Kabinet Baru, Komplot Lindungi Najib - Mahfuz Omar

11:58 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

KABINET BARU, KOMPLOT LINDUNGI NAJIB.

1. Rombakan Kabinet menyaksikan penyingkiran Tan Sri Muhyidin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan anggota kabinet. Walaupun ianya merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri tetapi tindakan tersebut telah menimbulkan ketidaksetabilannya politik dan ekonomi negara disebabkan tiadanya alasan yang munasabah diberikan Perdana Menteri atas penyingkiran tersebut.


2. Alasan yang diberikan oleh PM Najib bahawa Tan Sri Muhyidin telah meluahkan perbezaan pendapat pada forum terbuka sehingga menjejaskan pandangan umum terhadap Kerajaan. Semua mengetahui perbezaan pendapat yang dimaksudkan oleh PM ialah luahan Tan Sri Muhyidin berkaitan isu yang berkaitan 1MDB dan kemasukan wang RM 2.67 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.

3. Semua mengetahui Tan Sri Muhyidin menyatakan semua itu di dalam program dalaman umno dan yang terakhir pada Ucapan Perasmian Mesyuarat Agong Umno Bahagian Cheras atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Umno.

Persoalannya, apakah salah untuk seorang Timbalan Presiden Umno menyatakan demikian di hadapan ahli-ahli Umno? Tindakan Najib sebenarnya hanyalah untuk menyembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan ahli-ahli Umno dan rakyat. Ini sangat malang dan amatlah dikesali. Jika pun persoalan Tan Sri Muhyidin itu adalah atas kapasiti sebagai seorang anggota Kabinet, apa masalahnya untuk beliau berkata sesuatu dalam konteks melindungi kepentingan negara dan rakyat? Apa yang dibangkitkan oleh Muhyidin ialah persoalan integriti dan amanah seorang Perdana Menteri yang telah pun hilang.

4. Negara kini di ambang keruntuhan. Apa yang hendak diharap pada anggota Kabinet yang baru untuk nak menyelamatan negara, sedangkan mereka terpilih dilantik menganggotai Kabinet adalah kerana mereka boleh berkomplot dan berkonspirasi untuk melindungi Najib agar terselamat daripada pendakwaan di Mahkamah berkaitan Skandal 1MDB.

Tiada pilihan bagi rakyat Malaysia melainkan menuntut pembubaran Parlimen dan diadakan segera pilihan raya baru untuk rakyat membuat perubahan demi Malaysia tercinta.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

DATO' MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
30 Julai 2015/14 Syawal 1436H

 
--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.