Antara Khilaf dan Keputusan Mahkamah - Alang Ibn Shukrimun

12:37 AM 0 Comments A+ a-



ANTARA KHILAF DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH

Cuba bayangkan di Mahkamah Syariah, apabila hakim memutuskan sesuatu hukuman berdasarkan undang-undang yang termaktub, pesalah tidak mahu terima kerana dia berpegang pada pendapat lain. Agak-agak ada tak orang yang berjaya dihukum? Agak-agak selesai tak masalah?

Bayangkan pula di Mahkamah konvensional, apabila hakim memutuskan hukuman menggunakan undang-undang negara, tiba-tiba pesalah tidak mahu terima hukuman itu kerana berpegang pada undang-undang Perancis. Agak-agak hakim kata orang ni gila atau hakim tu mengamuk sebab buat lawak bodoh?

Kaedah fiqh yang mesti diakui:
حكم الحاكم يرفع الخلاف
Keputusan hakim mengangkat segala khilaf.

Semasa zaman khilafah Uthmaniyyah di Turki, kerajaan telah menggubal suatu teks undang-undang yang diberi nama Majallah Ahkam Adliyyah. Ia adalah buku rujukan untuk menentukan hukum sesuatu perkara yang timbul di zaman Uthmaniyyah. Walaupun masa itu ilmu Islam berkembang merentasi mazhab, tetapi buku tersebut berorientasikan mazhab Hanafi. Semua mahkamah wajib berhukum berdasarkan ketetapan yang termaktub dalam buku tersebut.

Ini bukan bermaksud Uthmaniyyah menjumudkan pemikiran rakyat dengan satu mazhab. Tetapi ini masalah perundangan. Ia sangat berbeza dengan soal akademik. Dalam ruang akademik, kita bebas memilih pandangan yang dirasakan paling tepat. Tetapi dalam soal perundangan, kita wajib mematuhi pandangan yang dipilih pemerintah selagi masih dalam ruang dibenarkan syarak.

Masalah yang berlaku dalam negara sekarang ialah sukarnya orang biasa tunduk pada agama. Sikap skeptikal terhadap agama menyebabkan semua mahu dikritik dan dipersoal. Asal tahu sikit-sikit terjemahan al-Quran dan Hadis, asal pernah baca pandangan ulama tertentu, terus dijadikan bahan untuk mengkritik. Sedangkan bahasa arab pun tak tahu. Ilmu Nahu Sorof Balaghah yang menjadi alat memahami al-Quran pun tak pernah dengar. Sebab turun ayat, samada ayat masih valid atau dah mansuh, sejarah perundangan Islam, asas istinbath hukum, asas tafsir semua tak tahu. Masya Allah.

Dalam soal perubatan, tahu pula patuh pada doktor walaupun doktor suruh potong kaki. Dalam soal automobil, pandai pula patuh pada mekanik walaupun mekanik suruh buang enjin. Ini kerana mereka tahu, doktor dan mekanik lebih pakar dalam bidang mereka walaupun yang bermasalah itu adalah seorang pemegang PhD Fizik.

Tapi dalam soal agama, ramai pula orang awam keluar fatwa sendiri dan lawan pula pakar agama. Alasannya, agama bukan milik mereka. Atas alasan, kebebasan bersuara. Dipetik segala macam pendapat aneh yang tidak menjiwai realiti setempat demi menghalalkan cara. Oh profesionality!

Berhentilah berbicara perkara yang bukan bidang kita. Sekadar berbincang untuk mendapat penjelasan secara tertutup tidak jadi masalah. Tetapi sampai keluar press statement mengkritik undang-undang syariah, besar akibatnya terhadap pemikiran orang awam. Makin tambah keliru masyarakat. Makin jauh bukan Islam dengan Islam. Serahkan sahaja pada ahlinya.

Fahaman semua boleh, semua betul ini bukan ajaran Islam. Jangan benarkan budaya ini menular dalam negara. Nanti tiada beza pula sebuah negara dengan hutan rimba.

(Alang Ibn Shukrimun)


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.