Datuk Abdul Rahman Dahlan Semakin Membadutkan Diri Dan Cuba Mengelirukan Rakyat. - Zulhazmi Shariff

2:51 PM 0 Comments A+ a-



DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN SEMAKIN MEMBADUTKAN DIRI DAN CUBA MENGELIRUKAN RAKYAT.


Skandal 1MDB dan wang "derma" RM2.6 bilion masih hangat dibincangkan oleh rakyat Malaysia. Ianya semakin hangat ekoran tindakan-tindakan Perdana Menteri merombak Jemaah Menteri dan melucutkan jawatan Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara. Antara yang terlibat dalam rombakan Jemaah Menteri ialah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan beberapa orang ahli PAC sendiri. Ini telah menyebabkan prosiding PAC yang sedang berjalan menyiasat skandal 1MDB tertangguh atas alasan-alasan yang direka cipta oleh mereka dengan kerjasama Yang DiPertua Dewan Rakyat. Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata PAC tidak boleh bersidang selagi Pengerusi dan ahli-ahli baru tidak dilantik semula walau pun Naib Pengerusi dan majoriti ahli PAC masih ada. Pelbagai cara mereka gunakan untuk melengah-lengahkan siasatan ke atas 1MDB yang melingkari Perdana Menteri.

Terbaru, semalam, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam suatu sidang media berkata sebelum Pengerusi dan ahli-ahli baru PAC yang baru dilantik, Jawatankuasa Pemilih perlu terlebih dahulu dirombak.

Datuk Abdul Rahman mungkin berfikiran bahawa rakyat Malaysia semuanya bodoh seperti beliau atau mudah dikelirukan. Sebenarnya kenyataan beliau jelas membuktikan beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen, lebih-lebih lagi Menteri Kabinet yang mengurus tadbir negara.

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat khususnya Peraturan 76 (1) menyatakan bahawa :

Hendaklah ada sebuah Jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Pemilih, dilantik awal tiap-tiap Parlimen kerana menjalankan kewajipan-kewajipan yang diuntukkan baginya oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat ini, dan kerana menjalankan apa-apa perkara lain yang diserahkan kepadanya oleh Majlis dari satu masa ke satu masa

Peraturan 76 (2) pula memperuntukkan bahawa :

Jawatankuasa Pemilih itu hendaklah mengandungi Tuan Yang di-Pertua sebagai
Pengerusi, dan enam orang ahli Majlis yang dipilih oleh Majlis, Jawatankuasa ini hendaklah memaklumkan kepada Majlis dengan mengeluarkan satu penyata apabila seseorang ahli Majlis telah dilantik jadi ahli sesebuah Jawatankuasa. Jawatankuasa Pemilih tidak berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat kecuali jika Majlis membuat ketetapan memberi kuasa berkenaan dengan ini.

Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Jawatankuasa Pemilih sekarang perlu dirombak terlebih dahulu kerana ada di kalangan ahli-ahli Jawatankuasa Pemilih sekarang ialah mereka yang telah ditolak oleh Kerajaan seperti Tan Sri Muhyiddin Yaasin dan Datuk Seri G Palanivel. Katanya lagi sebelum ini Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih atas kapasitinya sebagai Ketua Whip BN dan Timbalan Perdana Menteri, begitu juga Datuk Seri Palanivel atas kapasiti Presiden MIC. Justeru apabila kedua-duanya Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Palanivel digugurkan dari Jemaah Menteri, mereka wajar dikeluarkan daripada Jawatankuasa Pemilih.

Jika kita perhatikan Peraturan 76(2) di atas, ianya adalah jelas bahawa ahli Jawatankuasa Pemilih ialah ahli yang dilantik oleh Majlis. Majlis dalam kontaks Peraturan Mesyuarat ialah Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Ini bermaksud semua ahli Jawatankuasa Pemilih dipilih dan dilantik oleh dan di dalam Majlis Mesyuarat. Tiada sebarang peruntukkan mewajibkan ahli Jawatankuasa Pemilih terdiri daripada komponen parti atau berjawatan di dalam parti. Jika ada sekali pun ianya sekadar konvensyen yang tidak mengikat dan tidak mengatasi Peraturan Mesyuarat.

Justeru jika melihat peruntukkan Peraturan Mesyuarat, jelas bahawa Jawatankuasa Pemilih tidak perlu dirombak kerana tidak bersalahan dengan Peraturan Mesyuarat.

Selain itu, Jawatankuasa Pemilih juga hanya berhak melantik ahli Jawatankuasa lain termasuk ahli PAC. Pengerusi PAC tidak dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih sebaliknya dilantik oleh Majlis. Ini jelas disebutkan di dalam Peraturan 77 (2) seperti berikut :-

Jawatankuasa ini hendaklah mengandungi seorang Pengerusi dan Naib-Pengerusi yang akan dilantik oleh Majlis dan tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada dua belas orang ahli yang akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segeranya selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen.

Kesimpulannya, Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak perlu lah terus-terusan menjadi badut dan bahan lawak Malaysia. Jika ingin mempertahankan Perdana Menteri sekali pun biarlah dengan cara yang betul dan bukannya bercakap semberono tanpa fakta yang jelas. Tidak semua rakyat Malaysia yang bodoh seperti Datuk dan jangan terus memperobodhkan rakyat Malaysia kerana rakyat Malaysia sudah celik dari kebodohan Umno/BN.

Jangan cuba mencari helah melambat-lambatkan penyiasatan skandal terbesar negara sekarang dengan helah-helah bodoh yang penuh lucu.

BERANI BERUBAH KE ARAH MALAYSIA YANG LEBIH BAIK.

ZULHAZMI SHARIFF

12082015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.