Ogos ini, bermula jam 2.00 petang di ibu negara.

6. Himpunan ini sangat penting bagi mempertahankan kuasa moral rakyat sekaligus demi menyelamatkan Malaysia daripada segala kebejatan yang tidak berpenghujung ini.

Amanah. Progresif. Peduli.

Hj Mohammad Bin Sabu

Pengerusi
Gerakan Harapan Baru

27 Ogos 2015.

Recent Posts Widget

.

.