Showing posts with label AMANAH. Show all posts
Showing posts with label AMANAH. Show all posts

MB Tidak Hormati PKR Tumpat - Wan Johari



KENYATAAN MEDIA
MB TIDAK HORMAT PKR TUMPAT

Merujuk kepada pengumuman Pesuruhjaya PAS Kelantan merangkap YDP PAS Kawasan Tumpat, YAB Dato Ustaz Haji Ahmad bin Yaacob pada 25 Muharam 1437H bersamaan 7 November 2015 bertempat di Dewan Wisma I’badurrahman, Pejabat PAS Dun Pasir Pekan yang mengumumkan perlantikan Timbalan YDP PAS Kawasan Tumpat merangkap Setiausaha PAS Kelantan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Che Abdullah (ADUN Wakaf Bharu) sebagai penyelaras Parlimen Tumpat bagi menggantikan YB Dato Kamarudin bin Jaafar yang telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Seperti yang kita sedia maklum, PAS menegaskan mereka masih bersama Pakatan Rakyat dan bekerjasama ( bertahaluf ) dengan PKR, ini dibuktikan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan PAS sejak dari krisis sehingga meruntuhkan Pakatan Rakyat.

Perlantikan YB Dato Che Abdullah sebagai penyelaras Parlimen Tumpat telah bertentangan dengan semangat tahaluf yang digembar gemburkan oleh PAS dan pada masa yang sama PAS telah tidak menghormati PKR sebagai rakan sekutu tunggalnya buat masa sekarang.

Di samping itu perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Hal Ehwal Tanah Jajahan (JHET) bagi bagi mewakili Ahli Parlimen Tumpat juga telah diambil alih oleh Naib YDP PAS Kawasan Tumpat merangkap Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Wan Roslan tanpa berunding dengan PKR.

PAS secara terang-terangan menggunakan kuasanya dengan mencabuli tahaluf bersama PKR, dan pekara sebegini secara umum bukanlah kali pertama dilakukan oleh PAS.

Sebagai anggota PAKATAN HARAPAN bersama DAP dan PKR, AMANAH Tumpat kesal dengan pencabulan kuasa oleh PAS dan sikap tidak menghormati rakan yang dilakukan oleh PAS.

Sekian.

WAN MOHD JOHARI B WAN OMAR
Ketua Penaja
Parti Amanah Negara
Parlimen Tumpat

11 November 2015

Amaran Keras Buat Najib : Jangan Gadaikan Kepentingan Negara Untuk Selesaikan Hutang 1MDB - Adeysham Nor



KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH MELAKA
6 NOVEMBER 2015

AMARAN KERAS BUAT NAJIB: JANGAN GADAIKAN KEPENTINGAN NEGARA UNTUK SELESAIKAN HUTANG 1MDB


1. Pemuda AMANAH Melaka mengambil perhatian khusus mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Datuk Seri Maximus Ongkili yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 5 November 2015 bahawa ada cadangan untuk membenarkan 1MDB melupuskan semua aset IPPnya kepada syarikat yang dimiliki 100% oleh negara asing.

2. Ini bertentangan dengar dasar kerajaan sedia ada bahawa had maksimum ekuiti pemilikan asing yang dibenarkan bagi aset-aset penjanaan elektrik di negara ini ialah 49% sahaja dan 51% lagi ekuiti pemilikan hendaklah dikawal oleh syarikat tempatan.

3. Kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili itu amat merbahaya sekali kerana ia seolah-olah mahu membenarkan desas-desus yang mengatakan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sanggup membatalkan peraturan had pemilikan asing itu demi membantu 1MDB mendapatkan harga bidaan yang lebih tinggi dari yang harga yang telah ditawarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

4. Laporan media semalam menyatakan; harga yang dibida oleh TNB ialah sekitar RM8 bilion iaitu hampir sama dengan harga nilaian pasaran semasa. Daripada maklumat yang kami perolehi, harga bidaan pencabar terdekat TNB adalah dari satu konsortium di antara syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) ialah RM10 bilion iaitu RM2 bilion lebih tinggi dari harga pasaran.

5. Persoalannya kini, apakah pentadbiran Datuk Seri Najib akan mencari helah untuk membenarkan bidaan daripada syarikat asing tersebut walaupun ia jelas mahu melanggar peraturan sedia ada? Apakah pentadbiran Datuk Seri Najib akan menukar undang-undang sedia ada untuk membolehkan sektor elektrik negara kini dibuka kepada syarikat yang 100% dimiliki pegangan asing?

6. Justeru itu, Pemuda AMANAH Melaka ingin memberikan amaran keras kepada Datuk Seri Najib; jangan sesekali terfikir untuk menjual kepentingan strategik negara untuk menutup lubang hutang 1MDB. Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan “Kempen Selamatkan Aset Negara” ke seluruh negeri ini sekiranya Datuk Seri Najib berkeras mahu menggubah peraturan pemilikan ekuiti asing dalam sektor penjanaan tenaga elektrik di negara ini.

7. Dengan ini, Pemuda AMANAH Melaka juga ingin mengajak semua rakyat Negeri Melaka ke Dewan Sekolah Pay Fong pada 12 November ini (Khamis) jam 8 malam untuk kami paparkan secara lebih terperinci mengenai isu 1MDB ini dalam satu forum yang akan dikendalikan oleh Pakatan Harapan negeri Melaka bersama-sama dengan Dr Zulkefli, Tony Pua dan juga Rafizi Ramli.

Sekian, terima kasih.

ADEYSHAM NOR
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Melaka.


Sokong Tolak Belanjawan Dan Usul Undi Tidak Percaya - Sofi Wahab



SOKONG TOLAK BELANJAWAN DAN USUL UNDI TIDAK PERCAYA

Parti AMANAH Negara Negeri Melaka menyokong keputusan Pakatan Harapan yang menegaskan ia akan tetap dengan pendirian meneruskan usul untuk menolak Belanjawan 2016 dan membentang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penolakan terhadap Belanjawan 2016 adalah sesuatu yang wajib dilakukan kerana jelas sekali belanjawan tersebut tidak mampu menyelesaikan kemelut politik, pentadbiran, ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Isi kandungan belanjawan itu hanyalah ulangan kepada belanjawan tahun lepas yang ternyata gagal menyelesaikan masalah hutang negara, ekonomi negara yang semakin tenat, penyelewengan dan pembaziran wang negara.


Malah isu-isu besar yang membelenggu negara seperti 1MDB, kejatuhan nilai ringgit, rasuah, ketirisan dan kebocoran wang negara juga tidak disebut dengan jelas dan terang tentang penyelesaiannya di dalam belanjawan tersebut. Ini semua sudah cukup untuk menjustifikasikan mengapa Belanjawan 2016 wajib ditolak oleh semua Ahli Parlimen bukan sahaja dari pembangkang malah dari penyokong kerajaan sekalipun.

Kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak juga terbukti dibelenggu oleh skandal demi skandal yang gagal dijawab dan dijelaskan kepada rakyat. Maka Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang lain serta parti-parti komponen BN wajib menolak belanjawan tersebut.

Sebab-sebab di atas juga sudah cukup dan jelas untuk menjustifikasikan keputusan Pakatan Harapan untuk mengusulkan undi penolakan terhadap belanjawan 2016 dan membuat usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang gagal memimpin negara ke arah yang lebih baik dari semua aspek.

Belanjawan 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini sepatutnya menggariskan perkara-perkara asas seperti penyelesaian konkrit terhadap kemelut ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit, isu 1MDB, hutang negara yang semakin meruncing, kenaikan harga barang, pembasmian kemiskinan, masalah pengangguran dan lain-lain perkara asas.

Walaupun perkara-perkara di atas adalah perkara biasa dan asas tetapi kerajaan masih gagal menanganinya sejak puluhan tahun lalu. Malah belanjawan 2016 seperti juga tahun-tahun lepas adalah belanjawan defisit.

Mohd Sofi Abdul Wahab - Pengarah Komunikasi dan Media
Parti AMANAH Negara
Negeri Melaka.

Jawapan bertulis mengenai soalan Hanipa Maidin kepada PM tentang isu wang RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi PM



Saya baru sahaja menerima jawapan bertulis mengenai soalan saya kepada Perdana Menteri tentang isu wang RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Soalan saya adalah seperti berikut :-

54. PR-1333-L70469 Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [ Sepang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-


(a) adakah pihak polis atau SPRM telah memanggil Perdana Menteri untuk disoal siasat di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berhubung pendepositan RM2.6 bilion (USD700 juta) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri di CIMB bank; dan

(b) jika Perdana Menteri sudah dipanggil soal siasat, bilakah beliau dipanggil dan apakah status penyiasatan tersebut dan jika belum dipanggil, mengapakah Perdana Menteri tidak dipanggil untuk disoal siasat.

Jawapan yang diberikan oleh Senator Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah seperti berikut

Tan Sri Yang Di Pertua

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) masih menjalankan siasatan terhadap isu yang dibangkitkan. SPRM juga ingin memaklumkan bahawa setiap saksi atau individu yang berkaitan dengan kes ini akan dipanggil bagi tujuan siasatan. Setakat ini YAB Perdana Menteri belum lagi diambil dan ianya akan dilakukan apabila tiba masanya nanti.

Sekian, terima kasih."

Komen saya berhubung jawapan di atas

1. Apabila dinyatakan bahawa " bahawa setiapa saksi atau individu yang berkaitan dengan kes in AKAN dipanggil bagi tujuan siasatan" bermakna sehingga kini SPRM masih belum memanggil
mana mana saksi bagi kes ini. Kalau tiada saksi yang dipanggil maka macam mana siasatan nak dilakukan ? Adakah benar wujudnya siasatan terhadap kes ini ?

2. Isu RM 2.6 billion menjadi isu nasional dan international dan PM adalah individu paling penting untuk diambil keterangan..mengapakah sehingga kini beliau masih belum dipanggil ? Berdasarkan seksyen 23 ( 1 ) Akta SPRM adalah jelas beliau termasuk dalam "pegawai badan awam" maka ada asas yang kuat untuk beliau disiasat dan diambil keterangan , maka apabila beliau masih belum dipanggil ia memberi satu persepsi yang amat negatif kepada PM dan sistem keadilan dalam negara ini.

3. Kenapakah bila melibatkan PM nampaknya agak perlahan untuk diambil kenyataan PM sedangkan bila melibatkan rakyat biasa atau ahli ahli politik pembangkang agak cepat diambil tindakan

Jerebu: Perlu Tindakan Tegas Di Peringkat Antarabangsa - Salahuddin Hj Ayub



KENYATAAN MEDIA

JEREBU: PERLU TINDAKAN TEGAS DI PERINGKAT ANTARABANGSA

www.amanahnegara.org


1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pertubuhan-pertubuhan alam sekitar di peringkat antarabangsa termasuk Greenpeace, Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUNC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melihat secara perundangan terhadap negara terlibat jerebu.

2. AMANAH berpandangan bahawa satu tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kejadian jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia, yang merebak ke beberapa negara asia lain, tidak berulang.

3. Sehingga hari ini, jerebu yang berlarutan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang penduduk Indonesia dan menyebabkan setengah juta penduduk republik itu berdepan masalah pernafasan.

4. Di Malaysia, jerebu melanda hampir setiap tahun dan tahun ini adalah antara terburuk direkodkan sehingga aktiviti persekolahan harian terjejas teruk dan terpaksa dihentikan beberapa kali.

5. Selain mengganggu aktiviti kehidupan, kebakaran hutan dan jerebu juga turut memberi implikasi global terhadap peningkatan pelepasan gas rumah hijau.

6. AMANAH merasakan sudah tiba masanya, maklumat syarikat dan firma bertanggungjawab mencetuskan jerebu didedahkan kepada umum dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa antarabangsa.

"Harapan Baru"

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
27 Oktober 2015

Belanjawan Sogok Gagal Selesai Masalah Rakyat – Faiz Fadzil



Belanjawan sogok gagal selesai masalah rakyat – Faiz FadziL

Belanjawan 2016 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak banyak berkisar kepada polisi lama walaupun kutipan GST dijangka sebanyak RM39 billion.

Kerajaan seperti dijangkan mengekalkan pemberian BR1M dengan kenaikan RM50. BR1M sering dikaitkan dengan sogokan politik kerana pemberian wang secara terus, namun ia tidak menyelesaikan masalah jangka panjang dan kehidupan seharian rakyat kerana tiada pakej berkesan bagi mengurangkan kos sara hidup.

Dengan kutipan GST sebanyak RM39 billion, kerajaan seharusnya meningkatkan jumlah subsidi bahan api yang mana akan menurunkan harga komoditi tersebut, dan akhirnya dapat mengurangkan harga barang. Tiada juga pengumuman penurunan tarif elektrik yang juga faktor utama kenaikan harga barang.

Kerajaan hanya membelanjakan RM5.9 billion untuk BR1M. RM1000 hanya diberikan sekali setahun dan bukannya bantuan bulanan. Jumlah tersebut hanya memberikan tambahan RM3 sehari kepada rakyat yang layak sedangkan kos sara hidup sekarang meningkat RM20 sehari.

Skim pembiayaan deposit rumah pertama juga tidak banyak membantu rakyat untuk memiliki rumah terutama anakmuda kerana mereka perlu juga meminjam untuk membayar deposit rumah yang mahal. Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan untuk menurunkan harga rumah memandangkan kelulusan harga rumah adalah daripada kerajaan dan bukannya pemaju. Jelas, kerajaan hanya membiarkan kelompok kapitalis seperti pemaju untuk terus mengaut keuntungan.

Bantuan Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada pelajar IPT juga tidak banyak membantu memandangkan ia juga bantuan sekali setahun. Kerajaan seharusnya menawarkan bantuan baucar komputer riba bagi membolehkan setiap pelajar IPT memiliki komputer riba bagi meningkatkan mutu pendidikan.

Bayaran khas bonus RM500 kepada pegawai kerajaan juga tidak banyak membantu pegawai kerajaan yang banyak berbakti kepada negara, apatah lagi dalam persediaan persekolahan anak-anak. Seharusnya, mereka diberikan bonus sebulan gaji jika benar gaji mereka dibayar daripada kutipan GST. Hasil GST hendaklah dikembalikan kepada rakyat kerana ia dikutip daripada rakyat.

Belanjawan kali ini banyak tertumpu kepada negeri Sarawak berbanding negeri lain, tidak lain tidak bukan bagi menyogok pengundi pilihanraya negeri yang semakin hampir. Rakyat Sarawak bukan sahaja perlu dibantu untuk tempoh jangka pendek, tetapi hendaklah diatur untuk jangka panjang dengan memantapkan ekonomi penduduk luar bandar terutama peluang pekerjaan anakmuda negeri tersebut.

Yang jelas ekonomi rakyat Kelantan terus terpinggir. Tiada tanda-tanda royalti minyak akan dibayar kepada kerajaan negeri. Rakyat Kelantan bukan sahaja perlu membayar GST, tetapi hak sumber asli milik mereka dirompak. Pemberian royalti minyak jika diberikan pasti banyak memangkin ekonomi dan pembangunan negeri.

Walaupun kutipan GST begitu tinggi hasil daripada keringat rakyat, namun ia tidak dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat. Janji kerajaan GST adalah untuk rakyat adalah janji palsu. Jika begini, tiada gunanya GST dilaksanakan dan hendaklah dibatalkan.

Peruntukan RM10 billion untuk pembinaan LRT3 walaupun untuk kemudahan rakyat dibimbangi melebihi kos yang sepatutnya dan ini pasti menguntungkan kantung kroni.

Selagi kerajaan gagal menyelesaikan skandal kewangan terutama 1MDB, selagi itulah integriti dan transparensi kerajaan diragui. Jika ketirisan wang rakyat terus berlaku, rakyat akan terus derita walaupun pelbagai sogokan belanjawan diumumkan. –

Faiz Fadzil
24 Oktober, 2015.

Bajet 2016: Bajet Kala Waktu Diuji - Dr Mujahid Yusof Rawa



BAJET 2016: BAJET KALA WAKTU DIUJI

Bajet kali ini datang dalam keadaan suram suasana ekonomi negara dengan kesan penurunan Ringgit Malaysia dan ekonomi global yang perlahan. Faktor penurunan Yuen China turut memberi kesan kepada ekonomi negara. Dalam suasana ini, Malaysia ada pecutan terakhir dalam perancangannya mencapai status negara maju dalam RMK 11 dan bajet ini adalah yang pertama lonjakan dalam masa lima tahun berbaki ke tahun 2020. Antara harapan dan halangan Bajet 2016 lahir dalam desakan perubahan politik yang semakin meningkat dan populariti Perdana Menteri Najib Razak yang semakin menurun.

Tiada yang istimewa dalam bajet kali ini kecuali gaji minima dipertingkatkan kepada RM1200 untuk awam dan RM1000 untuk swata. Ini dialukan sepertimana yang pernah diperjuangkan selama ini oleh pembangkang walaupun ada yang menngaggap RM1000 kepada swasta tidak merangsangkan pekerjaan sektor swasta yang perlu dikukuhkan. Peruntukan BRIM dan insentif lain kepada rakyat sememangnya dijangkakan untuk memberikan sedikit rasa kelegaan sebagai kerajaan yang bergantung kepada sokongan rakyat.

Menarik tentang GST yang anggaran hasilnya dilihat meningkat dari asal RM29 bilion kepada RM34 bilion atau peningkatan 24 peratus berbanding anggaran pendapatan lain yang menurun dari yang disasarkan termasuk cukai Petronas dan cukai syarikat. Pendapatan negara bajet ini ialah RM225 bilion. Manakala perbelanjaan ialah RM267 bilion dengan perbelanjaan operasi mengambil 80 peratus berbanding 20 peratus untuk pembangunan.

Bajet ini juga mengulangi agenda Bumiputra yang disebut dalam RMK11 namun isu asal yang menghantui peruntukan Bumiputra selama ini tidak digarap seperti ketirisan, tadbirurus agensi seperti MARA dan lain-lain. Penekanan kepada peningkatan ekuiti dengan peruntukan untuk Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sebenarnya tidak banyak membantu majoriti Bumiputra yang merupakan mereka yang berpendapatan tetap. Begitu juga penstrukturan semula agensi Bumiputra adalah lebih releven disentuh khusunya tumpuan kepada pendidikan dan latihan. Pengendalian MARA yang dianggotai oleh ahli majlis pengurusannya yang majoriti ahli politik menyebabkan MARA tidak ditadbir secara profesional dan menjana. Lebih penting ialah merasionalisasikan agensi Bumiputra bagi memaksimakan pelaburan kerajaan selama ini.

Isu lain yang tidak ditangani ialah pekerja asing yang semakin memberi kesan kepada isu peningkatan produktiviti kerana gaji yang murah dan kurangnya peningkatan pekerja mahir atau separuh mahir. Lesen pekerja asing patut diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia dan bukan Kementerian Dalam Negeri kerana keperluan tenaga kerja dan rasionalnya adalah merupakan kerja utama KSM.

Isu pekerja tiada disebutkan secara substantif reform dari sudut suara melalui kesatuan mahupun pulangan keuntungan kepada pekerja berbanding majikan serta pengurangan caruman KWSP bagi menambahkan pendapatan boleh belanja pekerja.

Perkembangan 3-5 peratus ekonomi turut menghantui prestasi mencapai status negara maju 2020 yang mensasarkan pendapatan purata rakyat berbanding PDNK ialah USD15000 Untuk berbuat demikian perkembangan 6 peratus diperlukan setiap tahun apatah lagi dengan penurunan RM pencapaiannya lebih sukar.

Secara menyeluruh tiada pembaikan struktural dalam menangani krisis yang dihadapi dan tiada yang baru tentang reformasi tatakelola kewangan yang baik dengan mengambilkira skandal 1MDB dan RM2.6 bilion serta unsur yang meyakinkan kita ada usaha untuk menutup kes-kes ini disiasat dengan telus dan jujur.

Demikianlah Bajet 2016 hadir kala negara diuji dengan kerapuhan ekonominya dan tadbirurus negara yang tidak mengisyaratkan ke arah lebih telus amanah dan bertanggungjawab. Bajet Pakatan Harapan pula membawa tema “Mengelak Krisis” yang akan kita lontarkan sebagai bahan perbahasan semasa perdebatan minggu depan nanti.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)

Bertarikh 24 Oktober 2015

Recent Posts Widget

.

.