HalaTuju Politik - Hasbie Muda
HALATUJU POLITIK
1. Ramai yang bertanya saya ke mana halatuju politik selepas ini. Saya percaya, kebanyakan mereka juga berada dalam dilema sama ada mahu terus kekal dengan PAS atau pun memilih wadah baru bagi meneruskan perjuangan politik masing-masing.
2. Saya sayangkan PAS. Saya cuma kecewa dengan pemimpin yang menggunakan cara yang salah untuk cepat naik ke puncak kuasa. Pemimpin yang dengan mudah menghalalkan label munafik, liberalis, pluralis, jebon, anti ulama' dan pelbagai lagi untuk membunuh saingan politik mereka dalam parti. Pemimpin yang menyalahgunakan program rasmi parti untuk menyerang pemimpin lain secara terang-terangan. Pemimpin yang mendakwa bahawa ada pihak lain melakukan kospirasi mahu menjatuhkan Presiden parti tetapi hakikatnya merekalah yang sebenarnya berkonspirasi.
3. Beberapa orang pemimpin seperti Ustaz Tuan Ibrahim, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Mustafa Ali mengambil sikap yang adil dengan menolak perlakuan buruk itu. Saya berdoa mudah-mudahan lebih ramai lagi pemimpin PAS seperti mereka. Saya juga berdoa mudah-mudahan mereka juga tidak dicantas pada masa yang akan datang jika mereka memilih untuk berbeza pendapat dalam sesuatu isu.
4. Adalah sukar untuk membuat keputusan sama ada mahu kekal dalam PAS ataupun bergiat aktif dalam parti baru tajaan GHB nanti.
5. Dalam ilmu ekonomi, ada konsep 'faedah mutlak' dan 'faedah berbanding' apabila kita mahu melakukan perdagangan dengan negara luar. Kedua-dua konsep ini mengukur tahap kecekepan dan kos lepas dalam membuat pilihan. Pilihan yang tepat adalah berasaskan kecekapan yang terbaik serta kos lepas yang paling minimum.
6. Sewaktu saya pegang jawatan Pengarah Pendidikan Politik Pemuda PAS dulu, saya berpeluang untuk mengenali PAS dengan lebih baik. Ada program saya yang disabotaj dan diboikot termasuk oleh rakan Exco sendiri. Pengalaman menerima pembatalan program dengan mahasiswa sewaktu saat-saat akhir adalah lumrah dan perkara biasa. Ada penganjur program di utara tanahair yang memaklumkan nama saya dibuang daripada senarai penceramah sewaktu sudah separuh perjalanan. Saya sudah 4 jam memandu dan terpaksa pulang semula dengan hampa. Ada pengedar buku terbitan syarikat saya yang disenarai hitam dan ahli-ahli jemaah dilarang daripada membaca buku tulisan saya. Semua ini tidak dilakukan oleh orang UMNO tetapi rakan-rakan dalam parti saya sendiri.
7. Sebagai seorang yang ditarbiyah dalam sebuah jemaah Islam, saya juga ingin menyumbang sesuatu untuk perjuangan Islam. Tetapi jika masa yang ada terpaksa dihabiskan dengan perkara sebegitu, adakah saya perlu terus menunggu?
8. Saya tidak mahu menjadi tua dengan menghabiskan bergelut dengan masalah dalaman parti yang tiada kesudahan.
9. Mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk yang benar.
s
Sila kongsi artikel ini...