Jerebu: ASEAN Digesa Bantu Indonesia - Salahuddin Ayub
JEREBU: ASEAN DIGESA BANTU INDONESIA
www.amanahnegara.org
1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa semua negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), khasnya yang berjiran dengan Indonesia, agar segera tampil menghantar kepakaran dan jentera bagi sama-sama menyelesaikan masalah jerebu yang hampir sebulan melanda negara itu yang tidak menampakkan tanda positif ianya akan kembali pulih.
2. Ia turut memberi kesan kepada beberapa negara lain termasuk Malaysia sehingga bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri di negara ini mencapai tahap bahaya yang menyebabkan sesi persekolahan terpaksa ditutup beberapa kali.
3. Dalam hal ini, semua negara ASEAN wajar mengambil semangat kerjasama yang pernah ditunjukkan semasa membantu operasi mancari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada tahun lalu.
4. AMANAH melihat sudah tiba masanya ASEAN menghantar pasukan mahir serta jentera terbaik bagi membantu pasukan penyelamat Indonesia tanpa menafikan hak negara-negara jiran untuk mengambil tindakan undang-undang kerana masalah tersebut.
5. Bagi AMANAH, lebih penting ketika ini adalah bagaimana kesatuan anggota ASEAN dalam membantu negara-negara jiran jika berlaku kejadian serupa, dengan melihat kelebihan dan kemampuan negara lain. Maka membantu Indonesia adalah permulaan terbaik untuk mempraktikkan kesatuan yang mahu dibentuk.
Amanah. Progresif. Peduli.
SALAHUDDIN HJ AYUBTimbalan Presiden
Parti Amanah Negara
8 Oktober 2015
Sila kongsi artikel ini...