Showing posts with label AMANAH. Show all posts
Showing posts with label AMANAH. Show all posts

Pakatan Harapan Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu



KENYATAAN BERSAMA
PAKATAN HARAPAN

Pakatan Harapan Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu

Pakatan Harapan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu mengenai isu-isu mutakhir dalam negara yang perlu diberi perhatian segera. Kami merafak sembah menjunjung kasih di atas keprihatian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang memberi pedoman kepada rakyat dalam isu-isu penting yang dititahkan.

Pakatan Harapan bersetuju bahawa isu kegawatan kewangan 1MDB dan risikonya terhadap ekonomi negara perlu ditangani dengan segera. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh melengah-lengahkan keputusan-keputusan yang penting mengenai 1MDB kerana kegawatan yang berlarutan telah dan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.

Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru supaya semua institusi awam dan agensi penguatkuasaan di negara ini memainkan peranan dengan sebebas mungkin supaya kemelut 1MDB dapat diselesaikan segera seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu. Sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan atau tindakan institusi awam dan agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab boleh ditafsirkan sebagai mengengkari titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu.

Pakatan Harapan juga sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan sebelum pembentangan belanjawan kerajaan. Di antara fokus utama di dalam Belanjawan Pakatan Harapan ini adalah langkah-langkah muktamad untuk menyelesaikan masalah 1MDB ini dengan segera untuk melindungi rakyat daripada terus terheret dengan sentimen ekonomi yang murung akibat masalah 1MDB.

Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang menitahkan supaya keharmonian kaum dan perpaduan dijaga demi kesejahteraan negara. Titah tersebut adalah tepat mengambil kira pelbagai kejadian akhir-akhir ini yang seolah-olah cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum-kaum yang lain kebelakangan ini.

Oleh itu, Pakatan Harapan mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu itu agar menghindari perbuatan atau pengucapan yang menyinggung perasaan orang lain terutamanya yang bersabit kaum dan agama. Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan menemukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk memupuk budaya saling memahami bagi mengendurkan keadaan jika ada percubaan untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Kami berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu akan terus memayungi rakyat jelata dalam mengharungi cabaran mutakhir ini.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

YB LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

YBHG MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

8 OKTOBER 2015

Jerebu: ASEAN Digesa Bantu Indonesia - Salahuddin Ayub



JEREBU: ASEAN DIGESA BANTU INDONESIA

www.amanahnegara.org

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa semua negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), khasnya yang berjiran dengan Indonesia, agar segera tampil menghantar kepakaran dan jentera bagi sama-sama menyelesaikan masalah jerebu yang hampir sebulan melanda negara itu yang tidak menampakkan tanda positif ianya akan kembali pulih.

2. Ia turut memberi kesan kepada beberapa negara lain termasuk Malaysia sehingga bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri di negara ini mencapai tahap bahaya yang menyebabkan sesi persekolahan terpaksa ditutup beberapa kali.

3. Dalam hal ini, semua negara ASEAN wajar mengambil semangat kerjasama yang pernah ditunjukkan semasa membantu operasi mancari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada tahun lalu.

4. AMANAH melihat sudah tiba masanya ASEAN menghantar pasukan mahir serta jentera terbaik bagi membantu pasukan penyelamat Indonesia tanpa menafikan hak negara-negara jiran untuk mengambil tindakan undang-undang kerana masalah tersebut.

5. Bagi AMANAH, lebih penting ketika ini adalah bagaimana kesatuan anggota ASEAN dalam membantu negara-negara jiran jika berlaku kejadian serupa, dengan melihat kelebihan dan kemampuan negara lain. Maka membantu Indonesia adalah permulaan terbaik untuk mempraktikkan kesatuan yang mahu dibentuk.

Amanah. Progresif. Peduli.

SALAHUDDIN HJ AYUBTimbalan Presiden
Parti Amanah Negara
8 Oktober 2015



1MDB: Bahasa Berheman Untuk Najib Berundur - Salahuddin Ayub



1MDB: BAHASA BERHEMAH UNTUK NAJIB BERUNDUR

www.amanahnegara.org

1. AMANAH yakin teguran Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang baru-baru ini bertujuan memastikan pentadbiran Putrajaya menumpukan pembangunan negara, dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang. Ini disebabkan skandal Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum diselesaikan.

2. Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Dato' Seri Najib Razak berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara.

3. Banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno sendiri dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Dato' Ungku Dr Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz dan bekas Ketua Peguam Negara, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani Patail.

4. AMANAH merasakan ia adalah isyarat jelas bahawa Dato’ Sri Najib perlu berundur dengan segera kerana beliau masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak termasuk Majlis Raja-Raja Melayu tentang isu 1MDB yang turut dikaitkan dengan peribadi beliau yang sehingga kini belum ‘dibersihkan’ lagi di mahkamah.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
7 Oktober 2015

Hormat Gesaan Majlis Raja-Raja; Najib Wajib Letak Jawatan atau Hadapi Undi Tidak Percaya - Fadzil Ahamad Pemuda AMANAH



KENYATAAN MEDIA

HORMAT GESAAN MAJLIS RAJA-RAJA; NAJIB WAJIB LETAK JAWATAN ATAU HADAPI UNDI TIDAK PERCAYA

1. Pemuda AMANAH Nasional memandang serius gesaan Majis Raja-raja Melayu supaya siasatan terhadap skandal 1MDB segera diselesaikan sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad susulan mesyuarat Pra-Majlis semalam.


2. Kenyataan tersebut amat tepat pada masanya setelah sekian banyak desakan oleh pelbagai pihak sama ada dari kalangan pembangkang mahupun di pihak kerajaan sendiri yang mahukan isu ini diselesaikan secara tuntas.

3. Namun, Pemuda AMANAH Nasional berpendirian bahawa siasatan semata-mata tidak memadai selagi Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB masih berada di tampuk kuasa yang memungkinkan perjalanan siasatan terhadap badan itu sekali lagi menemui jalan buntu.

4. Sebagaimana yang diketahui umum, pasukan penyiasat khas untuk menyiasat skandal 1MDB yang melibatkan Polis, SPRM, Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara, telah dibubarkan sejurus Perdana Menteri mengambil tindakan drastik menukar Peguam Negara. Selain itu, perjalanan siasatan 1MDB juga terganggu apabila Perdana Menteri menggunakan kuasa prerogatifnya merombak kabinet dengan melantik ahli Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) ke jawatan menteri dan timbalan menteri ketika jawatankuasa tersebut masih dan sedang menjalankan siasatannya.

5. Oleh itu, Pemuda AMANAH Nasional menegaskan bahawa Perdana Menteri wajib meletakkan jawatannya serta merta susulan gesaan Majlis Raja-raja Melayu semalam bagi memastikan siasatan terhadap skandal 1MDB dapat dijalankan dengan lebih telus dan adil.

6. Selain itu, Pemuda AMANAH Nasional juga menggesa supaya satu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri benar-benar dibawa dalam sidang Parlimen akan datang dan menyeru kepada seluruh ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah setia menjunjung tinggi Institusi Raja Berperlembagaan supaya menyokong usul tersebut demi menyelamatkan maruah negara yang kian tercalar akibat skandal yang dicipta Perdana Menteri sendiri.

MUHAMAD FADZIL AHAMAD
Pengarah Komunikasi
Pemuda AMANAH Nasional

7 Oktober 2015



Parti Amanah Negara Mahu ‪Kesan Jangka Pendek‬ Dan ‪Jangka Panjang‬ Berhubung ‪TPPAMesti Dikaji Dengan Teliti - YB Khalid Samad



PARTI AMANAH NEGARA MAHU ‪KESAN JANGKA PENDEK‬ DAN ‪JANGKA PANJANG‬ BERHUBUNG ‪#‎TPPA‬ MESTI DIKAJI DENGAN TELITI - YB KHALID SAMAD

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa bahawa Perjanjian TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement), walaupun telah dipersetujui, namun tidak akan ditandatangani sebelum mendapat persetujuan dari Parlimen dan semua pihak berkepentingan. YB Menteri turut menjanjikan keseluruhan isi kandungan perjanjian akan dikemukakan kepada rakyat dan perbahasan menyeluruh akan diadakan.

2. Kami harap pihak Menteri akan menepati janji tersebut dengan menentukan masa yang cukup dan memadai, bukan sahaja untuk Parlimen, tetapi juga masyarakat umum bagi meneliti dan membahasnya. Begitu juga kami harap bahawa semua teguran akan diambil berat dan diambil tindakan sewajarnya dan perbahasan tidak akan merupakan satu ‘public relations excercise’ semata-mata.

3. Kenyataan Menteri dengan sendirinya mengakui wujudnya berbagai kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati terhadap perjanjian ini. Kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati ini sambil diakui kewajarannya, dijawab dengan sekadar menyatakan bahawa Malaysia telah mendapat ‘konsesi’ dalam hampir kesemua isu yang dikemukakan. Dijelaskan bahawa konsesi tersebut mengambil bentuk ‘keanjalan dari sudut tempoh’ dan ‘layanan berbeza bagi bidang-bidang sensitif negara’. Malangnya kenyataan tersebut tidak menjelaskan aspek ‘keanjalan’ dan ‘layanan berbeza’ yang dimaksudkan dengan lebih terperinci.

4. Di antara kekhuatiran terhadap perjanjian sebegini rupa adalah bahawa ianya bertujuan untuk menjamin persaingan bebas tanpa kawalan dan campur tangan kerajaan. Ini akan menyebabkan pihak yang lebih kuat dan berkebolehan mengatasi semua pihak lain dan menguasai pasaran. Dengan itu syarikat-syarikat tempatan yang jauh lebih kecil berbanding syarikat antarabangsa Amerika Syarikat dan sebagainya akan terjejas dan dengan sendirinya terpinggir. Pembukaan pasaran di negara rakan TPPA seperti Amerika, Canada dan Australia tidak begitu bermakna sekiranya diakui bahawa syarikat-syarikat tempatan tidak mampu bersaing walaupun di pasaran negara sendiri. Sekiranya itu benar, maka sudah pasti mereka tidak akan mampu bersaing di negara rakan TPPA!

5. Kekhuatiran yang bersifat lebih menyeluruh adalah berhubung kebebasan dan hak Negara untuk menjalankan usaha ‘penyususnan semula’ ekonomi negara. Usaha seperti ini sudah pasti akan terjejas. Kerajaan akan berada dalam keadaan ‘tangan terikat’ di mana apa jua usaha memberi layanan berbeza dengan mengutamakan syarikat-syarikat tempatan boleh dipertikaikan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak syarikat asing.

6. Begitu juga dengan persoalan hak milik intellektual yang akan mendatangkan kesan terhadap harga ubat-ubatan khususnya. Penguatkuasaan hak milik intellectual ini akan menyebabkan kos ubat-ubatan melambung dan walaupun ini mungkin baik bagi syarikat-syarikat farmasutikal, sudah pasti akan mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat jelata.

7. Kami mendapati kesemua persoalan ini dan yang sepertinya difahami Menteri kerana telah disentuh olehnya melalui kenyataan tersebut. Hanya yang tidak dijelaskan adalah sejauh mana ‘konsesi’ yang telah diperolehi menjawab dan menyelesaikan segala kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati berhubungnya. Ini akan diselidiki dan diperincikan apabila isi kandungan perjanjian ini didedahkan kepada rakyat untuk dibahaskan.

8. Semestinya Parti Amanah Negara tidak akan membantah sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada negara dan rakyat. Namun yang dikhuatiri adalah ianya hanya mendatangkan keuntungan jangka masa pendek sambil menambahkan kebergantungan negara kepada sumber hasil tertentu. Segala usaha untuk mengembangkan kemampuan sektor swasta dan awam dalam bidang lain demi menerokai sumber hasil baru akan tercantas dari awal melalui perjanjian ini. Oleh itu kesan jangka pendek dan jangka panjang perjanjian sebegini perlu dikaji dengan penuh teliti.

9. Ke arah itu Parti Amanah Negara mengalu-alukan jaminan Menteri untuk membawa setiap aspek perjanjian ini untuk dibahas, sambil menjamin tempoh yang memadai untuk perbahasan ini, sebagai satu tindakan yang wajar dan perlu.

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara
6 Oktober 2015

Kenyataan Parti Amanah Negara Berhubung TPPA



KENYATAAN PARTI AMANAH NEGARA BERHUBUNG TPPA

www.amanahnegara.org

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa bahawa Perjanjian TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement), walaupun telah dipersetujui, namun tidak akan ditandatangani sebelum mendapat persetujuan dari Parlimen dan semua pihak berkepentingan. YB Menteri turut menjanjikan keseluruhan isi kandungan perjanjian akan dikemukakan kepada rakyat dan perbahasan menyeluruh akan diadakan.

2. Kami harap pihak Menteri akan menepati janji tersebut dengan menentukan masa yang cukup dan memadai, bukan sahaja untuk Parlimen, tetapi juga masyarakat umum bagi meneliti dan membahasnya. Begitu juga kami harap bahawa semua teguran akan diambil berat dan diambil tindakan sewajarnya dan perbahasan tidak akan merupakan satu ‘public relations excercise’ semata-mata.

3. Kenyataan Menteri dengan sendirinya mengakui wujudnya berbagai kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati terhadap perjanjian ini. Kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati ini sambil diakui kewajarannya, dijawab dengan sekadar menyatakan bahawa Malaysia telah mendapat ‘konsesi’ dalam hampir kesemua isu yang dikemukakan. Dijelaskan bahawa konsesi tersebut mengambil bentuk ‘keanjalan dari sudut tempoh’ dan ‘layanan berbeza bagi bidang-bidang sensitif negara’. Malangnya kenyataan tersebut tidak menjelaskan aspek ‘keanjalan’ dan ‘layanan berbeza’ yang dimaksudkan dengan lebih terperinci.

4. Di antara kekhuatiran terhadap perjanjian sebegini rupa adalah bahawa ianya bertujuan untuk menjamin persaingan bebas tanpa kawalan dan campur tangan kerajaan. Ini akan menyebabkan pihak yang lebih kuat dan berkebolehan mengatasi semua pihak lain dan menguasai pasaran. Dengan itu syarikat-syarikat tempatan yang jauh lebih kecil berbanding syarikat antarabangsa Amerika Syarikat dan sebagainya akan terjejas dan dengan sendirinya terpinggir. Pembukaan pasaran di negara rakan TPPA seperti Amerika, Canada dan Australia tidak begitu bermakna sekiranya diakui bahawa syarikat-syarikat tempatan tidak mampu bersaing walaupun di pasaran negara sendiri. Sekiranya itu benar, maka sudah pasti mereka tidak akan mampu bersaing di negara rakan TPPA!

5. Kekhuatiran yang bersifat lebih menyeluruh adalah berhubung kebebasan dan hak Negara untuk menjalankan usaha ‘penyususnan semula’ ekonomi negara. Usaha seperti ini sudah pasti akan terjejas. Kerajaan akan berada dalam keadaan ‘tangan terikat’ di mana apa jua usaha memberi layanan berbeza dengan mengutamakan syarikat-syarikat tempatan boleh dipertikaikan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak syarikat asing.

6. Begitu juga dengan persoalan hak milik intellektual yang akan mendatangkan kesan terhadap harga ubat-ubatan khususnya. Penguatkuasaan hak milik intellectual ini akan menyebabkan kos ubat-ubatan melambung dan walaupun ini mungkin baik bagi syarikat-syarikat farmasutikal, sudah pasti akan mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat jelata.

7. Kami mendapati kesemua persoalan ini dan yang sepertinya difahami Menteri kerana telah disentuh olehnya melalui kenyataan tersebut. Hanya yang tidak dijelaskan adalah sejauh mana ‘konsesi’ yang telah diperolehi menjawab dan menyelesaikan segala kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati berhubungnya. Ini akan diselidiki dan diperincikan apabila isi kandungan perjanjian ini didedahkan kepada rakyat untuk dibahaskan.

8. Semestinya Parti Amanah Negara tidak akan membantah sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada negara dan rakyat. Namun yang dikhuatiri adalah ianya hanya mendatangkan keuntungan jangka masa pendek sambil menambahkan kebergantungan negara kepada sumber hasil tertentu. Segala usaha untuk mengembangkan kemampuan sektor swasta dan awam dalam bidang lain demi menerokai sumber hasil baru akan tercantas dari awal melalui perjanjian ini. Oleh itu kesan jangka pendek dan jangka panjang perjanjian sebegini perlu dikaji dengan penuh teliti.

9. Ke arah itu Parti Amanah Negara mengalu-alukan jaminan Menteri untuk membawa setiap aspek perjanjian ini untuk dibahas, sambil menjamin tempoh yang memadai untuk perbahasan ini, sebagai satu tindakan yang wajar dan perlu.

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara
6 Oktober 2015

Apa Benda TTPA ini? Adeysham Nor



Apa benda TPPA ni?

TPPA ialah Perjanjian Perdagangan Bersama di antara 11 buah negara dgn Amerika Syarikat.

Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam & Jepun adalah antara negara di Asia yang terlibat.

TPPA menjadi perdebatan hangat kerana butiran penuh perjanjiannya telah dan masih dirahsiakan.

Hanya ada beberapa sahaja butiran perjanjian TPPA berjaya dibocorkan.

Sehingga ke hari semalam (5/10/2015), butiran penuh perjanjian TPPA masih lagi DIRAHSIAKAN dan Kerajaan Malaysia pula telah pun bersetuju untuk menerima perjanjian TPPA.

Apa yang akan berlaku selepas ini adalah butiran penuh perjanjian TPPA ini akan dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Sekiranya Parlimen Malaysia meluluskan perjanjian ini, maka SAH lah Malaysia menerima perjanjian ini.

Antara isi perjanjian TPPA yang berjaya dibocorkan adalah mengenai isu perolehan kerajaan.

Melalui TPPA, syarikat dari luar negara boleh masuk membida mana² tender kerajaan. Syarikat tempatan & bumiputera pula mesti bersaing dengan syarikat luar atas nama liberalisasi & keterbukaan pasaran ekonomi.

Persoalannya nanti, apakah jaminan 'keistimewaan' syarikat tempatan & bumiputera selama ini akan terpelihara kerana kerajaan Malaysia boleh diheret ke Mahkamah Khas di Geneva sekiranya syarikat luar tidak berpuas hati dengan keputusan tender tersebut diberikan kepada syarikat tempatan.

Contoh kedua, syarikat luar seperti syarikat rokok & arak boleh menyaman kerajaan Malaysia sekiranya mereka mendapati Kempen Tak Nak Merokok atau Kempen Jauhi Arak dirasakan tidak menguntungkan syarikat mereka.

Malah Kempen Beli Barangan Tempatan & Kempen Boikot McD pun mesti dihapuskan kerana ianya tidak sesuai dengan konsep liberalisasi ekonomi.

Contoh ketiga, anda tidak lagi boleh sewenang-wenangnya memuat turun lagu, video, perisian atau bahan bacaan dari internet kerana semua bahan itu dilindungi oleh TPPA.

Aktiviti internet anda mesti diselia oleh penyedia perkhidmatan internet dan anda boleh didakwa jika terbukti anda telah memuat turun lagu Frozen untuk anak anda tanpa kebenaran pihak Walt Disney.

Daripada butiran TPPA yang bocor itu, kita juga faham bahawa industri Malaysia juga boleh masuk pasaran Amerika.

Maksudnya, DVD filem Polis Evo pun boleh masuk ke pasaran US & Jepun.

Persoalannya, mampu ke DVD Polis Evo laku keras di sana berbanding ribuan tajuk DVD filem US & Jepun (termasuk filem Maria Ozawa) yang boleh masuk ke pasaran negara ini secara bebas?

Ini hanyalah sekelumit contoh² risiko yang terpaksa kita hadapi apabila kita SAH menyertai TPPA.

Tidak dapat dinafikan, ada juga kelebihan yang boleh kita perolehi dari TPPA ini. Misalnya, kita boleh mencari peluang pekerjaan & pelaburan di US & Jepun.

Namun persoalannya nanti, adakah kita sanggup menikmati semua kemewahan itu tapi dalam masa yang sama kita mesti melacurkan maruah dan masa depan anak cucu kita?

Sudah tiba masanya, masa depan negara ini ditentukan oleh kita semua secara kolektif di parlimen ataupun di medan² ilmu dan bukannya melalui satu permainan golf yang kemudiannya diikuti dengan acara membeli belah di kota New York.

Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka.

Recent Posts Widget

.

.