Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
25 Ogos 2015 bersamaan 10 Zulkaedah 1436H
HIMPUNAN BERSIH 4.0: PERNYATAAN BANTAHAN RAKYAT TERHADAP KEZALIMAN DAN KEMUNGKARAN
Himpunan Bersih 4.0 akan diadakan dalam masa empat hari lagi.
Himpunan kali ini mempunyai lima tuntutan:
- Bersihkan pilihanraya
- Kerajaan bersih
- Hak membantah
- Kukuhkan demokrasi berparlimen
- Selamatkan ekonomi Malaysia
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin mengajak ahli-ahlinya serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk turut serta bagi menjayakan perhimpunan aman rakyat ini.
Perhimpunan aman rakyat ini adalah salah satu cara bagi menyatakan bantahan rakyat dalam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara kita ini. Hak untuk berhimpun telah dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Perhimpunan Aman 2012.
Akhir-akhir ini, negara kita telah dilanda dengan pelbagai kezaliman dan kemungkaran termasuk salah guna kuasa dan wang. Para pemimpin dan penjawat awam telah berusaha dengan pelbagai cara bagi membanteras kezaliman dan kemungkaran ini.
Sekarang, tiba pula giliran rakyat bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman dan kemungkaran ini dengan sama-sama menyertai perhimpunan aman ini. Dalam sejarah negara ini, beberapa perubahan telah dapat dicapai melalui perhimpunan aman termasuklah perhimpunan bagi membantah Malayan Union pada tahun 1946.
Para peserta perhimpunan diingatkan agar beradab dan berdisiplin, dan mematuhi segala arahan pihak penganjur serta mengelakkan melakukan sebarang keganasan atau kebiadaban. Bagi yang beragama Islam, segala tuntutan Islam termasuk solat fardu hendaklah dipenuhi.
Moga perhimpunan ini akan membantu usaha bagi membanteras kezaliman dan kemungkaran dalam negara.
Moga keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan.
Nahar Md Nor
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sumber: http://bit.ly/1NydZau

IKRAMTeens
Kenyataan Media IKRAMTeens
14 Ogos 2015
Baru-baru ini sekali lagi negara kita dikejutkan dengan berita yang amat mendukacitakan. Kes dua orang kanak-kanak 11 tahun yang dilaporkan mengandung dan bersalin adalah kes yang amat membimbangkan.
IKRAMTeens selaku badan bukan kerajaan yang banyak menjalankan program-program pembentukan sahsiah remaja memandang serius kes-kes yang melibatkan remaja di negara ini.
IKRAMTeens merasa terpanggil untuk mengajak masyarakat dan kerajaan bagi melihat dan memperkasakan lagi sistem kekeluargaan mengikut syariat Islam bagi menjaga ahli keluarga dari anasir-anasir luar yang merosakkan. Ini bertepatan dengan firman Allah swt yang bermaksud:
" Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu..." (At-tahrim: 6)
IKRAMTeens percaya salah satu penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan memberi didikan agama yang mencukupi dan memupuk suasana harmoni serta kasih sayang dalam keluarga dan masyarakat. Ibubapa juga perlu memberi perhatian lebih kepada anak-anak serta memantau aktiviti harian mereka.
IKRAMTeens akan terus berusaha membimbing remaja kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran melalui program-program yang dijalankan seperti modul Meniti Usia Baligh yang memberi pendedahan tentang perubahan-perubahan di alam remaja serta modul Cinta Fotokopi yang menekankan tentang bahaya zina dan hubungan seksual sebelum berkahwin.
Akhir kata, IKRAMTeens mengajak semua pemimpin dan rakyat Malaysia turut serta dan sama-sama prihatin dalam membantu menangani isu kritikal ini.
-Sekreteriat IKRAMTeens Pusat-
APAKAH MENGALIR AIR MATA AHLI POLITIK ISLAM KETIKA BANGUN TAHJUD
DI TENGAH MALAM?
oleh: Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus
Tahniah! Mereka yang bangkit cuba menyusun kekusutan politik negara.
Tahniah! Mereka yang berani bangkit menegur kepincangan para Menteri dalam mengurus tadbir negara.
Tahniah! Mereka yang menegur penjawat awam yang lembab dan tidak berani membuat penguatkuasaan apabila ada rasuah, pecah amanah dan ketirisan.
Ya! Kita semua ahli politik yang dikagumi apabila inginkan negara diurus dengan baik. Walau kita bukan aktivis mana-mana partai politik. TERUSKAN teguran-teguran itu.
NAMUN adakah kita pada waktu yang sama berkesempatan bangun di tengah malam sebagaimana Imam Auzaie yang jauh lebih alim dan warak dari kita?
دخلت إحدى النساء على زوجة الإمام الأوزاعي رحمه الله فرأت تلك المرأه بللاً في موضع سجود الأوزاعي ، فقالت لزوجة الأوزاعي : ثكلتك أمك !! أراك غفلت عن بعض الصبيان حتى بال في مسجد الشيخ ( أي مكان صلاته بالليل ) فقالت لها زوجة الأوزاعي : ويحك هذا يُصبح كل ليلة !! من أثر دموع الشيخ في سجوده .
Salah seorang wanita menziarahi isteri Imam Auzaie dan dia terpandang kesan basah di tempat sujud Imam Auzaie.
Lalu dia menegur isteri Iman Auzaie:
"Apalah kecuaian engkau sehingga kanak-kanak masuk dan kencing di tempat sujud Imam Auzaie (tempat solat malamnya).
Jawab isteri Imam Auzaie:
"Apalah engkau ini! Kejadian sebegini berlaku setiap malam; Inilah kesan tangisan curahan air mata Imam Auzaie ketika sujudnya"
s
Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
11 Ogos 2015 bersamaan 27 Syawal 2015
Perginya Seorang Lagi Tokoh Ulama Ummah
Pada Sabtu 8 Ogos 2015, dunia telah kehilangan seorang lagi tokoh ulama ulung dengan pemergian al-Allamah Profesor Dr Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili pada umur 83 tahun.
Beliau merupakan seorang ilmuan dan pakar perundangan Islam tersohor abad ke-20 dan ke-21 yang menjadi guru dan rujukan bagi begitu ramai sarjana Islam hari ini.
Beliau adalah pakar rujuk Syariah dalam pelbagai akademi Fiqh dunia, termasuk Akademi Fiqh Antarabangsa di bawah OIC dan Akademi Fiqh Rabitah Alam Islami. Beliau pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia pada 2008/1430H.
Dr Wahbah al-Zuhaili adalah seorang ilmuan yang sangat produktif. Beliau telah menulis ratusan karangan termasuk buku dan makalah yang menjadi rujukan dunia Islam.
Karangan beliau banyak yang bersifat ensiklopedia dalam pelbagai disiplin ilmu Islam khususnya fiqh perbandingan mazhab, perbandingan antara fiqh dan undang-undang moden, usul fiqh dan tafsir.
Antara ciri istimewa karangan beliau ialah ianya mendekatkan karangan-karangan klasik ulama’ Islam dahulu kala kepada masyarakat kini dengan mengumpul ilmu-ilmu daripada pelbagai kitab lalu dikupas dan disusun semula dengan menggunakan bahasa moden yang lebih mudah difahami.
Banyak buku karangan beliau yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Antara buku yang beliau yang paling popular ialah al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Usul al-Fiqh al-Islami, Tafsir al-Munir dan lain-lain.
Ulama kelahiran Syria ini telah dilahirkan pada 1932, mendapat ijazah sarjana muda dalam Syariah pada 1956 dari Universiti Azhar, Mesir. Beliau juga mempunyai ijazah sarjana muda dalam undang-undang dari Universiti Ain Shams. Beliau mendapat ijazah kedoktoran pada 1963 dalam bidang Syariah.
Dr Wahbah juga adalah seorang yang tegas menegur kemungkaran dan kezaliman. Teguran terhadap kezaliman rejim Assad di Syria telah menyebabkan beliau dikenakan tahanan di rumah sehingga akhir hayat.
Oleh itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai satu pertubuhan dakwah sungguh merasai kehilangan atas pemergian al-Allamah Dr Wahbah al-Zuhaili.
IKRAM mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan memanjatkan doa agar beliau dicucuri rahmat Allah SWT dan semoga khazanah ilmu peninggalan beliau menjadi amal jariahnya sehingga ke akhir zaman. Ameen.
Ustaz Haji Burhanuddin bin Lukman
Pengerusi Jawatankuasa Ulama
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Link: http://bit.ly/1IExpGt
Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
10 Ogos 2015 bersamaan 25 Syawal 1436H
Tubuhkan Suruhanjaya Diraja Bagi Pulihkan Keyakinan Rakyat Terhadap Kebebasan Dan Integriti Agensi Kerajaan
IKRAM memandang serius kes-kes yang melibatkan penamatan perkhidmatan, penahanan, penyiasatan dan perpindahan serta merta ke atas pegawai-pegawai yang terlibat mengendalikan siasatan ke atas 1MDB.
Tindakan ini dipercayai akan menggugat keyakinan rakyat terhadap urusan pentadbiran kerajaan yang memerintah. Kepercayaan rakyat kepada pegawai dan agensi kerajaan juga terhakis hasil daripada tindakan polis ke atas pegawai-pegawai yang terlibat dalam Pasukan Petugas Khas tersebut sekali gus memberi gambaran campur tangan kuasa politik negara dalam urusan pentadbiran kerajaan.
Paparan peristiwa tersebut yang melibatkan mereka yang berjawatan tinggi, terpilih dan pakar dari agensi yang dihormati dalam kerajaan itu telah mewujudkan keraguan yang besar terhadap kebebasan, integriti dan kewibawaan agensi kerajaan tersebut.
IKRAM percaya salah satu jalan penyelesaian ke arah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kakitangan dan agensi kerajaan terbabit adalah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat apakah benar berlaku kepincangan dan pecah amanah; atau adakah di sana wujud campur tangan dan penyalahgunaan kuasa terhadap agensi kerajaan berkenaan.
Adalah diharapkan juga hasil siasatan tersebut dapat memberikan jalan terbaik sebagai panduan ke arah memperbaiki kebebasan dan integriti agensi kerajaan secara hakiki dan juga di mata rakyat.
Dalam masa yang sama, IKRAM ingin mengajak pemimpin dan rakyat Malaysia untuk turut berdoa agar negara Malaysia dianugerahkan pemimpin dan rakyat yang mempunyai sifat amanah yang tinggi dalam melaksanakan apa sahaja tanggungjawab yang diberikan.
IKRAM yakin bahawa dengan sifat amanah yang tinggi, Malaysia akan berjaya menjadi sebuah negara yang maju, adil dan sejahtera selaras dengan cita-cita besar negara dalam mencapai wawasan 2020. Kata-kata Nabi Muhamad SAW menjadi pedoman di mana baginda menyebut yang bermaksud:
"Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki sifat amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menepati janji." (HR Ahmad)
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Link: http://bit.ly/1TcRyvv
Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
6 Ogos 2015 bersamaan 21 Syawal 1436H
IKRAM Ucap Takziah Kepada Keluarga Nahas MH370
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga nahas MH370 setelah mendapat pengesahan rasmi bahawa penemuan serpihan kapal terbang di Reunion Island baru-baru ini adalah dari pesawat tersebut.
Marilah kita rakyat Malaysia sama-sama mendoakan agar keluarga mangsa nahas MH370 tabah dan sabar menerima hakikat tragedi pahit yang berlaku pada 8 Mac 2014 yang lalu. Untuk mangsa nahas, kita doakan agar mereka dicucuri rahmat dan keampunan oleh Allah.
IKRAM juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khasnya kepada “Joint Agency Coordination Centre (JACC)” yang telah bertungkus lumus berusaha di dalam misi mencari MH370 tersebut. Semangat kerjasama dan usaha yang tidak mengenal lelah dalam pencarian yang paling sukar dalam sejarah penerbangan negara tersebut seharusnya diberikan penghargaan yang sewajarnya.
IKRAM berharap usaha pencarian baki bangkai kapal terbang MH370 dan mengenalpasti lokasi terhempas serta punca tragedi tersebut dapat dipercepatkan. Moga jawapan sebenar punca tragedi tersebut berjaya diperolehi dalam masa terdekat.
Dalam masa yang sama, IKRAM berharap segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku rentetan dari nahas MH370 ini dapat diperbaiki dan ditambah baik dengan kadar segera. Adalah menjadi satu tanggungjawab besar kepada pihak berkuasa khasnya kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mengenalpasti sebarang kelemahan dalam menangani tragedi tersebut supaya perkara yang sama tidak berulang dan dapat dielakkan pada masa hadapan.
IKRAM juga berdoa agar negara Malaysia dan rakyatnya terus-menerus dirahmati dan dilindungi oleh Allah dari sebarang nahas dan tragedi lagi selepas ini. Moga semua pemimpin dan rakyat terus berusaha menjadikan negara ini sebuah negara yang mendapat rahmat dari Yang Maha Pencipta selari dengan anjuran al-Quran yang berbunyi:
"...Sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi..." (al-'A'raaf: 96)
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3 Ogos 2015 bersamaan 18 Syawal 1436H
IKRAM Pandang Serius Kenyataan Yang Meremehkan Larangan Agama
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius laporan berita yang dikaitkan dengan pandangan YB Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Kenyataan yang menyebut bahawa “…isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat…” amat mendukacitakan.
Sekiranya laporan ini benar, adalah tidak wajar bagi seorang Menteri beragama Islam yang telah diberikan amanah kepimpinan dan bakal menjadi teladan kepada rakyat di negara ini untuk membuat komen sedemikian.
IKRAM berharap beberapa peraturan yang telah diperkenalkan oleh pihak LPF khasnya merujuk kepada Panduan Penapisan Filem Stesen TV ke atas elemen seks / lucah / kelakuan sumbang perlu dipertahankan malah ditambah baik selaras dengan peraturan-peraturan yang telah disarankan oleh syarak selari dengan Islam sebagai agama rasmi negara.
IKRAM suka merujuk kepada Indeks Syariah Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Februari tahun ini yang telah menganjurkan agar perjalanan kementerian dan agensinya mengambil kira Maqasid al-Syariah.
Sudah pasti kesemua kementerian dan agensinya tidak boleh tidak harus berpaksi kepada tuntutan Maqasid al-Syariah iaitu meletakkan elemen pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta diberi perhatian dalam membuat polisi dan peraturan. Malah diharapkan LPF juga mengguna pakai Indeks Syariah Malaysia sebagai rujukan.
IKRAM menyeru pemimpin negara dan rakyat bersama-sama membangunkan negara ini atas prinsip yang telah disebut dalam al-Quran yang berbunyi:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (al-Maidah: 2)
Hj Abdul Aziz Bin Abd Jalal
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Umat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sumber: http://bit.ly/1IdSEyA
--