Kabinet Baharu Tiada Nilai Selagi Dasar Tidak Diubah - PAS PP

5:57 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PULAU PINANG
13 Syawal 1436H | 29 Julai 2015M

"Kabinet Baharu Tiada Nilai Selagi Dasar Tidak Diubah"


Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinet baharu Kerajaan Malaysia yang diumumkan semalam bukan satu kejutan, kerana sejarah telah membuktikan beberapa Timbalan Perdana Menteri pernah mengalami situasi sama. Ini sebagaimana dilakukan Tun Mahathir Mohamad sewaktu beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Bezanya, pemecatan yang dibuat oleh Dato' Sri Najib Razak dilakukan tanpa sebarang alasan munasabah. Perkara sebegini suatu yang zalim dan tidak wajar dilakukan.

Sepertimana disaksikan umum, mutakhir ini Tan Sri Muhyiddin lantang mengkritik isu 1MDB yang turut dilontarkan secara terbuka dalam majlis-majlis UMNO.

Seandainya ini adalah indikator yang diukur oleh Najib untuk menggugurkan Muhyiddin, maka ianya amat memalukan dan mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia.

Lantaran kebenaran cuba ditegakkan Muhyiddin, maka beliau dihumban keluar dari kabinet. Ini memberi mesej jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawasanya UMNI-BN tidak berdiri di atas kebenaran dan perjuangannya sentiasa menentang kebenaran yang ingin ditegakkan.

Justeru itu, saya yang mewakili PAS Pulau Pinang menuntut supaya Perdana Menteri mengemukakan alasan dan hujah yang kukuh terhadap pemecatan tersebut.

PAS Pulau Pinang melihat tindakan dilakukan itu menyamai usaha-usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan pemecatan Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri satu ketika dahulu.

Sekalipun kabinet dirombak dan memiliki Timbalan Perdana Menteri yang baru, itu belum bermakna segala kezaliman dan penyelewengan telah dilakukan oleh UMNO-BN akan terus dilupakan dan dilenyapkan begitu sahaja. Bahkan tindakan drastik ini akan lebih membangkitkan kemarahan rakyat dengan pelbagai rentetan isu yang berlegar antaranya kenaikan harga minyak, kejatuhan teruk matawang ringgit Malaysia, 1MDB, GST, TPPA, kehilangan pesawat MH 370 dan sebagainya, tidak akan pudar dan luput dari ingatan rakyat.

Kenaikan pimpinan yang baharu ini belum menjamin segala isu ini mampu diselesaikan dengan telus dan adil lantaran pemerintah itu masih lagi pimpinan dari parti sama iaitu UMNO-BN.

UMNO dan Presidennya Dato' Sri Najib Razak sudah tidak relevan untuk memerintah Malaysia berikutan pelbagai salah laku dan penyalahgunaan kuasa yang telah berlaku sepanjang pemerintahan.

Oleh itu, PAS Pulau Pinang menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bingkas bangkit berjuang bersama PAS mendepani kemelut yang berlaku. Kita perlu merubah acuan pentadbiran negara ini daripada berhakimkan ideologi ciptaan manusia kepada ketuanan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS.

Ayuh kita semua selamatkan Malaysia dengan Islam. Jangan biarkan kezaliman dan penindasan ini dibiarkan tanpa penyelesaian daripada Islam.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pulau Pinang







--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.