Pengundi Melayu Sukar Berubah - Hisommudin Bakar
PENGUNDI MELAYU SUKAR BERUBAH
Kami ditanya oleh banyak pihak mengenai trend dan pola pengundi Melayu. Adakah pengundi Melayu akan berganjak dari menyokong Umno/BN selepas isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pelbagai skandal besar negara kepada mengundi pembangkang, atau bagaimana?
Kami menjawab berdasarkan dapatan kajian. Sepanjang kami terlibat dalam kajian lapangan, pola pengundi Melayu cukup unik. Orang Melayu sukar membuat perubahan politik. Antara rumusan pola pengundi Melayu adalah seperti berikut:
1) Pilihan politik atas asas parti. Biasanya turun temurun. Jika ada anak ada cucu yang berlawanan arus, mereka memilih untuk berdiam diri. Faktor pilihan atas calon dan isu terlalu minima.
2) Berfikiran selapis. Mudah. Tidak suka memikirkan perkara besar, rumit dan berbelit-belit. Isu dengan angka besar milion dan bilion, sukar dihadam oleh pengundi Melayu.
3) Lokaliti yang berada di pedalaman, jauh dari sumber maklumat primer menambah kelebihan kepada Umno/BN. Sebab itu majoriti kerusi Parlimen pedalaman milik Umno/BN.
4) Lebih mempercayai berita yang disampaikan oleh parti pemerintah. Amat bergantung kepada media perdana dalam membentuk sikap dan pendirian politik. TV3 dan Utusan sandaran utama yang dominan.
5) Tidak terkesan dengan gelombang nasional. Jika ada sifatnya sementara kerana faktor emosi, marah. Maka, sabotaj pada Umno dan BN berlaku. Namun sifatnya lokal, tidak menyeluruh, sementara. Masa yang panjang akan meredakan ketegangan, dan akhirnya sokongan kembali kepada yang asal.
6) Mudah terjebak dengan perkauman terutama Cina dan India. Cina dilihat dalam perspektif mengancam ketuanan Melayu, merebut kuasa. Melayu akan merempat di bumi sendiri. India pula minoriti, lagak samseng dan merupakan kaum pendatang. Elemen rasis ini mudah bagi Umno/BN menuai hasil.
7) Selain kaum, isu dan sentimen agama juga menjadi 'pillar' undi sukar berubah. Pada majoriti pengundi Melayu, walaupun UMNO dilihat nasionalis Melayu yang kurang Islamik, namun ia lebih dijamin baik berbanding pembangkang yang lebih dilihat gagal menjaga Islam dan seringkali memanipulasi agama demi kepentingan politik.
8) Kelompok warga emas, kaum Ibu antara penyumbang tetap kepada Umno/Bn.
Berdasarkan pola utama di atas, Tim Ilham Centre menjangkakan dengan insiden pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan memangkin perubahan undi kepada pembangkang. Jika ada pun sekadar protes mengikut lokaliti tertentu sahaja.
Tiada apa yang boleh diharapkan pada pengundi Melayu. Sukar berubah. Malas berfikir. Selesa dengan apa yang ada. Retorik ketuanan bangsa. Cina ancaman utama. Ini formula untuk Umno/BN terus berkuasa.
Ancaman sebenar sekarang kepada penguasa ialah pengundi muda Melayu. Pengundi ini terdedah dengan maklumat pantas melalui media sosial dan portal
Internet.
Maka, tidak dapat tidak rebutan harus berlaku di segmen ini. Segmen ini sangat rapuh (fragile). Jumlah besar dari kelompok ini menjadi kuasa penentu dalam PRU akan datang.
Hisommudin Bakar
ILHAM Centre
30 Julai 2015
2.15 pm
s ·
--
Sila kongsi artikel ini...