
PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS MELAKA:
Salam sejahtera kepada pendukung2 PAS sekelian. Kehadiran Eidul Adha pada tahun ini amat bermakna kepada kita. Ia berlaku diketika PAS menghadapi sedikit kekeliruan ahli - ahlinya terhadap matlamat perjuangan PAS. Akhirnya timbul kecelaruan fikrah dan firqah. Ada yang tidak berapa yakin dengan apa yang diperjuangkan selama ini. Isu hudud dijadikan asas yang memecah belahkan perpaduan sokongan rakyat kepada PR.
Kita sebagai muslim sejati amat menyakini bahawa usaha yang telah kita curahkan selama ini adalah untuk Islam akan mendapat pertolongan dari Allah swt.
Ibadah korban adalah simbolik keyakinanan dan pengorbanan nabi Ibrahim dalam mematuhi serta tunduk kepada perintah Allah swt walaupun tiada manusia yang normal boleh menerima perintah menyembelih anak sendiri. Tetapi perintah Allah perlu diakui dan dipatuhi. Nabi Ibrahim digelar sebagai Kekasih Allah di atas sikap ikhlas menggalas suruhanNya. Justeru, saya menyeru kepada pendukung2 PAS hayatilah syiar nabi Ibrahim ini yang diabadikan hingga akhir zaman.
Saya dan seluruh AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka memohon kemaafan atas segala kekhilafan yang dilakukan.
SELAMAT MENYAMBUT EDUL ADHA.
"TERUS BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
Sekian
Ust. Kamarudin Hj. Sidek
Pesuruhjaya PAS Melaka
PERMOHONAN MAAF TERBUKA KEPADA
FELIXIA @ RAISYYA RANIA
19 SEPTEMBER 2015
Pemuda AMANAH Negeri Melaka mengambil maklum mengenai isu Poster Anti Rasis yang menggunakan foto Saudari Felixia @ Raisyya Rania. Kami mengakui bahawa poster itu telah dibuat dan dikeluarkan oleh Pasukan IT kami yang ianya di bawah seliaan Pengarah Komunikasi, Pemuda AMANAH Negeri Melaka.
Pihak kami juga amat PEDULI dengan teguran & pandangan Saudari Felixia yang tidak mahu foto beliau dikaitkan dengan mana-mana aktiviti pertubuhan politik. Kami mengakui kesilapan pihak kami yang asalnya berniat untuk menyampaikan mesej “ISLAM MENOLAK RASIS” yang ianya juga menjadi pendirian kami tetapi telah menjadi kontroversi kepada pihak Saudari. Namun kami tetap mengakui bahawa niat yang baik juga perlu dilakukan dengan cara yang betul. Justeru itu, pihak kami telah mengambil keputusan untuk:
Memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Felixia berhubung isu ini dan pihak kami berjanji akan lebih cakna & berhati-hati dalam menghasilkan sebarang iklan, poster dan sebagainya di masa akan datang. Untuk makluman semua, pihak kami telah pun memadamkan semua status yang berkaitan poster tersebut dalam masa kurang 24 jam ianya dikeluarkan kerana kami mendapati ianya tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak kami.
Pihak kami juga telah mengerahkan 1000 anggota “Orange Army” untuk mengesan dan mencari poster itu di media-media baru. Mana-mana poster yang dapat dikesan akan diminta untuk dipadamkan dan tidak diviralkan lagi.
Pihak kami juga sedang merancang untuk bertemu secara ‘in-person’ dengan Saudari Felixia dalam masa terdekat untuk menamatkan isu ini daripada berpanjangan.
Pihak kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu-individu yang telah menghubungi pihak kami untuk menawarkan diri menjadi model sukarela bagi poster kami. InshaAllah, hasrat dan niat murni ini akan kami jadikan inspirasi untuk terus berbakti bagi mendaulatkan Islam sebagai RAHMAT BUAT SEMUA.
Sekian, terima kasih.
AMANAH | PROGRESIF | PEDULI
Yang Menjalankan Amanah,
Adeysham Nor,
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka
------------------------
Kenyataan media
Pembunuhan kejam pegawai tinggi kerajaan Anthony Kevin Morais
1) Susulan daripada kejadian pembunuhan kejam Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Anthony Kevin Morais pada hari semalam, Parti AMANAH Negara Negeri Melaka merasakan kegusaran sehubungan perkara ini. Tidak sepatutnya pembunuhan kejam ini berlaku di dalam negara kita yang di katakan aman dan damai seperti mana yang di laungkan selalu oleh menteri-menteri.
2) Kejadian sebegini pernah berlaku juga kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati di Putrajaya pada 26 April 2013 di mana beliau di tembak semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.
3) Parti Amanah Negara Melaka merasakan kejadian sering berlaku semasa pegawai-pegawai ini melakukan siasatan dan pendakwaan dalam kes profile tinggi. Adakah semua kejadian ini menjadi "trend" untuk penjenayah untuk melepaskan diri mereka dengan membunuh pegawai-pegawai yang sedang melakukan pendakwaan kes mereka.
4) Sehubungan ini kami mendesak kepada Kerajaan dan Ketua Polis Negara melakukan perubahan dalam aspek keselamatan kepada pegawai-pegawai kerajaan sekiranya mereka sedang melakukan siasatan yang boleh menggugat keselamatan nyawa mereka. Sekiranya mereka merasakan diri mereka diancam ataupun di ugut, pihak Polis perlu melindungi mereka sehingga kes kendalian mereka selesai.
5) Kami mendesak juga pihak Polis melakukan siasatan yang telus di lakukan agar tidak ada sesiapa pun yang terlepas dari kes pembunuhan kejam Kevin Anthony Morais yang berkhidmat cemerlang selama beliau bekerja.
6) Akhir kata, kami dari Parti Amanah Negara Melaka mengucapkan sekalung takziah kepada keluarga mendiang Anthony Kevin Morais. Kematian beliau adalah satu pengorbanan besar bagi negara dan kami juga berbangga dengan mendiang yang begitu berdedikasi dalam menjalankan tugas beliau.
Jauhar Mohd Dawi
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Melaka.
RE-BRANDING PARTI ISLAM BAHARU "AMANAH"
Adeysham Nor
Maksud Re-Branding dalam bahasa Melayu adalah penjenamaan semula. Semua orang tahu, Parti Amanah Negara yang bakal dilancarkan pada 16 September ini adalah serpihan dari Parti Islam Se-Malaysia atau PAS.
Semua orang juga tahu, Parti Amanah Negara atau singkatan rasminya AMANAH adalah juga sebuah parti Islam. Dasar perjuangannya juga Islam yang mana Al-Quran, Sunnah, Ijma & Kias adalah sumber rujukan utama untuk AMANAH.
Saya terkesan dengan saranan oleh Dr. Mazlee Malek, seorang penganalisis politik terkenal yang meminta supaya AMANAH menampilkan muka-muka baharu dalam barisan kepimpinannya supaya imej PAS tidak lagi membayangi parti AMANAH. Inilah yang dipanggil re-branding.
Saya berasa sedikit gembira apabila melihat bekas orang kanan IKRAM kini dilantik sebagai Naib Pengerusi AMANAH. Beliau adalah muka baru yang diperlukan AMANAH untuk memulakan langkah re-branding ini.
Saya juga gembira apabila melihat Xifu Naser kini mula aktif dalam beberapa aktiviti AMANAH. Beliau adalah pemimpin kanan dalam NGO Cina Muslim (MACMA) yang mempunyai ratusan ribu ahli & penyokong.
Selama ini, golongan Cina Muslim dilihat tidak begitu rapat dengan parti Islam kerana di mata mereka, imej PAS lebih dilihat sebagai sebuah 'Parti Islam Se-Melayu' dan bukannya Parti Islam Se-Malaysia.
Saya berharap penglibatan aktif beberapa tokoh MACMA seperti Xifu Naser dan yang lain-lain lagi akan dapat memecahkan tembok persepsi itu dan seterusnya dapat memacu proses re-branding AMANAH.
Selain itu, saya juga menunggu penglibatan aktif daripada beberapa pendakwah bebas yang berpengaruh besar seperti Dr Asri & rakan-rakannya dalam aktiviti AMANAH. Dr Asri misalnya mempunyai ratusan ribu peminat di negara ini dan peminatnya pula merentasi sempadan kaum dan agama.
Mungkin ramai yang belum tahu bahawa AMANAH juga membuka pintu keahliannya kepada bukan Islam. Saya dimaklumkan, taraf keahlian mereka sama dengan taraf ahli yang beragama Islam. Mereka juga bebas memegang apa-apa jawatan dalam AMANAH selagi mereka menerima Islam sebagai dasar parti AMANAH.
Pendekatan ini diambil dari aspirasi Perlembagaan Malaysia yang mengiktiraf setiap warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama biarpun mereka berlainan kaum & agama. Sepertimana dalam Perlembagaan Malaysia, bukan Islam dalam masa yang sama hendaklah mengakui Islam adalah agama rasmi bagi negara ini.
Walaupun begitu, sudah tentulah kepimpinan tertinggi AMANAH akan dipegang oleh seorang Muslim sepertimana Perdana Menteri Malaysia juga mestilah seorang Muslim. Ini adalah sebahagian dari kontrak sosial yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Kita tidak dapat nafikan usia AMANAH masih lagi bayi dan surat beranaknya pun belum keluar lagi. Untuk itu AMANAH amat memerlukan pemimpin seperti Mat Sabu dan kumpulan G-18 untuk menggerakkan penubuhannya.
Suka atau tidak suka, Mat Sabu yang pernah digelar Saidina Khalid Al Walid PAS oleh Almarhum TGNA mempunyai pengaruh politik yang besar dalam landskap politik Malaysia.
Beliau sudah pun diuji dan disahkan kental oleh 'SIRIM' politik Malaysia. Biarpun pernah dibuang daerah dan dipenjarakan 2 kali di bawah ISA, namun beliau tetap istiqamah mendaulatkan ISLAM FOR ALL.
Orang seperti Mat Sabu sangat diperlukan oleh sebuah parti baharu untuk meneruskan survivalnya sepertimana PKR berjaya survive atas faktor DS Anwar yang akhirnya beliau hanyalah sebagai Ketua Umum sahaja bagi parti PKR.
Saya yakin dan percaya proses re-branding AMANAH sebagai sebuah parti Islam baharu yang bersifat inklusif akan dapat dilaksanakan juga dan sudah tentulah proses re-branding ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan meliputi pelbagai aspek penjenamaan.
Aktivis Hishamuddin Rais yang saya temui di KL tempohari berpesan kepada saya,
"Engkau jangan mimpilah AMANAH akan nampak kuat dalam tempoh 10 tahun sebab ini Malaysia bro. Politik Malaysia ialah politik dunia ke 3. Kau tak ada media, tak ada akses, tak dapat derma billion ringgit... 50 tahun lagi pun belum tentu kecuali ada MIRACLE berlaku."
Ya, saya mengharapkan keajaiban itu. Saya mengharapkan pertolongan Allah. Biarlah 50 tahun lagi atau 500 tahun lagi, yang penting langkah pertama telah kita mulakan hari ini. InshaAllah proses re-branding ini akan berjaya juga dan mungkin bukan saya yang akan menikmati hasilnya..
Mungkin cucu-cicit saya dan mungkin cucu cicit anda yang membaca tulisan ini.
Nota: Saya amat mengalu-alukan jika ada muka² baharu yg ingin menyertai kepimpinan Pemuda AMANAH Jasin & Negeri Melaka.
Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka,
& Ketua Pemuda AMANAH Jasin.
#AmanahNegara
#HarapanBaru
KENYATAAN MEDIA
(Untuk Sebaran Segera)
Gerakan Anak Muda Harapan Baru Melaka berasa kesal dan dukacita dengan tindakan Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pengharaman penjualan & pemakaian baju kuning @ baju berlogo BERSIH 4 sepertimana yang dilaporkan oleh media cetak & media elektronik pada 28 OGOS 2015.
Tindakan dari Menteri KDN ini jelas menunjukkan bahawa Najib & kerajaannya kini berada dalam ketakutan & kebimbangan apabila melihat rakyat yang berbilang kaum di negara ini semakin jelek dan marah dengan kegagalan Najib & kerajaannya menguruskan ekonomi negara yang semakin parah dari hari ke hari.
Kejatuhan nilai ringgit yang paling teruk dalam dekad ini, kenaikan kos sara hidup yang semakin membelenggu kehidupan rakyat, skandal 1MDB yang masih menjadi tanda tanya serta isu derma RM 2.6 bilion jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia berhak bangkit dan menyuarakan kemarahan mereka melalui sebuah perhimpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan di negara ini.
Justeru itu, Gerakan Anak Muda Harapan Baru Melaka telah mengerahkan kesemua pimpinan, ahli & para penyokong kami untuk terus hadir ke Perhimpunan Bersih 4 biarpun terdapat provokasi & juga halangan dari pihak berwajib kerana kami berasakan bahawa misi untuk MENYELAMATKAN MALAYSIA adalah menjadi hak dan tanggungjawab kami daripada menyelamatkan individu yang gila kuasa dan zalim kepada rakyat di negara ini.
Sekian, terima kasih.
Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Gerakan Anak Muda Harapan Baru Negeri Melaka.

Penyelaras
Gerakan Harapan Baru
Negeri Melaka
11hb Ogos 2015
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Melaka
Assalamu’alaikum WBT
SOKONGAN TERHADAP TINDAKAN SPRM DALAM MEMBANTERAS GEJALA RASUAH DI MALAYSIA
Adalah dengan segala hormatnya perkara diatas dirujuk.
2. Perkembangan mutakhir mengenai isu rasuah yang melibatkan pemimpin utama negara adalah amat membimbangkan. Umum mengetahui rasuah adalah penyumbang utama kepada keruntuhan banyak negara dan institusi. Justeru mendorong kerajaan Malaysia suatu ketika meletakkan SPRM dibawah seliaan SPB Yang Dipertuan Agong bagi memperkukuhkan kuasa dan keupayaan SPRM menjalankan siasatan terhadap isu-isu rasuah yang berlaku dalam semua agensi dan institusi dalam negara.
3.Adalah begitu malang apabila SPRM dicabul dan tidak dihormati oleh penguasa melalui pasukan penguatkuasa yang lebih rendah kedudukannya dalam hieraki agensi penguatkuasa dalam negara kita. Kedudukan suruhanjaya dibawah SPB YDP Agong langsung tidak mendatangkan rasa hormat malah telah diperkotak-katikkan. Kami memahami bahawa siasatan SPRM selama ini sering diganggu pihak tertentu yang berkedudukan untuk kepentingan peribadi mereka. Lebih malang apabila beberapa pegawai SPRM ditangkap dan mungkin akan didakwa atas tuduhan membocorkan maklumat penyiasatan skandal 1MDB. Malangnya, pesalah yang sedang disiasat kini semakin bermaharajalela dengan kuasa dan kedudukan yang ada pada mereka.
4.Sehubungan itu, Gerakan Harapan Baru Negeri Melaka menyokong penuh tindakan SPRM membanteras gejala rasuah sehingga ke akar umbi. Mereka yang bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal. Kami juga menyokong agar SPRM diberi kebebasan sepenuhnya menyiasat kes-kes rasuah dan terkini termasuklah kes melibatkan skandal 1MDB. Kami juga merasa kesal dan dukacita apabila SPRM diganggu, pegawainya ditangkap dan pegawai tertinggi SPRM dipaksa berehat seketika bertujuan mengganggu siasatan yang sedang berlaku keatas skandal 1MDB.
5.Justeru itu, Gerakan Harapan Baru Negeri Melaka menegaskan bahawa kami menyokong penuh usaha SPRM membongkar rasuah dan skandal 1MDB yang boleh menjahanamkan negara kita. Petualang negara perlu didakwa ke muka pengadilan. Maruah SPRM, sebuah badan penguatkuasa di bawah SPB YDP Agong perlu dikembalikan.
Sekian, Terima kasih.
Yang Benar,
Haji Adly bin Zahari
Penyelaras
Gerakan Harapan Baru
Negeri Melaka.
Ramai di kalangan sahabat lama saya dalam PAS mempertikaikan keislaman dan perjuangan di dalam HB. Banyak label dan tomahan. Terpulang, disini saya berikan perbezaan pendekatan dan dasar HB dalam memertabatkan Islam dalam negara ini.

Apakah Beza Dasar Islam PAS Dan HARAPAN BARU (HB)?
1. HB lahir daripada hasrat untuk mengembelingkan tenaga seluruh rakyat dan menghidupkan semula semangat Pakatan Rakyat.
2. Berbeza dari sudut Penegasan ciri2 yang kita nak tonjolkan. Kita tahu Islam itu tidak ada ciri2 yang kita boleh tempelkan. Islam adalah Islam. Cuma dari sudut bagaimana cara orang Islam atau parti Islam atau Organisasi Islam membawa pendekatan Islam itu.
3. HB mengasaskan Islam yang sifatnya RAHMAH (Kasih Sayang), Ramah Tamah. dan bukan Islam Marah atau 'the Compesionate Islam, not the compeling Islam'. Ada setengah pihak tanpa kita sedari, melalui pendekatannya, seolah-olah mengambarkan Islam itu Islam yang marah-marah.
4. Idea berkenaan Pendekatan Islam yang Ramah ini memerlukan kita merungkaikan semua cara kita berfikir, cara kita mendekati orang ramai, cara kita berdepan dan berinteraksi dengan masyarakat berbagai kaum, bangsa dan agama.
5 Ciri yang kami maksudkan ialah Islam yang bersifat Syamilah (Inklusif) bahawa tidak ada seorang pun tertinggal dalam hal ini.
6. Yang kedua, Islam yang sifatnya itu PEDULI bukan hanya soal agama tetapi juga soal politik, sosial, ekonomi, pendidikan yang boleh bagi keadilan kepada semua tidak kira kaum dan agama.
7. Islam yang sifatnya itu melihat perkembangan semasa itu perlu dijadikan sebagai tema bahawa Islam itu mampu bergerak dengan majunya pada setiap masa.
8. Kita mengambil kira soal realiti, perundangan negara, kepelbagaian yang ada tanpa kita cuba nak bulldoze (paksakan). Itu perbezaan nyata dalam konteks isu2 Islam seperti perlaksanaan hudud.
9. Isu2 yang melibatkan sensitiviti orang Islam, kita lebih berminat untuk menggarap persoalan itu melalui dialog, kepercayaan antara satu sama lain, dan lebih penting kita nak memelihara kesepaduan sehingga tidak muncul perpecahan akibat isu itu sehingga mengambarkan Islam itu bersifat tidak boleh berunding dan seolah-olah Islam itu cuba nak paksa orang lain menerima idea-ideanya tanpa dibawa dalam proses demokrasi dan dialog awam.
10. Apa yang kita bawak dalam kerangka negara kita menerimanya sebagai salah satu dari proses demokrasi dan orang ramai boleh berbincang soal itu cumanya perbincangan itu jangan sehingga membawa kepada kebencian dan segala pertentangan idea perlu dilihat sebagai sesuatu yang berada dalam kerangka demokrasi yang sihat dan bukan benci-membenci antara satu sama lain hatta kepada isu yang sensitif sekalipun.