Shahir Aziz: Krisis Dalaman PAS: Biduk Berlalu, Kiambang Bertaut Semula?

12:55 AM 0 Comments A+ a-



Krisis Dalaman PAS: Biduk Berlalu, Kiambang Bertaut Semula?

1) Sebelum muktamar PAS berlangsung, pelbagai isu & krisis telah berlaku. Akhlak yang tidak Islami telah dipraktikkan baik dari golongan agamawan mahupun profesional. Tuduh-menuduh, lebel-melebel, kecam-mengecam bahkan fitnah-memfitnah semacam tidak dapat diselindung lagi.

2) Ungkapan "Mencegah lebih baik dari mengubati" gagal dihayati sepenuhnya. Malah langkah penyelesaian yang diambil khususnya untuk mendamaikan kedua-dua pihak ini hanya bersifat 'ala kadar' ibarat menyapu dan menyembunyikan kotoran di bawah karpet menyebabkan ianya kekal kotor dan semakin parah.

3) Lebih menyedihkan, kudis yang menanah-busuk itu telah dibawa untuk 'disebar-jangkitkan' sepanjang muktamar berlangsung. Akhirnya sebelah pihak berjaya mengekalkan kuasa & cengkaman mereka manakala sebelah pihak lagi tersungkur menyembah bumi termasuk golongan 'atas pagar' yang tidak menyertai mana-mana kem.

4) Sudah pasti, yang menang akan mendabik dada mangatakan "Allah bersama pejuang-pejuang yang benar" dan yang tewas pula akan kecewa dan menyalahkan sistem pemilihan.

5) Krisis yang dianggap akan berakhir dengan berakhirnya pemilihan kini menjadi semakin meruncing. Jika dahulunya 'cakap-cakap' mengatakan perbalahan yang berlaku ini hanya diibaratkan seperti "retak mananti belah", namun situasi yang berlaku kini umpama "arang menjadi abu".

6) Pada 13 Julai 2015, Gerakan Harapan Baru ditubuhkan. Penubuhannya membawa maksud untuk mengasaskan penubuhan sebuah parti politik baru berteraskan Islam.

7) Walaubagaimanapun suatu fakta yang perlu diketahui, pendokong-pendokong gerakan ini masih dan sedang menunggu kelulusan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menjadikan pertubuhan tersebut sebagai parti politik. Ini bermakna, mereka masih merupakan ahli PAS & bai'ah mereka masih sah dan tidak terbatal.

8) Sehubungan dengan itu masih ada harapan untuk melihat 'kiambang bertaut semula' walaupun peluang tersebut hanya sipi dan ibarat 'telur di hujung tanduk'.

9) Kecaman-kecaman melampau seperti 'pengkianat', 'pengaruh bisikan syaitan', 'pendokong Islam liberal', 'perjuangan songsang' dan lain-lain ungkapan yang tidak berakhlak perlu segera dihentikan.

10) Sebaliknya "Majlis Tahkim" perlu segera ditubuhkan sebelum jalan cerita drama ini ditamatkan musuh serta-merta. Dalam hal ini Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Dato' Mahfuz Omar, YB Dato' Husam Musa dan Ustaz Subky Latif adalah antara tokoh yang difikirkan layak untuk menjadi perunding atau pendamai kepada pihak yang bertelagah sepertimana peranan yang telah dimainkan oleh Abu Musa al-Asy’ari r.a dan Amru bin al-As r.a dalam peperangan Shiffin. Ini sahajalah langkah terakhir yang ada untuk menyatukan semula kedua-dua pihak. Jika tidak, besar kemungkinan undi kepada parti Islam akan berpecah teruk pada PRU-14 kelak apabila kedua-dua parti ini bertembung antara satu sama lain.

11) Walaubagaimanapun, jika langkah ini juga gagal membuahkan hasil, maka tiadalah daya penulis untuk membantu menyatukan semula mereka melainkan hanya berharap & berdoa agar perpecahan ini akan membawa rahmah & hikmah kepada Islam dan bukannya mudarah & musibah.

12) Rahmah dan hikmah ini telah terbukti berlaku melalui penubuhan AKP di Turki di bawah pimpinan Abdullah Gul & Reccep Tayyip Erdogan yang bertekad untuk berpisah daripada Parti Saadat pimpinan Necmettin Erbakan. Perpisahan ini berlaku dek kerana perbezaan pendekatan yang sangat ketara antara kedua-dua pihak (tradisional vs kontemporari). Perpisahan ini juga ternyata membawa kebaikan apabila AKP berjaya menubuhkan kerajaan di Turkey pada tahun 2002 untuk 'mengIslamkan' sistem pemerintahan secara berperingkat dan sekaligus melebarkan dakwah mereka ke seluruh pelusok negara.

13) Namun, mudarah & musibah juga telah terbukti berlaku hasil daripada perpisahan. Tindakan Parti Salafi An-Nur yang mengisytihar untuk "mufaraqah" dengan parti FJP pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada tahun 2012 menyebabkan jatuhnya kerajaan Islam pimpinan Dr. Mohamad Morsi dan kejatuhannya tidak mampu lagi dipulihkan sehingga ke hari ini.

14) "Sesungguhnya kebenaran yang tidak sistematik akan dikalahkan oleh kebatilan yang sistematik". Sekadar pandangan untuk muhasabah kita bersama. Fikir-fikirkan, renung-renungkan & bertindaklah segera.

15) Coretan ini ditulis tidak lebih hanya sekadar nasihat dan pandangan peribadi dari seorang hamba yang fakir lagi hina. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Al-Faqir ila rabbih:

AHMAD SHAHIR ABDUL AZIZ Pemerhati Politik


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.