Showing posts with label MAPIM. Show all posts
Showing posts with label MAPIM. Show all posts

Perobohan Rumah Penduduk Banggol Donas Dibantah - MAPIM



SEGERA

Kenyataan Media
14 hb September 2015


PEROBOHAN RUMAH PENDUDUK BANGGOL DONAS DIBANTAH :

Selaku Pengerusi Kongres Rakyat yang baru selesai , saya terkejut dengan kes perobohan rumah penduduk di Banggol Donas Trengganu . Penduduk didakwa sebagai penumpang tanah kerajaaan oleh pihak berkuasa kerajaan negeri.

Maklumat yang saya terima mereka telah tinggal di atas tanah mereka sendiri yang memilikki geran . Mereka tidak tinggal di tanah tersebut setahun dua ini sahaja.

Mereka sudah berada di tanah itu sejak bergenerasi yang diwarisi dan dipusakai dari bertahun tahun lamanya.

Berdasarkan fakta , kes ini berlarutan lama kerana pihak kerajaan kurang cermat dalam melihat peraturan. Pihak kerajaan tidak boleh menyalahkan penduduk.

Saya mendapat aduan sehingga hari ini penduduk maseh belum menerima bayaran pampasan pengambilan tanah.

Malah dimaklumkan Mahkamah baru sahaja memutuskan nilai pampasan selepas Hari Raya Aidil Fitri tahun ini sekitar sebulan yang lalu. Namun bayaran maseh belum diterima lagi.

Oleh itu saya terperanjat kerana tidak munasabah rumah diroboh, sedangkan tuan tanah belum dibayar.

Bukan sahaja ini tidak mengikut peraturan Akta Pengambilan Tanah , ia juga suatu kezaliman . Hak mereka dinafikan terang terangan yang bertentangan dengan keadilan sosial yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

Saya menyatakan bantahan dengan keras terhadap perlakuan tidak berperikemanusiaan ini , sedangkan rakyat sedang keluh kesah dengan situasi kos sara hidup yang semakin menyempitkan kehidupan.

Saya mendesak perobohan ini dihentikan serta merta sehingga semua peraturan undang undang di patuhi berdasarkan keputusan mahkamah.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi Kongres Rakyat
Presiden MAPIM.

UMNO Hilang Kuasa - Perlu Muhasabah, Bukan Mencerca Bangsa Jadi Bangsat



Kenyataan Media MAPIM
24 hb Ogos 2015

UMNO HILANG KUASA - PERLU MUHASABAH , BUKAN MENCERCA BANGSA JADI BANGSAT


MAPIM kecewa kenapa pemimpin tertinggi Umno , berjawatan Presiden memilih untuk mengistilahkan bangsa Melayu akan jadi bangsa terbangsat jika Umno hilang kuasa.

Istilah bangsat yang dipileh itu melambangkan pemimpin sudah terdesak dan tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap bangsa sendiri. Sedangkan bangsa Melayu itu sendiri sudah semakin sedar bahawa kepincangan yang berlaku adalah natijah dari kekonyolan pemimpin mereka sendiri.

Sepatutnya pemimpin Melayu harus insaf bahawa kehilangan kuasa adalah disebabkan bangsanya kehilangan keyakinan terhadap integriti pemimpinnya sendiri. Bermakna pemimpinlah yang harus diperbetulkan terlebih dahulu sebelum melampiaskan kata-kata nista kepada bangsanya sendiri.

Melafazkan bangsa terbangsat bukan sahaja menunjukkan kedangkalan kefahaman mengenai faktor-faktor jatuh bangunnya sesuatu kaum atau bangsa , akan tetapi lebih parah menunjukkan betapa pemimpin itu bersikap bebal , fanatik dan dangkal kepada nurani bangsa, sedangkan bangsa sendiri sudah semakin berani mempersoal dan menegur pemimpinnya .

Tidak wajar bangsa yang berpegang kepada Islam tiba-tiba pemimpinnya merumuskan bila parti politik yang mewakilinya kehilangan kuasa , pemimpin itu pula sanggup mencerca bangsa sendiri sebagai bangsa yang jahat dan hina.

Soalnya benarkah tanpa sebuah parti politik yang berdasarkan perjuangan nasionalisme , bangsa akan menjadi hina dan bertukar menjadi bangsa yang berwajah fasad dan mungkar.

Akal sihat tidak dapat menerima kata-kata ini sebagai kata-kata yang benar , apatah lagi kepimpinan parti itu sendiri yang menjadi punca polimik dan konflik menyebabkan kaumnya berhadapan dengan kemelut yang parah.

Perkataan bangsat bermakna jahat dan busuk serta hina. Adakah Datuk Seri Najib sebagai pemimpin Melayu benar-benar tidak dapat mencari istilah yang lebih tepat untuk mengambarkan betapa bangsa Melayu kini menjadi lemah akibat pemimpin-pemimpinnya hilang punca untuk melerai kemelut yang berpunca dari pemimpin itu sendiri.

Kami berpendapat yang menjadi masalah sebenarnya ialah pemimpin bangsa itu sendiri bukan bangsanya semata-mata . Umno yang dikatakan satu-satunya bahtera untuk membawa bangsa Melayu berlayar dalam lautan yang bergelora ini dibayangkan akan karam . Jika begitu , itu apakah bangsa Melayu terlalu cetek pemikirannya untuk tidak mahu memileh bahtera yang lain.

Keselamatan Melayu hanya terjamin jika bangsa ini dididik , diasuh dan dimantapkan dengan penghayatan Islam seluruhnya. Ia tidak akan mulia dan selamat dengan wadah yang tercemar dengan pemimpin yang berkepentingan diri dan membolot kekayaaan atas nama bangsanya sendiri.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
President

Recent Posts Widget

.

.