Ulasan Ucpaan Dasar Presiden UMNO - Muhyiddin Yasin



ULASAN UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO

Saya mendengar dengan teliti ucapan dasar Presiden UMNO. Saya menghargai peringatan Presiden bahawa tugas Timbalan Presiden di bawah Perlembagaan UMNO ialah membantu Presiden. Tugas Presiden pula ialah menjaga kesempurnaan parti.

Itulah yang telah saya lakukan selama ini. Sebagai Timbalan Presiden saya telah membantu Presiden menerajui jentera UMNO dan BN dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil menerusi peranan saya sebagai Pengarah Pilihanraya. Saya juga telah membantu Presiden memastikan kelicinan pengurusan dan pentadbiran UMNO menerusi peranan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Saya juga telah membantu Presiden menangani pelbagai permasalahan parti.


Begitu juga ketika saya menjawat jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi. Amanah membantu Presiden tidak pernah saya abaikan.

Sebagai Timbalan Presiden yang dipilih oleh ahli, saya juga bertanggungjawab kepada parti dan ahli-ahli. Saya banyak mendengar suara akar umbi mengenai pelbagai permasalahan yang berkait dengan kepimpinan parti. Maka tanggungjawab saya ialah untuk memberikan nasihat kepada Presiden supaya mendengar suara ahli-ahli parti di akar umbi dan segera memperbetulkan keadaan. Sebaliknya saya disingkir, disisih malah dihalang daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden.

Saya juga tidak dibenarkan berucap secara lazimnya dalam perhimpunan ini dan sudah tentu pandangan saya ini tidak dapat disampaikan kepada para perwakilan secara terus. Pentas dalam perhimpunan kali ini tidak sama rata.

Dalam Islam kita dituntut supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Hal ini disebut oleh Presiden dalam ucapan dasarnya pagi tadi. Pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada titah perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih, serta menjauhi perkara-perkara mungkar.

Saya berharap agar perbahasan yang berlangsung sepanjang perhimpunan agung UMNO pada kali ini, termasuk perbahasan mengenai ucapan dasar Presiden, menyentuh perkara-perkara penting yang dapat menarik semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

Berbahaslah dengan jujur, ikhlas dan benar.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO

Dewan Negara Harus Menolak RUU MKN, Menyelamatkan Demokrasi Malaysia - Nik Nazmi



DEWAN NEGARA HARUS MENOLAK RUU MKN MENYELAMATKAN DEMOKRASI MALAYSIA

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 (RUU MKN) yang diluluskan secara tergesa-gesa melalui Dewan Rakyat baru-baru ini adalah ancaman paling teruk ke atas demokrasi berparlimen dan hak asasi rakyat Malaysia.

RUU MKN ini memusatkan anggota keselamatan seperti tentera, dan polis di bawah Perdana Menteri. RUU ini merampas kuasa dan perogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat dan memberikan kuasa ini secara natijahnya kepada Perdana Menteri dengan memberikannya kuasa untuk mengisytiharkan ‘kawasan keselamatan’. Di samping itu, Kerajaan juga diberikan kuasa yang besar di dalam kawasan keselamatan tersebut yang akan memberi kesan ke atas hak-hak rakyat.

Amat membimbangkan bahawa walaupun 'keselamatan negara' digunakan berkali-kali di dalam RUU tersebut, ia tidak ditakrifkan di dalam RUU MKN. Ini memberi ruang kepada kerajaan untuk menggunakan kuasa besar yang diberikan oleh RUU MKN dengan sewenang-wenangnya. Hakikat bahawa negara ini mempunyai bermacam-macam undang-undang yang setiap satunya lebih kuku besi dari yang sebelumnya kononnya atas alasan ‘keselamatan’ jelas sekali menunjukkan bahawa RUU MKN ini hanyalah suatu alat oleh kerajaan yang makin hari makin terdesak untuk berpegang pada tampuk kuasa.

Rakyat Malaysia tidak lupa bagaimana undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain telah disalahgunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Jika membuat laporan di negara lain terhadap 1MDB boleh dikatakan sebagai mensabotaj institusi kewangan negara, tidak keterlaluan untuk kita membayangkan penyalahgunaan kuasa yang akan digunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional atas nama ‘keselamatan’ melalui undang-undang MKN. Kita tidak boleh menerima sebarang jaminan bahawa kerajaan ini tidak akan menyalahgunakannya ke atas rakyat.

Mengapa RUU yang sebegini penting hanya didedahkan kepada Malaysia pada saat-saat akhir dan perbahasan serta pengundiannya digesa-gesakan melalui Parlimen? Apakah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional tidak sedar akan kesannya ke atas seluruh Malaysia, dan kuasa yang bakal digegang oleh seorang individu bergelar Perdana Menteri?

Pada tahun ini sahaja, kita sudah melihat sekurang-kurangnya 2 undang-undang yang diluluskan Parlimen yang mencabuli hak rakyat iaitu Akta Pencegahan Keganasan (PoTA) dan pindaan ke atas Akta Hasutan. Nampaknya Kerajaan Barisan Nasional mahu mengakhiri 2015 dengan menggubal satu lagi undang-undang yang mengancam demokrasi negara.

Kami menggesa Ahli-ahli Dewan Negara untuk menolak keseluruhan RUU MKN ini dengan segara demi menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan kerajaan autoritarian.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Kenyataan Donald Trump Dikecam - Khalil Hadi



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

KENYATAAN DONALD TRUMP DIKECAM!

DPPM mengecam kenyataan calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump yang mahu semua umat Islam diharamkan masuk ke negara ‘Uncle Sam’ tersebut. Kenyataan tersebut jelas berbaur hasutan, diskriminasi, prejudis dan menimbulkan sentiman ketakutan terhadap umat Islam di Amerika Syarikat.

Ini bukan kebebasan ekspresi atau bercakap, tetapi ia dilihat satu provokasi terhadap masyarakat Muslim sedunia. Tambahan lagi, Donald Trump adalah individu yang berpengaruh dan sedang berkempen untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016. Ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak polisi luar khususnya terhadap negara-negara di Timur Tengah.

DPPM mengutuk sekeras-kerasny
a tindakan keganasan ISIS dan siri-siri pengeboman di Eropah (Paris dan California), namun tindakan negara-negara kuasa besar untuk menghentam umat Islam dan juga Syria adalah tidak bertamadun dan merupakan satu jenayah antarabangsa. Polisi menghapuskan ISIS sebenarnya turut mengheret umat Islam ke arah penderitaan.

DPPM mahu sebarang usaha mempotretkan Islam sebagai agama keganasan harus dihentikan. Malaysia juga turut didesak agar lebih tegas menyuarakan pendirian bagi mewakili negara-negara umat Islam berhubung tindakan pihak antarabangsa menyerang secara menyeluruh umat Islam khususnya di Syria. Ia bukan hanya disasarkan ke atas ISIS, tetapi keseluruhannya!

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Khamis, 10 Disember 2015 | 28 Safar 1437H

Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah - Abdul Hadi Awang



KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
10 Disember 2015 / 28 Safar 1437 M

“Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah”


1) Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah organisasi yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah, Ijma' ulama dan Qiyas sebagai rujukan dalam menentukan prinsipnya termasuklah dalam gerakerja dan tindakan untuk membina masa depan yang sejahtera.

2) Lebih enam dekad PAS berjuang membawa Islam dan syariatnya. PAS mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menyedarkan masyarakat termasuk pemimpin politik dan negara agar meletakkan agama sebagai teras pemerintahan dan penyatuan ummah untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya. PAS juga terus berjuang menolak mungkar politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus, dan kerosakan akhlak serta rasuah dalam praktis bernegara.

3) Pastinya apabila ada suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk keseluruhannya, PAS selamanya berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap hasrat perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah SWT dengan mana - mana pihak, samada Islam atau kalangan bukan Islam.

4) Berdasarkan prinsip inilah, maka sebarang perkembangan baharu dalam gerak politik PAS akan dinilai, dibincang, dan diputuskan diberbagai peringkat proses dalaman parti, termasuklah perbincangan oleh Jawatankuasa PAS Pusat sehingga mencapai keputusan secara kolektif.

5) PAS juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk UMNO kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, samada politik, sosial mahu pun ekonomi. PAS beriman kepada Allah bahawa pintu taubat tidak pernah ditutup dan rasa keinsafan yang murni adalah kunci mendapat keampunan dari Allah SWT.

6) PAS ingin menegaskan bahawa pada waktu ini, PAS adalah rakan Tahaluf Siyasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan komited dengan kerjasama ini sebagaimana yang dicapai dalam Muktamar dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Melayu Masih Menjadi Cagaran - Ustaz Hj Idris Hj Ahmad



Melayu Masih Menjadi Cagaran
Ustaz Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
10/12/15

Berkobar-kobar DS Najib berucap merasmikan Persidangan Agung Umno 2015 di hadapan 2654 perwakilan dari 191 bahagian Umno. Terdapat nada sinis kepada Timbalan Presiden TS Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Shafie Afdal dan mantan Presiden Umno Tun Mahathir. Keputusan Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno yang tidak membenarkan Timbalan Presiden merasmikan mesyuarat sayap-sayap Umno dan terbaru hanya membenarkan Presiden sahaja yang membuat pergulungan pada hari terakhir merupakan keputusan luar biasa. Semuanya almaklum.

Setiap tahun laugan hidup Melayu kedengaran supaya Umno terus dipercayai, Tektik menakutkan perwakilan dan pemerhati dengan andaian jika Umno kalah, seolah-olah Melayu juga akan kehilangan kuasa. Sudah menjadi lumrah, melayu akan dijadikan bahan cagaran untuk kekalkan kuasa. Ini hanya skrip yang diulang tayang setiap tahun. Mereka tahu bahawa orang melayu terpengaruh dengan emosi, sehingga tidak sedar siapa yang menyebabkan melayu hilang taring dan kuasa politik dan ekonomi. Sepatutnya amanah yang digalas oleh Umno sejak merdeka tidak kedengaran lagi melayu terpinggir daripada semua sudut, walau pun ada perubahan. Tetapi tidak sepadan dengan waktu yang diamanahkan untuk Umno mentadbir.

Walau pun penubuhan agensi yang bertujuan untuk mengangkat darjat melayu masih tidak kesampaian. Walau pun adanya FAMA, Felda, Felcra,Lembaga Kemajuan Nelayan, Tekun, semuanya mendapat dokongan kerajaan, namun natijahnya gagal. Kerana sikap tidak amanah dan dikendalikan oleh mereka yang bukan ahlinya. Projek dianugerah bukan kerana merit, tetapi kerana parti. Berapa banyak tanah orang-orang melayu terlepas ke tangan orang lain, semuanya angkara tokoh-tokoh politik Umno yang rapat dengan pihak berkuasa. Saya tidak perlulah ulang beberapa fakta yang melibatkan orang Melayu seperti tanah rezab Melayu, royalti kepada Kelantan, diskriminasi pembahagian baja, subsidi masih lagi berlaku. Semuanya dilakukan oleh orang sesama bangsa, yang hari ini bertempit sorak hidup Melayu. InsyaAllah Pas bersedia menggantikan Umno untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

Dulu Najib Nafi Sekarang Kata Bank Negara Pun Tahu..Ahmad Albab? - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

ISU RM2.6 BILION : DULU NAJIB NAFI SEKARANG KATA BANK NEGARA PUN TAHU. WANG TERSEBUT BUKAN SAYA YANG PUNYA TAPI "AHMAD ALBAB YANG PUNYA".

1. Temu bual media bersama PM Najib menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mendedahkan pengakuan Najib menerima RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau dan Bank Negara telah pun dimaklumkan tentang kewujudan akaun tersebut.


2. Persoalan susulan pengakuan Najib ini ialah kenapa di awal pendedahan yang dilakukan oleh Wall Street Journal (WSJ) dan Serawak Report (SR) Najib menafikan hal berkaitan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau?

3. Najib juga mendakwa bahawa tuduhan isu RM2.6 bilion adalah kerja pembangkang dan Tun Mahathir dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan dan kepimpinan beliau.

4. Kini Najib mengakui wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau daripada seorang penderma. Sedangkan dalam dokumen pemindahan kredit MT 103 yang disyaratkan untuk diisi oleh pengirim yang didedahkan oleh WSJ tercatit jumlah dan perkatan "Partial Payment", bukannya partial donation untuk kiriman pertama bertarikh 21 Mac 2013 dan scand part for final payment untuk kiriman kedua bertarikh 25 Mac 2013. Tidak ada satu pun perkataan "donation" disebut.

5. Persoalannya, ialah adakah Bank Negara tahu tentang wujudnya akaun peribadi Najib dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib seperti mana dakwaan Najib bahawa Bank Negara maklum akan hal ini? Adakah Bank Negara telah maklumkan dan buat laporan pada SPRM, bukankah kemasukan ke dalam akaun peribadi ada hadnya (limit)? Jika Bank Negara tahu akan akaun dan derma ini m, adakah Bank Negara telah meneliti segala dokumen dokumen berkaitan yang didedahkan oleh WSJ? Adakah ada persamaan maksud perkataan "Payment" dengan "donation"?

6. Tan Seri Zeti, Gabenor Bank Negara perlu menjelaskan kekusutan ini. Tolong jelaskan siapa kah Jin penderma yang derma kepada akaun Najib? Adakah Jin sua suway kemuning yang derma? Sila jelaskan kepada rakyat bilakah wang tersebut dikeluarkan dari akaun Najib dan kepada siapa pembayaran itu dibuat dari akaun Najib di AmIslamic bank? Adakah wang tersebut diberikan pada Ahmad Albab?

"AHMAD ALBAB YANG PUNYA".

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
9 Dis 2015/27 Safar 1437 H

Laporan Polis Oleh Setiausaha Badan PAS Negeri dan Pengerusi DHPP Pulau Pinang - Dr Mujahid Yusof Rawa



KENYATAAN MEDIA

LAPORAN POLIS OLEH SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI DAN PENGERUSI DHPP PULAU PINANG

Laporan polis terhadap saya oleh Setiausaha PAS Pulau Pinang dan Pengerusi DHPP Pulau Pinang melambangkan ketidakmampuan mereka untuk berhadapan isu ini secara budiman (gentleman) dan berhadapan.


Mereka berselindung di sebalik laporan polis tanpa bersedia untuk berdebat dengan saya perkara asas yang saya sebutkan telah melahirkan fahaman ekstrim.

Mereka gagal memahami jalur pemikiran ekstrim yang berpunca dari perspektif ideologikal.

Jelas bahawa laporan polis ini seolah mengisyaratkan PAS Pulau Pinang tidak bersedia bersama masyarakat antarabangsa untuk memerangi keganasan yang antara lainnya ialah lahir dari penularan tanpa disedari pada intepretasi agama secara tekstual tanpa pemahaman kontekstual.

Saya mengajak kedua-dua pelapor ini jika berani supaya berdebat dengan saya isu sebenar dan bersama rakyat menentang esktrimisme yang berpotensi menuju kepada tindakan keganasan.

Sekian

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi AMANAH Pulau Pinang

Bertarikh 8 Disember 2015

Recent Posts Widget

.

.