Kenyataan media
17 Sept 2015
Amanah Negara Sarawak tidak menyokong Himpunan Rakyat (Merah) yang diadakan semalam di Kuala Lumpur.Ia lebih bersifat kepada perkauman sedangkan itu bukannya suara hati rakyat Malaysia sebenarnya. Amat mendukacitakan sekali kerana di sebalik ketidak tentuan ekonomi, penyusutan nilai mata wang Ringgit dan kadar pengangguran yang tinggi bukan pula isu utama.
Tata kelola kerajaan pemerintah yang membelakangkan undang-undang memberi kegelisahan kepada majoriti rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.Masalah luar bandar Sarawak masih besar. Ia dipandang sebelah mata sahaja.
Tahun 2020 kian menjelang tetapi adakah ia akan berjaya jika isu-isu yang sepatutnya sudah selesai sejak 50 tahun lalu terus dibawa?Suara-suara tuntutan autonomi dari Sarawak merupakan mesej jelas kepada Kerajaan Persekutuan untuk lebih profesional dalam menguruskan pentadbiran.Sarawak terdapat banyak kaum dan etnik, kerjasama antara kaum perlu diperkukuhkan.
Negara memerlukan kerjasama semua bukannya pengamalan budaya rasuah untuk mendapatkan sokongan. Kalau ada pihak yang cuba menyimbah minyak ke dalam api, ia bakal memusnahkan semua pihak.
Amanah-Progresif-Peduli
William Mangor
Timbalan Pengerusi Amanah Negara Negeri Sarawak
Kenyataan media
Pembunuhan kejam pegawai tinggi kerajaan Anthony Kevin Morais
1) Susulan daripada kejadian pembunuhan kejam Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Anthony Kevin Morais pada hari semalam, Parti AMANAH Negara Negeri Melaka merasakan kegusaran sehubungan perkara ini. Tidak sepatutnya pembunuhan kejam ini berlaku di dalam negara kita yang di katakan aman dan damai seperti mana yang di laungkan selalu oleh menteri-menteri.
2) Kejadian sebegini pernah berlaku juga kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati di Putrajaya pada 26 April 2013 di mana beliau di tembak semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.
3) Parti Amanah Negara Melaka merasakan kejadian sering berlaku semasa pegawai-pegawai ini melakukan siasatan dan pendakwaan dalam kes profile tinggi. Adakah semua kejadian ini menjadi "trend" untuk penjenayah untuk melepaskan diri mereka dengan membunuh pegawai-pegawai yang sedang melakukan pendakwaan kes mereka.
4) Sehubungan ini kami mendesak kepada Kerajaan dan Ketua Polis Negara melakukan perubahan dalam aspek keselamatan kepada pegawai-pegawai kerajaan sekiranya mereka sedang melakukan siasatan yang boleh menggugat keselamatan nyawa mereka. Sekiranya mereka merasakan diri mereka diancam ataupun di ugut, pihak Polis perlu melindungi mereka sehingga kes kendalian mereka selesai.
5) Kami mendesak juga pihak Polis melakukan siasatan yang telus di lakukan agar tidak ada sesiapa pun yang terlepas dari kes pembunuhan kejam Kevin Anthony Morais yang berkhidmat cemerlang selama beliau bekerja.
6) Akhir kata, kami dari Parti Amanah Negara Melaka mengucapkan sekalung takziah kepada keluarga mendiang Anthony Kevin Morais. Kematian beliau adalah satu pengorbanan besar bagi negara dan kami juga berbangga dengan mendiang yang begitu berdedikasi dalam menjalankan tugas beliau.
Jauhar Mohd Dawi
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Melaka.
KENYATAAN MEDIA AMANAH BERKAITAN LOGO PARTI
www.amanahnegara.org
1. Pertamanya, saya ingin mengucap syukur di atas kejayaan Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berlangsung di Shah Alam, semalam yang menyaksikan ribuan hadir memberi sokongan.
2. Bagaimanapun, saya difahamkan terdapat kegelisahan dikalangan ahli dan penyokong Parti AMANAH berkaitan logo parti yang baru sahaja diperkenalkan kepada umum pada majlis pelancaran semalam.
3. Ingin saya jelaskan bahawa penentuan logo parti telah melalui proses sepatutnya. Satu jawatankuasa logo dibentuk dan kemudian mereka telah mengemukan beberapa cadangan kepada Jawatankuasa Pusat parti, dan akhirnya logo "A" seperti dilancarkan semalam telah dipilih dan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan ROS.
4. Berkait isu persamaan logo yang timbul itu, ia berkemungkinan berlaku secara kebetulan dan pihak kami telah mengambil maklum. Kami sangat menghargai pandangan serta komen orang ramai dan akan berbincang dengan pihak berkaitan.
5. Namun lebih besar daripada isu itu adalah, sebuah lagi parti politik Islam baru telah berjaya dilancarkan bersempena tarikh penubuhan Malaysia semalam, dan bersedia untuk menawar khidmat kepada seluruh rakyat.
HJ MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
17 September 2015
PELANCARAN PERDANA PARTI AMANAH NEGARA (Parti Pekerja)
Semoga Majlis Pelancaran Parti AMANAH NEGARA esok 16 September 2015 Berjalan Lancar.
Demi menyelamatkan sebuah Malaysia.
Di satu pihak, ada yang mengekalkan budaya rasuah, pecah amanah, tidak telus, penuh rahsia, "dikuasai" oleh seorang pemimpin yang tidak memimpin secara kolektif dan beramal dengan sistem sekular yang diwarisi. Walhal, perlembagaan Malaysia tidak menyatakan Malaysia sebuah negara sekular.
Di satu pihak lain pula, ada yang barangkali sengaja atau tidak sengaja, menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan Islam "potong tangan", tiada perundingan, Islam yang tidak pandai bergaul dan budaya memaksa orang lain.
Di satu pihak lain, kedengaran seruan kepada perkauman dan melukakan bangsa lain mengatasi seruan kepada islam.
Maka terimalah Parti AMANAH NEGARA yang akan mengisi satu impian rakyat Malaysia; bernaung di bawah keindahan ISLAM.
USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
Naib Presiden Parti AMANAH NEGARA
15.09.2015
1 Zulhijjah 1436
PERTEMUAN DENGAN ROS POSITIF
www.amanahnegara.org
1. Alhamdulillah, pagi ini saya bersama Presiden Parti Amanah Negara, Hj Mohamad Sabu telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di Putrajaya.
2. Kehadiran kami telah disambut salah seorang pengarah kanan ROS yang mewakili Ketua Pengarah Datuk Mohammad Razin Abdullah, yang tidak dapat bersama dalam pertemuan itu ekoran mempunyai urusan lain.
3. Pertemuan hari ini berlangsung dalam suasana sangat baik di mana kami diberi penjelasan dan nasihat yang sangat berharga oleh pihak ROS dalam meneruskan kesinambungan dalam urusan pendaftaran.
4. Kami juga sangat gembira dengan keseluruhan perbincangan dan maklum balas positif dari pihak ROS hari ini.
5. Sehubungan itu, sekali lagi kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak ROS di atas kesudian menerima kunjungan kami.
HJ ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
14 September 2015
RE-BRANDING PARTI ISLAM BAHARU "AMANAH"
Adeysham Nor
Maksud Re-Branding dalam bahasa Melayu adalah penjenamaan semula. Semua orang tahu, Parti Amanah Negara yang bakal dilancarkan pada 16 September ini adalah serpihan dari Parti Islam Se-Malaysia atau PAS.
Semua orang juga tahu, Parti Amanah Negara atau singkatan rasminya AMANAH adalah juga sebuah parti Islam. Dasar perjuangannya juga Islam yang mana Al-Quran, Sunnah, Ijma & Kias adalah sumber rujukan utama untuk AMANAH.
Saya terkesan dengan saranan oleh Dr. Mazlee Malek, seorang penganalisis politik terkenal yang meminta supaya AMANAH menampilkan muka-muka baharu dalam barisan kepimpinannya supaya imej PAS tidak lagi membayangi parti AMANAH. Inilah yang dipanggil re-branding.
Saya berasa sedikit gembira apabila melihat bekas orang kanan IKRAM kini dilantik sebagai Naib Pengerusi AMANAH. Beliau adalah muka baru yang diperlukan AMANAH untuk memulakan langkah re-branding ini.
Saya juga gembira apabila melihat Xifu Naser kini mula aktif dalam beberapa aktiviti AMANAH. Beliau adalah pemimpin kanan dalam NGO Cina Muslim (MACMA) yang mempunyai ratusan ribu ahli & penyokong.
Selama ini, golongan Cina Muslim dilihat tidak begitu rapat dengan parti Islam kerana di mata mereka, imej PAS lebih dilihat sebagai sebuah 'Parti Islam Se-Melayu' dan bukannya Parti Islam Se-Malaysia.
Saya berharap penglibatan aktif beberapa tokoh MACMA seperti Xifu Naser dan yang lain-lain lagi akan dapat memecahkan tembok persepsi itu dan seterusnya dapat memacu proses re-branding AMANAH.
Selain itu, saya juga menunggu penglibatan aktif daripada beberapa pendakwah bebas yang berpengaruh besar seperti Dr Asri & rakan-rakannya dalam aktiviti AMANAH. Dr Asri misalnya mempunyai ratusan ribu peminat di negara ini dan peminatnya pula merentasi sempadan kaum dan agama.
Mungkin ramai yang belum tahu bahawa AMANAH juga membuka pintu keahliannya kepada bukan Islam. Saya dimaklumkan, taraf keahlian mereka sama dengan taraf ahli yang beragama Islam. Mereka juga bebas memegang apa-apa jawatan dalam AMANAH selagi mereka menerima Islam sebagai dasar parti AMANAH.
Pendekatan ini diambil dari aspirasi Perlembagaan Malaysia yang mengiktiraf setiap warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama biarpun mereka berlainan kaum & agama. Sepertimana dalam Perlembagaan Malaysia, bukan Islam dalam masa yang sama hendaklah mengakui Islam adalah agama rasmi bagi negara ini.
Walaupun begitu, sudah tentulah kepimpinan tertinggi AMANAH akan dipegang oleh seorang Muslim sepertimana Perdana Menteri Malaysia juga mestilah seorang Muslim. Ini adalah sebahagian dari kontrak sosial yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Kita tidak dapat nafikan usia AMANAH masih lagi bayi dan surat beranaknya pun belum keluar lagi. Untuk itu AMANAH amat memerlukan pemimpin seperti Mat Sabu dan kumpulan G-18 untuk menggerakkan penubuhannya.
Suka atau tidak suka, Mat Sabu yang pernah digelar Saidina Khalid Al Walid PAS oleh Almarhum TGNA mempunyai pengaruh politik yang besar dalam landskap politik Malaysia.
Beliau sudah pun diuji dan disahkan kental oleh 'SIRIM' politik Malaysia. Biarpun pernah dibuang daerah dan dipenjarakan 2 kali di bawah ISA, namun beliau tetap istiqamah mendaulatkan ISLAM FOR ALL.
Orang seperti Mat Sabu sangat diperlukan oleh sebuah parti baharu untuk meneruskan survivalnya sepertimana PKR berjaya survive atas faktor DS Anwar yang akhirnya beliau hanyalah sebagai Ketua Umum sahaja bagi parti PKR.
Saya yakin dan percaya proses re-branding AMANAH sebagai sebuah parti Islam baharu yang bersifat inklusif akan dapat dilaksanakan juga dan sudah tentulah proses re-branding ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan meliputi pelbagai aspek penjenamaan.
Aktivis Hishamuddin Rais yang saya temui di KL tempohari berpesan kepada saya,
"Engkau jangan mimpilah AMANAH akan nampak kuat dalam tempoh 10 tahun sebab ini Malaysia bro. Politik Malaysia ialah politik dunia ke 3. Kau tak ada media, tak ada akses, tak dapat derma billion ringgit... 50 tahun lagi pun belum tentu kecuali ada MIRACLE berlaku."
Ya, saya mengharapkan keajaiban itu. Saya mengharapkan pertolongan Allah. Biarlah 50 tahun lagi atau 500 tahun lagi, yang penting langkah pertama telah kita mulakan hari ini. InshaAllah proses re-branding ini akan berjaya juga dan mungkin bukan saya yang akan menikmati hasilnya..
Mungkin cucu-cicit saya dan mungkin cucu cicit anda yang membaca tulisan ini.
Nota: Saya amat mengalu-alukan jika ada muka² baharu yg ingin menyertai kepimpinan Pemuda AMANAH Jasin & Negeri Melaka.
Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka,
& Ketua Pemuda AMANAH Jasin.
#AmanahNegara
#HarapanBaru
SAYA MELAYU TAPI SAYA TOLAK PERHIMPUNAN BAJU MERAH
1. Perhimpunan “Baju Merah” tinggal 2 hari saja lagi untuk diadakan. Tarikh yang ditetapkan untuk Perhimpunan tersebut adalah pada 16 September 2015 iaitu tarikh yang sama dengan sambutan “Hari Malaysia”.
2. Pada tahun 2010, kerajaan telah mengisytiharkan 16 September setiap tahun sebagai cuti umum bagi seluruh rakyat Malaysia.
3. Pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum pada setiap tahun adalah satu initiatif kerajaan bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963 yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia.
4. Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan telah digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, bertujuan bagi mewujudkan satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi diantara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Kerjasama ini juga dibentuk bagi menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau.
5. Setelah melalui proses rundingan yang panjang bermula sejak tahun 1961, Malaysia akhirnya ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963. Pada hari yang penuh bersejarah tersebut, teks pemasyhuran penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang berkumpul di Stadium Merdeka.
6. Diantara teks tersebut yang menarik untuk dikongsi di sini adalah:-
“…………… Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengistihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada 16 September 1963 bersamaan dengan 28 Rabiul Akhir 1383 Hijrah, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.”
7. Berdasarkan kepada teks pemasyhuran yang dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman itu, jelas bahawa hasrat penubuhan Malaysia ini adalah bagi menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kepada kebebasan dan keadilan serta bagi mempertahankan dan memelihara keamanan dan kemesraan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama.
8. Tetapi malangnya, Hari Malaysia yang sepatutnya diraikan dengan penuh keharmonian, keamanan dan kepelbagaian bakal dicemari dengan perhimpunan perkauman yang dinamakan “Perhimpunan Baju Merah”. Perhimpunan tersebut pasti akan menjejaskan matlamat asal sambutan Hari Malaysia yang bertujuan untuk memupuk nilai keharmonian, perpaduan dan keamanan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
9. Perhimpunan Baju Merah ini juga diadakan sebagai satu tindak balas terhadap perhimpunan BERSIH 4.0 yang diadakan baru-baru ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
10. Kalau dilihat kepada asas penubuhan BERSIH, ia tidak lain melainkan menuntut kepada pihak kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN agar satu transformasi di dalam sistem pentadbiran negara dilakukan antaranya desakan agar mewujudkan sebuah kerajaan yang telus, pilihanraya yang bebas dan adil, hak untuk berdemonstrasi dan mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen.
11. Kebiasaannya di negara-negara Barat, rakyat turun berhimpun di jalan raya bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap beberapa tindakan dan polisi kerajaan yang dianggap menindas, tidak adil dan membebankan rakyat. Tetapi Perhimpunan Baju Merah ini bukanlah perhimpunan rakyat terhadap kerajaan, tetapi perhimpunan Melayu terhadap BERSIH. Ini pelik !
12. Bagi saya, apa yang dituntut oleh BERSIH semuanya baik dan bagus untuk diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Ia mesej universal yang dituntut oleh semua rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang telus, adil dan bersih. Jadi, saya tidak faham apakah sebenarnya tindak balas yang mahu ditonjolkan oleh perhimpunan Baju Merah terhadap BERSIH. Adakah bermakna penganjur Perhimpunan Baju Merah tidak bersetuju dengan semua tuntutan BERSIH tersebut terhadap pihak kerajaan? Tidak jelas.
13. Kalaulah Perhimpunan Baju Merah ini bermotifkan protes terhadap bangsa Cina yang telah mendominasi perhimpunan BERSIH 4.0, itu bukan lesen untuk bangsa Melayu mengadakan Perhimpunan Baju Merah pula.
14. Bagi saya itu merupakan satu kejahilan dalam menonjolkan kekuatan Melayu.
15. Sesuatu bangsa itu harus bangkit dengan ilmu dan perpaduan. Tetapi Melayu hari ini telah dibangsatkan dengan kebodohan yang dibangsatkan oleh UMNO. Orang Melayu telah lama dibangsatkan tetapi disebabkan oleh kebodohan yang ditanam oleh UMNO, orang Melayu tidak tahu bahawa mereka sedang dan asyik dibangsatkan.
16. Kalau benarlah Melayu yang menyokong Perhimpunan Baju Merah itu ingin menonjolkan kekuatan Melayu, maka mereka sepatutnya menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 yang lalu dan nyatakan hasrat mereka secara bersama bahawa kita mahukan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan telus kerana kemunduran Melayu di Malaysia bukanlah disebabkan oleh bangsa Cina, tetapi disebabkan oleh UMNO yang gagal menjaga orang Melayu.
17. Saya mengkritik bukan bererti saya menafikan hak dan kebebasan mereka untuk berhimpun. Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita bertanggungjawab di atas kebebasan yang diberikan tersebut untuk memastikan perhimpunan yang dianjurkan itu berjalan secara aman dan ia tidak disalahgunakan di tempat yang salah.
18. Buat para penganjur Perhimpunan Baju Merah, hak anda untuk berhimpun secara aman tidaklah salah, tetapi motif dan tujuan anda berhimpun itulah yang salah. Perhimpunan yang akan anda adakan pada 16 September ini jelas bertentangan dengan matlamat dan objektif penubuhan Malaysia yang mahu menjadikan negara ini sebuah negara demokrasi yang menghormati hak-hak bangsa, agama dan budaya rakyat Malaysia yang pelbagai.
19. Maaf, walaupun saya Melayu, tetapi saya menolak Perhimpunan Baju Merah anda. Ia PERKAUMAN !!
#HarapanBaru
Mohd Fitri B. Asmuni
Timbalan Ketua
AMAN Perak