Kerajaan UMNO dan BN Semakin Rakus - Nasrudin bin Hassan
Tinta Penerangan. 11
Kerajaan UMNO dan BN Semakin Rakus
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.
1. Sewaktu menghadapi krisis 1MDB, rakyat umumnya mengharapkan satu penyiasatan yang telus dan adil dilakukan. PAS mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat skandal ini hingga ke perdu dalamnya. Malang apa yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri ialah bertindak ke atas sumber yang mendedahkan penyelewengan tersebut.
2. Tidak sahaja PAS yang menasihat supaya YAB Perdana Menteri ambil cuti segera bagi memberi laluan kepada siasatan yang telus (serta membersihkan nama beliau jika benar beliau tidak bersalah), malah YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin juga telah menyeru supaya audit forensik dilakukan ke atas 1MDB. Maka sewajarnya YAB Perdana Menteri bercuti. Malangnya apa yang dilakukan ialah beliau memecat Tan Sri Muhyidin Yasin.
3. Rakyat mengharapkan kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri segera melakukan tindakan membersihkan imej negara dari tercalar teruk akibat skandal kewangan sebegini. Cadangan tindakan telah dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini agar mengambil tindakan kepada semua pemegang amanah di syarikat 1MDB serta buat rombakan dan siasatan besar-besaran. Malangnya, apa yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri ialah merombak kabinet dan memecat Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri yang lain termasuk peguam negara.
4. Jelasnya, tindakan YAB Perdana Menteri hari ini semakin rakus. Saya tidak mahu membela sesiapa kerana yang memecat pun UMNO dan yang kena pecat pun UMNO. Tetapi saya bersama rakyat yang mahu menyaksikan keadilan dan kebenaran serta proses mencari keadilan dan kebenaran itu ditegakkan dalam negara ini khasnya oleh kerajaan yang memerintah.
5. Jika suara orang no 2 negara tidak diendah malah dipecat kerana bersuara, maka saya tidak nampak langkah yang lebih baik diambil melainkan ia lebih memburukkan keadaan dan menampakkan bahawa kabinet baru yang dibentuk ini adalah tidak lebih sekadar kabinet 1MDB.
6. PAS telah mengambil kedudukan yang jelas melalui suara Presidennya Yb Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bahawa segala tuduhan dan dakwaan mesti disiasat agar kebenaran dapat ditegakkan. Justeru itu pertuduhan dan dakwaan mesti melalui proses penyiasatan dan selayaknya YAB Perdana Menteri memberi kerjasama bagi menjayakan siasatan tersebut. Salah satu caranya ialah YAB Perdana Menteri wajar mengambil cuti agar proses siasatan lancar dan tidak terhalang.
7. Secara umumnya, rakyat melihat inilah penyakit UMNO dari dulu. Sepertinya UMNO adalah kenderaan buruk yang sukar dibaiki. Lantaran itu, langkah menukar driver atau konduktor tidak pernah mampu mengatasi masaalah jika yang rosak itu adalah kenderaannya.
8. Pembentukan kabinet baru tidak boleh menghentikan penyiasatan ke atas 1MDB. Desakan rakyat mesti diteruskan. Malah tukarlah 10 kali kabinet baru setahun, selagi mana proses penyiasatan tidak dilangsungkan secara telus, adil dan meyakinkan maka ia bagaikan membina kabinet pasir di pantai berombak. Nasihat saya kepada YAB Perdana Menteri, bahawa negara perlukan penyelesaian yang tuntas terhadap kemelut dan skandal kewangan yang melanda negara bukan sekadar pertukaran anggota kabinet. Namun trend yang ada pada hari ini, saya berpendapat bukan kabinet perlu ditukar tetapi UMNO itu sendiri wajar ditukar.
9. PAS telah menyarankan pelan penyelesaian dan ianya adalah cara yang dituntut oleh Islam. Merupakan cara terbaik untuk semua. Kenapa payah sangat UMNO mahu mendengar dan melaksanakannya? Atau masih ada kepentingan tersembunyi yang mahu dipelihara ? Semua ini mengundang curiga dibenak rakyat dan mengakibatkan rakyat akan terus bangkit menolak UMNO dan BN.
10. Tentunya PAS sebagai bahtera yang sedia belayar dengan layar Islamnya meredah gelombang kapitalis menuju arah angin kebangkitan Islam yang mula bertiup kencang. Jangan lambat untuk bersama kami kerana sauh sudah lama diangkat dan perjalanan bahtera ini semakin deras. Semoga kita semua sempat sampai ke destinasi yang mengimpikan sebuah negara Malaysia yang damai dan sejahtera. Bebas skandal kewangan yang memalukan. Selamat dari jenayah yang mengancam, damai dengan semangat rakyat yang bersatu menolak kebathilan.
Sekian.
--
Sila kongsi artikel ini...