Penamatan Awal Khidmat Peguam Negara - Dr Muhammad Fathi Yusof

9:29 PM 0 Comments A+ a-



PENAMATAN AWAL KHIDMAT PEGUAM NEGARA

Ramai yang bertanya tentang penamatan awal Peguam Negara. Adakah pemecatannya sah? Berdasarkan Perkara 154(5), penamatan atau pemecatan itu sah. Anda boleh rujuk kenyataan rasmi dari Pejabat Peguam Negara itu sendiri. Saya anggap hujah-hujah yang dikemukakan adalah tepat.

Cuma persoalan yang penting ialah tentang kewajaran seseorang Peguam Negara boleh dipecat begitu mudah. Sebenarnya masalah berpunca dari sini. Sepatutnya Peguam Negara hanya boleh diberhentikan perkhidmatan lebih awal dari yang sepatutnya (atau istilah lain dipecat) melalui cara pemecatan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan. Alasannya:

1. Kuasa Peguam Negara sangat besar. Dia berkuasa memulakan, melaksanakan dan menamatkan sesuatu prosiding pendakwaan jenayah di Mahkamah, serta menjadi penasihat undang-undang utama kerajaan. Dia juga mengetuai Jabatan Peguam Negara yang mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju perundangan negara. Rujuk Perkara 145 (2), (3) dan (4).

2. Kedudukannya setaraf atau lebih tinggi dari Hakim Mahkamah Persekutuan, berdasarkan kuasa yang dinyatakan dan syarat kelayakan. Rujuk Perkara 145 (1).

3. Ramai yang tidak menyedari bahawa cara pemecatan yang amat mudah hari ini bukanlah dari peruntukan Perlembagaan yang asal. Tetapi ia adalah hasil pindaan pada tahun 1963 melalui Akta 26/1963. Jika mengikut Perkara 145(4) dan (5) yang asal, Peguam Negara akan terus memagang jawatan sehingga berusia 65 tahun dan dia boleh meletakkan jawatan bila-bila masa. Tetapi dia tidak boleh dibuang melainkan melalui cara pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan - iaitu melalui satu tribunal sebagaimana dalam Perkara 125.

Malangnya hari ini Peguam Negara boleh dipecat dengan begitu mudah.

Namun, persoalan yang lebih penting, adakah Perdana Menteri wajar menasihati Yang Dipertuan Agung untuk menukar Peguam Negara dalam situasi ketika beliau sedang terlibat dalam penyiasatan dan risiko pendakwaan oleh Peguam Negara?

Soalan ini saya serahkan kepada anda untuk menjawabnya.

Senyum dan doa.

Dr Muhammad Fathi Yusof

Pensyarah Kanan &
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
UTM KL

 



--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.