KENYATAAN MEDIA HIDAYAH CENTRE FOUNDATION
MEMPERKASAKAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PERANAN SEMUA PIHAK
Assalamu’alaikum wbt,
Pihak Hidayah Centre Foundation merujuk kepada kenyataan oleh Saudara Mikhael Iskandar dalam rakaman KiniTV, berkaitan rungutan mengatakan saudara baru (muallaf) tidak mendapat layanan sewajarnya
daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
1. Hidayah Centre Foundation sebagai sebuah yayasan yang berdaftar dengan Jabatan Perdana Menteri, sentiasa bekerjasama baik dengan pihak MAIS sejak tahun 2005 lagi. Sebagai pusat khidmat sokongan saudara baru, kami amat mengambil berat urusan dan keperluan mereka.
2. Sepanjang pengalaman kami bekerjasama dengan MAIS, kami merasakan pihak MAIS telah memberikan khidmat sokongan yang baik untuk saudara baru (muallaf) khususnya di Selangor.
3. Untuk membantu muallaf memahami Islam dan tuntutan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim, pihak MAIS menyediakan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikendalikan oleh para ustaz yang berpengalaman.
4. Bagi saudara baru yang baru memeluk agama Islam, mereka juga diberi pelbagai bantuan dalam bentuk elaun sara hidup, biasiswa pelajaran, disamping kemudahan pinjaman bagi yang ingin berniaga supaya mereka dapat menguruskan keperluan hidup sebagai insan yang boleh berdikari.
5. Kami berpandangan bahawa tanggungjawab mendalami ilmu fardhu ain tentang Islam terletak pada
diri setiap saudara baru itu sendiri. Sementara tugas penceramah ialah untuk menyampaikan ilmu Islam hingga mereka faham dan dapat beramal, serta memperbaiki diri dengan bimbingan hasil kefahaman tersebut. Satu hakikat lagi yang perlu disedari bersama ialah, perubahan diri bagi saudara baru juga memerlukan masa. Ini bergantung kepada usaha dan keikhlasan hati mereka sendiri.
6. Dengan menyedari hakikat masih ada kelemahan oleh pihak yang menyantuni muallaf, kami daripada Hidayah Centre Foundation menggesa saudara Mikhael supaya dapat bersemuka dengan pegawai tertinggi MAIS untuk mendapat penjelasan berkenaan kesulitan dan kemusykilan saudara baru yang masih perlukan penyelesaian.
7. Pihak Hidayah Centre sendiri bersedia hadir sebagai pengantara untuk sama-sama memastikan keperluan saudara baru dapat disempurnakan.
8. Kami juga dimaklumkan daripada sumber rasmi MAIS, jumlah keseluruhan saudara baru di Selangor adalah seramai 33,507 orang dan dari 2010 hingga April 2015 terdapat seramai 9972 orang saudara baru yang berdaftar. Jumlah kakitangan MAIS bagi mengendali urusan mereka adalah seramai 47 orang sahaja termasuk 9 orang pemandu dan mereka berkhidmat di pejabat-pejabat MAIS di daerah-daerah. Dengan nisbah pegawai MAIS dan saudara baru 1:713 sudah pasti pengurusan bantuan ini bukan suatu tugas yang mudah.
9. MAIS juga antara majlis agama Islam negeri di Malaysia yang telah berjaya menyempurnakan agihan zakat untuk asnaf saudara baru pada tahun 2014 sebanyak RM 51.8juta. Ini menggambarkan kesungguhan pihak MAIS dalam khidmat bagi membantu keperluan saudara baru.
10. Pihak Hidayah Centre Foundation percaya pihak MAIS mengamalkan sistem mengutamakan pelanggan dan bersedia menerima teguran melalui saluran yang disediakan.
Oleh yang demikian Hidayah Centre Foundation menggesa agar mana-mana pihak yang memperjuangkan urusan saudara baru dapat berhubung baik dengan pihak MAIS bagi menyelesaikan apa jua permasalahan dalam suasana mahabbah (kasih sayang) demi menjaga nama baik pihak yang bertanggung jawab dan golongan saudara baru sendiri yang mana ramai telahpun berjaya diberi bantuan.
Sekian.
17 hb Julai 2015
29 Ramadhan 1436 H.
"Saudara Baru Amanah Bersama"
Ir Wan Ahmad Nizar b Zakaria
Pengerusi
Hidayah Centre Selangor
Assalamu’alaikum wbt.
Ikhwah dan akhawat ahli-ahli IKRAM yang dikasihi sekalian. Senyum bebanyak :) Ramadan Kareem
Menemui semua ahli-ahli IKRAM semoga semuanya sedang gigih mengambil peluang hari-hari terakhir Ramadan untuk melipatgandakan amalan pada bulan yang hanya tiba setahun sekali ini.
Ini adalah warkah kedua selepas warkah pertama yang dinukilkan juga pada hujung Ramadan, tahun lepas.
Nampaknya pada setiap Ramadan kita diuji dengan pelbagai ujian yang menuntut kesabaran yang amat tinggi. Pada Ramadan tahun lepas kita diuji dengan tohmhan terhadap Gerakan Rakyat Negara-Ku yang kita memainkan peranan penting bagi mengasaskannya.
Kita ditohmah bahawa kita telah memberi wala’ kepada orang kafir. Satu tohmahan yang amat serius yang orang berilmu tidak akan semudah itu menjatuhkan hukuman yang begitu berat kepada saudaranya.
Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana antum bertindak dengan matang setiap kali timbul fitnah begini. Antum kelihatan lebih tenang dan melakukan semakan-semakan (“tabayyun”) dengan bijaksana. Kita juga tidak membalas kata-kata keji dengan kejian juga. Alhamdulillah. Ini antara petanda kejayaan proses tarbiah kita yang semakin mantap dari masa ke semasa.
Kami juga bersyukur dengan berlipatkan gandanya amalan kita pada Ramadan kali ini. Sambutan yang sungguh hebat kepada program-program seperti Ijtimak Ramadan, 3R (Remaja/Rijal Raikan Ramadan), majlis-majlis tadarus di taman-taman dan daerah-daerah merupakan antara petanda yang baik.
Program kebajikan dan sumbangan serta menyantuni rakyat miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan amat meluas sekali pada tahun ini: dari Perlis hingga ke Sabah. Tahniah kepada semua!
KETEGANGAN KAUM
Jika kita masih ingat, Negara-Ku diwujudkan dalam suasana terdapat pihak yang seolah-olah cuba menimbulkan ketegangan dan konflik perkauman dengan menuduh kaum Cina sebagai penceroboh dan meminta kaum Cina keluar dari Negera Malaysia.
Beberapa kalangan dari kaum Cina telah bertindak balas dan terjadi suasana yang agak tegang ketika itu. Pada masa yang sama terdapat elemen yang mendesak agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.
Dalam suasana begitulah, sekumpulan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latar belakang telah mengambil inisiatif menubuhkan Gerakan Rakyat Negara-Ku bertujuan untuk menghentikan seruan-seruan perkauman sempit dan mengajak rakyat Malaysia untuk kembali mendokong Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara.
Alhamdulillah, ketegangan yang wujud pada masa itu dapat dikendurkan dan negara terselamat dari terjerumus ke dalam konflik perkauman.
Namun, pada Ramadan tahun ini konflik perkauman sekali lagi hampir tercetus atas peristiwa di Low Yat. Kejadian yang disebut oleh pihak polis sebagai kesalahan mencuri telah cuba dijadikan ia sebagai peristiwa Cina vs Melayu. Pejuang perkauman sempit akan sentiasa mengintai untuk mengeksploitasi apa sahaja peristiwa bagi menjadikannya isu perkauman… Daripada isu makan dalam talam sehinggalah kepada isu kecurian di Low Yat.
IKRAM akan sentiasa menjadi pihak yang akan berusaha untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang aman dan sejahtera kerana itulah pendekatan yang diambil oleh Rasulullah s.a.w., sentiasa menganjurkan keamanan dan menolak usaha bagi menimbulkan pergaduhan. Islam haruslah menjadi agama yang menyeru kepada rahmat untuk seluruh alam selari dengan misi pengutusan Rasulullah s.a.w:
“Dan tiadalah kami mengutus kamu (Wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiaa’: 107)
USAHA DAKWAH DAN HIDAYAH CENTRE FOUNDATION (HCF)
Satu lagi fitnah yang timbul pada Ramadan kali ini adalah apabila Hidayah Centre menjemput beberapa orang tokoh masyarakat bukan Islam untuk turut hadir ke Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre. Kehadiran Datuk Ambiga dan YB Tian Chua ke majlis tersebut sebagai tetamu telah ditohmah sebagai mengagungkan orang kafir dan memberi kedudukan yang tidak sewajarnya kepada musuh Islam.
Ambiga telah hadir dari awal bagi mengikuti sesi forum bersama Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman Ustaz Fitri Abdullah dan Dr Nur Athiroh. Rakaman penuh forum tersebut boleh ditonton di sini:
http://ikram.org.my/domain/sub/projek/tv/trial/index.php/player/11/251
Inilah bezanya fikrah dan pendekatan kita. Kita sentiasa memakai “topi dakwah” sebelum memakai topi-topi lain. Manakala yang mudah menghukum biasanya memakai “topi hakim” dan penghukum.
Ini selari dengan Misi IKRAM yang pertama yang menyebut:
“Melaksanakan dakwah dalam usaha meyakinkan masyarakat bahawa Islam adalah satu-satunya sistem hidup yang mampu menyelesaikan semua permasalahan.”
Juga kita berpegang kepada ayat Al-Quran, Surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Tugas kita adalah mengajak manusia kepada Islam dengan uslub yang sebijaksana mungkin. Tugas kita adalah untuk meng “in” kan manusia ke dalam Islam dan bukan untuk meng “out” kan manusia. Tugas untuk meng “out” manusia memang mudah dan kita tidak mengambil pendekatan yang mudah itu.
IKRAM, IRC DAN LAIN-LAIN
Satu lagi fitnah yang agak berleluasa pada Ramadan kali ini adalah berkaitan isu IRC, HIS, JIM, IKRAM. Kita jangkakan isu ini hanya bersemarak ketika kempen pemilihan parti seperti yang berlaku saban kali ada pemilihan tersebut. Namun nampaknya ia telah melimpah dan mencemarkan bulan Ramadan yang penuh rahmah dan berkat ini.
Dengan maklumat yang terhad dan andaian-andaian yang diada-adakan, isu ini telah diolah bagi memecah belahkan saf perjuangan Islam. Entah berapa kali kertas yang telah ditolak itu dikitar semula. IKRAM cuba digambarkan sebagai jamaah jahat yang cuba merosakkan parti dan organisasi lain.
Umpamanya dalam kes YB Saari Sungib dan YB Hasnol Baharudin, cuba digambarkan bahawa itu semua adalah dirancang dan ‘orchestrated” oleh IKRAM. Sebagai SUA IKRAM, saya ingin menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah jahat tersebut.
Saya ingin sarankan kepada yang membuat tuduhan tersebut untuk merujuk kepada surat daripada YB Saari kepada Majlis Syura Ulama PAS bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya.
Dalam surat tersebut, ditulis dengan sangat jelas dan terperinci rasional dan sebab-sebab tindakan yang telah diambil. Mari kita sarankan kepada semua pimpinan gerakan Islam agar kita terus bergerak ke hadapan (“move forward”) dalam dunia dakwah dan siasah di negara ini bagi mebangunkan masyarakat dan negara dengan saling hormat menghormati dan bekerjasama dalam perkara yang boleh disepakati dan saling maaf memaafkan dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dapat kita sepakati seperti yang dipesan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna.
IKRAM DAN PARTI BARU
Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian.
Pendirian kita tentang kepentingan mewujudkan sistem dwi parti telah diperjelaskan banyak kali. Dalam sistem demokrasi terutamanya yang mengamalkan sistem “first past the post” kewujudan system dwi parti amat penting. Ia membolehkan proses “semak dan imbang” dapat berlaku dengan berkesan dan akan banyak menguntungkan rakyat.
Buktinya telah jelas kita lihat semasa dan selepas PRU-12 dan PRU-13 di mana pihak pemerintah lebih mementingkan kepentingan rakyat dan tidak berbuat sesuka hati yang boleh merugikan negara dan rakyat.
Sebab itu apabila sistem dwi parti yang telah agak kukuh ini tergugat kita melahirkan kerisauan kita. Dengan sebab itu apabila terdapat usaha bagi mengukuhkan kembali sistem dwi parti ini, kita amat mengalu-alukannya. Insya-Allah, akan ada ahli-ahli kita yang berkemampuan dan punyai minat yang akan terlibat secara langsung dalam proses ini.
Adapun IKRAM sebagai sebuah gerakan Islam dan NGO Islam akan meneruskan malah memperhebatkan, insyaAllah, usaha-usaha dalam bidang Dakwah, Tarbiah dan Kebajikan yang banyak telah kita lakukan semenjak IKRAM ditubuhkan lima tahun dahulu.
Manakala ahli-ahli IKRAM yang akan terlibat dalam parti baru yang akan ditubuhkan akan diminta melepaskan jawatan-jawatan eksekutif dalam IKRAM agar tidak berlaku sebarang “conflict of interest” nanti.
Juga marilah kita aminkan munajat Ustaz Hasrizal seperti yang dinukilkan di FB beliau:
“Menubuhkan parti baru ini memang bukan pilihan terbaik. Ada banyak hujah untuk langkah ini diperlekeh sama ada dalam bahasa jurnalis mahu pun akademik. Tetapi krisis PAS tidak meninggalkan banyak pilihan.
Justeru, kuatkan azam, bangkitlah biar pun dalam seribu kepayahan, dengan semangat inklusif itu, ramai saudara Islam dalam pelbagai NGO, insya-Allah akan bersama. Non-Muslim juga disantuni dengan akhlaq dan perkongsian pendidikan.
Mencela ‘kuffar’ itu sikapnya seolah-olah kita tiada tanggungjawab dakwah ke atas mereka.
Hulurkan salam persaudaraan dan persahabatan.
Sesungguhnya itulah munajatku di penghujung Ramadan ini.”
SALAM ‘EIDUL FITRI
Akhirnya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Eidul Fitri kepada semua. Moga Allah swt menerima segala amalan kita sepanjang bulan Ramadan dan berjaya meningkatkan darjat ketaqwaan kita… Mohon maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan. Mari kita sama-sama berdoa agar Allah s.w.t. memberi kita kekuatan, menyatukan hati-hati kita bagi meneruskan usaha bagi menegakkan kebenaran dan keadilan ini.
Hanya Allah s.w.t. yang dapat membantu kita bagi melaksanakan tugas yang berat ini. Kita doakan agar kita terus istiqamah agar kita semua menemui Pencipta kita dalam keadaan masih berjuang dan berjihad pada jalan Allah seperti yang kita sering ungkapkan dalam Doa Rabithah kita.
Kullu 'aam wa antum bikhair...
Teruskan dengan senyuman dan saling bermaafan sebagai tanda menyambut kemenangan setelah melalui madrasah tarbiah sebulan bulan Ramadan.
Kepada Allah kita bertawakkal dan berserah.
Wassalam
Daripada SUA antum
Hj Nahar Md Nor
29 Ramadan 1436H
15 Julai 2015M
Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
15 Julai 2015 bersamaan 28 Ramadan 1436H
Selamat Berjuang Buat Gerakan Harapan Baru
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) konsisten menyokong kepelbagaian parti-parti politik yang bakal hadir ke Parlimen Malaysia dari masa ke masa. Konsep dwiparti yang mewujudkan semak dan imbang akan benar-benar menguntungkan negara dan rakyat Malaysia.
IKRAM merasakan semua NGO yang diwujudkan, selagi mana memelihara dan menghormati Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara dan Perjanjian Malaysia dengan objektif dan aktiviti yang tersendiri, tentunya sedikit sebanyak boleh memberikan keuntungan yang sama.
IKRAM akan kekal mengadakan 'engagement' dengan pelbagai pihak termasuk PAS, UMNO, PKR, DAP dan pelbagai parti politik dan NGO lain.
IKRAM bersama ahli-ahlinya yang terlatih dan berpengalaman, serta berbekalkan dengan ilmu Islam dan ilmu-ilmu lainnya akan cuba mengurus sebarang perbezaan ketika berinteraksi dengan mereka.
Maka, IKRAM dengan ini mengalu-alukan kelahiran GERAKAN HARAPAN BARU, sebuah NGO yang mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.
IKRAM ingin mengingatkan pelbagai pihak agar tidak perlu cemburu, sempit fikiran, sebak dada dan merasakan HARAPAN BARU sebagai pesaing mereka, kerana mereka adalah satu lagi suara gelombang rakyat yang muncul dengan membawa pemikiran yang bakal menguntungkan negara dan ummah.
Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
JANGAN HANGATKAN SENTIMEN PERKAUMAN
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti peristiwa terkini berkaitan pergaduhan di Plaza Low Yatt. IKRAM sebagai sebuah badan tarbiah, dakwah dan kebajikan mengajak semua masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama supaya bertenang dan jangan meletakkan emosi menguasai diri.
IKRAM menyeru agar semua pihak berhati-hati membuat tindakan atau komentar dan tidak harus menjadikan isu ini sebagai isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmornian dan keamanan negara ini.
IKRAM meminta semua pihak agar tidak memanjangkan lagi isu ini dalam konteks perkauman dan juga berharap tidak ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan atas isu ini.
Sebagai sebuah badan NGO yang menjunjung asas perlembagaan negara untuk memastikan keharmornian rakyat Malaysia, IKRAM mengharapkan semua pihak memainkan peranan penting agar tidak ada langsung isu perkauman ditiupkan oleh pihak tidak bertanggungjawab samada melalui media, kelakuan dan percakapan.
IKRAM percaya setiap isu atau masalah dapat diatasi melalui cara keamanan dan saluran-saluran yang sah di sisi undang-undang.
IKRAM mengharapkan pihak-pihak bertanggungjawab di dalam penguatkuasaan undang-undang dapat memberi keutamaan kepada isu ini untuk diselesaikan segera dan tidak dibiarkan menjadi isu perkauman yang boleh menggugat keamanan negara
IKRAM mengajak semua masyarakat Malaysia untuk sama-sama mengimpikan dan berusaha secara muafakat agar negara ini menjadi negara rahmah yang mana kekuatan utamanya haruslah didukungi oleh segenap lapisan masyarakat di dalam asas permuafakatan yang kukuh.
IKRAM mendoakan semoga negara Malaysia ini sentiasa mengutamakan permuafakatan oleh setiap lapisan masyarakat dan juga mengharapkan semua rakyat saling menghormati dan memelihara hak semua rakyat sama ada hak urusan berjual beli, beragama, keadilan dan lain-lain seperti yang terkandund di dalam perlembagaan negara.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA SIASAT DAKWAAN WANG RM2.6 BILLION DALAM AKAUN PERDANA MENTERI
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius dakwaan akhbar The Wall Street Journal(WSJ) pada 2 Julai dan juga laporan portal Sarawak Report juga pada 2 Julai 2015 tentang aliran kemasukan wang berjumlah RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Mohamad Najib Tun Razak.
Sesungguhnya dakwaan tersebut amat berat kerana ia melibatkan bukan sahaja peribadi Perdana Menteri tetapi juga imej dan nama baik negara.
Laporan dari portal Sarawak Report juga menyebutkan dan melakarkan bagaimana aliran wang tersebut yang dipercayai bersumberkan dari transaksi perniagaan 1MDB yang sedang tenat dengan hutang yang menggunung berjumlah RM41.8 billion.
Sehubungan dengan isu ini, IKRAM mengalu-alukan laporan yang menyebut bahawa Dato’ Seri Najib bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua pihak sambil menafikan bahawa beliau ada menerima dan menggunakan wang tersebut atas kapasiti peribadi.
Bagaimanapun, IKRAM mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Diraja yang diselia di bawah kuasa DYMM Yang Dipertuan Agung yang bersifat bebas dan adil ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan Perdana Menteri tersebut.
Dengan cara ini, Perdana Menteri dapat membersihkan namanya serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau sekiranya dakwaan tersebut terbukti tidak benar.
DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Selaras dengan perkembangan zaman dan juga detik-detik menghampiri tahun 2020, ketika mana Malaysia menyasarkan untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru seluruh warga Malaysia dari segenap bangsa, agama, pangkat dan latar belakang untuk bersama-sama melakukan satu revolusi minda dalam berinteraksi dengan pelbagai isu politik tanah air.
Paksi berpolitik warga Malaysia perlulah diubah dari sekadar menjadi penyokong taksub dan membuta tuli berdasarkan sentimen kumpulan dan kepentingan peribadi sahaja kepada sokongan berasaskan pemikiran yang kritis, kepentingan rakyat teramai dan kesejahteraan yang mapan untuk hidup bersama bertunjangkan semangat ukhuwah insaniah (persaudaraan sejagat).
Sikap 'you are either with us, or against us' yang membelenggu jiwa rakyat Malaysia dalam berpolitik, perlu dirungkaikan dan digantikan dengan sikap yang lebih matang dengan melihat setiap ahli politik dan parti-parti politik sebagai 'khadam' rakyat dan bukannya 'tuan' mereka.
Sindrom untuk melihat dan mengangkat parti politik dan orang politik sebagai 'tuan' hanya akan menjadikan rakyat Malaysia berterusan dirundung minda tertawan (captive mentality) yang akhirnya membawa kepada perhambaan kepada sesama manusia dan budaya 'patronage' yang tiada kunjung padam.
Hal ini amat tidak sihat bagi warga negara maju, Malaysia yang baru. Budaya politik sedemikian hanya akan menjumudkan pemikiran rakyat dan akhirnya membawa kepada sikap prejudis dan buruk sangka.
Sangat malang pada hari ini di Malaysia masih berleluasa budaya politik kurang matang. Apabila seseorang menyokong secara terbuka sesebuah parti politik pilihannya maka orang itu dianggap telah bermusuh atau berkonfrontasi dengan parti politik yang lain. Budaya ini tidak mencerminkan minda kelas pertama, bahkan ia mempamerkan sikap primitif sebuah masyarakat dunia ketiga.
Begitu juga halnya, apabila seseorang atau sesebuah NGO memberi penghargaan terhadap satu kebaikan sesebuah parti politik, masyarakat lantas menisbahkannya sebagai taksub dan membela parti tersebut. Sebaliknya, jika sesiapa mengkritik sesuatu parti, maka dia dengan segera dinisbahkan berada dengan parti lawan.
Masyarakat sepatutnya dididik untuk menyedari bahawa mereka adalah 'king maker' yang menentukan nasib parti dan ahli politik. Maka, mereka bebas untuk memilih, memuji, berpihak, mengkritik dan membangkang mana-mana parti politik ataupun pemimpin politik, berdasarkan hujah dan rasional.
Pertimbangan bagi rakyat dalam memilih untuk menyokong atau membangkang sesuatu parti politik pula sewajarnya berdasarkan polisi dan idea membangunkan negara bangsa dan juga pencapaian (track record) parti atau ahli-ahli politik tersebut.
IKRAM mengajak warga Malaysia menghayati prinsip penegakan keadilan dan penunaian amanah sebagai paksi kepada penglibatan mereka dalam politik selaras dengan tuntutan Surah an-Nisaa', ayat ke-58:
Ø¥ِÙ†َّ اللَّÙ‡َ ÙŠَØ£ْÙ…ُرُÙƒُÙ…ْ Ø£َÙ†ْ تُؤَدُّوا الْØ£َÙ…َانَاتِ Ø¥ِÙ„َÙ‰ٰ Ø£َÙ‡ْÙ„ِÙ‡َا ÙˆَØ¥ِذَا ØَÙƒَÙ…ْتُÙ…ْ بَÙŠْÙ†َ النَّاسِ Ø£َÙ†ْ تَØْÙƒُÙ…ُوا بِالْعَدْÙ„ِ ۚ Ø¥ِÙ†َّ اللَّÙ‡َ Ù†ِعِÙ…َّا ÙŠَعِظُÙƒُÙ…ْ بِÙ‡ِ ۗ Ø¥ِÙ†َّ اللَّÙ‡َ Ùƒَانَ سَÙ…ِيعًا بَصِيرًا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
IKRAM juga menyeru agar semua warga Malaysia konsisten dalam meletakkan kepentingan negara dan ummah sejagat berteraskan nilai-nilai Islam yang universal mengatasi kesempitan sikap kepuakan dan asabiyah kepartian dalam berpolitik.
Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia