Warkah Cinta Bersulam Duka Buat Mat Sabu - Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Warkah Cinta Bersulam Duka Buat Mat Sabu
Oleh Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Menemui ayahanda Tuan Haji Mat Sabu yang anakanda amat sayangi, maafkan anakanda kerna menukilkan satu warkah khas buat ayahanda saat kami anakanda kadermu sedang kepeningan di awangan dek realiti yang terbentang di mata kepala. Saat lahirnya warkah ini, bukan untuk mengotorinya dengan kata cercaan namun dengan penuh rendah diri anakanda menagih sebuah harapan lama yang ayahanda titipkan kepada kami suatu masa dahulu.
Ayahanda, kredibiliti yang ditonjolkan oleh ayahanda suatu ketika dahulu tidak perlu untuk dipertikaikan. Izinkan anakanda pula menghidangkan sebuah hidangan lama yang pernah dihidangkan oleh ayahanda. Saat ayahanda pesonakan kami dengan siri gegaran pentas ceramah, ayahanda disambut dengan laungan ‘Takbir’ dan ‘Allahuakbar.’ Betapa besarnya jiwa ayahanda ketika itu.
Ketika ayahanda menjadi hulubalang kelas pertama dalam bahtera ini, ayahanda ditarbiyah oleh seorang sang murabbi yang kebal dan dipenuhi perbendaharaan ilmu. Diri ayahanda dipersiap secara rohani dan jasmani bak kereta kebal utuh, walaupun insan yang pernah mentarbiyah ayahanda akhirnya membuka langkah besar melakukan lompatan jarak jauh dan terus mendarat di lapangan yang bernama UMNO, ayahanda tetap istiqamah dalam bahtera ini.
Ayahanda dinobatkan oleh ahli PAS sebagai pelapis pemuda yang bakal menyinari politik Tanah Air suatu hari nanti (sekarang). Lihatlah rentetan pilihanraya yang diceburi oleh ayahanda. Masih ingatkah lagi saat ayahanda diamanahkan oleh parti untuk bertanding lawan Tun Abdullah Badawi di parlimen Kepala Batas secara tiga penjuru iaitu PAS vs BN vs DAP? Tapi ayahanda kekal istiqamah walaupun kalah secara terhormat. Ingatkah lagi saat dipertanggungjawabkan oleh parti sekali lagi bertanding di parlimen Permatang Pauh melawan Dato Seri Anwar Ibrahim? Sahabat karib ayahanda semasa di dalam ABIM dan pernah bersama beliau berkampung di Kelantan bagi membantu jentera PAS dalam plihanraya umum tahun 1970an. Masih ingatkah ayahanda?
Ayahanda kekal istiqamah walaupun berdepan siri kekalahan dalam pilihanraya sebelum diberikan kemenangan secara bermaruah dalam pilihanraya tahun 1990 dan 1995. Anakanda tersangat salute dengan pengorbanan ayahanda menghadapi segala mehnah dan tribulasi. Namun apa dah jadi sekarang ayahanda?
Anakanda menagih lantangan suara ayahanda tatkala menjadi suara emas mempertahankan hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan. Saat berada di parlimen, ayahanda bangun dengan tegasnya mempersoalkan kepada Tun Mahathir dengan menyatakan: “Kenapa Kelantan tidak boleh laksanakan hudud? Adakah sebab kuantiti? Sedangkan di Madinah dahulu ketika dilaksanakan hudud, yang beragama Islam hanyalah 30%.” Ketegasan ayahanda membuatkan Tun Mahathir diam dan tidak mampu menjawab. Ayahanda! Mana suara keramat ayahanda saat itu? Kenapa tidak diaplikasikan saat berhadapan ex rakan pakatan?
Ketika ayahanda berucap pabila menjadi YB Ahli Parlimen Nilam Puri, ayahanda melaungkan suara keramat ayahanda menegaskan bahawa, perjuangan kita atas dasar parti dan bukan individu. Masa itu ayahanda memberikan contoh Dato’ Asri pada asalnya adalah Yang Pertua PAS, namun bila meninggalkan perjuangan ini, beliau tidak dikenang langsung oleh rakyat Kelantan malah akhirnya berhijrah ke Kedah walaupun asal daripada Kelantan. Berbeza dengan Profesor Zulkifli, asalnya daripada Perak dan pejuangan beliau berakhir apabila meninggal dunia dalam tragedi kemalangan jalan raya belum sempat mengangkat sumpah menjadi ahli parlimen Bachok. Sehingga kini, Prof. Zulkifli dikenang sebagai pejuang PAS malah dinamakan dewan pejabat PAS Kota Bharu sebagai Dewan Profesor Zulkifli Muhammad. Mash ingat lagikah ayahanda?
Ayahandaku yang dihormati, masih ingatkah lagi bila ayahanda membacakan surat amanat yang ditulis oleh Arwah Ustaz Amaluddin Darus saat melihat pimpinan PAS mula tidak thabat dalam perjuangan. Salah satu isi penting yang dibacakan oleh ayahanda di hadapan rakyat Kelantan iaitu “Pucuk pimpinan PAS perlu jaga dasar parti walaupun ke mana kita pergi dan ke mana kita bergerak.” Dimanakah suara ayahanda semasa menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS? Adakah ayahanda mempertahankan dasar parti saat dirobek oleh ex rakan pakatan? Jawab ayahandaku.
Maafkan anakanda kerana bertubi-tubi bertanyakan kembali soalan ini. Anakanda ingin merungkai kembali semua kata kalimat ayahanda suatu ketika dahulu. Mungkin tiada yang ingat namun peringatan ini kerna anakanda sangat sayangkan ayahanda dan bahtera ini. Untuk yang terakhir, anakanda hamparkan kembali kalimat berbisa ayahanda saat itu yang berbunyi:
“Tuan-tuan suka kepada PAS, suka kepada saya sebagai Wakil Rakyat, suka kepada Semangat 46, suka kepada Angkatan, maka sebab itulah tuan-tuan memilih saya sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Nilam Puri. Tetapi sekiranya saya tidak kena pada suatu hari nanti, maka janganlah saya dihantar baik ke Pulau Pinang. Sebalikya, saya harap tuan-tuan buangkan saya saja ke Laut China Selatan.”
Kata-kata ini anakanda cuba mengertinya secara mendalam. Oleh kerana anakanda ada mempelajari Usul Fiqh, kalimah “tidak kena pada suatu hari nanti” adalah lafaz umum dan pasti akan berterusan sehingga datang dalil lain yang menafikannya. Maka lafaz ini terpakai sehingga ke hari ini. Mohon ayahanda bersiap sedia dengan kata-kata ayahanda sendiri.
Ayahanda Tuan Haji Muhammad Sabu yang dikasihi. Anakanda tahu bahawa ayahanda sekarang sudah pun jauh menyeberangi dan meninggalkan bahtera ini. Bahtera yang sarat dengan hulubalang-hulubalang beraneka citrawarna. Saat kita sudah sampai ke puncak setelah jauh mengembara plus berbicara dengan arus ombak yang deras, ayahanda sudah persiapkan bahtera baru. Sedih dan cukup menyedihkan, tiada lagi kasih dan tiada lagi sayang kerna kasih dan sayang anakanda atas dasar perjuangan parti dan bukan individu. Lantas terimalah warkah cinta bersulam duka buat ayahanda Tuan Haji Muhammad Sabu.
Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Pewaris Pejuang PAS Kelantan
w
Sila kongsi artikel ini...