Bersih 4 sudah dilabel orang Melayu Umno sebagai perhimpunan Cina. - Nora Reformis
Bersih 4 sudah dilabel orang Melayu Umno sebagai perhimpunan Cina.
Ini bukan Melayu yang terbanyak tetapi cuma Melayu Umno yang masih lagi menggunakan senjata perkauman sebagai tali untuk pengikat perpaduan Melayu. Ini seolah-olah senjata Umno untuk mahu Melayu bersatu dan senjata menyatu-padukan Melayu adalah dengan menghentam kaum lain khususnya Cina.
Untuk mengukuhkan hujah agar Cina lain khususnya Gerakan dan MCA tidak lari dari menyokong Umno maka DAP dijadikan ikon Cina dengan gelaran Komunis dan ketagih mahu menghancurkan Melayu. Ini yang dijadikan Melayu Umno sebagai senjata perpaduan tanpa Melayu Umno sedar, kepimpinan Melayu Umno adalah sebenarnya punca segala kemunduran orang – orang Melayu khususnya dalam pengagihan ekonomi.
Realitinya tidak ada serangan Cina khususnya DAP kepada orang-orang Melayu. Melayu Umno hanya mahu menggunakan Cina sebagai sebab untuk penyatuan dan hari ini, amat jelas lagi Melayu Umno terus ketandusan modal bila mana seluruh rakyat Malaysia sedar dan menolak tuduhan Melayu Umno terhadap kaum Cina dan mempergunakan Cina sebagai modal penyatuan.
Penulis menulis ini atas kapasiti seorang Melayu yang berwadahkan landasan politik DAP kerana penulis sedar penipuan Melayu Umno yang menjadikan ugutan 13 Mei 1969 sebagai satu ugutan untuk melenyapkan kelemahan kepimpinan Melayu Umno sekian lama.
Ugutan pertempuran antara Melayu dan Cina hadir dari mulut Melayu Umno. Mereka mahu terus memegang kuasa dengan mendominasi minda Melayu lain, kononnya Cina mahu merebut kuasa dan mahu mendominasi kuasa negara ini dan memijak orang-orang Melayu.
Orang Cina diugut supaya mengingati 13 Mei 1969, satu hari gelap yang sepatutnya digunakan sebagai satu kesedaran bukan untuk ugutan mahu terus memegang kuasa secara tidak demokratik dan tersasar dari peruntukan undang-undang. Ini adalah hasutan dan ugutan besar yang sering bebas dari sebarang tindakan perundangan.
Alasan dangkal mereka tetap sama, apabila demonstrasi jalanan didominasi orang Melayu, mereka akan katakan Melayu ini dipergunakan Cina dan apabila majoriti Cina hadir dalam Bersih 4, mereka katakan Cina mahu menguasai orang Melayu. Ini semua dilakukan kepimpinan Melayu Umno yang tidak akan membawa orang Melayu kepada perubahan yang sepatutnya.
Ini amat jelas, apabila selesai Bersih 4 yang mana kehadirannya memperlihatkan ramai kaum Cina turun ke jalan raya, Melayu Umno merasa tercabar lantas mahu mengadakan satu himpunan Melayu terbesar dalam usaha kononnya untuk mengembalikan maruah orang Melayu.
Mereka hadir dengan logo pendekar berkeris, menggunakan perkataan semangat seperti darah, tanah air dan maruah. Tujuannya hanya untuk mengugut orang Melayu kononnya maruah orang Melayu tercabar. Beginilah sebenarnya tahap mental orang-orang Melayu Umno, bukan tidak berpelajaran tetapi amat terdesak untuk terus berkuasa.
Paling lucu ialah, Bersih 4 dilaksanakan untuk mendesak kepimpinan korup Umno, perdana menteri Malaysia untuk melepaskan jawatan, menuntut kerajaan yang bersih serta pilihan raya yang lebih telus dan tidak dimanipulasikan kerajaan Umno.
Mudah nya Bersih 4 menuntut agar demokrasi dituntut dan perlu ada pengagihan kuasa yang melibatkan pembebasan agensi tertentu dari dikawal kuasa politik. Tuntutan ini yang menyebabkan rakyat berhimpun, menyuarakan ketidakpuasan mereka dengan cara pemerintahan yang ada, yang membebankan rakyat dengan kenaikan kos kehidupan dan kemurungan ekonomi negara.
Untuk jawapan kepada tuntutan Bersih 4 ini Melayu Umno turut mengadakan perhimpunan untuk mempamerkan kekuatan Melayu Umno untuk mempertahan maruah bangsa Melayu. Perhimpunan akan dilakukan seolah-olah mereka akan berarak untuk menunjukkan mereka akan mempertahankan maruah Melayu dari diserang Cina.
Amat janggal sekali, inisiatif untuk perjuangan rakyat Malaysia disambut dengan inisiatif untuk berkelahi dan mengapi-apikan semangat perkauman dalam negara ini. Ini datangnya dari Melayu Umno bukan Melayu keseluruhan yang sudah sedar taktik dan teknik kepimpinan Melayu Umno untuk memegang terus kuasa yang semakin tiris.
Alasan sama mereka adalah Cina mahu memijak Melayu dan DAP adalah parti komunis yang mahukan orang Melayu terus terpinggir seperti Melayu Singapura, kata mereka.
Jelas, tindakan susulan bagi menjawab Bersih 4 adalah Perhimpunan membela maruah Melayu yang hanya bermotifkan ugutan dan hasutan. Adakah ini tidak menarik perhatian ketua Polis Negara atau sebab utama adalah Polis terikat kuasa politik Melayu Umno.
Sekiranya lah perhimpunan membela maruah Melayu dengan menghentam kaum Cina berlaku, saya amat yakin kaum Cina tidak akan terikut membuat perhimpunan seumpama itu kerana rakyat Malaysia semua sudah sedar, Melayu Umno hanya mahu satu cita-cita, bukan membela Melayu tetapi membela kepimpinan Melayu Umno bagi mereka terus membudayakan rasuah dan politik ugutan terhadap kaum.
Memang hebat Melayu Umno ini, mahu melakukan perhimpunan di Bukit Bintang dan Jalan Petaling – kononnya untuk menakutkan kaum Cina yang dikatakan mendominasi tempat-tempat tersebut. Politik ugutan itu bakal berakhir di Malaysia dan Melayu Umno akan sedar, Melayu terbanyak sedar, laungan kononnya mereka membela Melayu adalah satu usaha karut yang hanya mementingkan kuasa untuk diri sendiri dan tidak untuk rakyat keseluruhan.
Melayu harus sedar, Melayu Umno hanya mahu mempertahankan kuasa untuk tujuan kecil diri, mahukan sokongan Melayu atas ugutan rasis dan paling buruk sekali ialah melibatkan agama sebagai sandaran sokongan. Politik berbentuk rasis ini akan pupus sebagaimana pupusnya Melayu Umno yang hanya memerintah untuk perintah dan bukan untuk menjayakan agenda rakyat Malaysia keseluruhan.
Kita perlu uruskan pemerintahan negara kita ini tidak lagi memesongkan minda rakyat negara ini dengan perasaan buruk perkauman dan kita perlu memastikan kepimpinan rakyat adalah berdasarkan rakyat dan kerana rakyat usaha kita tidak ada sempadan kaum, kulit, budaya dan agama. Melayu Umno akan terus ketinggalan dan akan menjadi punca Umno lupus dalam politik negara ini. – 4 September, 2015.
* Penulis, Norazimah Mohamad Nor @ nora reformis, merupakan reformis jalanan yang hampir 14 kali ditahan. Penulis mengubah wadah politik dari PAS ke DAP dalam melunaskan usaha besar membebaskan rakyat dari kepompong politik rasis. Bagi penulis – sekiranya untuk rakyat ia adalah tanpa sempadan.
Sila kongsi artikel ini...