Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Selangor
DAP : Politik Orang Gila
1. Satu persatu dilihat tindakan DAP makin menggila. Ibarat orang gila yang bercakap seorang, mengancam orang ramai bahkan dia akan beritahu bahawa dia bukan orang gila. Tidak ada orang gila yang mengaku dia gila bahkan dia akan kata orang lain gila. Begitu jugak orang jahat tidak akan mengaku dia jahat bahkan dia akan menunding jari kearah orang lain mengatakan jahat. Ini politik DAP.
2. Tuduhan DAP ibarat orang gila yang bercakap tiada asas dan tidak memandang realiti kehidupan akibat akal sudah menjadi tidak waras. Atas sikap apa DAP mengatakan Exco-Exco PAS dalam Kerajaan Selangor "berbuat jahat" apabila memperjuangkan hak-hak rakyat. DAP melalui Setiausaha Agungnya Lim Guang Eng mengeluarkan kenyataan demikian akibat "tidak puas hati" apabila desakan mereka untuk keluarkan PAS dari Kerajaan Selangor tidak berjaya. Hasilnya dengan tekanan demikian mereka menjadi umpama "orang gila".
3. PAS mendokong usaha dan dasar yang dibuat oleh Kerajaan Selangor. Apatah lagi pembentangan bajet oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor Tuan Mohamad Azmin Ali bertemakan "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" amat menitik beratkan soal kebajikan rakyat. Justeru atas dasar inilah Exco-Exco dan seluruh ahli PAS akan mengembeleng tenaga bersama-sama menjayakan agenda Kerajaan Selangor ini.
4. Realitinya rakyat Selangor sendiri boleh melihat kesungguhan dan khidmat bakti yang dilakukan oleh Exco-Exco PAS bahkan khidmat bakti itu bukan sahaja dilakukan melalui saluran kerajaan semata-mata bahkan PAS di Selangor itu sendiri melalui ahli-ahlinya sentiasa menyantuni dan mendahului untuk gerak kerja memberi kebajikan kepada rakyat. Apatah lagi sikap "mengila" DAP itu jugak mengaitkan dengan Kerajaan Kelantan yang sudah sememangnya dikenali sebagai Kerajaan yang bersih sejak zaman Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sendiri. Tuduhan DAP mengatakan hendak menghalang PAS dari buat jahat sebenarnya memakan diri DAP sendiri kerana rakyat Selangor boleh menilainya dengan baik.
5. Dewan Pemuda PAS Selangor menasihat dan menegur agar DAP di Selangor mengambil sikap untuk sama-sama berusaha membangunkan Kerajaan Selangor. Peduli rakyat menjadi agenda utama bukan mengizinkan sikap prejudis sebahagian pimpinan DAP menggangu gerak kerja serta khidmat bakti untuk rakyat Selangor.
SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
16 November 2015 / 4 Safar 1437H
KENYATAAN MEDIA
TIADA RASIONAL MUNASABAH UNTUK MENAIKKAN TARIF AIR SELANGOR
Kenyataan Dato’ Menteri Besar Selangor semalam tentang kepastian bahawa tarif air bakal naik sebaik sahaja proses penyusunan semula selesai sepenuhnya nyata bercanggah dengan semangat dan hasrat asal pengambilalihan industri perkhidmatan air oleh Kerajaan Negeri daripada syarikat konsesi.
Di samping persoalan mengenai nama syarikat yang dilantik sebagai penilai bebas bagi nilai pampasan ekuiti kepada SPLASH dan caj konsultansi yang perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri, saya amat terkejut dan terkilan dengan perubahan mendadak pada dasar-dasar awam seumpama ini memandangkan antara sebab asal utama penstrukturan semula indusri air dilaksanakan adalah supaya rakyat boleh menikmati perkhidmatan air yang lebih efisien dan pada tarif yang berpatutan.
Mengikut perancangan awal, kenaikan tarif hanya akan dipertimbangkan selepas tiga hingga empat tahun industri perkhidmatan air Selangor berjaya distruktur semula sepenuhnya manakala sebarang kenaikan dijamin tidak akan melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun.
Saya yakin banyak lagi usaha yang perlu dan boleh dilakukan sebelum langkah drastik menambah beban rakyat akibat lonjakan kos sara hidup dengan menaikkan tarif air sebaik sahaja proses pengambilalihan selesai. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri boleh mengelakkan pembaziran dan ketirisan dalam kos operasi dengan memotong perbelanjaan yang tidak perlu, mengurangkan kontrak berlapis-lapis (multi-level contracts) dan menghentikan serta-merta penganugerahan sub-kontrak.
Tambahan pula, sebagai pemilik mutlak, Kerajaan Negeri tidak perlu lagi mematuhi terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi atau mengikut kaedah operasi lama yang dipraktikan oleh syarikat konsesi. Sebaliknya, ia mempunyai kuasa menetapkan kaedah "pricing" dan "costing" yang baharu di setiap peringkat operasi sebagai salah satu strategi kawalan kos keseluruhan; sekaligus mengurangkan malah menghapuskan keperluan menaikkan tarif.
Oleh kerana industri perkhidmatan air kini milik rakyat Selangor, amat wajar kerajaan negeri faham secara mendalam segala butiran dalam akaun dan rekod kewangan operator perkhidmatan air terutama aspek perbelanjaan. Dari situ, satu formula lestari boleh digarap bagi mengelakkan kenaikan tarif buat jangka masa panjang.
Bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat terpelihara, saya menggesa agar satu badan pengawasan bebas industri air ditubuhkan dengan fungsi antara lain, memantau metodologi penetapan tarif dan mutu perkhidmatan di samping memastikan keabsahan justifikasi dan legitimasi keperluan menaikkan tarif seperti yang didakwa. Meskipun kewajaran bagi kenaikan tarif wujud, perkara tersebut perlu dibentangkan di Dewan Negeri Selangor terlebih dahulu agar semua wakil rakyat faham dan jelas tentang isu-isu yang terlibat.
Sebagai peringatan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH), terdiri daripada PKR, DAP dan PAN terutama PKR dan DAP yang jarang melepaskan peluang menggasak dan menghentam Barisan Nasional tetapi diam seribu bahasa berhadapan kepincangan dan kebobrokan di rumah sendiri di Selangor dan Pulau Pinang, tibalah masanya untuk hentikan sikap hipokrit dan berdolak-dalih. Diberi peluang dengan kawalan dan kuasa penuh sekarang, Kerajaan Negeri harus buktikan keupayaan mengurus industri perkhidmatan air lebih baik daripada era Barisan Nasional di samping mengotakan semua tawaran dalam Manifesto Pilihanraya Umum ke-13.
Ingin juga saya nasihatkan para pemimpin dari PH dan PAS bahawa "perjuangan "reformasi" yang dilaungkan selama ini bukan hanya untuk mencari salah dan kelemahan Barisan Nasional tetapi juga sebagai panggilan bermuhasabah untuk memperbaiki diri sendiri jika mahu terus membina dan memperteguh keyakinan rakyat bahawa mereka mampu membentuk kerajaan yang lebih baik.
TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
ADUN PELABUHAN KLANG
Selangor Kekal Sebagai Kerajaan Rakyat-
KEADILAN Selangor
Kerajaan Selangor perlu kekal dengan pendirian kerjasama politik secara holistik terhadap semua pihak yang mahu melihat sebuah pakatan politik yang stabil dan ampuh bagi berdepan dengan UMNO/BN dalam PRU14.
KEADILAN Selangor menolak pandangan sempit sesetengah pihak yang menyatakan bahawa sikap YAB Dato' Menteri Besar yang masih mengekalkan Adun-Adun PAS sebagai Exco adalah suatu bentuk langkah peribadi.
Pendirian YAB Dato' Menteri Besar, Azmin Ali adalah berdasarkan resolusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN pada 11 Oktober 2015 yang telah memutuskan untuk memanjangkan hubungan kerjasama dengan semua parti politik. Pastinya, ia melibatkan Adun PAS dalam membentuk 'kerjasama pentadbiran' di Negeri Selangor dengan sokongan semua Adun.
Tindakan YAB MB Selangor mengekalkan Exco-Exco Kerajaan Selangor dari PAS adalah selaras dengan hasrat dan ketetapan MPP KEADILAN yang jelas mahu meneruskan usaha-usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu di peringkat pusat dan apatah lagi di Selangor sebagai sebuah Kerajaan. Jelas ia adalah keputusan parti dan bukan bersifat peribadi.
Kenyataan tertentu yang dibuat seolah-olah mendesak untuk YAB Dato' Menteri Besar menggugurkan Exco daripada PAS adalah suatu saranan yang bertentangan dengan resolusi mesyuarat MPP. Maka perlu suatu tindakan disiplin serta penyiasatan diambil terhadap mana-mana pimpinan KEADILAN yang jelas menolak pendirian semasa KEADILAN pada masa ini yang telah diputuskan oleh MPP KEADILAN. Harus diingatkan semula, MPP adalah badan pemutus tertinggi dalam KEADILAN.
Anggota serta pimpinan parti seharusnya memahami situasi ini dan tidak memberikan suatu sisi pandangan yang tersasar daripada maksud resolusi yang telah diputuskan oleh MPP KEADILAN.
KEADILAN Selangor menyokong penuh Kerajaan Negeri yang komited untuk memantapkan pentadbiran bersama rakan-rakan Pakatan Harapan dengan memperbesarkan ruang kerjasama pentadbiran termasuk terhadap Adun-Adun PAS di Selangor.
Langkah yang diambil oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor ini perlu di sokong kerana ia di yakini bagi menyediakan suasana kondusif demi perpaduan pergabungan politik yang lebih luas.
Oleh yang demikian, KEADILAN Selangor menyeru semua pihak untuk bersama-sama membantu YAB Dato' Menteri Besar Selangor dalam menjayakan Belanjawan Selangor 2016 yang telah dibentangkan dengan tema "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" demi kepentingan rakyat.
Walau apapun nama gabungan yang kita ingin sebutkan, yang paling penting marilah kita terlebih dahulu membuktikan; dalam semangat Pakatan Rakyat terdahulu, iltizam muafakat Pakatan Harapan terkini, kitalah kerajaan gabungan masa depan rakyat Malaysia.
Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.
Bajet 2016 : Benar, Selangor Negeri Berkebajikan
Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.
BAJET 2016 : BENAR, SELANGOR NEGERI BERKEBAJIKAN
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengucapkan tahniah dan syabas atas pembentangan bajet Negeri Selangor yang sangat pedulikan nasib rakyat oleh Dato Menteri Besar Tuan Mohamad Azmin Ali baru-baru ini. Bajet yang dibuat ternyata hasil daripada kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat di Negeri Selangor yang berjaya meningkatkan jumlah terbesar dalam sejarah Selangor dan ianya satu kejayaan yang tidak berlaku dizaman pemerintahan Barisan Nasional.
2. Dengan memperuntukkan belanjawan berimbang sebanyak RM2.88 bilion bagi tahun 2016 mendukung tema "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" menjurus ke arah titik Kebajikan Rakyat, sikit sebanyak melihat falsafah pentadbiran ini selari dengan gagasan yang pernah di bawa oleh Tuan Guru Presiden PAS Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang iaitu Negera Berkebajikan. Jika dilihat ia di definasikan sebagai sebuah Negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara dalam masa yang sama mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan.
3. Melalui pembentangan bajet ini, DPPNS amat menyokong sikap peduli dan mendahului kebajikan rakyat dalam usaha untuk mengecualikan cukai taksiran rumah kos rendah dan rumah kampung serta mengecualikan fi lesen bagi peniaga kecil, peniaga pasar malam dan pasar tani. Perlaksaaan ini sesuai dengan kemampuan kewangan yang dijana oleh Kerajaan Negeri Selangor, kita yakin ianya memberi pemangkin untuk rakyat berpendapatan rendah agar lebih terbela disaat kegawatan ekonomi akibat ketidakcekapan Kerajaan Barisan Nasional mentadbir di peringkat Pusat.
4. DPPNS yakin sebahgian besar yang menikmati pengecualian cukai dan fi ini terdiri daripada anak-anak muda yang baru menjalankan perniagaan kecil-kecilan akibat kurangnya peluang mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta. Ini adalah isyarat yang jelas bahawa masih ada lagi pihak yang peduli kepada nasib mereka kerana rata-rata anak muda ini baru memulakan kehidupan berkeluarga.
5. Begitu juga dengan bajet yang berkaitan dengan pendidikan iaitu Maahad Tahfiz, Maahad Tahfiz Intergrasi Sains dan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin yang sudah pastinya kelebihan peduli ini bakal diraih oleh anak-anak muda Selangor.
6. Keseluruhan pembentangan bajet Negeri Selangor ini jelas wujudnya perbezaan yang amat ketara ibarat antara langit dengan bumi apa yang ada di peringkat kerajaan persekutuan. Kerajaan Malaysia yang mudah dan senang dikenali sebagai "Darul Jibayah" iaitu negara pemungut atau pemeras cukai yang meletakkan beban yang besar terhadap rakyat bagi menampung sebahagian kos perjalanan kerajaan. Sedangkan kerajaan Selangor mengambil inisiatif bagaimana usaha untuk mengelak rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya dikalangan anak muda.
7. DPPNS yakin jika perkara ini terlaksana ianya bakal melonjakkan lagi prestasi kehidupan yang lebih baik di Selangor selaras dengan agenda untuk menjadikan Selangor sebagai negeri berkebajikan. Secara tidak langsungnya pihak kerajaan negeri serius menghargai anak muda sebagai teras kelangsungan kehidupan dan kepimpinan masa depan.
8. Akhir kata penutup bicara, istiqamah lah untuk berbakti pada rakyat. Usah melayan gangguan nyamuk seekor dua sehingga kelambu indah di bakar hangus. Mudahan Allah memberi hidayah kepada semua.
Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
Isnin 2 November 2015 | Bersamaan 20 Muharam 1437H
Memorandum : Bantahan Kenaikan Tol Secara Mendadak
MEMORANDUM 1.0
KEPADA : MENTERI KERJARAYA
DARIPADA : DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
BANTAHAN KENAIKAN KADAR TOL SECARA MENDADAK
1.0 Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) melahirkan rasa kekesalan di atas pengumuman kenaikan kadar tol bagi beberapa lebuhraya utama yang berkuatkuasa pada 15 Oktober 2015 yang lepas.
Kenaikan kadar tol ini merupakan satu malapetaka dahsyat kepada pengguna lebuhraya tatkala negara dirundung dengan krisis kejatuhan mata wang.
Setelah dihimpit dengan bebanan kenaikan harga barang, harga minyak yang tidak menentu turun naik dan ditambah dengan cukai GST, rakyat sekali lagi telah dizalimi dengan kenaikan kadar tol yang tidak munasabah.
Janji pengurangan kadar tol secara berperingkat oleh kerajaan BN dalam manifestonya pada PRU-13 yang lepas rupanya hanya satu sandiwara poltik meraih undi.
2.0 Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat keadaan ini sebagai satu musibah besar yang melanda rakyat Malaysia. Pengurus dan pemilik konsesi tol perlu merasai dan menjiwai hidup sebagai rakyat biasa dan bukannya memikirkan keuntungan poket sendiri.
Perlu memahami bahawa bukan semua pengguna lebuhraya sama taraf hidup mereka, bukan sekadar tol yang mereka perlu bayar untuk menggerakkan sebuah pacuan, bahkan minyak, cukai jalan, lesen dan pelbagai lagi pengeluaran duit perlu dilaburkan untuk sebuah kenderaan layak digunakan di Malaysia ini.
Kebimbangan yang kami khuatiri adalah kemarahan rakyat Malaysia yang tidak terkawal akibat tekanan dan bebanan kewangan yang mereka terpaksa tanggung akibat kenaikan mendadak dan akan mengakibatkan ketidakstabilan kehidupan rakyat Malaysia dan paling menakutkan sekiranya ada yang merusuh tanpa hala kepada individu yang tidak bersalah.
3.0 Marilah sama-sama kita menginsafi bahawa disamping kenaikan kadar tol yangterkini, rakyat Malaysia silih berganti terbeban dengan kenaikan cukai-cukai yang melampau seakan Malaysia tiada sumber pendapatan melainkan cukai.
Sedangkan Negara kita memiliki hasil bumi yang banyak sepatutnya menjadi pendapatan yang mampu menampung segala kos tersebut. Amaran Allah di dalam Al-Quran sepatutnya menjadi kegerunan pada pihak kerajaan.
Ketetapan yang demikian supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya bagi orang yang melanggari perintahnya".
4.0 Oleh itu, kami Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak pihak Kerajaan Persekutuan agar:
i. menyemak semula terma perjanjian di antara syarikat konsesi tol dan pihak kerajaan dengan mengambil kira aspek tempoh perjanjian dan penstrukturan semula konsesi tol berdasarkan pulangan kos dan keuntungan;
ii. mengamalkan dasar berbelanja secara berhemah supaya mempunyai lebihan (surplus) bagi menampung kos pampasan kepada syarikat konsesi tol di atas penangguhan kenaikan kadar tol yang dianggarkan pada kadar purata inflasi 3%-5% setahun; dan
iii. menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat, menekuni dan meneliti setiap perjanjian konsesi tol yang berat sebelah dan membebankan rakyat.
Sekian, terima kasih.
Yang Benar,
Syarhan Humaizi Abdul Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 28 Oktober 2015
KENYATAAN AKHBAR
PAS SELANGOR TOLAK KERJASAMA DENGAN PERKASA.
PAS Selangor telah menerima penjelasan daripada PAS Pusat bahawa PAS Pusat hanya menerima kunjung hormat daripada Perkasa.
Mereka telah membincangkan 3 perkara iaitu 1MDB, SOSMA dan TPPA. Tidak ada persetujuan untuk mewujudkan sebarang kerjasama seperti yang dilaporkan oleh media.
Sehubungan itu, ingin ditegaskan di sini bahawa PAS Selangor tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kerjasama dengan Perkasa.
Walaupun PAS Selangor bersedia mewujudkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional dengan mereka yang menghormati prinsip-prinsip dan dasar perjuangan PAS tetapi kami menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman.
Seluruh tenaga rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosial perlu digembelingkan untuk berhadapan dengan penyelewengan dan salahguna kuasa Barisan Nasional.
YB Dato' Iskandar A. Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
13 Oktober 2015
Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Selangor
Kenaikan Kadar Tol :
Malaysia Darul Jibayah
1. Apa malang nasib rakyat Malaysia berada dibawah kerajaan UMNO yang zalim. Di saat semua masyarakat merasa terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan kadar tol berkuatkuasa Khamis ini 15 Oktober 2015.
2. Lebuhraya yang terlibat adalah lebuhraya utama yang menjadi kegunaan harian masyarakat di Lembah Klang. Kenaikan kadar tol antara 20 sen dan RM3 melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
3. Disamping kenaikan kadar tol yang terkini, rakyat Malaysia silih berganti terbeban dengan kenaikan cukai-cukai yang melampau seakan Malaysia tiada sumber pendapatan melainkan cukai. Sedangkan Negara kita memiliki hasil bumi yang banyak sepatutnya menjadi pendapatan yang mampu menampung segala kos tersebut. Amaran Allah di dalam Al-Quran sepatutnya menjadi kegerunan pada pihak kerajaan.
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Ketetapan yang demikian supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya bagi orang yang melanggari perintahnya".
4. Darul Jibayah adalah jawapan yang tepat kepada tindakan serta keputusan kerajaan Malaysia berhubung kenaikan kadar tol tersebut. Darul Jibayah atau Negara "pemeras cukai" adalah nama dan slogan yang paling tepat bagi menggantikan segala slogan yang dibawa oleh pihak kerajaan ketika ini. Kenaikan kadar tol disaat ini adalah bentuk "pemeras cukai" yang amat zalim. Walaupun sepatutnya semakan perlu dibuat terhadap konsesi yang sudah mengenakan kadar tol bagi menampung pembinaan lebuhraya supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa.
5. Dewan Pemuda PAS Selangor melihat keadaan ini sebagai satu musibah besar melanda rakyat Malaysia. Rakyat perlu bangkit bersama memberi desakan kepada kerajaan supaya tidak sewenang-wenangnya menzalimi rakyat dengan kenaikan semua yang melibatkan keperluan harian rakyat. Pemuda PAS Selangor akan menggerakkan rakyat agar berhimpun serta membantah keputusan kenaikan kadar tol ini agar kerajaan membatalkan keputusan tersebut.
Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
12 Oktober 2015