Showing posts with label SAMM. Show all posts
Showing posts with label SAMM. Show all posts

Respon Awal Terhadap Bajet 2016 - che'GuBard



Kenyataan umum
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
23 okt 2015

RESPON AWAL TERHADAP BAJET 2016


Secara umumnya Bajet 2016 ini memberikan banyak insentif atau bantuan kepada rakyat. Daripada kenaikan BR1M, kenaikan gaji dan bonua kepada penjawat awam, insentif kepada Sabah dan Sarawak dan pelbagai lagi. Tetapi ia kurang langkah-langkah fiskal untuk berhadapan dengan kelembapan ekonomi.

Walaupun Najib cuba untuk menunjukkan GST adalah langkah yang tepat tetapi dengan pengumuman beberapa tambahan barangan bebas GST menunjukkan Najib akhirnya terpaksa akur dengan hakikat rakyat tertekan dengan pengenalan cukai ini. Selain itu, seperti biasa Najib akan mengumumkan pelbagai projek perumahan rakyat tetapi tidak banyak yang diberikan untuk meningkatkan pemilikan rumah untuk kelompok kelas pertengahan.

Walaupun pelbagai inisiatif diumumkan tetapi jika sistem penyampaian kerajaan masih kekal ditakuk lama, hasrat negara berpendapatan tinggi sukar untuk direalisasikan. Bajet ini tidak mengangkat permasalahan kelembapan ekonomi, kejatuhan nilai Ringgit dan peningkatan mendadak kos sara hidup sebaliknya hanyalah satu usaha PM untuk mengekalkan fixed depositnya di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak apatah lagi menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak nanti.

Bajet ini juga nampaknya terlalu memberikan penumpuan lokal semata. Seharusnya dalam fenomena penurunan ringgit ia juga seharusnya memberikan kesempatan dan penumpuan pengembangan pasaran komoditi seperti minyak sawit dan industri eksport Malaysia.

Malaysia juga pernah menjadi negara pemimpin sistem kewangan Islam. Kita pernah bangga dengan sukuk patuh syariah dan seumpamanya namun kelihatan agak kurang tumpuan masa kini.

Bajet setiap tahun disusun dalam bahasa sangat indah namun menjadi kegusaran SAMM sehingga kini ialah sistem penyampaian yang tiris dan tidak tepat masih berleluasa. Hairan kenapa ahli parlimen termasuk pembangkang tidak mendesak untuk dibahaskan laporan audit dahulu sebelum bajet dibentangkan dan laporan audit juga bukan sekadar menjadi acara kejutan tahunan tanpa tindakan konkrit.

Dari aspek kenaikan gaji kakitangan awam nampaknya kerajaan masih tidak ada jawapan terhadap implikasinya iaitu kenaikan harga barang yg akhirnya bukan sahaja memberi kesan penjawat awam yg menerima kenaikan atau imbuhan tetapi akan turut dideritai oleh pekerja swasta dan kategori pakerja sendiri yg tidak mengalami tambahan pendapatan. Sudahlah dijerut kenaikan barang April lepas kerana GST kini sekali lagi.

Kita bangga mengejar ke arah negara berpendapatan tinggi (secara purata pendapatannya) namun masalah utama Malaysia masih agihan ekonomi tak serata dan bagaimana kesediaan menghadapi Inflasi yg sama ghairah dgn usaha menjadi negara berpendapatan tinggi.

Sekian.

che'GuBard
Pengasas SAMM

Bangkitlah 450,000 Guru-Guru Malaysia - Pemikir Muda SAMM



Pemikir Muda SAMM
Kenyataan Umum
21 Oktober 2015

Bangkitlah 450,000 Guru-Guru Malaysia

Pemikir Muda SAMM ingin menyatakan sokongan dan solidariti kami kepada kempen Zaman Kegelapan Pendidikan Malaysia ‪#‎MansuhPBS‬yang dirancangkan untuk diadakan pada hari Khamis, 29 Oktober 2015. Pemikir Muda SAMM berpandangan Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mendengar rintihan suara guru-guru bukannya berlagak seperti diktator. Ternyata sistem pendidikan kita berdepan dengan 1001 masalah ketika ini.

Pemikir Muda SAMM menyelar kenyataan Datin Nawal Salleh, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan yang menyalahkan guru-guru kononnya tidak memahami sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Hujah ini sebenarnya menyerlahkan kelemahan KPM sendiri untuk memberikan kefahaman kepada semua guru berkaitan konsep perlaksanaan PBS.

Guru-guru ketika ini sedang berdepan dengan bebanan tugas yang banyak tetapi pegawai-pegawai di KPM lebih senang untuk menyalahkan guru-guru di sekolah. KPM juga perlu memperbetulkan sistem elektronik untuk merekodkan aktiviti di sekolah untuk meringankan bebas tugas guru. Begitu juga dengan keadaan bilangan pelajar yang terlalu ramai di dalam kelas. Bagaimana guru-guru dapat memberikan penumpuan perhatian untuk penilaian pelajar secara individu seperti yang diperlukan di bawah sistem PBS?

Dalam perkembangan yang sama, Pemikir Muda SAMM juga tidak bersetuju dengan cadangan KPM untuk mengimport guru Bahasa Inggeris dari India. Ini kononnya guru Bahasa Inggeris tempatan mempunyai masalah kompetensi. Hakikat yang perlu KPM terima adalah bukan mengenai kompetensi guru-guru tetapi lambakan tugas sampingan lain yang menyebabkan guru-guru tidak mempunyai masa untuk membuat persediaan untuk kelas masing-masing.

Jika “Core Business” guru-guru cuma mengajar dan mendidik, Pemikir Muda SAMM yakin keputusan pelajar akan semakin baik. Guru-guru terpaksa menghadiri mesyuarat yang banyak, mengisi pelbagai sistem elektronik yang berbeza-beza, menyelia aktiviti persatuan, sukan dan ko-kurikulum, dan banyak lagi sehinggakan kepada menghantar murid yang tertinggal bas pulang, bilakah masanya guru-guru dapat menyediakan modul pembelajaran yang baik untuk anak muridnya?

Tindakan KPM sekarang ini seolah-olah menjadikan guru-guru seperti robot yang tidak mempunyai suami, isteri dan anak-anak yang juga memerlukan perhatian mereka. Sistem pendidikan Malaysia hari ini seolah-olah membunuh guru-guru atau memberikan tekanan yang cukup dahsyat kepada psikologi guru-guru. KPM perlu menambah lebih banyak kakitangan sokongan di sekolah-sekolah untuk membantu guru-guru menjalankan kerja perkeranian atau memasukkan data.

Selain itu juga, banyak sekolah-sekolah tidak mempunyai kemudahan dan peralatan yang cukup. KPM gagal dalam memastikan kemudahan dan peralatan secukupnya dapat disediakan di setiap sekolah dalam negara. Masakan KPM merasakan guru-guru perlu membeli sendiri LCD Projektor sebagai alat bantuan mengajar? Malah lebih teruk lagi, ada sekolah yang tidak mempunyai bilik darjah yang mencukupi, bagaimana sekolah boleh mengadakan makmal Bahasa untuk mengukuhkan keupayaan dan kompetensi guru dan pelajar dalam Bahasa Inggeris?

KPM perlu berhenti mengamalkan sikap kuku besi. Dengarlah suara rintihan guru-guru. Memegang jawatan sebagai Pengarah-Pengarah Kementerian bukanlah bererti untuk menunjukkan kekuasaan tetapi seharusnya menjadi landasan membentuk kebertanggungjawapan membina aspek pendidikan negara yang lebih efektif, kondusif dan berdaya saing.

Ayuh, bangkitlah guru-guru

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda SAMM

Apakah Himpunan 'Show Force' Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat? - Edy Noor Reduan SAMM



Kenyataan Media
19 Oktober 2015

Apakah Himpunan 'Show Force' Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat?


Menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran samada di dalam stadium mahupun di atas jalanraya dengan tujuan dan tuntutan tertentu adalah fenomena biasa. Namun bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), himpunan yang dianjurkan wajar memberi kelebihan dan signifikasi yang positif kepada umum khususnya rakyat marhein.

Himpunan membantah GST, himpunan bantah kenaikan harga tol dan himpunan protes harga petrol naik adalah contoh himpunan yang bertujuan meringankan beban rakyat. Manakala himpunan membantah ISA, membantah penipuan pilihanraya pula adalah contoh himpunan yang menuntut hak demokrasi. Semua himpunan yang mempunyai tujuan ini adalah demi rakyat dan wajar dibanggakan.

Baru-baru ini kita dapat saksikan satu himpunan besar yang memenuhi sebuah stadium dengan tujuan menunjuk kekuatan. Dikhabarkan ratusan bas disewa untuk membawa penyokong hadir ke lokasi himpunan. SAMM ingin bertanya apakah tujuan himpunan dianjurkan selain daripada menunjuk kekuatan? Perlukah himpunan begini dianjur ketika rakyat dan kerajaan negeri Kelantan dilihat terjerumus pelbagai permasalahan?

SAMM agak terkejut dengan kenyataan YB Husam Musa beberapa hari sebelum himpunan berlangsung. Beliau membangkitkan banyak persoalan termasuklah soal jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencecah RM 14.6 juta hingga September 2015. YIK ialah agensi agama kerajaan negeri Kelantan yang diamanahkan untuk menjalankan aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab di Kelantan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan oleh YB Husam termasuk gaji guru telah dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi sepatutnya malah bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014. Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP - semua sekali 21 jenis potongan caruman yang tertunggak.

Kerajaan negeri Kelantan yang selama ini dicanang sebagai sebuah kerajaan Islam haruslah bersikap amanah dalam mentadbir sebuah negeri. Pemotongan gaji yang telah dilakukan oleh YIK tetapi tidak dibayar kepada agensi yang dicarum adalah satu perbuatan yang tidak jujur malah ia menyusahkan banyak pihak.

Dalam masa yang sama menurut Husam, pembaziran turut berlaku apabila banyak lawatan luar negara yang melibatkan exco kerajaan negeri termasuklah lawatan ke Indonesia, Russia dan Afrika Selatan. Malah dilaporkan Exco kerajaan negeri telah membuat sumbangan yang besar dalam himpunan terdahulu di Pasir Putih dengan belanja mencecah ratusan ribu ringgit.

Hari ini SAMM pula ingin bertanya, berapakah jumlah perbelanjaan untuk perhimpunan Fastaqim? Tidakkah himpunan ini menelan belanja jutaan ringgit?

SAMM memandang serius akan pembaziran ini kerana ia cukup kontradik dengan apa yang berlaku dan secara langsung melibatkan nasib rakyat khususnya di negeri Kelantan. Dimaklumkan juga bahawa mangsa bah kuning hampir setahun yang lalu masih tinggal dalam khemah dan rumah sementara yang sangat daif. Kini musim tengkujuh kembali, hujan lebat akan mula berterusan. Apakah nasib mereka ketika kalian semua berhimpun dan berpesta ular?

SAMM juga sedang merangka untuk membuat lawatan ke lokasi saki-baki mangsa banjir di Kelantan. Selain menyampaikan sedikit bantuan, SAMM juga ingin memantau keadaan sekeliling dan persediaan menghadapi musim banjir yang baru.

Akhir sekali, SAMM ingin nasihatkan berhimpun memerah keringat kehadiran orang ramai itu biarlah demi sesuatu yang bermanfaat. Jika sekadar ingin menunjuk kekuatan, ambil lah iktibar dari himpunan hijau yang juga hasilnya memenuhi Stadium Darul Aman di Kedah, nampak seolah-olah kuat dan ramai tetapi akhirnya kerajaan Pas Kedah tumbang dalam PRU-13.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)



Forum: Apa Harapan Baru Pakatan Harapan? - Rundinglah Demi Rakyat! - Edy Noor Reduan



Kenyataan Media
8 Oktober 2015

Forum: Apa Harapan Baru Pakatan Harapan? - Rundinglah Demi Rakyat!


Pasca PRU13 memperlihatkan regim pemerintah begitu selesa menghadapi pakatan pembangkang yang berantakkan hingga akhirnya berlaku perpecahan. Ketika itu rakyat terus menjadi mangsa diasak dan dihimpit, malah tanahair ini terus dibuat sesuka-hati apabila kedudukan yang pembangkang lemah tidak bermaya menyekat kerakusan rejim. Ia tidak berlaku pada ketika negara mempunyai gabungan pembangkang yang kuat.

Keyakinan rakyat untuk melihat tanahair ini diselamatkan juga kian pudar dari sehari ke sehari, mereka seolah-olah akur dengan nasib dan takdir. Siapa lagi yang harus membela nasib rakyat jika bukan gabungan pembangkang yang merasakan mereka lebih baik dan lebih berhak menerajui negara ini dengan polisi 'negara rakyat' atau negara berkebajikan. Harapan rakyat terkubur dengan meletusnya perpecahan Pakatan Rakyat yang terbina di atas gelombang kebangkitan lalu.

Mutakhir ini, muncul satu gabungan baru dengan komposisi parti yang lebih meyakinkan, dan ia dinamakan Pakatan Harapan. Kemunculan gagasan baru Pakatan Harapan ini selain meletuskan gelombang baru perlawanan menentang regim, ia juga dikatakan turut mengundang konflik dalaman dan juga beberapa pertikaian.

Apakah ia satu harapan baru kepada rakyat? Apakah komposisi parti yang menyertai sudah muktamad atau masih terbuka? Apakah ada pergolakan dalaman terbaru dengan penubuhan Pakatan Harapan?

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil inisiatif awal menganjurkan sebuah forum terbuka dengan mempelawa tokoh-tokoh yang mampu menjawab persoalan "Apa Harapan Baru Pakatan Harapan" yang juga sebagai tajuk forum. Antara tokoh yang mengesahkan kehadiran sebagai panelis termasuklah YB Khalid Samad (Amanah), YB Tian Chua (Keadilan), Wakil DAP, Saudara Arul (PSM), juga wakil golongan intelektual Dr Maszlee Malik dan che'GuBard sebagai Moderator.

SAMM mengajak semua pihak yang merasakan mereka memperjuang nasib rakyat yang kian tenat untuk kembali ke meja rundingan. Pentas forum anjuran SAMM ini juga merupakan satu anjakkan penting mencari titik persamaan dan sebuah 'pre-council' penyelesaian 'mutual'. Tanahair ini memerlukan satu gabungan pembangkang yang mantap untuk menumbangkan regim, atau sekurang-kurangnya membela rakyat dengan kekuatan yang menerbit rasa gerun pemerintah.

Berikut adalah butiran forum;

Forum : Apa Harapan Baru Pakatan Harapan
Anjuran: SAMM Kebangsaan
Tarikh & Masa: 11 Okt (Ahad) 8.45pm
Panelis: Yb Khalid Samad, Yb Tian Chua, Wakil DAP, Dr Maszlee Malik, Sdr Arul PSM
Moderator: che'GuBard
Lokasi: PAGER SAMM
No 334, Jalan Haruan 5/8,
Oakland Commercial Centre 2,
Seremban, N.Sembilan
Koordinat: 2.701912 , 101.919265
contact person: 019-6858558 (Azif)

Forum akan disiarkan secara langsung melalui SuaraTV dan SAMM menjemput pihak media lain supaya turut hadir membuat liputan. Orang ramai dijemput hadir di alamat seperti tertera.

Ayuh, kita semeja merungkai kekusutan, mencapai kata sepakat, demi rakyat.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)



Pandangan SAMM Berhubung TPPA



Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

06 Oktober 2015

Pandangan SAMM Berhubung TPPA


Pada ketika ini, adalah sukar bagi SAMM untuk meletakkan kepercayaan bahawa Kerajaan melalui MITI telah melakukan penilaian pro dan kontra yang terperinci sama ada Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) ini benar-benar akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia hari ini dan di masa akan datang. Ini adalah kerana kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh MITI semenjak awal sehinggalah ke saat rundingan perjanjian ini berakhir tampak tidak meyakinkan.

Menteri juga tidak memberikan butiran terperinci bagaimana impak TPPA ke atas negara ini sebaliknya hanya memberikan satu arah yang terlalu umum berkaitan soal bidang sensitif dan keanjalan dari sudut tempoh. Kenyataan Menteri ini tidak meredakan kebimbangan dan kegusaran rakyat berhubung dengan beberapa perkara yang termaktub dalam rundingan tersebut. Antaranya seperti hak milik intelektual yang akan dipanjangkan tempohnya kepada 70 tahun. Bagaimana kesan penetapan peraturan ini terhadap ubat-ubatan generik dan juga buku-buku?

SAMM menegaskan Kerajaan Pemerintah perlu memberikan masa yang secukupnya untuk semua pihak menilai isi kandungan perjanjian ini. Kerajaan Pemerintah tidak perlu tergesa-gesa untuk menandatangani dan meratifikasi perjanjian ini. Kerajaan Pemerintah juga perlu membuka ruang dan peluang kepada semua rakyat untuk memahami isi kandungan TPPA yang akan memberikan kesan kepada kehidupan mereka sama ada secara langsung atau tidak. Seharusnya Kerajaan juga bersedia untuk mengadakan satu sesi konsultasi awam supaya rakyat dapat memberikan pandangan.

Pembentangan atau perbahasan mengenai TPPA di Parlimen nanti tidak seharusnya menjadi satu lagi contoh tipikal bagaimana Kerajaan Pemerintah akan menggunakan sepenuhnya kelompangan sistem Parlimen itu untuk meluluskan perjanjian ini. Seperti mana yang telah berlaku dalam banyak perbahasan Rang Undang-Undang sebelum ini. SAMM sangat curiga bahawa Parlimen Malaysia boleh menjadi medan yang sesuai bagi mengambil satu keputusan yang amat besar ini.

Pengalaman sebelum ini dalam Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi contoh yang paling baik bagaimana sikap dan mentaliti Ahli-Ahli Parlimen Blok Kerajaan akan mengundi membuta tuli tanpa memikirkan kemaslahatan rakyat umum.

TPPA bukan sekadar rundingan perdagangan semata-mata tetapi juga turut membawa perubahan terhadap beberapa perundangan dan dasar negara. Ahli-Ahli Parlimen, pihak berkepentingan dan semua lapisan rakyat perlu sedar dan faham bahawa sebarang perjanjian perdagangan tidak sepatutnya mengusik kedaulatan Malaysia dan juga pembangunan ekonomi negara.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM

Azmin menipu bila nafi wujud tuntutan mesyuarat MPP tergempar - che'GuBard


Azmin menipu bila nafi wujud tuntutan mesyuarat MPP tergempar

Catatan Umum

9 Oktober 2015

1. Tulisan ini perlu dibaca dengan tulisan 'coup de tat' dalam PKR ?
http://chegubard.blogspot.my/2015/10/coup-de-tat-dalam-pkr.html

2.dua orang Anggota jawatankuasa pusat PKR dalam FMT menafikan dengan cara tidak ada istilah rampasan kuasa dalam perlembagaan. Saya perjelaskan istilah 'coup de tat' itu saya gunakan bagi menggambarkan keadaan ke arah undi tidak percaya.

3. Azmin pula dalam beberapa media menafikan wujud apa yang saya tulis sebelum ini dan mengatakan saya bankrap. Saya nak bagi tahu Azmin, ya saya tak sekaya kamu yang banyak duit dalam politik ini, ya saya kain pagi makan pagi namun saya belum bankrap.

4. Ini semua penafian dangkal malah Azmin jelas menipu. Saya tulis dengan jelas dan saya tampilkan bukti salinan petisyen tersebut. Tetapi biasalah Azmin memang biasa, seperti sebelum ini umum taat setia bersama satu - satunya calon MB dari Pakatan Rakyat tetapi dia melobi diri sendiri termasuk menggunakan jaringan bapa angkatnya dan akhirnya memalukan presiden PKR sendiri maka kali ini jika dia menipu lagi maka tidak pelik.

5. Petisyen memang wujud. Soalnya sekarang, Wan Azizah telah mulakan inisiatif memanggil meja bulat bincang soal kewujudan pakatan baru. Wan Azizah jugalah yang mengetuai sidang media mengumumkan Pakatan Harapan. Maka tiba - tiba ada sekumpulan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diselaraskan oleh Kartel Azmin telah membuat petisyen mendesak diadakan mesyuarat pusat tergempar atau MPP khas bukan membincangkan tetapi jelas mempertikaikan tindakan Presiden PKR mengumumkan penubuhan pakatan baru. Tajuk petisyen itu pun menggunakan perkataan tuntutan bukan permohonan menggambarkan ke arah mana mesyuarat tersebut hendak di bawa.

6. Keluar petisyen tuntutan yang jelas mempertikaikan tindakan presiden sudah memalukan presiden parti. Jika mesyuarat tersebut mengambil sikap menolak penglibatan PKR dalam Pakatan Harapan maka apa nasib dan di mana maruah Wan Azizah selaku orang politik dan Presiden PKR ? Ini adalah proses undi tidak percaya kepada Wan Azizah itu sendiri.

7. Saya tegaskan dalam tulisan saya sebelum ini dengan memahami perbagai sentimen sehingga membawa kepada petisyen tuntutan tersebut namun bukan keputusan mesyuarat itu saja tetapi pestisyen tersebut sendiri sudah memalukan presiden PKR dan nampaknya kartel Azmin cekap mengambil kesempatan.

8. Maka buat Azmin tahniah, kamu cekap dan sangat licik sebagai ahli politik yang mementingkan diri. Tak perlu malu dengan kenyataan kamu dengan penafian yang menipu dan menuduh cheGuBard pula bangkrap.

9. Kepada MPP dan semua harus berfikir panjang, kita sudah malu secara amnya kerana dalam keadaan kita menanti undi tak percaya ke atas Najib dalam Umno dan dalam Parlimen, tiba - tiba Kak Wan terpaksa berdepan rampasan kuasa. Tentu Kem Najib sedang tersenyum.

10. Mesyuarat MPP setiap bulan, mesyuarat Biro Politik setiap minggu maka apa salahnya kalau sekadar nak bincang, bincang saja tunggu mesyuarat biasa biro politik mingguan atau MPP bulanan tidak perlu malukan Presiden dan parti dengan panggil mesyuarat tergembar dengan petisyen begitu.

11. Saya sebut dengan jelas di sini Azmin dan beberapa ahli parlimen dalam kartelnya tidak menandatangani komitmen bagi undi tidak percaya ke atas Najib di Parlimen. Hampir semua MP PKR dan DAP serta AMANAH tandatangan untuk nyata komitmen bersama kecuali 4 orang dari Azmin dan kartelnya. Ini menunjukkan cekap politik Azmin, berapa banyak kolam dia main pun tak pasti mungkin baginya asal dia untuk dan mendapat tempat.

Sekian ;

che'GuBard

kenyataan ini perlu dibaca dengan kenyataan sebelum ini sila klik http://chegubard.blogspot.my/2015/10/coup-de-tat-dalam-pkr.html

Memorandum Sokongan Berkenaan Fatwa Penggunaan Pembesar Suara Masjid dan Surau



2 Oktober 2015

Memorandum kepada

o Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YAB Ketua Menteri Pulau Pinang
Tingkat 28 Komtar
10503 Pulau Pinang

o Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Dato Haji Abdul Malik Abul Kassim
Tingkat 53 Komtar
10503 Pulau Pinang

o Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Tingkat 45, KOMTAR,
10503 Pulau Pinang, Malaysia

Sahibus Samaah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

MEMORANDUM SOKONGAN BERKENAAN FATWA PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA MASJID DAN SURAU

1. Dengan ini Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pulau Pinang dan sekutu menyatakan sokongan ke atas keputusan Mesyuarat Jawatatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang (Bil.4/2015) berkenaan penggunaan pembesar suara di Masjid dan surau. Kami mengajak rakyat keseluruhanya menghormati keputusan dan ‘indipendensi’ Majlis Fatwa Pulau Pinang. Kami mengutuk segelintir pihak khususnya yang didokong parti pembangkang di Pulau Pinang yang cuba menghasut rakyat agar membenci Kerajaan Negeri dan menggambarkan seolah Jabatan Mufti ialah kuda tunggangan yang hanya mengikut arahan. Mereka secara sengaja juga menghina DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

2. Untuk pengetahuan semua Jabatan Mufti Pulau Pinang merupakan satu jawatankuasa yang mandiri dibawah seliaan dan mandat DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong berdasarkan enakmen 44 Pulau Pinang. Malah lantikan Mufti dan Timbalan Mufti hanya boleh dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan agong. Sebarang keputusan untuk dijadikan fatwa atau diwartakan perlu melalui 7 proses secara khusus dan hanya diwartakan setelah diperkenankan secara khusus oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Begitu juga berkenaan Majlis Agama dan seumpamanya kerana bagi Pulau Pinang kedudukan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu ia terletak terus dibawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

3. Begitulah juga berkenaan isu penggunaan pembesar suara di Masjid dan surau,Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas, berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas. Ia bukan keputusan politik yang dibawah pengaruh kerajaan negeri. Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu jelas menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya. Penggunaan pembesar suara dalaman sahaja dibenarkan bagi program dan aktiviti masjid dan surau.Namun perlu juga difahami keputusan itu dibuat selepas perbincangan beberapa isu penting antaranya tiada kompromi bagi laungan azan di masjid dan surau.

4. Malangnya mereka yang diyakini didalangi parti pembangkang di Pulau Pinang seperti biasa mempolitikkan isu ini termasuk sehingga membakar sentimen perkauman. Tersebar di media sosial mereka yang aktif menyokong pembangkang pulau pinang bukan sahaja menghina DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Jabatan Mufti P.Pinang malah mereka membakar sentimen perkauman dan sentimen agama agar rakyat bergaduh.

5. Untuk makluman semua khususnya pembangkang negeri pulau pinang Jawatankuasa Fatwa negeri perlis sejak april 2007 dalam garis panduan masjid negeri perlis telah memasukkan klausa “tidak membaca dan memperdengarkan sebarang bacaan selain azan dengan kuat sebelum dan selepas. Malah Dr. Juanda (ketika menyandang jawatan mufti) dengan tegas pernah menyatakan ini menepati kehendak sunnah yang patut diikuti oleh semua orang yang mengaku mencintai Nabi SAW. Dalam kenyataan yang sama beliau juga menegaskan sesiapa yang mempertikaikan adalah jahil tentang hukum dan peranan masjid dalam islam.

6. SAMM memandang berat penyalah gunaan isu agama dan kaum ini khususnya di Pulau Pinang. Walaubagaimanapun ancaman terhadap Islam dan Melayu dilihat serius. SAMM dengan ini mengumumkan akan menganjurkan sidang meja bulat dengan mengajak semua organisasi masyarakat termasuk wakil pembangkang di Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri sekali bagi membincangkan soal kepentingan Melayu dan Islam di Pulau Pinang. SAMM berharap semua pihak mempunyai keberanian untuk duduk di meja membincangkan perkara ini dan bukan sahaja berani melalak di tepi jalan mahupun pentas ceramah semata.

7. Akhir sekali memorandum ini dirumuskan sebagai menyokong indenpendisi dan kemandirian Jabatan Mufti Pulau Pinang dan mengecam tindakan mempolitikkan isu agama dan kaum yang tidak kesudahan serta SAMM akan memulakan langkah menarik semua ke meja rundingan berkenaan isu Melayu dan Islam ini.

Sekian dan t.kasih

Aidil Ibrahim
Penyelaras Samm Negeri Pulau Pinang.

Organisasi yang turut bersama,

Mohd Ikhwan Nasser Mohamad Isa Koordinator Lang-Gar!
Ketua AMK Bukit Mertajam

Azizan Bin Salleh
Pengerusi GVAT P.Pinang (Gabungan Veteran Angkatan Tentera Pulau Pinang)
Pengerusi Amanah Bayan Baru

Saifullah
Wakil Parti Amanah Negara Pulau Pinang
Zulfazdli Md Noordin
Unit Ehsan Pulau Pinang

Nurul Ilfiq
Anak Muda Bangkit Pulau Pinang

Sulaiman Ibrahim
Panglima Malaysia

Ahmad Nawawi Idris
Pertubuhan Anak Pulau Pinang

Zainulfaqar Yaacob
Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang

Mohd Edy Bin Jab
Skuad keADILan Pulau Pinang

Recent Posts Widget

.

.