Malaysia Bukan Hanya Perlukan Harapan Baru - ZulHazmi

12:57 PM 0 Comments A+ a-



MALAYSIA BUKAN HANYA PERLUKAN HARAPAN BARU

PRU13 menyaksikan dan membuktikan bahawa majoriti pengundi Malaysia khususnya dan masyarakat Malaysia amnya sedar bahawa Umno/BN sudah tidak boleh dan tidak mampu menguruskan pentadbiran Malaysia. Majoriti pengundi memberikan undi kepada calon-calon bukan Umno/BN walau pun dari segi bilangan kerusi memihak kepada mereka yang menyebabkan mereka masih memerintah Malaysia.

Pakatan Rakyat sebelum dan semasa kempen PRU13 mempersembahkan suatu manifesto dan/atau akujanji yang cukup baik untuk mentadbir Malaysia dengan lebih cekap, lebih baik, lebih telus, lebih efisyen dan paling penting jauh lebih adil kepada semua rakyat Malaysia.

Manifesto Pakatan Rakyat antaranya mencadangkan penurunan harga kereta, penghapusan tol, penghapusan PTPTN, pendidikan percuma dan pentadbiran negara yang telus dan tidak korup.

Walau pun begitu, Pakatan Rakyat masih gagal memperolehi keyakinan pengundi untuk menjatuhkan Umno/BN. Akibatnya sekarang rakyat Malaysia menghadapi situasi yang mencengkam. Kejatuhan nilai ringgit berbanding dollar Amerika, keadaan politik yang kacau bilau, pergeseran nilai antara kaum sehinggakan rakyat menjadi mandom tidak bersemangat untuk membangunkan negara.

Sekarang rakyat Malaysia semakin sedar dan yakin bahawa Umno/BN sudah tidak lagi mampu mentadbir Malaysia. Parti-parti komponen BN semakin bercelaru. Umno sesama Umno berseteru, MCA sesama MCA bergeseran, MIC sesama MIC bertelingkah sehingga komponen di Sabah dan Sarawak juga telah menampakkan kegelisahan.

Dalam keadaan yang sama Pakatan Rakyat yang menjadi platform dan sandaran rakyat juga semakin berserabut dengan komponen-komponennya yang lebih mementingkan perjuangan parti tersendiri daripada perjuangan bersama.

Harapan Baru muncul seakan-akan memberikan semangat baru bahawa gerakan ke arah menjatuhkan Umno/BN semakin menjadi nyata.

Tetapi sekarang, rakyat dan pengundi bukan hanya mahu melihat atau bergantung kepada sentimen atau persepsi walau pun politik itu sebahagiannya adalah persepsi. Apa yang dimahukan ialah kebolehan, kepercayaan dan kemampuan menggantikan Umno/BN menguruskan negara.

Rakyat sudah muak mendengar pendedahan demi pendedahan salah urus negara. Isu 1MDB setiap hari boleh dibaca, isu MARA, Tabung Haji, KWSP dan sebagainya sudah cukup untuk membuka mata hati rakyat bahawa Umno/BN sudah layak dikebumikan.

Sekarang Malaysia bukan hanya perlukan harapan baru semata-mata tetapi Malaysia perlukan alternatif. Malaysia perlukan pengganti yang diyakini berkebolehan, dipercayai dan mampu mentadbir dengan lebih baik.

Malaysia tidak hanya mahu didedahkan dengan penyelewengan tetapi Malaysia sekarang mahu lihat dan mahu tahu bagaimana semua pendedahan tentang penyelewengan tersebut boleh diselesaikan.

Bagaimana wang RM42 bilion yang dilesapkan oleh 1MDB boleh diperolehi semula.
Bagaimana pengurusan Tabung Haji, KWSP, MARA dan GLC2 milik negara dijaga dengan amanah.
Bagaimana nilai ringgit boleh distabilkan.
Bagaimana ekonomi boleh diceriakan.
Bagaimana kehidupan rakyat boleh disegarkan semula.

Sekarang bukan masa beretorik dengan memberikan harapan tetapi membuktikan harapan itu benar dan nyata.

BERANI BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF
23072015



--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.