Pertahan Pemecatan Gani Patail - Adakah Peguam Negara Yang Baru Ragu Dengan Kesahan Pelantikannya? - Mahfuz

10:22 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

PERTAHAN PEMECATAN GANI PATAIL - ADAKAH PEGUAM NEGARA YANG BARU RAGU DENGAN KESAHAN PELANTIKANNYA?

1. Dua hari lepas saya telah menegaskan bahawa pemberhentian Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara adalah tidak sah dan melanggar peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan kerana tidak ada tribunal siasatan ditubuhkan bagi membuat rekomendasi kepada Yang Dipertuan Agong berhubung dengan kedudukan beliau sebagai Peguam Negara. Meskipun saya bukanlah seorang peguam atau terlatih di dalam bidang undang-undang, namun pandangan yang sama turut diutarakan oleh ramai peguam dan ahli undang-undang di dalam negara ini.

2. Dicelah-celah polemik yang timbul berhubung dengan tafsiran sebenar Perkara 145 tersebut, tidak semena-semena Peguam Negara yang baru iaitu Tan Sri Apandi Ali nampak ‘kepanasan’ dan panik dengan hujah-hujah yang mempertikaikan kesahan (validity) pemberhentian Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara hingga memaksa beliau mengeluarkan kenyataan rasmi yang pertama di atas kapasiti selaku Peguam Negara bagi mempertahankan pemecatan Tan Sri Gani Patail atas alasan ianya sah dan tidak melanggar Perlembagaan. Sikap melatah yang ditunjukkan oleh Peguam Negara yang baru ini bukan sahaja melucukan, bahkan kelihatan janggal kerana seolah-olah beliau sangat tergugat dengan pertikaian yang timbul terhadap cara Gani Patail dipecat dan dengan itu beliau juga kelihatan tidak yakin dengan kesahan pelantikan beliau selaku Peguam Negara yang baru.

3. Saya juga berpendapat meskipun kenyataan rasmi yang dibuat oleh Peguam Negara tersebut adalah sebahagian daripada tugasnya untuk memberikan nasihat dan pandangan perundangan, tetapi oleh kerana soal pemecatan dan pelantikan Peguam Negara menyentuh secara langsung kedudukan peribadi beliau, maka tidak sepatutnya Peguam Negara sendiri mengeluarkan kenyataan tersebut kerana jelas berlaku percanggahan kepentingan (conflict of interest) yang melibatkan diri beliau sendiri. Sudah tentu beliau akan mempertahankan pemecatan Tan Sri Ghani itu sah dan tidak melanggar Perlembagaan. Sekiranya beliau berkata ia tidak sah dan melanggar Perlembagaan, bermakna pelantikan beliau juga tidak sah. Sepatutnya biarlah orang lain yang mentafsir kedudukan yang menyentuh kepentingan beliau.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
30 Julai 2015/14 Syawal 1436


--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.