'Kongres Memacu Deruan Kebangkitan Rakyat' - Ir. Hj Khairil Nizam
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
26 Syawwal 1436 | 11 Ogos 2015
"KONGRES MEMACU DERUAN KEBANGKITAN RAKYAT"
Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong sepenuhnya penganjuran Kongres Rakyat yang akan dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat pada 5 September 2015 di Kuala Lumpur nanti.
Melihat perkembangan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia pada hari ini, maka PAS wajar merajah deruan kebangkitan rakyat yang selaras dengan tuntutan Islam berdasarkan pendekatan yang lebih segar dan kontemporari.
Dewan Pemuda PAS Malaysia menjangkakan hasil resolusi tersebut akan membentuk satu plan tindakan jangka panjang yang praktikal untuk dilaksanakan di segenap peringkat supaya perubahan yang akan dilakukan turut didokong oleh rakyat.
Kami turut berharap agar kongres tersebut akan memberikan kesan gandaan sehingga ke negeri Sarawak dan menetaskan sekurang-kurangnya satu kerusi PAS bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Di peringkat dalaman, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga ingin menegaskan agar seluruh ahli dan pimpinan agar sentiasa bersiap siaga dengan memperkemaskan jentera, meningkatkan kualiti dan menstabilkan momentum perjuangan.
Pasca muktamar yang lalu, PAS telah mengalami proses perubahan yang ketara. Kini, perencanaan politik akan berkembang secara berfasa. PAS bukan sebuah parti yang konservatif dan eksklusif malah ia sentiasa relevan dengan perubahan semasa.
Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru seluruh pemuda PAS untuk memberikan komitmen yang terbaik samada daripada aspek idea-idea yang bernas, sumbangan dana dan kerahan tenaga. InsyaAllah, PAS akan menerajui deruan kebangkitan rakyat untuk memastikan Malaysia yang kita cintai ini sejahtera dan lebih berjaya.
Sekian, terima kasih.
IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sila kongsi artikel ini...