Showing posts with label GHB. Show all posts
Showing posts with label GHB. Show all posts

Bebaskan Segera Adam Adli Dan Syukri Razab - Sany Hamzan



BEBASKAN SEGERA ADAM ADLI DAN SYUKRI RAZAB

Susulan penangkapan Adam Adli, Syukri Razab dan beberapa aktivis anak muda oleh pihak polis, Gerakan Anak Muda Harapan Baru (HB) menganggap ia satu langkap silap pihak polis. Mereka mesti dibebaskan segera. Dikala mereka mengumumkan untuk menganjurkan himpunan secara terbuka, sepatutnya pihak polis berunding dengan mereka secara terbuka. Beberapa himpunan sebelum ini berjalan dengan baik apabila pihak polis sedia berunding dengan penganjur dan tidak menggunakan kekerasan.

Tambahan pula dikhabarkan mereka ditahan untuk siasatan dibawah Akta Hasutan. Ia sesuatu yang berlebihan dan tidak perlu. Masyarakat awam sudah biasa dengan amaran pihak polis tentang kononnya wujudnya himpunan yang akan mencetus keganasan dan huru-hara. Namun apabila tiba hari kejadian, tiada keganasan dan huru-hara yang berlaku. Oleh itu kita menganggap tangkapan dibawah Akta Hasutan ini adalah ugutan yang tidak perlu. Rakyat perlu diberi kebebasan sebagaimana jaminan dalam perlembagaan untuk berhimpun secara aman. Polis sepatutnya bekerja keras untuk menangkap penyangak-penyangak yang merompak wang syarikat 1MDB.

Dalam masa yang sama dunia sedang memerhatikan Malaysia dikala lawatan Perdana Menteri Britain ke Malaysia sedang berlangsung dan isu penyingkiran Tan Sri Mahyudin Yasin serta isu penyelewengan 1MDB. Oleh itu tindakan menangkap aktivis anak muda ini akan menambahkan persepsi buruk masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia. Kesannya akan diterima oleh kerajaan dan rakyat. Oleh itu mereka mesti dibebaskan segera.

Mohd Sany Hamzan
Penyelaras
GERAKAN ANAK MUDA
HARAPAN BARU (HB)
--

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah: Tetap Tidak Ketepikan Gerakan Harapan Baru



KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUALA KEDAH /

TETAP TIDAK KETEPIKAN GERAKAN HARAPAN BARU

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah sejak dari beberapa sesi lepas telah menggagaskan politik ilmu dan hujjah sekaligus meletak ketepi sintimen dan emosi semata mata, atas prinsip inilah maka kami telah membuat beberapa ketetapan awal berkaitan iklim politik semasa Malaysia :-

1) Kami menyatakan komitmen dan iltizam kami untuk terus memberi fokus pada isu rakyat berpaksikan kepada nilai sejagat dan rahmat yang dibawa oleh Islam.

2) Kami menyatakan bahawa musuh utama dalam usaha mengembalikan hak rakyat dalam negara ini ialah Umno/ Bn, jesteru segala senjata yang ada harus diguna untuk menyerang ketempangan dan kebobrokan urus tadbir negara di bawah regim UMNO/ BN.

3) Kami juga menyatakan kesediaan berkerjasama secara tuntas dengan rakan rakan yang memilih untuk bersama Gerakan Harapan Baru, dengan menyedari bahawa garis persamaan dalam perjuangan adalah terlalu banyak sementara titik kekhilafan dan corak pandang adalah terlalu kecil.

4) Kami juga menyeru untuk pimpinan samada dalam PAS mahupun HB untuk menghentikan kutuk mengutuk, salah menyalah dan sebagainya. Mari kita teruskan agenda membela rakyat dengan pendekatan masing masing di samping terus memacu roda perjuangan ke arah menjunamkan UMNO / BN .


Ahli Jawatankuasa
Dewan Pemuda Pas Kuala Kedah .
30 Julai 2015






--

Pertahan Pemecatan Gani Patail - Adakah Peguam Negara Yang Baru Ragu Dengan Kesahan Pelantikannya? - Mahfuz



Kenyataan Media

PERTAHAN PEMECATAN GANI PATAIL - ADAKAH PEGUAM NEGARA YANG BARU RAGU DENGAN KESAHAN PELANTIKANNYA?

1. Dua hari lepas saya telah menegaskan bahawa pemberhentian Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara adalah tidak sah dan melanggar peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan kerana tidak ada tribunal siasatan ditubuhkan bagi membuat rekomendasi kepada Yang Dipertuan Agong berhubung dengan kedudukan beliau sebagai Peguam Negara. Meskipun saya bukanlah seorang peguam atau terlatih di dalam bidang undang-undang, namun pandangan yang sama turut diutarakan oleh ramai peguam dan ahli undang-undang di dalam negara ini.

2. Dicelah-celah polemik yang timbul berhubung dengan tafsiran sebenar Perkara 145 tersebut, tidak semena-semena Peguam Negara yang baru iaitu Tan Sri Apandi Ali nampak ‘kepanasan’ dan panik dengan hujah-hujah yang mempertikaikan kesahan (validity) pemberhentian Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara hingga memaksa beliau mengeluarkan kenyataan rasmi yang pertama di atas kapasiti selaku Peguam Negara bagi mempertahankan pemecatan Tan Sri Gani Patail atas alasan ianya sah dan tidak melanggar Perlembagaan. Sikap melatah yang ditunjukkan oleh Peguam Negara yang baru ini bukan sahaja melucukan, bahkan kelihatan janggal kerana seolah-olah beliau sangat tergugat dengan pertikaian yang timbul terhadap cara Gani Patail dipecat dan dengan itu beliau juga kelihatan tidak yakin dengan kesahan pelantikan beliau selaku Peguam Negara yang baru.

3. Saya juga berpendapat meskipun kenyataan rasmi yang dibuat oleh Peguam Negara tersebut adalah sebahagian daripada tugasnya untuk memberikan nasihat dan pandangan perundangan, tetapi oleh kerana soal pemecatan dan pelantikan Peguam Negara menyentuh secara langsung kedudukan peribadi beliau, maka tidak sepatutnya Peguam Negara sendiri mengeluarkan kenyataan tersebut kerana jelas berlaku percanggahan kepentingan (conflict of interest) yang melibatkan diri beliau sendiri. Sudah tentu beliau akan mempertahankan pemecatan Tan Sri Ghani itu sah dan tidak melanggar Perlembagaan. Sekiranya beliau berkata ia tidak sah dan melanggar Perlembagaan, bermakna pelantikan beliau juga tidak sah. Sepatutnya biarlah orang lain yang mentafsir kedudukan yang menyentuh kepentingan beliau.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
30 Julai 2015/14 Syawal 1436


--

Mat Sabu Menyokong Penuh Himpunan Aman 29 Ogos 2015 Anjuran BERSIH



Kenyataan Media

MENYOKONG PENUH HIMPUNAN AMAN 29 OGOS 2015 ANJURAN BERSIH

1. Harapan Baru (HB) menyokong penuh cadangan BERSIH untuk mengadakan Himpunan Aman pada 29 dan 30 Ogos 2015.


2. HB akan mengerahkan seluruh penyokong dan pendokong pemikiran politik progresif untuk turun bersama rakyat ke perhimpunan aman dan melaksanakan hak sebagai rakyat yang dijamin oleh perlembagaan.

3. Negara berada dalam keadaan yang sangat gawat. Ekonomi Malaysia berada pada tahap terburuk. Hutang negara Malaysia tahun 2015 RM847.9 bilion sudah meningkat sehingga 63.8% daripada GDP serta berbagai kemelut ekonomi seperti peningkatan hutang isi rumah, bebanan GST, ketidak telusan dalam urus tadbir kerajaan dan berbagai lagi persoalan yang mencemaskan.

4. Sementara Perdana Menteri Najib masih tidak menafikan wang RM2.67 bilion dimasukkan ke akaun peribadi beliau. Beliau telah gagal sepenuhnya sebagai Perdana Menteri.

5. Beliau mesti bertanggungjawab terhadap segala permasalahan yang berlaku.

6. Himpunan Aman besar-besaran yang akan diadakan adalah nanti adalah bertujuan untuk menghimpun seluruh rakyat yang perihatin kepada nasib mereka untuk mendesak PM Najib letak jawatan dan sebuah Kerajaan Peralihan perlu dibentuk selepas itu yang melibatkan semua pihak sehingga sebuah pilihan raya bebas dan adil dapat diadakan bagi menyelamatkan Malaysia daripada terus menuju kehancuran.

7. HB menyokong penuh usaha BERSIH dan akan memberikan sepenuh kerjasama menjayakan himpunan aman tersebut.

MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi Gerakan Harapan Baru Malaysia

30 Julai 2015 / 14 Syawal 1436H







--

Saifuddin Nasution Ismail: selamat datang Gerakan Harapan Baru! moga lahir sebagai sebuah parti dan bergabung dlm Pakatan Rakyat yg baru



Mempertahankan kepentingan dan jawatan seorang pemimpin yg merasakan kedudukan terancam atau memperjuangkan harapan rakyat terbanyak?

Pendirian saya amat jelas. tidak ada basa basi. selamat datang Gerakan Harapan Baru! moga lahir sebagai sebuah parti dan bergabung dlm Pakatan Rakyat yg baru.

Dlm perjuangan kita diajar memilih kebenaran dan keadilan mengatasi kebatilan dan kezaliman. bukan memilih siapa yg kuat. 1998 saya memilih bersama anwar yg difitnah dan dizalimi berbanding dr m yg lebih kuat pd ketika itu. tapi dr m yg kuat telah berlaku zalim, oleh demikian saya tidak bersama beliau.

Seorang pemimpin dgn jawatan dan resources mungkin dilihat kuat, tetapi saya memilih pemimpin yg berani membuat keputusan bersama harapan rakyat. bukan pemimpin yg merasakan jawatannya tergugat lantas mengheret parti menyokong pendiriannya.


Saifuddin Nasution Ismail

--

Kabinet Baru, Komplot Lindungi Najib - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

KABINET BARU, KOMPLOT LINDUNGI NAJIB.

1. Rombakan Kabinet menyaksikan penyingkiran Tan Sri Muhyidin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan anggota kabinet. Walaupun ianya merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri tetapi tindakan tersebut telah menimbulkan ketidaksetabilannya politik dan ekonomi negara disebabkan tiadanya alasan yang munasabah diberikan Perdana Menteri atas penyingkiran tersebut.


2. Alasan yang diberikan oleh PM Najib bahawa Tan Sri Muhyidin telah meluahkan perbezaan pendapat pada forum terbuka sehingga menjejaskan pandangan umum terhadap Kerajaan. Semua mengetahui perbezaan pendapat yang dimaksudkan oleh PM ialah luahan Tan Sri Muhyidin berkaitan isu yang berkaitan 1MDB dan kemasukan wang RM 2.67 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.

3. Semua mengetahui Tan Sri Muhyidin menyatakan semua itu di dalam program dalaman umno dan yang terakhir pada Ucapan Perasmian Mesyuarat Agong Umno Bahagian Cheras atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Umno.

Persoalannya, apakah salah untuk seorang Timbalan Presiden Umno menyatakan demikian di hadapan ahli-ahli Umno? Tindakan Najib sebenarnya hanyalah untuk menyembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan ahli-ahli Umno dan rakyat. Ini sangat malang dan amatlah dikesali. Jika pun persoalan Tan Sri Muhyidin itu adalah atas kapasiti sebagai seorang anggota Kabinet, apa masalahnya untuk beliau berkata sesuatu dalam konteks melindungi kepentingan negara dan rakyat? Apa yang dibangkitkan oleh Muhyidin ialah persoalan integriti dan amanah seorang Perdana Menteri yang telah pun hilang.

4. Negara kini di ambang keruntuhan. Apa yang hendak diharap pada anggota Kabinet yang baru untuk nak menyelamatan negara, sedangkan mereka terpilih dilantik menganggotai Kabinet adalah kerana mereka boleh berkomplot dan berkonspirasi untuk melindungi Najib agar terselamat daripada pendakwaan di Mahkamah berkaitan Skandal 1MDB.

Tiada pilihan bagi rakyat Malaysia melainkan menuntut pembubaran Parlimen dan diadakan segera pilihan raya baru untuk rakyat membuat perubahan demi Malaysia tercinta.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

DATO' MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
30 Julai 2015/14 Syawal 1436H

 
--

Mahfuz: Selepas Timbalan Perdana Menteri Dan Peguam Negara Dipecat, Gabenor Bank Negara, Pegawainya Dan Pasukan Petugas Khas Pula Jadi Sasaran



KENYATAAN MEDIA

SELEPAS TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN PEGUAM NEGARA DIPECAT, GABENOR BANK NEGARA, PEGAWAINYA DAN PASUKAN PETUGAS KHAS PULA JADI SASARAN

1. Sehari selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Peguam Negara, telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sasaran seterusnya untuk dimangsakan dan dianiaya ialah mereka yang dikatakan terlibat di dalam Pasukan Petugas Khas menyiasat Skandal 1MDB dan kes penyaluran wang RM2.67 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Perdana Menteri. Teratas di dalam senarai sasaran tersebut ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Shukri Abdul dan beberapa orang lagi Pegawai-Pegawai Kanan Bank Negara dan SPRM.


2. Saya juga mendapat maklumat, pelantikan Ketua Cawangan Khas (SB) PDRM yang baru yang diumumkan kelmarin adalah juga berkaitan dengan perkembangan terbaru ini. Kesemua Pegawai Bank Negara dan SPRM yang dijadikan sasaran ini dipercayai terlibat secara langsung di dalam proses penyiasatan Pasukan Petugas Khas tersebut.

Dipercayai dapatan hasil penyiasatan yang dijalankan mereka tersebut amat menakutkan pihak-pihak tertentu hingga menyebabkan berlaku pemecatan ke atas Peguam Negara dan sekarang ini giliran Pegawai-Pegawai Bank Negara dan SPRM pula untuk diganggu, dipaksa, diugut dan ditakut-takutkan terutamanya dengan pendakwaan jenayah seperti di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

3. Tidak semena-mena, dalam tempoh 24 jam ini muncul beberapa blog misteri yang menamakan Pegawai-Pegawai ini sebagai konspirator menjatuhkan Perdana Meteri dan Kerajaan yang dipilih secara demokratik di mana saya percaya ini adalah sebahagian daripada taktik licik untuk mengolah persepsi umum bahawa Pasukan Petugas Khas ini mempunyai niat yang buruk untuk memfitnah dan menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan menggunakan isu 1MDB dan juga penyaluran wang RM2.6 bilion tersebut. Ianya juga jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan Pegawai-Pegawai tersebut daripada menjalankan siasatan secara telus, adil dan objektif.

4. Dalam hal ini, saya memberi amaran kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, PDRM dan Peguam Negara yang baru supaya mengambil tanggungjawab segera untuk menghentikan serta merta segala bentuk serangan, gangguan dan ugutan yang dilakukan pihak-pihak tertentu ke atas mana-mana pihak terutamanya Pegawai-Pegawai Kerajaan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat di dalam penyiasatan kes-kes berkaitan skandal 1MDB.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

29 July 2015/ 13 Syawal 1436H





--

Recent Posts Widget

.

.