Kepada Sesiapa Yang Berkenaan PAS sahaja

3:06 PM 0 Comments A+ a-



KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN PAS SAHAJA

07 Syawal 1436 / 23 Julai 2015

PAS ditubuhkan tahun 1951 oleh para penggerak Islam , dari kalangan ulamak dan ilmuan berbagai bidang dan tokoh masyarakat yang terawal menentang penjajah. Tujuannya menyambung perjuangan Islam, berdakwah sehingga berpolitik, meneruskan gerakan Islah dan Tajdid.


Kumpulan yang ditetap oleh Allah dengan segala sifat dan cirinya di-dalam Al-Quran dan ditafsirkan oleh Rasulullah SAW sehingga tidak boleh dilakon atau dikelirukan. Kumpulan yang ikhlas bersamanya daripada semua peringkat dan lapangan, mereka bukan sahaja berhubung dengan maknusia, bahkan berhubung dengan Allah siang dan malam, termasuk mereka yang dianggap bodoh, tetapi bodohnya tidak lupakan Allah siang dan malam, bukan sahaja yang kaya menyumbang harta dan yang alim dan bijak menyumbang ilmu dan kemahiran. Termasuk juga yang miskin dan bangsat (dipandang hina kebanyakan umum) menyumbangkan doa dan tenaga dengan ikhlas tanpa terlibat dengan pertandingan pemimpin dan meminta menjadi calon dan jawatan. Kesemua mereka tetap pendirian walau pun tidak dipilih dalam mesyuarat agong atau muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam piliharaya dan tidak mendapat projek dan balak tetapi tidak merajuk dan terus beristiqamah.

Menjadikan mereka dipelihara Allah bersama keikhlasan walaupun dianggap bodoh. Mereka yang merasakan dirinya sangat bijak tanpa hubungan erat dengan Allah pasti tidak selamat dengan rasa bijaknya sahaja, tetapi tidak mampu mengubah dasar, mengalih matlamat kerana ingin mencapai cita-citanya yang segera menggunakan PAS.

Sesiapa yang terkeliru tidak mengikuti PAS daripada awal dan pula hanya memintas ditengah jalan, hanya merama’ untuk menang dunia sahaja . Sesiapa yang tidak Istiqamah di atas Aqidah, Dasar dan Matlamat pasti berundur, melompat , terlompat atau dilempar keluar daripada jamaah.

Sesiapa yang hanya ingin berlakon, Allah Maha Mengetahui dia hanya pelakon dan dikeluarkan tanpa diduga dan disangka bersama pelakon tambahannya. Sesiapa yang mengubah PAS lain daripada ketetapan Allah tersebut pasti tenggelam mengikut ketetapan Allah juga.

Allah telah menetapkan ciri-ciri kepada kumpulan Islam yang dinamakan umat didalam kalangan Umat Islam yang besar dan umat manusia yang lebih besar termasuk bukan Islam yang wajib diselamatkan dengan rahmat Allah daripada Islam. Firman Allah SWT, Surah Ali-Imran ayat 104 :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

"Dan hendaklah ada dikalangan kamu (orang-orang yang beriman itu) , satu ummah (kumpulan) yang berdakwah kepada kebajikan (Islam semua ajarannya) dan yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang –orang yang mendapat kejayaan (dunia dan akhirat."

Ayat ini dibaca dan ditulis ketika PAS ditubuhkan. (sila rujuk buku Umat Islam dan Parti Islam, karangan Al-Marhum Ustaz Ahmad Azam , diterbitkan sebelum merdeka apabila PAS masuk kedalam gelanggang politik).

Firman Allah, Surah An-Nur ayat 55 menafsirkan maksudnya :

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

"Allah telah berjanji kepada kalangan orang-orang yang beriman daripada kalangan kamu dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia jadikan mereka golongan yang memerintah dibumi, sebagaimana dikurniakan kepada kalangan dahulu daripada mereka. Di mana Allah menjadikan agama yang diredainya (Islam) untuk mereka, berkuasa dan Allah menukarkan keadaan daripada mereka berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka memperhambakan diri kepada Allah , dan sesiapa yang kufur selepas itu , maka merekalah orang-orang yang fasik."

Janji yang tidak diketahui jarak masa dan perjalanannya , sehingga Nabi Nuh AS dan segelintir pengikut menunggu selama lebih sembilan ratus tahun, di-ikuti oleh para Rasul selepasnya bersama umat masing-masing, inilah adat perjuangan Islam. Mereka yang tidak tahu adat ini akan pasti lari lintang pukang kerana tidak nampak penghujung perjalanannya dengan mata kasar, sama saperti makhluk yang matanya sama aras dengan perutnya maka berfikir dengan isi perut, tidak dengan akal.

Mereka yang menghayatinya sanggup menunggu sehingga mati, walau pun dia tidak sempat melihat kejayaannya dimasa hayat, mungkin cucu atau cicitnya beberapa generasi, namun tetap beriman kepada janji Allah yang tidak tamat riwayatnya dengan kematian seseorang. Seumpama kisah filem yang tamat dengan kematian heronya atau sekadar sampai ke Putrajaya sahaja. Kerana harapan perjuangan Islam hanya penerimaan Allah dan redanya yang tidak perlu diperharui atau dipinda dan diubah.

Firman Allah, Surah An-Nisa' ayat 104 :

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

"Jangan kamu berasa hina atau lemah ketika menghadapi penentang kamu , sekiranya kamu menderita kesakitan, mereka juga berada dalam kesakitan yang sama, namun keadaan kamu berbeza, kerana kamu berharap daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan."

Rasulullah SAW telah mentafsirkan ayat-ayat ini dalam perjuangan Islam bersama masyarakat majmuk di masa kumpulannya paling lemah ditindas di Makkah tanpa Negara dan ketika paling kuat bernegara sehingga membebaskan Makkah , dengan huraian mengikut panduan Allah bertonggakkan umat Islam dalam jamaahnya dahulu. Bersatu dengan aqidah , dasar dan matlamat, bekerjasama dengan kawan dan lawan termasuk bukan Islam sehingga bermaaf apabila mencapai kemenangan, menjadikannya tidak sama dengan perjuangan yang lain.

Beristiqamah dengan makna teguh tidak berganjak dalam perkara Thawabit (Aqidah , Dasar dan Matlamat). Murunah (Anjal, atau boleh menerima perubahan dan perbezaan) dalam perkara Mutaghayyirat ( Menerima perubahan) dalam perkara pendekatan, uslub dan strategi. Sehingga Islam menunjukkan rahmat kepada masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan budaya dalam keadaan Islam memimpin bukan mengikut telunjuk pihak lain.

Disamping berpadu dan bersama dalam perkara Thawabit sehingga tidak diizinkan berpecah pendapat. Berpadu juga dalam perkara Mutaghayyirat walau pun berbeza pendapat dan berkhilaf dalam urusan berparti atau berjamaah. Tetap patuh dan setia kepada jamaah apabila sudah menjadi keputusan dalam berjamaah oleh kalangan yang pendapatnya tidak diterima walau pun sehingga dirinya ditolak, tidak dilantik lagi atau dipecat, juga tetap bersama jamaah.

Tegasnya seseorang dan kumpulan dalam berjamaah tidak dizinkan berdegil dengan pendapatnya apabila sudah ada keputusan jamaah, inilah adab dalam kumpulan Islam sepanjang zaman. Barang siapa yang tidak berpegang kepada adab ini maka tidak layak bersama jamaah. Maka lebih malang nasibnya kalau menunjukkan sifat menolak kalau tidak memilih dirinya, dengan sendiri mendedahkan isi hatinya bahawa dia bersama jamaah kalau dipilih berada diatas, dan tidak pula bersedia berada dibawah, tanpa menyedari bahawa lantai yang berada dibawah lebih selamat daripada atap yang berada diatas apabila menghadapi ribut dan petir atau bumi bergerak.

Rasulullah SAW pernah menerima pandangan orang lain dalam perkara bukan wahyu dalam peristiwa Badar dan sanggup menerima pandangan lain juga dalam perstiwa Uhud dan inilah ketetapan Allah walaupun pandangan itu menyebabkan gugurnya para syuhada yang ramai dan ramai pula mendapat kecederaan, termasuk batang tubuh Rasulullah SAW.

Bandingkan diri kita dengan Saad bin Ubadah RA yang dilucut jawatan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Fathu Makkah, Khalid bin Al Walid RA yang dipecat oleh Khalifah Umar RA tetap bersama saf perjuangan sehingga wafat . Begitulah Ka’ab bin Malik RA kerana tidak menyertai perjalanan ke Tabuk sehingga diambil tindakan disiplin dipulau beberapa bulan,tidak keluar daripada jamaah dan tidak menerima tawaran Raja Ghassan supaya meninggalkan jamaahnya. Rasulullah SAW bersabda bahawa secupak bijiran yang disumbangkan oleh sahabatku tidak sama dengan sumbangan generasi kemudian walau pun emas sebesar bukit Uhud.

Mustahil ada kalangan ahli PAS yang menyumbang sebesar bukit Uhud, maka jangan tunjuk kita lebih kuat daripada Sahabat Rasulullah SAW.

Mereka yang tidak merasai kemanisan perjuangan Islam bersama fadilatnya tidak akan merasai hakikat ini. Mereka yang merasai kemanisan iman dalam perjuangan dapat membezakan diantara kawan dan wali, boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya tetapi tidak boleh berwalikan DAP, kerana tidak beriman dan budiman. Mereka yang tidak ada kefahaman dan kemanisan tersebut sanggup hidup dan mati bersama kalangan DAP dan yang sewaktu dengannya kerana tidak membezakan diantara kawan dan wali.

Kepada sesiapa yang tidak berkenaan PAS sila baca firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra', ayat 36 :

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

"Dan jangan kamu mengikut (atau bercakap atau menulis) apa-apa yang kamu tidak ada ilmu berkenaannya, sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan fikiran kamu semuaya akan disoal Allah secara bertanggungjawab dengan amanah ilmu."

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS


--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.