RESOLUSI NUNJI15
Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah yang bersidang pada hari ini 15 Ogos 2015 bersamaan 30 Syawal 1436 yang disertai oleh 500 peserta dan dikongsi keilmuannya dari ilmuan dan ulamak Islam dalam dan luar negara memperakui bahawa keperluan memasakkan dan membumikan risalah Rahmatan Lil Alamin memerlukan usaha berterusan bersama dengan semua pihak dalam satu pendekatan yang inklusif.
Meyakini betapa besarnya amanah Islam dalam memenuhi kehendak perubahan politik semasa dan kegagalan kerangka politik penindasan dan kegagalan pentadbiran kerajaan yang telus dan bertangunggjawab, maka NUNJI 15 mengusulkan beberapa ketetapan resolusi untuk diambil tindakan selanjutnya;
1. Meningkatkan tahap keberkesanan politik Islam melalui proses demokrasi dan pendemokrasian dalam kerangka kedaulatan undang-undang negara dan Perlembagaan Negara.
2. Memantapkan dan memperkukuhkan usaha secara berterusan dan gigih untuk menggali semula dan memunggah semula khazanah Siyasah Syarieyah sebagai panduan berpolitik dan bernegara dengan mengambil kira suasana/ kondisi dan keperluan setempat bagi menelurkan FIQH SIYASAH ACUAN MALAYSIA.
3. Memperkukohkan dan memperjuangkan konsep Muwathonah berpandukan kepada memenuhi HAK dan membela sebarang pencabulan HAK sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara berpandukan kepada ketetapan Siayasah Syarieyah.
4. Memperjuangkan bahawa Syariat Islam perlu dipersembahkan dalam mafhum menyeluruh mengikut kebijaksanaan pendekatan dan tidak terhad kepada menyamakan Syariat dengan hanya Hudud semata-mata.
5. Menetapkan dan memperjuangkan bahawa satu dasar Islam yang memantulkan penghayatan makna Rahmatan Lil Alamin diterjemahkan melalui wujudnya sebuah Negara Madani melalui dasar Keterangkuman dan kepimpinan yang Beramanah kepada rakyat yang berbagai kaum dan agama di Malaysia.
6. Meyakini dan menghayati bahawa kepelbagaian Jamaah tidak boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan budaya permusuhan dan budaya takfiri tetapi hendaklah diuruskan melalui adab perbezaan yang ditetapkan.
7. Meyakini bahawa dasar Islam Rahmatan Lil Alamin hendaklah diterjemahkan dalam amalan politik permuwafakatan dengan semua pihak yang berkongsi cita-cita yang sama dan beriltizam dengan persetujuan yang dibuat bersama. Bagi mencapai matlamat resolusi yang dipersetujui, NUNJI 15' menyeru semua pihak untuk meneruskan usaha Islah pemikiran dan Islah organisasi dan kemudian mengembelingkan tenaga bersama untuk menjayakan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan
Kenyataan Sidang Media
Assalamualaikum.
PENGUMUMAN PENUBUHAN GERAKAN HARAPAN BARU NEGERI SELANGOR.
① Saya mengucapkan setingggi-tinggi syukur kehadrat Allah SWT diatas rahmat dan hidayahNya, maka Gerakan Harapan Baru Negeri Selangor telah dapat dibentuk dengan sempurna untuk terus membawa panji perjuangan politik Islam, membela rakyat, menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua, khususnya di Negeri Selangor.
② Gerakan Harapan Baru adalah sebagai permulaan (prelude) kepada penubuhan sebuah parti politik baharu yang berteraskan Islam yang akan diumumkan apabila proses penubuhannya telah dapat disempurnakan nanti. Sehingga itu dapat dilakukan, HB merupakan satu wadah yang bersedia menyahut seruan, tuntutan dan kemahuan rakyat yang begitu kuat agar gerakan seperti ini diwujudkan. Sokongan rakyat pelbagai kaum, masyarakat sivil, anak muda dan NGO sangat baik terhadap gerakan ini.
③ Di peringkat Negeri Selangor, senarai kepimpinan Gerakan Harapan Baru adalah seperti berikut:
Penyelaras: Tn Hj Ir Izham B. Hashim
Timb Penyelaras 1: YB Saari B. Sungip
Timbalan Penyelaras 2: YB Hasnul B. Baharudin
Timb Penyelaras 3: Ahmad Idzam B Ahmad
Setiausaha: En Ar. Kamarul Hisham B. Hj Yeop Hashim
Penolong Setiausaha: En Zulfadzlee Shah B. Shaharudin
Bendahari: Tn Hj Mohamad B. Abd Rahman
Pengarah Komunikasi: Jamzuri B. Ardani
Pengarah P/Raya: Jaafar B.Shamsudin
Ketua Gerakan Anak Muda: En. Mohd Hilmi B. Radzuan
Ketua Gerakan Wanita: Pn Sazana Bt. Isa
AJK:
1. Ustaz Azrulkhakim B. Suradi
2. Ustazah Mariam Bt. Abd Rashid
3. Norhalim B. Sirome
4. Hj Anuar B. Tahir
5. Hj Shamsul Ma'arif B. Ismail
6. Khairul Basri B. M. Arif
7. Faridah Bt. Md Nor
8. Dr. Abdull Wahab B. Hassan
9. Mohd. Rayme Bin Abdul Rahman
10. Mohd Sany B. Hj Hamzan
④ Satu Majlis Pelancaran Gerakan Harapan Baru Negeri Selangor akan diadakan bersekali dengan Majlis Jamuan Hari Raya pada 16hb Ogos 2015 (Ahad) di Dewan Teratai Seksyen 19, Shah Alam. Majlis akan bermula jam 7 malam. Majlis Pelancaran akan disempurnakan oleh Pengerusi Gerakan Harapan Baru, Tn Hj Mohamad Sabu dan para pimpinan tertinggi HB di peringkat nasional.
⑤ Pihak kami juga telah mengenalpasti para aktivis kami di semua peringkat kawasan parlimen di negeri Selangor dan kami tidak berdepan dengan sebarang masalah menubuhkan organisasi gerakan massa ini di semua kawasan parlimen di negeri ini. InsyaAllah, jentera dan persiapan telah siap sedia dibentuk sepenuhnya bagi menyambut kelahiran parti Islam yang bakal ditubuhkan nanti dan seterusnya membawa panji baru menghadapi PRU 14 bersama rakan-rakan dalam gabungan pembangkang kelak.
⑥ Gerakan ini akan mengambil pendekatan yang inklusif, progresif, demokratik, dan peduli rakyat. Kami juga akan memberi fokus kepada usaha memberi penerangan, menjauhi perbalahan dan permusuhan, meramaikan kawan, mengurangkan seteru, serta memupuk budaya politik baru yang tegas dengan prinsip, namun bersederhana dalam tindakan.
⑦ Semoga Allah merahmati perjuangan ini yang berhasrat mengukuhkan Islam sebagai rahmat untuk semua.
Amanah. Progresif. Peduli
Tn Hj Ir Izham Hashim
Penyelaras Gerakan Harapan Baru
Negeri Selangor
14hb Ogos 2015

PENCABULAN KEBEBASAN ASASI TERHADAP INTELEKTUAL MAHASISWA
Hukuman yang menyedihkan dan memeranjatkan apabila dua orang pimpinan tertinggi mahasiswa UIAM iaitu Saudara Hanif Mahpa dan Saudari Afiqah Zulkifli dikenakan hukuman gantung pengajian selama 2 semester atas sebab penganjuran Forum GST.
GST adalah satu sistem percukaian yang baru diperkenalkan oleh pihak Kerajaan. Sudah pasti segala aspek ekonomi, undang-undang dan kesan sosial mempunyai kaitan rapat dengan pelaksanaan GST. Maka, forum adalah medan terbaik bagi membicarakan aspek-aspek ini. Forum yang merupakan medan ilmiah terbaik telah bertukar menjadi medan kesalahan.
Agak memalukan apabila UIAM gagal mempraktikkan sifat islamnya dan antarabangsanya. Sesungguhya Islam mengarahkan sesuatu perkara dihukum dengan adil. Adilkah menghukum mahasiswa sebegitu rupa hanya kerana menganjurkan forum? Bukankah kebebasan asasi untuk berhimpun dan bersuara dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang diiktiraf dalam Geneva Convention yang diterima sejagat?
GAM Harapan Baru melahirkan rasa kecewa dengan hukuman draconian ini kerana ia memperlekehkan mahasiswa yang merupakan golongan intelektual yang merupakan harapan negara bagi membawa negara tercinta ini ke tahap yang lebih maju dan berintegriti. Sebagai mahasiswa, mereka juga tidak terkecuali daripada pelaksanaan GST. Hukuman penggantungan pengajian 2 semester akan menyebabkan tempoh pengajian mereka berpanjangan dalam keadaan mereka pula perlu membayar balik pinjaman PTPTN.
GAM Harapan Baru dengan ini mendesak Majlis Senat UIAM mengkaji semula hukuman tersebut dan seterusnya membatalkan hukuman tersebut. Hukuman tersebut secara prima facie terbatal kerana tidak rasional yang bertentangan dengan prinsip rukun keadilan asasi dan Wednesbury Principle.
Gerakan Harapan Baru menawarkan khidmat guaman melalui NGO PROGUAM yang telah ditubuhkan bagi mengendalikan isu dan kes pelanggaran undang-undang dan hak asasi manusia yang menyokong Gerakan Harapan Baru.
Harapan Baru mendoakan semoga kedua-dua pejuang dan mahasiswa harapan negara ini terus tabah menghadapi ujian ini dan semoga pengajian kalian tidak terganggu dan berjaya hendaknya.
Faiz Fadzil
Pengarah Komunikasi
Gerakan Anak Muda (GAM)
Harapan Baru
13 Ogos 2015
CADANGAN KEPADA SPRM : SEGERA SIASAT BANK NEGARA BERKAITAN KEMASUKAN WANG SEBANYAK RM 2.6 BILION KE DALAM AKAUN PERDANA MENTERI MALAYSIA
1. Pendedahan oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report berkaitan dengan penyaluran wang sebanyak RM2.6 Bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abduk Razak telah menjadi satu isu yang cukup serius di mata rakyat.
2. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) memandangkan Institusi kewangan tersebut dilihat tidak lagi mampu berfungsi untuk mendedahkan dan membuktikan pengaliran masuk wang bernilai RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Memandangkan pasukan BNM yang diketuai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menjadi sebahagian anggota penyiasat dilihat telah menerima tekanan yang hebat daripada pihak tertentu, maka SPRM perlu campur tangan untuk membuktikan kemasukan wang RM 2.6 billion tersebut melalui penyiasatan terhadap BNM.
3. Bank Negara Malaysia sepatutnya boleh memainkan peranan segera untuk menyiasat dan membuktikan pengaliran masuk wang bernilai RM 2.6 billion seterusnya mengesahkan berlakunya penyelewengan menerusi peruntukan undang-undang berikut:
3.1 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Undang-undang ini telah memberikan BNM kuasa pengawasan, pengawalan dan penyeliaan dalam menghadapi perkembangan persekitaran kewangan yang bersifat serantau dan antarabangsa. Sebarang pengaliran wang masuk melebihi RM 50, 000 sepatutnya dapat dikesan BNM terlebih dahulu tetapi dalam kes penyaluran wang sebanyak RM 2.6 bilion, sistem pantauan tersebut gagal berfungsi sepenuhnya. Oleh itu, kami mengesyaki bahawa BNM tidak mampu menguatkuasakan sepenuhnya FSA dan IFSA apabila berhadapan dengan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi yang melibatkan Perdana Menteri.
3.2 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) telah dikuatkuasakan. BNM seharusnya menggunakan akta tersebut dalam usaha menyiasat penyaluran wang sebanyak RM 2.6 Bilion ke dalam akaun Perdana Menteri. Akta ini diperuntukkan bagi melucutkan harta yang terlibat atau diperolehi daripada pengubahan wang haram. Maka, BNM telah dilihat gagal dalam menyiasat pengaliran wang masuk ke dalam akaun peribadi yang mempunyai kemusykilan terhadap asal usul wang tersebut dengan menggunakan AMLA. Justeru, kami mendesak SPRM membuat penyiasatan terhadap BNM berikutan kegagalan institusi kewangan tersebut untuk menggunakan AMLA bagi menyiasat misteri penyaluran wang ke dalam akaun Perdana Menteri.
4. Berkaitan dengan isu RM 2.6 bilion yang cukup serius melanda negara pada hari ini. Kami sebagai wakil suara anak muda dan rakyat Malaysia menyeru SPRM untuk membuat penyiasatan terhadap BNM kerana tidak mampu berperanan di peringkat tertinggi dalam menyiasat penyaluran wang ke dalam akaun Perdana Menteri.
5. Kegagalan BNM untuk bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam membuat semakan terhadap isu ini dipercayai telah dicampuri oleh sesetengah pihak bagi menghalang BNM untuk membuat semakan terhadap akaun Perdana Menteri. Oleh itu, kami mendesak supaya SPRM menyiasat kegagalan BNM untuk membuat semakan terhadap penyaluran wang yang meragukan.
6. Kesimpulannya, Gerakan Anak Muda Harapan Baru Kelantan menyokong penuh usaha SPRM bagi memerangi rasuah termasuk kesungguhan dalam membuat penyiasatan terhadap kes RM 2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri. Kami melihat BNM tidak lagi mampu untuk memainkan peranan seperti yang sepatutnya disebabkan ugutan dan tekanan daripada pihak-pihak tertentu. Justeru, kami menyeru supaya SPRM membuat penyiasatan secara kritikal terhadap BNM berkaitan dengan kes RM 2.6 bilion yang dimasukan ke dalam akaun Perdana Menteri.
Hazmi Hassan
Ketua Anak Muda HB Kelantan
13 Ogos 2015/28 Syawal 1436
NUNJI15 : KE ARAH FIQH MALAYSIA, MODEL MAJMUK
Kepelbagaian kaum atau kemajmukan masyarakat di Malaysia menjadikan ia sebuah negara yang unik, bebeza dengan negara-negara yang lain.
Namun, dalam mengurus kepelbagaian ini, negara memerlukan satu formula terbaik, bukan sahaja untuk memanfatkan kepelbagaian itu, dan pada masa sama mengurus perbezaan dalam menjaga keharmonian.
Sebagai sebuah gerakan politik, Harapan Baru melihat dengan cermat segala perubahan yang berlaku, termasuk suasana hubungan agama dan kaum yang semakin tegang ketika ini.
Atas dasar itu, Harapan Baru terpanggil untuk mencari satu formula penyelesaian kepada kemelut yang berlaku, dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan.
Harapan Baru tampil dengan menganjurkan Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015 (Nunji15), yang akan berlangsung 15 Ogos 2015 ini, di Shah Alam, Selangor.
Nadwah ini akan menghimpunkan ulama-ulamak dan tokoh-tokoh pemikir Islam dari dalam dan luar negara, untuk berbincang dalam membentuk satu formula "fiqh bernegara" yang paling sesuai untuk Malaysia.
Ia juga akan menjadi garis panduan kepada Harapan Baru merangka pendekatan politik Islam wajah baru melalui parti yang akan ditubuhkan sedikit masa lagi.
Ia dalam maksud, menyebarkan keadilan Islam dan menyatukan masyarakat berbilang kaum sesuai dengan konsep "Islam, Rahmat Untuk Semua".
DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA
Pengarah
Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015
12 Ogos 2015
Kadang kala pelik dengan perangai manusia yang cepat berubah lafaznya dan mudah memberikan komentar yang negative apabila sudah tidak bersama.
Saya akui ada kebaikan dan ilmu yang saya dapat apabila duduk di dalam PAS. Dari sudut mengubah sikap, ilmu agama, politik dan belajar erti kesusahan dalam perjuangan. Saya tidak boleh nafikan. Terima kasih kepada semua kawan2 yang membantu dan memberikan segala ilmu semasa saya di dalamnya.
Tetapi apabila saya melihat sikap negative yang menular di dalam PAS di mana semasa kita ditarbiyah di ajar jangan melakukan fitnah tetapi ianya berlaku sehingga saya sendiri terkena tempiasnya, saya merasakan kemanisan dan kemurnian akhlak sudah mula hilang tidak seperti pada peringkat permulaan saya bersama dengan PAS.
Dari sudut strategi dan pendekatan juga pada jenama "negara berkebajikan" seolah di tolak oleh segelintir pemimpin sedangkan pada masa tersebut semua kaum dan agama boleh menerimanya amnya masyarakat moden sekarang. Islam yang ingin di tunjukan dalam gagasan ini di lihat dalam kerangka rahmatan lil 'alamin.
Kita mahu Islam di terima dengan model yang baik, di cerminkan dengan konsep kehidupan yang realiti. Kemenangan yang ingin di capai perlu dalam memahami demografi sebenar Malaysia. UMNO sendiri bergabong membentuk BN yang di dalamnya lebih kurang 13 parti untuk memenangi PRU saban tahun.
Insya allah selepas ini saya tidak lagi mahu menyentuh perkara yang berkaitan dengan PAS melainkan berlaku pertembungan politik yang kurang sihat itu pun jika terlalu serius.
Saya keluar PAS bukan bermakna saya keluar agama, saya hanya keluar parti dan masuk ke tempat yang saya rasakan terbaik bagi saya.
Harap janganlah bermudah mudah melempar makian, labelan, memperendahkan antara satu sama lain ini kerana kita mengakui kita dari kalangan gerakan Islam.
s
Semalam semasa program Forum Santai Rakyat: Derma RM2.6 bilion, moderator program ada melontarkan satu soalan kepada saya, adakah derma RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun Najib itu merupakan satu jenayah rasuah.
Saya dengan terus terang dan jelas mengatakan "Ya, ia merupakan satu jenayah rasuah!". Saya tidak ragu-ragu dengan jawapan saya.
Saya tidak menuduh DS Najib sebarangan, tetapi fakta dan undang-undang yang menjelaskannya.
Hakikatnya DS Najib yang telah mengesahkannya apabila beliau sendiri mengakui bahawa RM2.6 bilion tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan menjelaskan bahawa duit tersebut adalah hasil sumbangan derma seorang hartawan dari Timur Tengah.
Sec. 3 Malaysian Anti-Corruption Commission Act 2009 (MACC Act) mentafsirkan "Officer of a Public Body" itu termasuklah "..a member of the administration, a member of parliament..". Kita semua tahu ketika DS Najib menerima derma tersebut, beliau merupakan seorang ahli Parlimen dan Perdana Menteri Malaysia yang mengetuai pentadbiran kerajaan dan negara. Oleh itu, kedudukan beliau itu memang tidak boleh dinafikan tergolong sebagai "Officer of a Public Body" sebagaimana yang ditafsirkan oleh Sec. 3 MACC Act 2009. Ini fakta !
Sec. 3 MACC Act 2009 juga ada menafsirkan perkataan "Gratification" di mana Sec. 3 tersebut mengkategorikan derma, sumbangan atau hadiah sebagai sebahagian daripada pengertian Gratification. Istilah ini penting kerana ia adalah "subject matter" yang akan membawa kepada penentuan samada perbuatan menerima atau memberi objek tersebut adalah rasuah atau sebaliknya. Berbalik kepada perkataan Gratification yang ditafsirkan sebagai derma, sumbangan atau hadiah oleh Sec. 3 MACC Act, ia selari dengan kenyataan DS Najib yang mengesahkan siasatan SPRM bahawa duit RM2.6 bilion yang berada di dalam akaun peribadinya itu adalah wang derma dan sumbangan. Bermakna, RM2.6 bilion yang dikatakan derma itu termasuk di dalam pengertian Gratification seperti yang ditafsirkan oleh Sec. 3 MACC Act tersebut. Ini fakta !
Sec. 16 MACC Act 2009 selanjutnya menjelaskan bahawa menerima Gratification (Baca: derma, sumbangan atau hadiah) adalah merupakan satu kesalahan. Perbuatan menerima derma, sumbangan atau hadiah tersebut menjadi satu kesalahan apabila "dia menerimanya untuk dirinya atau untuk pihak lain sebagai dorongan atau upah bagi mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa-apa tindakan berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi, yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin akan berlaku." Dalam kata lain, menerima derma, sumbangan atau hadiah dari seseorang dengan orang itu tidak mengharapkan sebarang balasan atau timbal balik atau bukan sebagai satu dorongan ke arah melakukan sesuatu perkara atau transaksi daripada orang yang memberi itu tidaklah dianggap satu kesalahan di bawah Sec. 16 MACC Act. Tetapi sekiranya elemen-elemen tersebut wujud, maka ia secara prima facienya merupakan satu kesalahan di bawah MACC Act. Merujuk kepada beberapa kenyataan terdahulu yang dibuat oleh DS Najib, duit sebanyak RM2.6 bilion tersebut didermakan untuk kegunaan UMNO.
Persoalannya, mengapa ada pihak yang sanggup derma duit berbilion ringgit itu kepada Najib? Sanggupkah orang yang waras mendermakan jumlah wang sebanyak itu kepada Perdana Menteri tanpa mengharapkan apa-apa balasan?
Najib sebagai pemegang amanah? Persoalannya, kalau duit itu memang untuk UMNO dan Najib hanya pemegang amanah, mengapa Majlis Tertinggi UMNO sendiri tidak tahu tentang duit itu sedangkan ia telah didermakan sebelum PRU-13 lagi?
Bagaimana penderma itu boleh benar-benar yakin dan percaya bahawa duit yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu akan benar-benar digunakan untuk UMNO? Siapakah saksi lain di kalangan MT UMNO yang menjadikan saksi diantara Najib dengan penderma itu?
Adakah "naive" sangat penderma itu sehingga tidak tahu bahawa akaun pemegang amanah adalah lebih terjamin dan selamat jika duit itu hendak didermakan untuk UMNO? Adakah penderma itu tidak tahu risiko berlakunya "breach of trust" jika duit yang didermakan untuk UMNO itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang?
Persoalan-persoalan atau keraguan di atas perlu dijawab dengan segera oleh DS Najib.
Yang terakhir adalah Sec. 50 MACC Act. Section inilah yang membuatkan saya berani untuk mengatakan bahawa DS Najib, apabila menerima derma sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya itu sebenarnya telah DIANGGAP melakukan kesalahan rasuah menurut Sec. 16 MACC Act kerana Sec. 50 MACC Act jelas menyebut bahawa, "..jika dibuktikan bahawa dia telah menerima apa-apa derma, sumbangan atau hadiah, maka derma, sumbangan atau hadiah itu hendaklah dianggap telah secara rasuah diterima sebagai dorongan atau upah bagi perkara yang dinyatakan dalam seksyen 16 MACC Act, melainkan jika orang itu membuktikan sebaliknya".
Sec. 50 MACC Act meletakkan beban kepada DS Najib untuk menafikan ANGGAPAN rasuah yang dilakukannya itu. Persoalan-persoalan yang saya bangkitkan di atas tadi merupakan persoalan-persoalan penting yang secara prima facienya boleh mengesahkan DS Najib kepada salah laku rasuah jika beliau gagal untuk menjawab dan menjelaskannya kepada rakyat.
Maka dengan sebab itu kita mendesak DS Najib menjawab kesemua persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat dan rakyat mahukan ketelusan berkaitan perkara tersebut dari mulut beliau sendiri, bukannya dari badut-badut yang berada di sekelilingnya seperti Rahman Dahlan, Azalina Othman dan lain-lain.
Sudah tentu sekiranya beliau enggan atau gagal untuk menjawabnya, maka rakyat berhak untuk menghukum beliau sebagai "the most corrupt Prime Minister" dan sekiranya beliau masih terus bebas dalam keadaan beliau gagal meyakinkan rakyat terhadap persoalan-persoalan tersebut, maka DS Najib dan UMNO/BN berhak menerima hukuman daripada rakyat pada PRU-14 yang akan datang.
Rakyat teruskan desakan !
#HarapanBaru
MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua Pemuda
Gerakan Harapan Baru
Negeri Perak