Showing posts with label KEADILAN. Show all posts
Showing posts with label KEADILAN. Show all posts

AMK Mengecam Tindakan Pihak Berkuasa Berkenaan Serbuan Ke Atas Malaysiakini dan Star Online



AMK MENGECAM TINDAKAN PIHAK BERKUASA BERKENAAN SERBUAN KE ATAS MALAYSIAKINI DAN STAR ONLINE

AMK mengecam tindakan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dan polis yang telah menyerbu pejabat Malaysiakini dan Star Online.

Terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa tindakan ini diambil akibat laporan mereka berkenaan pemindahan seorang Pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).


Pegawai tersebut, dimaklumkan, adalah sebahagian daripada kumpulan penyiasat yang sedang menyiasat anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, sudah pun mengesahkan bahawa pegawai tersebut telah dipindahkan secara dalaman di SPRM.

Sebuah media yang bebas untuk berfungsi tanpa sebarang tekanan atau pemerhatian melampau pihak kerajaan adalah penting untuk sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Tindakan pihak SKMM dan polis ini bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Malaysia, tetapi juga kewibawaan kedua-dua institusi ini sendiri.

Kejadian ini lebih menggusarkan kerana rakyat pasti akan melihat serbuan ini sebagai bersangkut-paut dengan kontroversi Kerajaan Persekutuan yang tidak berkesudahan.

SKMM serta pihak polis haruslah menerangkan dengan telus mengapa tindakan ini perlu diambil, sebelum keyakinan rakyat terhadap mereka kian terhakis.

Segala tindakan zalim terhadap institusi awam dan pihak pengkritik mestilah dihentikan dengan segera.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Selangor Kekal Sebagai Kerajaan Rakyat - Shuhaimi Haji Shafiei



Selangor Kekal Sebagai Kerajaan Rakyat-
KEADILAN Selangor

Kerajaan Selangor perlu kekal dengan pendirian kerjasama politik secara holistik terhadap semua pihak yang mahu melihat sebuah pakatan politik yang stabil dan ampuh bagi berdepan dengan UMNO/BN dalam PRU14.


KEADILAN Selangor menolak pandangan sempit sesetengah pihak yang menyatakan bahawa sikap YAB Dato' Menteri Besar yang masih mengekalkan Adun-Adun PAS sebagai Exco adalah suatu bentuk langkah peribadi.

Pendirian YAB Dato' Menteri Besar, Azmin Ali adalah berdasarkan resolusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN pada 11 Oktober 2015 yang telah memutuskan untuk memanjangkan hubungan kerjasama dengan semua parti politik. Pastinya, ia melibatkan Adun PAS dalam membentuk 'kerjasama pentadbiran' di Negeri Selangor dengan sokongan semua Adun.

Tindakan YAB MB Selangor mengekalkan Exco-Exco Kerajaan Selangor dari PAS adalah selaras dengan hasrat dan ketetapan MPP KEADILAN yang jelas mahu meneruskan usaha-usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu di peringkat pusat dan apatah lagi di Selangor sebagai sebuah Kerajaan. Jelas ia adalah keputusan parti dan bukan bersifat peribadi.

Kenyataan tertentu yang dibuat seolah-olah mendesak untuk YAB Dato' Menteri Besar menggugurkan Exco daripada PAS adalah suatu saranan yang bertentangan dengan resolusi mesyuarat MPP. Maka perlu suatu tindakan disiplin serta penyiasatan diambil terhadap mana-mana pimpinan KEADILAN yang jelas menolak pendirian semasa KEADILAN pada masa ini yang telah diputuskan oleh MPP KEADILAN. Harus diingatkan semula, MPP adalah badan pemutus tertinggi dalam KEADILAN.

Anggota serta pimpinan parti seharusnya memahami situasi ini dan tidak memberikan suatu sisi pandangan yang tersasar daripada maksud resolusi yang telah diputuskan oleh MPP KEADILAN.

KEADILAN Selangor menyokong penuh Kerajaan Negeri yang komited untuk memantapkan pentadbiran bersama rakan-rakan Pakatan Harapan dengan memperbesarkan ruang kerjasama pentadbiran termasuk terhadap Adun-Adun PAS di Selangor.

Langkah yang diambil oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor ini perlu di sokong kerana ia di yakini bagi menyediakan suasana kondusif demi perpaduan pergabungan politik yang lebih luas.

Oleh yang demikian, KEADILAN Selangor menyeru semua pihak untuk bersama-sama membantu YAB Dato' Menteri Besar Selangor dalam menjayakan Belanjawan Selangor 2016 yang telah dibentangkan dengan tema "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" demi kepentingan rakyat.

Walau apapun nama gabungan yang kita ingin sebutkan, yang paling penting marilah kita terlebih dahulu membuktikan; dalam semangat Pakatan Rakyat terdahulu, iltizam muafakat Pakatan Harapan terkini, kitalah kerajaan gabungan masa depan rakyat Malaysia.

Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.

Nurul Izzah: Rakyat sengsara menanggung pembaziran Projek Mega Kerajaan. Penjimatan RM57 billion melalui Akta Kecekapan Tenaga tidak diendahhkan.



Rakyat sengsara menanggung pembaziran Projek Mega Kerajaan. Penjimatan RM57 billion melalui Akta Kecekapan Tenaga tidak diendahhkan.

Pada 26 Oktober saya bertanya Perdana Menteri di Parlimen persoalan saya perihal status terkini cadangan janakuasa nuklear; serta pendirian Kementerian tentang pengenalan Akta Kecekapan Tenaga dalam usaha meningkatkan penjimatan dan kecekapan tenaga di Malaysia.

Soalan ini adalah rentetan soalan saya di Parlimen pada 12 Mac 2015 (1) yang lalu di mana saya telah nyatakan bahawa kerajaan dapat menjimatkan minimum RM57 bilion dan menurunkan penggunaan setinggi 3,600 MW hanya dengan perbelanjaan kecekapan tenaga yang berkos RM987 juta sahaja.

Namun jawapan yang saya terima dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mah Siew Keong pada 26 Oktober adalah seperti berikut:

Pertama, kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pembinaan loji janakuasa nuklear. Keputusan ini akan dibuat selepas pelbagai kajian-kajian yang masih sedang dijalankan kerajaan.

Kedua, kerajaan masih belum berhasrat untuk mewujudkan Akta Kecekapan Tenaga yang khusus bagi meningkatkan penjimatan dan kecekapan tenaga. Menurut kerajaan peruntukan di bawah Akta Bekalan Eletrik (Pindaan 2001) memadai untuk menyokong perlaksanaan kecekapan tenaga.

Wajar diingat bahawa perundangan yang sedia ada hanya menjurus kepada kecekapan tenaga dalam industri tenaga elektrik sahaja dan tidak termasuk sektor-sektor yang lain seperti pengangkutan dan sebagainya.

Ini adalah satu perkara yang tidak bertanggung jawab oleh kerajaan. Di kala krisis harga minyak jatuh dan menurunkan pendapatan negara kerajaan buntu dalam pengurusan ekonominya tetapi terus bertindak mencukai rakyat dengan kutipan cukai GST. Belanjawan 2016 yang baru diumumkan jumaat lepas tiada visi yang hebat malah meneruskan bajet-bajet Perdana Menteri sebelum ini yang telah defisit fiskal sepanjang 18 tahun. Projek Mega tetap diteruskan tanpa mempedulikan kesusahan rakyat dan kos sara hidup yang terus meningkat.

Kerajaan tidak sensitif malah meneruskan perbelanjaan besar dengan projek-projek mega seperti Malaysian Vision Valley, Aeropolis KLIA dan Rubber City Kedah yang berkos RM12.32B. Jelas fokus kerajaan adalah untuk memastikan syarikat-syarikat korporat terus mengaut untung tanpa mengambil kira poket rakyat. Dana untuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin pula dipotong secara drastik daripada RM200 juta kepada hanya RM10 juta sahaja. Dana untuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong secara drastik daripada RM200 juta kepada hanya RM10 juta sahaja.

Malah, Belanjawan 2016 juga turut melupuskan subsidi bil elektrik, yang dahulunya pada RM150 juta untuk golongan miskin, yang bil elektriknya kurang dari RM20, serta pelupusan subsidi minyak masak sebanyak RM950 juta. Yang masih tidak lupus adalah rasuah, yang menyebabkan hutang negara bertambah dan rakyat terus didera dengan dipaksa menebus belanja kerajaan dengan GST. Kerajaan wajib bertindak lebih kritikal dan sensitif apabila memperbelanjakan wang negara yang dikutip dari rakyat hasil dari cukai GST.

Akta Kecekapan Tenaga yang boleh membawa penjimatan sehingga RM57 bilion perlu dilaksanakan segera. Sekiranya Kerajaan dengan mudah dapat menjimatkan RM57 bilion- lantas rancangan loji Nuklear yang berkos RM21.3 billion tidak perlu diteruskan. Inilah masalahnya apabila falsafah Belanjawan adalah untuk menekan rakyat demi meneruskan projek mega.

Kerajaan harus berfikir diluar kotak, melaksanakan langkah penjimatan dan memikirkan bagaimana untuk meraih sumber dana pendapatan yang baru.

Seperti yang dijanjikan, saya akan terus menerus membawa isu Kecekapan Tenaga ke Parlimen dan akan mengambil input daripada pihak-pihak berkepentingan dr industri untuk terus mendesak isu ini yang jelas dapat menjimatkan banyak wang ringgit untuk negara serta akan terus meneliti untuk membawa Akta Kecekapan Tenaga ke Parlimen.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN

AMK Mencalonkan Tokoh-Tokoh Muda Untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak



AMK MENCALONKAN TOKOH-TOKOH MUDA UNTUK PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK

Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Angkatan Muda Keadilan (AMK) selesai menjalankan bengkel dua hari bersama-sama calon AMK di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak bermula 26 hingga 27
Oktober 2015.


Ini merupakan sebahagian aktiviti Jawatankuasa Pilihan Raya AMK Pusat
bagi membantu kemenangan calon-calon AMK dengan kerjasama Jawatankuasa Pilihan Raya KEADILAN Pusat dan Jawatankuasa Pilihan Raya KEADILAN Sarawak.

Calon-calon mengadakan perbincangan dengan YB See Chee How, Pengarah
Pilihan Raya KEADILAN Sarawak; YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK
Malaysia; YB Dr Afif Bahardin, Timbalan Ketua AMK Malaysia; YB Tan Kar
Hing, Pengarah Pilihan Raya AMK Malaysia; Raymond Ahuar, Naib Ketua
AMK Malaysia; YB Chang Lih Kang, Setiausaha AMK Malaysia dan
pimpinan-pimpinan lain.

Berikut merupakan calon-calon AMK:

1. Abdul Raafidin Majidi, DUN Nangka (Ketua AMK Sarawak), 32 tahun
2. Mohamed Shalleh Shawkatali, DUN Satok (Naib Ketua AMK Sarawak), 34 tahun
3. Steve Teo Jia Jun, DUN Senadin (Ketua AMK Miri), 25 tahun
4. Musa Ngog, DUN Tarap, (Ketua AMK Mambong), 33 tahun

Selain itu, dua calon mendapat dokongan AMK dan Wanita KEADILAN secara bersama:

1. Jamilah Baharuddin, DUN Simunjan (Ketua Biro Alam Sekitar AMK
Malaysia), 29 tahun
2. Elia Bit, DUN Marudi (Ketua AMK Baram), 27 tahun

Kekuatan utama AMK Sarawak berteraskan latarbelakang calon-calon yang
berusia 20an dan 30an dan berasal daripada pelbagai kaum dan latarbelakang aktivisme dan profesional.

Isu-isu jurang pembangunan, peluang pekerjaan dan ekonomi setempat,
pencabulan Tanah NCR dan menyuarakan suara generasi muda Sarawak akan
menjadi fokus calon-calon AMK Sarawak.

ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

Bajet 2016 Kerajaan Persekutuan Mengecewakan - Nik Nazmi Nik Ahmad



BAJET 2016 KERAJAAN PERSEKUTUAN MENGECEWAKAN

Bajet 2016 kerajaan Barisan Nasional tidak memberi apa-apa nilai baru kepada negara, kerana kita hanya menyaksikan strategi fiskal yang sama sahaja semenjak Perdana Menteri Najib Razak mula berkuasa.

Seperti biasa, golongan pertengahan telah diabaikan, dan walaupun golongan berpendapatan tinggi dikenakan cukai lebih, tetapi kerajaan tidak berbuat apa kepada sektor korporat sementara itu golongan berpendapatan rendah masih terus dibebankan dengan GST.

Tetapi apa yang paling merisaukan berkenaan Bajet 2016 adalah potongan sebanyak RM1.4 billion daripada bajet Pendidikan Tinggi. Kerajaan akan mewajarkan tindakan ini dengan mengatakan bahawa ianya selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), yang menggalakkan pihak Universiti sendiri mencari dana kewangan. Tetapi dengan potongan yang begitu besar pastinya pihak Universiti akan menghadapi kesukaran kerana Pelan tersebut baru lagi diumumkan tahun ini dan Universiti hanya diberi beberapa bulan untuk menyesuaikan diri.

Dalam pada itu, perbelanjaan pembangunan yang ditetapkan bagi bajet Pendidikan Tinggi merupakan yang terendah sejak Najib menjadi Perdana Menteri, dan pada kadar 12.04% daripada keseluruhan bajet, ia merupakan pengurangan yang ketara berbanding dengan ketetapan 34.55% daripada keseluruhan bajet pada tahun 2010.

Sudah sedia maklum bahawa kualiti institut pendidikan tinggi negara ini semakin merosot, walaupun kita mempunyai rakyat yang begitu berbakat dan bijak. Isu pengaliran keluar pakar seringkali dibincangkan, sedangkan kerajaan sepatutnya meningkatkan lagi keyakinan terhadap IPTA, pengumuman bajet ini hanya mampu menggusarkan lagi keadaan.

Tindakan kerajaan itu akan membangkitkan pelbagai isu. Adakah
Universiti akan terkesan dengan kekurangan kemasukan pelajar? Adakah penyelidikan akan berkurangan? Adakah pelajar sendiri mendapat kurang perhatian kerana pihak Universiti sibuk perlu mencari dana sendiri dengan begitu banyak?

Tempat di IPTA telah dikurangkan sejak dua tahun berturut-turut
meskipun keputusan pelajar yang layak ke IPTA terus meningkat. Ini membuatkan pelajar yang tidak mendapat tempat atau jurusan sesuai di IPTA terpaksa ke IPTS dan berharapkan pinjaman PTPTN. Peruntukan PTPTN pula telah dipotong antara 15 hingga 25 peratus.

Ini juga terjadi berikutan isu-isu berkenaan biasiswa MARA dan JPA yang memperlihatkan polisi diubah secara rambang, jumlah penerima biasiswa berkurangan dengan banyak dan kebajikan pelajar diabaikan hampir sepenuhnya.

Semua ini menjadi persoalan sama ada kerajaan telah berputus asa terhadap pendidikan tinggi dan lebih rela memperjudikan masa depan generasi muda demi menutup masalah-masalah kewangan negara akibat kegagalan tadbir urus kerajaan Najib Razak.

Bajet 2016 membuktikan bahawa Najib Razak hanya mementingkan diri dan langsung tidak cekap. Dengan hanya menumpukan perhatian untuk memperoleh undi golongan luar bandar, Barisan Nasional seakan-akan sudah mengisytiharkan perang terhadap golongan pertengahan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR

Rafizi Ramli: Anggaran Kos 42 Perjalanan Menggunakan Jet Peribadi Baru ACJ320 Sebanyak RM40.8 Juta Bagi 6 Bulan



ANGGARAN KOS 42 PERJALANAN MENGGUNAKAN JET PERIBADI BARU ACJ320 SEBANYAK RM40.8 JUTA BAGI 6 BULAN

Soalan saya mengenai jumlah perjalanan dan kos yang ditanggung rakyat melibatkan jet peribadi baru ACJ320 telah naik dalam senarai soalan lisan pada hari Khamis 22 Oktober 2015 seperti berikut:


Malangnya, jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Azalina Othman langsung tidak menyentuh perkara-perkara yang ditanya secara khusus. Jawapan yang diberikan adalah seperti berikut:



Satu-satunya maklumat yang diberikan adalah jet peribadi ini telah digunakan sebanyak 42 kali sejak memulakan perkhidmatan dalam bulan April 2015. Ini bermakna, purata perjalanan jet ini adalah sebanyak 7 perjalanan setiap bulan di antara April 2015 hingga September 2015.

Ini bukan kali pertama soalan mengenai perbelanjaan melibatkan jet peribadi yang digunakan pimpinan kerajaan dibawa ke Parlimen. Sebelum ini, kerajaan memberi jawapan mengenai kos yang ditanggung apabila ditanya oleh YB Nga Kor Ming dalam sidang Oktober 2013.

Keengganan Perdana Menteri mendedahkan butiran perjalanan (ke mana dan bagi tujuan apa) serta kos setiap perjalanan menunjukkan beliau tahu maklumat ini akan menimbulkan kemarahan rakyat. Apabila kerajaan enggan mendedahkan maklumat berkepentingan awam kerana melibatkan dana rakyat, ia menggambarkan Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa perbelanjaan itu tidak berhemah sehingga perlu disembunyikan dari rakyat.

Walau bagaimana pun, saya telah mendedahkan sebelum ini bahawa kontrak penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) jet ACJ320 pula telah ditetapkan pada RM46 juta setahun. Ini tidak termasuk kos minyak jet dan perbelanjaan khusus bersabit setiap perjalanan yang akan dibayar oleh kerajaan.

Maka, sejak mula beroperasi dalam bulan April 2015, saya menjangkakan kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) adalah berjumlah RM23 juta. Mengikut rekod kos lawatan luar negara Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi tahun 2008 hingga 2013, beliau membelanjakan pada purata RM9 juta setahun.

Oleh itu, anggaran saya bahawa kos sewaan, operasi dan perjalanan melibatkan jet ACJ320 sejak mula beroperasi adalah seperti berikut:

1. Kos sewa jet – RM2.217 juta sebulan, jumlah 6 bulan (April 2015 ke September 2015) adalah RM13.3 juta
2. Kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) – RM3.833 juta sebulan, jadi kos bagi 6 bulan adalah RM23 juta
3. Kos perjalanan luar negara Perdana Menteri (berdasarkan purata tahunan) – dianggarkan RM4.5 juta bagi tempoh setengah tahun

Jumlah perbelanjaan melibatkan jet ACJ320 yang cuba disembunyikan oleh Perdana Menteri dianggarkan RM40.8 juta bagi tempoh 6 bulan dari April 2015 hingga September 2015.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

26 Oktober 2015

Kenyataan Media Oleh Yb Nurul Izzah, Yb Hee Loy Sian Dan Yb Sivarasa Rasiah



KENYATAAN MEDIA OLEH YB NURUL IZZAH, YB HEE LOY SIAN DAN YB SIVARASA RASIAH

Langkah Kerajaan Malaysia Melanggar Hak dan Kebebasan Masyarakat Madani termasuk Ahli-Ahli Parlimen Malaysia Mendapat Perhatian Serius Inter-Parliamentary Union (Kesatuan Antara Parlimen)

Pada 2 Julai 2015 yang lalu, Kesatuan Antara Parlimen (IPU) di bawah Jawatankuasa Hak Asasi Ahli-ahli Parlimen (CHRP) telah menghantar misi penyiasat berkait tekanan undang-undang yang bertentangan dengan hak asasi terhadap ahli parlimen pembangkang di Malaysia yang telah menyuarakan tentang isu-isu skandal rasuah dan salah guna kuasa. Pasukan IPU juga menggesa agar kerajaan memberikan akses rawatan perubatan diberikan segera kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Ketua Pembangkang Malaysia yang ditahan sebagai tahanan politik di Malaysia. Kenyataan ini dikemukakan setelah sesi lawatan diadakan ke penjara pada minggu yang sama siasatan IPU dilaksanakan.

IPU menggesa agar siasatan dan dakwaan terhadap lapan ahli parlimen pembangkang di bawah Akta Hasutan digugurkan. Beberapa ahli-ahli parlimen juga didakwa atau disiasat kerana terlibat dalam perhimpunan aman, atau dalam melaksanakan tugas mereka dalam memastikan pihak kerajaan sentiasa telus. YB Nurul Izzah sendiri telah disiasat dan ditahan kerana ucapan beliau di Parlimen yang didakwa sebagai mengkritik institusi kehakiman.

Misi IPU dimaklumkan oleh kerajaan Malaysia bahawa Akta Hasutan akan dipinda seiring dengan usaha memastikan akta tersebut tidak disalah guna. Justeru awalnya IPU melahirkan rasa optimis bahawa Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan Akta Hasutan melanggar Perlembagaan Persekutuan, menerusi kes yang dibawa oleh Professor Azmi Sharom.

Malangnya, pada 6 Oktober 2015, Mahkamah Persekutuan mengumumkan Akta Hasutan adalah sah dan mengikut perlembagaan. Keputusan ini merupakan bencana besar buat penyokong hak asasi manusia di Malaysia terutamanya buat aktivis sivil kemanusiaan, aktivis pembangkang dan rakyat biasa yang menyuarakan hak dan kebebasan bersuara, menyampaikan pendapat dan berhimpun dengan aman. Dalam pada itu, sehingga ke hari ini, Dato' Seri Anwar Ibrahim masih belum menerima rawatan fisioterapi intensif disebabkan kecederaan bahu yang serius.

Pada 19 Oktober 2015, YB Nurul Izzah telah member penerangan terkini dalam sidang CHRP-IPU. Berikut merupakan antara tiga input utama yang dikemukakan:


1. Malaysia masih diselubungi skandal ‪#‎1MDB‬ yang melibatkan Perdana Menteri dan menjadi skandal yang dirujuk Fitch sebagai alasan penurunan taraf Petronas dan juga krisis matawang yang jatuh beserta inflasi bertambah akibat pengurusan yang tempang. Kemelut ini mendorong kerajaan menggunakan segala jentera untuk mengambil tindakan yang bertentangan hak asasi manusia dan prinsip-prinsip keadilan. Kajian terkini menunjukkan hanya 23% sokongan buat Kerajaan Barisan Nasional Pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak.
2. Kondisi kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin merosot - Pada 25 Jun 2015, doktor melaporkan beliau mengalami kecederaan Chronic Severe Rotator Cuff dan menunjukkan bukti kecederaan di bahagian bahu kanan. Penafian hak rawatan fisioterapi intensif sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali seminggu seperti yang disarankan oleh doktor pakar yang memeriksa beliau pada Julai lepas telah menyebabkan kecederaan bertambah teruk. Hanya selepas lawatan anggota CHRP IPU, Saudara Juan Pablo dan Saudara Abatalib ke penjara barulah proses kemasukan Datuk Seri Anwar ke hospital dilunaskan selama beberapa hari. Datuk Seri Anwar juga berhadapan dengan siasatan di bawah Akta Hasutan.

3. Kesemua cubaan dan siasatan yang dijalankan kepada ahli politik pembangkang adalah bertujuan untuk menidakkan hak mereka untuk bertanding pada PRU14 serta usaha mereka dalam memecah belahkan pasukan pembangkang yang telah memenangi 52% undi popular pada PRU13. Antara ahli-ahli Parlimen yang terkesan termasuklah YB Teresa Kok, N Surendran, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Rafizi Ramli,Steven Sim, Teo Kok Seong, Ng Wei Aik, Khalid Samad, Tony Pua dan yang terkini Sim Tze Zin dan Sivarasa Rasiah.

Kerajaan Malaysia harus mengambil pendekatan yang cermat dalam mengambil kira imej yang dipaparkan kepada dunia luar serta menamatkan siri penganiayaan terhadap suara pembangkang hanya kerana ingin mengalih pandangan daripada dakwaan rasuah terhadap Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak. Seraya dengan usaha ini, Speaker sebaiknya melunaskan usul memansuhkan Akta Hasutan di Parlimen pada sidang ini.

NURUL IZZAH ANWAR, AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
SIVARASA RASIAH, AHLI PARLIMEN SUBANG
HEE LOY SIAN, AHLI PARLIMEN PJ SELATAN

Recent Posts Widget

.

.