Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Optik sepatutnya terhadap Multaqa Al-Azhar - Tuan Ibrahim Tuan Man



Optik sepatutnya terhadap Multaqa Al-Azhar

Gagasan yang diperintahkan oleh Allah sangat jelas. Suatu gagasan merentasi sempadan warna kulit, bangsa dan geografi. Faktor inilah yang merubah wajah kelompok manusia yang telah berjaya dihapuskan oleh Islam. Perubahan warna kulit bangsa telah ditegaskan oleh Allah hanyalah sebagai "untuk kenal-mengenali" antara satu sama lain.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). - Al-Hujurat ayat 13

Presiden PAS telah meneruskan langkah yang telah diambil oleh semua pimpinan terdahulu dalam melihat sesuatu isu berdasarkan pandangan mata syarak. Bukan melawan melulu sehingga semua masalah di satu-bakulkan.

Di dalam ucapannya, depan-depan Presiden PAS menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan barisan kerajaan yang menjadi pengampu kepada pemimpin, dan amaran agar tidak mengundang kuasa asing dalam menyelesaikan masalah negara.

Apa yang berlaku di negara-negara Islam harus dijadikan pengajaran. Ketamakan kuasa dalam pertembungan dalaman sengit antara puak-puak sehingga satu pihak hampir kalah dan satu pihak hampir menang telah menyebabkan puak-puak yang bertembung mencari kuasa luar, terutamanya kuasa Barat, yang akhirnya menggadaikan kedaulatan negara dan peperangan berpanjangan.

Ini yang diingatkan oleh Presiden PAS bahawa campurtangan asinglah menjadi punca kehancuran beberapa buah negara di Asia Barat. Jangan kita mengambil langkah yang sama di rantau ini.

Umum mengetahui PAS membantah keras TPPA atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diperjuangkan Umno. PAS melihat lebih bahaya pihak yang mengadakan pertemuan, mengadu masalah negara dan parti dan cuba mendapatkan sokongan dan restu Presiden Amerika setiap kali Barack Obama datang ke Malaysia.

Tiada apa yang pelik untuk Presiden PAS untuk sepentas dengan Presiden Umno. Presiden-presiden PAS terdahulu sehingga kini pernah sepentas dengan presiden-presiden Umno. Al-Marhum Dato Fadhil Nor dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berada sepentas dengan Tun Mahathir Mohamad dalam membicarakan isu Palestine, TG Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Aziz juga pernah berada sepentas dengan Tun Abdullah Badawi dalam pelancaran Eastern Corridor Economic Region (ECER) dan kini Tuan Guru Presiden berada pentas dengan Datuk Seri Najib Razak atas isu Perpaduan Ummah.

Kesediaan Presiden PAS berada sepentas atau mengadakan pertemuan dengan pemimpin kerajaan adalah jiwa besar yang seharusnya menjadi kebanggaan seluruh ahli parti, dan ini tentunya akan menyempitkan dada mereka yang sentiasa sakit hati dengan dasar dan perjuangan PAS khususnya mereka yang melihat sepentas ini bermakna ia akan menjadi separti atau akan menjadi satu parti.

Kita tidak perlu menghabiskan masa melayani kumpulan tersebut kerana dasar dan perjuangan kita tiada kena mengena dengan mereka.

PAS akan terus istiqamah di atas dasar Islam dan bersedia untuk terus duduk semeja dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan isu negara melangkaui sempadan parti politik. Sebagai sebuah parti yang besar kita mesti mempunyai jiwa besar bagi menghadapi isu besar ummah dan negara. PAS akan terus menentang kemungkaran yang membahayakan rakyat dan negara.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19hb Disember 2015

Tajuk berita 'misleading' TMI - Tuan Ibrahim Tuan Man



Tajuk berita 'misleading' TMI

Merujuk tajuk artikel The Malaysian Insider bertajuk: "Now PAS No. 2 shows support for Umno collaboration" - Saya kesal dengan tajuk artikel ini kerana ia jauh terpesong dengan isi kenyataan saya yang asal.

Para pembaca boleh merujuk kepada kenyataan asal saya hari ini (https://m.facebook.com/story.php…) dan kenyataan saya 5 hari lepas 14 Disember (https://m.facebook.com/story.php…) untuk mendapat gambaran tepat mengenai pandangan saya dan parti terhadap jemputan Umno untuk bekerjasama dengan PAS.


Pendek kata, PAS tidak akan bergabung dengan Umno. Malah kini, PAS sedang merangka strategi mempertahankan kerajaan Kelantan, menguasai kerajaan Terengganu dan menguasai 10 DUN yang dimenangi Umno di Selangor dan menambah kerusi parlimen di tempat berlawan dengan Umno.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 Disember 2015

Laporan Merdeka Center: Sokongan Kepada PAS Merosot? - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

LAPORAN MERDEKA CENTER : SOKONGAN KEPADA PAS MEROSOT?

1. Saya terkejut dengan laporan hasil kajian(survey) Merdeka Center terhadap tahap sokongan kepuasan kepada parti-parti politik pembangkang dan kerajaan. Saya tiada kesempatan bertemu dan mendapat pencerahan daripada Merdeka Center terhadap dapatan kajian yang sering dipetik oleh pihak organisasi Parti saya iaitu Pas bagi menunjukkan keselesaan dan penerimaan orang Melayu kepada Pas.

2. Apa yang merunsingkan saya ialah kemerosotan peratusan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu kepada Pas berbanding keputusan PRU13. Daripada dapatan kajian Merdeka Center pada November 2015 pada waktu tahap ketidakpuasan hati orang Melayu pada umno bn begitu tinggi, tetapi sebaliknya tahap kepuasan hati melayu pada Pas hanya 42%. Jika peratusan tahap kepuasan hati kepada Pas itu dianggap sebagai tahap sokongan semasa Melayu kepada Pas, apakah ini bermakna peratusan ini menunjukkan kemerosotan sokongan Melayu kepada Pas berbanding tahap sokongan Melayu kepada Pas pada PRU13 iaitu sebanyak 45%? Ia menunjukkan kemerosotan sejumlah 3%. Sedangkan tahap tidak puas hati dan marah orang Melayu kepada Umno pula ialah 54%. Apakah ini menunjukkan berlaku kemerosotan sokongan Melayu kepada Pas dan orang Melayu yang tidak puas hati dan marah kepada Umno tidak pun beralih kepada Pas?

3. Dapatan kajian ini meletakkan kedudukan Pas di peta politik pilihan raya negara sangat tidak selesa. Ditambah lagi dengan tahap ketidakpuasan hati dan marah orang Cina kepada Pas sebanyak 66%. Berbanding dengan sokongan pengundi Cina pada Pas dalam PRU13 ialah 75%. Apakah ini bermakna sokongan semasa pengundi Cina kepada Pas sekarang hanya tinggal sekitar 10% sahaja kerana 66% daripada 75% yang menyokong Pas pada PRU13 yang lalu kini begitu marah dan tidak puas hati dengan Pas?

4. Persoalannya, bagaimana Pas akan dapat jumlah undi yang tinggi mengatasi parti -parti lain untuk Pas menang dalam PRU14 akan datang? Ini bergantung bagaimana Pas memposisikan politiknya untuk mendapatkan kembali sokongan kepadanya. Pilihan yang ada pada Pas ialah sama ada menyertai Pakatan Harapan (PH) dan terus membina momentum untuk mendapat kembali sokongan Melayu dan Cina serta bukan Melayu yang lain untuk bersama sampai ke Putrajaya, atau sebaliknya menyambut pelawaan Najib untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Umno Bn bagi menggembeling sokongan pengundi Melayu atas nama retorik survival kuasa politik Melayu? Tidak mungkin Pas boleh bersendirian untuk mencapai kedudukan terbaik pada PRU14. Jika Pas bersendirian dalam PRU14, Pas terpaksa berhadapan dengan situasi politik semasa di mana orang Melayu sendiri yang menolak pendekatan politik bersendirian.

5. Apa yang perlu dilakukan Pas? Keberanian membuat keputusan. Sertai PH atau terima salam Silaturrahim kerjasama politik dengan Umno.Tiada bersendirian dan tiada juga dua Front Pembangkang pada PRU14.

Diharap tirai tahun 2016 akan bermula langkah kanan untuk perubahan.

BERSATU MEMBINA MALAYSIA BARU

DATO' HJ MAHFUZ B. HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
17 Dis 2015/5 Rabiulawal 1437H

LPPSA Mesti Berperanan Lindungi Penjawat Awam - Ir Khairil Nizam



KENYATAAN MEDIA

IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia


6 Rabi’ul Awwal 1437 | 17 Disember 2015

LPPSA : MESTI BERPERANAN LINDUNGI PENJAWAT AWAM

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pengekalan dasar dan kadar pembiayaan keuntungan perumahan 4 peratus yang dinikmati oleh penjawat awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Lembaga ini akan menggantikan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan berkuatkuasa 1 Januari 2016.

DPPM berpendapat, pada peringkat fasa formatif ini, jaminan yang diberikan oleh Setiausaha LPPSA adalah relevan dan boleh diterima. Namun begitu, masih terdapat beberapa perkara yang boleh dipersoalkan terutamanya mengenai mekanisme perlindungan konsumer (penjawat awam) dan operasi pembiayaan yang diperolehi daripada bank-bank di Malaysia. Hal ini ekoran daripada bidang kuasa dan budi bicara LPPSA lebih luas sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta LPPSA.

Pertama, urusan dokumentasi guaman termasuk panel guaman hanya akan dikendalikan di bawah LPPSA. Ia mungkin boleh meningkatkan efisiensi tetapi terma-terma dan caj yang dikenakan adalah tertakluk sepenuhnya di bawah LPPSA. DPPM juga meminta kerajaan menjelaskan terma-terma perjanjian standard yang akan diimplementasikan memandangkan ia akan berkuatkuasa 1 Januari kelak. Adakah ia lebih baik berbanding di bawah BPP sebelum ini?

Walaupun langkah transformasi ini memberikan obligasi dan hak sepenuhnya kepada LPPSA, namun menteri mempunyai kuasa eksekutif yang luas dalam menentukan polisi, prosedur dan juga hal-hal berkaitan kewangan seperti kenaan caj, fi serta hal ehwal pelaburan dana LPPSA. DPPM menggesa kerajaan menjelaskan dasar baru perumahan untuk penjawat awam yang lebih menarik dan bukan hanya sekadar mengurangkan liabiliti kerajaan menanggung hutang perumahan yang sebenarnya adalah salah satu keistimewaan kepada anggota penjawat awam.

DPPM bimbang LPPSA menjadi sebuah lagi keistimewaan awam yang diswastakan dan ia terdedah kepada pihak yang berkepentingan untuk mengaut lebih keuntungan (profit oriented). Dalam urusan pembiayaan perumahan, banyak isu yang melibatkan perlindungan konsumer terabai, antaranya perumahan dalam proses pembinaan, terabai dan kes-kes pembiayaan atau pinjaman. Semua isu ini perlu diatasi dalam dasar perumahan untuk melindungi kepentingan konsumer secara umum dan anggota kakitangan awam secara khusus.

Sekian, terima kasih.

PAS Meneraju Penyatuan Ummah Berteraskan Syariat - Ustaz Ahmad Yakob



PAS MENERAJUI PENYATUAN UMMAH BERTERASKAN SYARIAT

Oleh: Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob
Timbalan Mursyidul Am PAS
3 Rabiul Awwal 1437/15 Disember 2015

1) PAS sejak awal penubuhannya dibangunkan diatas dasar menegakkan hukum dan tuntutan Allah. PAS telah berusaha untuk menjadikan Syariat Islam sebagai pegangan umat Islam di Malaysia. Dalam memperteguhkan Syariat Islam ini, PAS telah mengangkat Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber rujukan dan sehingga kini PAS tidak berganjak dalam memperjuangkann
ya.

2) Masih ramai umat Islam di Malaysia yang tidak mempedulikan tuntutan Al-Quran. Ada dalam kalangan mereka yang beriman dengan sebahagian ayat dan mengenepikan sebahagian yang lain. Diatas kesedaran ini, PAS mengambil peranan untuk memacu ummah dalam mendaulatkan tuntutan Allah sebagaimana terkandung dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ. ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

Maksudnya: Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) adalah merupakan kebenaran yang mengesahkan Kitab-Kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya lagi Maha melihat dan memerhatikan. Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata). (Fatir : 31-32) :

3) PAS telah melalui pengalaman yang sangat lama dalam kancah politik dan telah mendepani pelbagai cabaran serta tribulasi tersendiri. Akhir-akhir ini terdapat pula pihak yang mendakwa perjuangan PAS sudah terpesong daripada dasar perjuangan Islam. Malah ada yang begitu berani menyamakan perjuangan PAS dengan puak ISIS yang ekstrim. Ini adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda jahat terhadap PAS.

4) PAS sangat mengutamakan perpaduan ummah sebagaimana asas perpaduan yang telah dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang bertajuk ‘Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah’ adalah suatu lontaran yang sangat tepat khususnya menyedari situasi negara kita pada hari ini dalam keadaan parah akibat politik kepartian yang mengenepikan Syariat. Islam telah meletak garis panduan dalam berpolitik dan berparti. Terasasnya sesebuah parti bagi umat Islam adalah untuk melaksanakan segala tuntutan agama agar tertegak di dalam negara. Agenda melaksanakan tuntutan Allah yang merangkumi hal ehwal pentadbiran, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain lain adalah menjadi fokus utama PAS.

5) Rasulullah SAW melalui usaha konstruktifnya telah berjaya menyatukan ummah di Madinah. Sebelum kedatangan Rasulullah, masyarakat Madinah hidup di dalam keadaan berpecah-belah. Hal ini disebabkan Madinah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Sebelum ini Aus dan Khazraj bertelagah antara satu sama lain sementara hubungan antara Yahudi dan kabilah Arab penuh dalam ketegangan.

6) Nabi sedar, negara Madinah mungkin tidak dapat ditegakkan jika penduduk Madinah tidak bersatu terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, Nabi SAW telah bertindak mempersaudarakan golongan Aus dan Khazraj dan mereka diberi nama baru iaitu golongan Ansar, golongan ini kemudiannya telah dipersaudarakan pula dengan golongan Muhajirin dan seterusnya mengadakan perjanjian damai dengan golongan Yahudi. Nabi juga membina masjid sebagai tempat untuk menyatukan umat Islam. Dengan usaha-usaha yang dilakukan ini maka terbentuklah satu ummah yang teguh di Madinah dan akhirnya terbina Madinah Sejahtera dan Barakah.

7) Pembentukan ummah ini telah berjaya mengukuhkan kedudukan politik Islam. Ia telah membuka peluang kepada penyebaran agama Islam. Orang Islam bebas beribadat dan menyebarkan agama Islam. Hal ini menyebabkan bilangan penganut Islam bertambah dengan ramainya. Dalam tempoh sepuluh tahun Nabi di Madinah, penganut Islam telah meningkat lebih daripada 100,000 orang. Hal ini terbukti semasa Nabi mengerjakan ibadat haji yang terakhir, seramai 100,000 orang telah mendengar khutbah baginda yang terakhir. Bilangan ini sangat besar berbanding dengan bilangan yang berjaya di islamkan dalam tempoh 13 tahun ketika Nabi SAW di Mekah.

8) Inilah agenda yang ditumpukan oleh PAS, ianya bukan sekadar memenuhi tanggungjawab politik kepartian dan mendambakan kuasa pemerintahan semata-mata, akan tetapi agenda dakwah dan tarbiyah mesti selari dengan usaha siyasah atau politik. PAS tidak mahu negara ini hancur disebabkan percaturan politik yang hanya menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat. PAS mendukung usaha perpaduan semua kaum, orang Islam dan bukan Islam. Apatah lagi dalam usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai Negara Islam, maka tidak dapat tidak PAS mesti menjadi pencatur untuk umat Islam berpadu.

9) PAS tidak akan bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional sehinggalah Umno melaksanakan Syariat Islam. Hal ini dipertegaskan berkali-kali oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini. Umno dan Barisan Nasional wajib memertabatkan Syariat Islam dalam negara ini dengan kuasa yang ada ditangan mereka. Inilah sahaja jalan untuk membentuk perpaduan yang akan mempastikan tuntutan Islam dapat ditegakkan.

10) Dalam usaha PAS untuk membangunkan negara dengan Syariat Islam, PAS akan sentiasa menjadi parti checks and balances kepada Kerajaan Persekutuan. Kini, PAS sudah memerintah negeri Kelantan dan Selangor bersama pakatan tahaluf. Dengan pengalaman mentadbir ini, PAS melalui negeri yang dikuasainya akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha ta’awun atau saling bantu-membantu demi untuk kesejahteraan dan faedah kepada rakyat. PAS insya-Allah akan menonjolkan model terbaik bagi mendirikan sesebuah pemerintahan untuk menaungi ummah.

11) PAS sehingga kini terus menjadikan Kelantan sebagai negeri dibawah payungan Syariat dan alhamdulillah masyarakat diasuh dengan didikan agama, penganut Islam dan bukan Islam saling hidup tolong-menolong dan usaha mendirikan agama didukung bersama. Sebagaimana usaha di Kelantan, inilah juga usaha PAS dalam melebarkan kuasa ke negeri-negeri lain termasuklah untuk memenuhi hasrat rakyat ke Putrajaya dengan model kepimpinan yang adil lagi saksama.

PAS terus istiqamah di atas prinsip syariat - Tuan Ibrahim Tuan Man



PAS terus istiqamah di atas prinsip syariat

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mendahulukan pendekatan dakwah, tarbiah dan siasah akan terus mengajak umat Islam khasnya dan rakyat negara ini kepada suatu pembinaan sebuah negara sejahtera, maju dan berjaya dengan Islam sebagai dasar.

Sebagai sebuah gerakan dakwah, PAS sentiasa mengajak agar kembali kepada dasar dan prinsip syarak yang berpaksi kepada apa yang dinyatakan oleh Allah dalam al Quran.

Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُإِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an Nisa : 52)

Inilah slogan PAS sejak ditubuhkan dan ia bukanlah asing bagi sesiapa yang memahami dasar dan perjuangan PAS.

Umno menjadi musuh tradisi PAS adalah kerana prinsip syarak bukan kerana nama atau diri ahli Umno. Apa ruginya bangsa dan negara andai kita kembali kepada dasar syariat yang diturunkan oleh Allah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia.

Umno mempunyai tanggungjawab aqidah dan syariat di atas pundaknya kerana ia diberi amanah dan kekuasaan pemerintahan. Amanah ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

PAS, sebagai parti pembangkang, akan tetap dengan dasarnya mengajak manusia dan mendesak mereka yang berkuasa untuk kembali kepada sistem yang diturunkan oleh Allah. Kita tidak akan jemu mengajak, mendesak dan menyeru Umno agar meninggalkan dasar nasionalisme yang menjadi asas perjuangan mereka.

Malangnya, akibat perbezaan dasar ini, PAS dan ahli PAS terus menerima tekanan dan penindasan, terutamanya di tangan Umno. Ribuan kakitangan awam yang menderita ditukar dan dikenakan pelbagai tindakan kerana mereka menyokong PAS. Kelantan terus menderita dan ditindas dengan teruk sejak Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan di 1990. Sistem federalisme langsung diperkosa dan tidak dipraktik secara adil.

Meskipun begitu, sebagaimana yang diajar Islam, setiap orang diberi ruang bertaubat. Sejarah perjuangan PAS membuktikan PAS sanggup melupakan sejarah silam andainya mereka sedia menerima dasar Islam yang di bawa oleh PAS.

Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi arkitek menumbangkan PAS di Kelantan diterima sebagai rakan politik PAS semasa beliau menerajui Semangat 46.

Demikian juga, Dato Seri Anwar Ibrahim yang hebat bertembung dengan PAS sewaktu bersama Umno diterima sebagai rakan sepasukan apabila menubuhkan PKR dalam Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat.

Bahkan, DAP yang sangat sukar diterima di kalangan pengundi Melayu, mendapat keuntungan politik bilamana PAS menerima mereka sebagai rakan politik sebelum ini meskipun bukan mudah bagi PAS menghadapi suasana tersebut di mana PAS dituduh menjadi barua DAP, kuda tunggangan dan pengkhianat Melayu. Bahkan lebih jauh dari itu, Dato Onn Jaafar yang mengasaskan Umno diterima sebagai sekutu PAS bersama Parti Negara. Inilah semua menjadi sejarah panjang perjuangan PAS.

Sebagai sebuah gerakan Islam, matlamat PAS ialah menyelamatkan manusia dan negara dari kerosakan.

Kenyataan Presiden Umno di Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini agar PAS bersama Umno membina negara berteraskan syariat, hampir menyamai perisytiharan Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dulu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam ketika PAS memperjuangkan sebuah negara Islam di bawah Almarhum Ustaz Fadhil Noor dilihat sebagai ancaman besar kepada kerusi Umno.

Kini, oleh kerana perjuangan PAS memberi fokus kepada syariat, maka Perdana Menteri tampil dengan cadangan gagasan pembinaan negara berteraskan syariat tatkala beliau terus lemas di dalam jawapan-jawapan yang semakin mengelirukan mengenai penderma RM2.6 bilion di akaun peribadi beliau samada daripada penderma, para penderma atau wakil-wakil penderma.

PAS tidak akan bersekongkol 'memikul biawak hidup' sebagaimana yang diucapkan oleh Presiden PAS. PAS akan terus mendesak dan memperjuangkan agar syariat diperkukuhkan kerana itu antara tanggungjawab dan amanah PAS sebagai gerakan Islam kepada negara dan juga rakyat.

Negara perlu diselamatkan dari rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan, salah urus tadbir dan politik wang yang kini subur dan menjadi ciri-ciri ‘terkenal’ dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui Umno yang mengamalkan dasar yang bercanggah dari tuntutan syariat.

Antara keadilan Islam pertama yang perlu dihayati Umno ialah keperluannya untuk berlaku adil dan menghentikan kezaliman kepada musuh-musuh politiknya. Ini termasuklah membayar royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan berhenti menzalimi rakyat Kelantan dengan meneruskan projek Lebuhraya Pantai Timur sehingga sampai ke Kota Bharu atas dasar keadilan syariat Islam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 Disember 2015

Penderma RM2.6 Bilion : SPRM Kena 'Kencing' PM Najib Beri Keterangan Palsu.- Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

PENDERMA RM2.6 BILION : SPRM KENA "KENCING"
PM NAJIB BERI KETERANGAN PALSU.

1. Persoalan paling asas berkaitan Skandal RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri, iaitu siapa yang ‘mendermakan’ wang tersebut nampaknya masih belum terjawab sehingga kini.

2. Rentetan siri penjelasan dan kenyataan yang dikeluarkan sama ada oleh pihak Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin menunjukkan percanggahan yang ketara.

3. Selepas Perdana Menteri gagal memberikan penjelasan secara telus kepada sidang Parlimen dan kepada ahli UMNO sendiri di dalam beberapa kesempatan, ‘skrip’ terbaru yang didendangkan secara ‘berduet’ oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ialah betapa wang RM2.6 bilion yang berada di dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah sumbangan politik yang disumbangkan oleh ‘penderma-penderma’ dari Timur Tengah.

4. Ini sekaligus bercanggah dan menimbulkan keraguan kepada beberapa kenyataan awal daripada pihak kerajaan yang sebelum ini cuba menggambarkan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut datangnya daripada hanya satu sumber. Timbalan Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO sewaktu berucap di dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Johor pada Ogos lalu dengan penuh yakin menyatakan bahawa beliau telah berjumpa dengan wakil penderma tersebut yang memberikan sumbangan RM2.6 bilion kepada UMNO sebagai tanda penghargaan kepada Malaysia di dalam usaha memerangi keganasan.

5. SPRM pula di dalam dua kenyataan berasingan pada awal Ogos mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut adalah sumbangan politik dan mereka telah memperolehi maklumat terperinci berkaitan dengan seorang individu yang dikenalpasti sebagai penderma tersebut. Bahkan, di dalam kenyataan terkini SPRM yang disiarkan di dalam akhbar the New Straits Times pada 7 Disember 2015, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki menyatakan bahawa SPRM telah pun mengadakan perjumpaan dengan individu penderma tersebut di sebuah Negara Timur Tengah baru-baru ini.

6. Lantas, persoalan yang perlu dijawab secara jujur oleh Perdana Menteri adalah berapakah sebenarnya penderma yang kononnya telah menyumbangkan wang sebanyak RM2.6 bilion tersebut? Adakah hanya seorang penderma atau terdiri daripada beberapa orang penderma? Sepanjang siasatan dijalankan SPRM, apakah maklumat atau keterangan yang telah Perdana Menteri salurkan kepada SPRM bagi membantu siasatan SPRM?

7. Dengan percanggahan dan kekeliruan yang wujud ini, saya tertanya-tanya adakah Perdana Menteri selama ini telah memberikan "MAKLUMAT PALSU"kepada SPRM? Apakah sikap SPRM sendiri apabila SPRM yang selama ini telah begitu yakin dan bersusah payah menemui individu penderma tersebut yang dipercayai adalah satu-satunya penderma wang RM2.6 bilion tersebut, tiba-tiba mendapati Perdana Menteri dan Timbalannya dalam sehari dua ini mengatakan wang tersebut disumbangkan oleh "beberapa orang penderma"? Siapakah sebenarnya yang ditemui oleh SPRM? Adakah yang ditemui oleh SPRM adalah PENDERMA UPAHAN Najib yang juga mendapat habuan dari RM2.6 bilion?

8. Suka saya mengingatkan bahawa memberikan KETERANGAN PALSU kepada agensi penyiasat seperti SPRM adalah merupakan "satu kesalahan jenayah"dan boleh didakwa sama ada di bawah Akta SPRM sendiri atau peruntukan-peruntukan undang-undang yang lain seperti Seksyen 177 dan Seksyen 181 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang boleh membawa kepada hukuman penjara dan denda. Dengan timbulnya ‘skrip’ terbaru daripada Perdana Menteri ini, saya ternanti-nanti apakah langkah dan tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh SPRM atas KETERANGAN PALSU PM Najib?

“SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA”

DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
11 Des 2015/29 Safar 1437H

Recent Posts Widget

.

.