Kenyataan Media AMANAH Pulau Pinang
Saya berada di Bangunan SPRM bersama rakan-rakan bagi menunjukkan sokongan ke atas pendakwaan terpilih yang dikenakan ke atas YAB Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang.
AMANAH Negeri Pulau Pinang atas setiakawan Pakatan Harapan mengharapkan siasatan SPRM telus dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik malah kami meyakini Lim Guan Eng tidak bersalah.
Jika pendakwaan ini bertujuan melemahkan kami dan perjalanan politik kami, mereka silap kerana kami semakin kuat semangat untuk meneruskan perjuangan membela rakyat.
Orang ramai sudahpun berhimpun di hadapan bangunan SPRM Pulau Pinang tanda sokongan dan esok kami akan berada di mahkamah untuk menyatakan solidariti kami.
Sekian Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinan
Selesaikan dahulu pengangguran rakyat – Faiz Fadzil
Keputusan kerajaan mengambil 1.5 juta warga Bangladesh untuk bekerja di negara ini atas alasan rakyat terutama belia tidak berminat bekerja dalam bidang 3D iaitu 'dirty, dangerous and difficult' adalah menjengkelkan.
Usahlah perlekeh kemampuan rakyat Malaysia. Rakyat negara ini bukannya berasal dari kutub utara yang tidak biasa dengan cuaca panas dan habuk, mahupun tanah ataupun daun kering. Pertanian adalah sektor ekonomi asal negara ini. Rakyat Malaysia juga punyai kekuatan fizikal yang setanding dengan orang Bangladesh untuk terlibat dalam sektor pembinaan.
Namun, apakah masalah utama yang mendorong kurangnya minat warga tempatan untuk terlibat dalam pekerjaan di sektor perladangan dan pembinaan?
Masalah utama adalah kerana gaji yang rendah ditawarkan kepada mereka. Sebab itulah, tuntutan gaji minima sebanyak RM1,500 jika diluluskan akan dapat menarik minat rakyat negara ini untuk bekerja 3D.
Hanya orang luar seperti warga Bangladesh yang sanggup menerima bayaran gaji rendah kerana jumlah yang diterima di negara ini adalah satu nilai yang besar di negara mereka. Mereka sanggup untuk tinggal berhimpit-himpit di dalam sebuah rumah kongsi.
Mereka tidak menggunakan kenderaan pergi ke tempat kerja. Mereka tidak perlu membayar pinjaman bank untuk sebuah rumah yang harganya ratusan ribu ringgit. Mereka tidak perlu membayar apa-apa yuran pengajian dan perbelanjaan harian anak-anak yang tinggi.
Tetapi, bagi rakyat negara ini, semua tanggungan ini bukan sahaja tanggungjawab, malahan menjadi bebanan.
Ia disumbangkan kos sara hidup yang cukup tinggi, harga rumah yang mahal, kos pengangkutan termasuk komuter, ERL, minyak, cukai kenderaan dan tol yang tinggi, harga barang yang semakin hari semakin meningkat serta bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST). Semua ini perlu ditanggung rakyat negara ini.
Oleh itu, alasan yang diberikan kerajaan adalah meleset umpama membandingkan oren dengan epal.
Jika tidak kerana gaji yang rendah di negara ini, kenapa terdapat rakyat negara ini yang sanggup bekerja di Singapura. Rata-rata rakyat yang bekerja di sana terlibat dalam sektor pembinaan. Bukankah ia kerja 3D.
Namun kerana gaji yang tinggi, mereka sanggup berulang alik ke Singapura bagi mencari pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di negara ini.
Kenaikan gaji minima kepada RM1,500 pasti boleh dilaksanakan dengan tuntas jika kerajaan dapat mengurangkan kos pengurusan sektor korporat seperti menurunkan cukai korporat, mengurangkan harga barang, minyak dan tarif elektrik serta membatalkan GST.
Jika ini dapat dilaksanakan, syarikat-syarikat terutama sektor SME mampu membayar gaji minima yang dituntut ini.
Perkara lain yang membimbangkan adalah penguasaan perniagaan oleh warga Bangladesh bukan sahaja di kawasan kampung, malahan di bandar-bandar besar termasuk Kuala Lumpur. Mereka kini sudah mula menjalankan perniagaan kedai makan, perniagaan sub-kontrak dalam sektor pembinaan dan perniagaan komputer dan telefon bimbit.
Jika perkara ini tidak dibendung, akhirnya mereka akan menjadi tuan, rakyat pula menjadi kuli. Masalah pengangguran rakyat pula pasti akan meningkat lagi.
Oleh itu, Pemuda Amanah menggesa kerajaan untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang perniagaan dengan meningkatkan inisiatif pinjaman dan latihan kemahiran sebagai satu alternatif kepada masalah pengangguran yang semakin parah di negara ini. Ratusan ribu graduan yang masih menunggu panggilan kerja hendaklah dibantu oleh kerajaan.
Janganlah hanya melihat kepada keuntungan levi semata-mata kerana ia hanya membantu ekonomi Putrajaya dan bukannya rakyat.
Siapa pula kroni yang bakal mendapat keuntungan berbilion ringgit hasil bayaran levi ke atas pekerja Bangladesh.
Kerajaan juga seharusnya membersihkan dahulu masalah warga asing yang tiada dokumen sah bekerja di sini. Kebanjiran warga asing di negara ini sudah lebih dari cukup untuk bekerja di negara ini terutama di sektor 3D.
Rakyat negara ini perlukan perhatian dan bantuan kerajaan. Bukannya dengan memberikan BR1M tanda bantuan. Tetapi pulihkan ekonomi negara, wujudkan peluang pekerjaan dan tingkatkan pendapatan rakyat.
Masalah pengangguran rakyat negara ini perlu diberikan keutamaan berbanding Bangladesh.
Tadbirlah negara ini sepertimana dua Khalifah Umar yang mementingkan kebajikan rakyat dan ketelusan dan integriti pengurusan kewangan negara. – 19 Februari, 2016.
BERBALOIKAH PERDEBATAN ZAMIHAN-ASRI?
Saya meneliti perkembangan balas membalas Ustaz Zamihan Mat Zian dan Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin sehingga membawa kepada satu tarikh perdebatan secara bersemuka yang hingga kini belum mencapai persetujuan antara kedua-dua belah pihak.
Pada mulanya saya tidak berminat untuk memberi pandangan kerana menganggap ini suasana keterbukaan ilmu yang saya perjuangkan selama ini, namun setelah melihat beberapa situasi dalam polemik ini saya berasa terpanggil untuk memberi posisi saya kepada perkembangan debat Zamihan lwn Asri.
1. Keduanya perlu bertanya dengan jujur apakah hasil perdebatan ini membawa sesuatu yang produktif kepada suasana menyeluruh umat Islam hari ini dari sudut sosial, ekonomi dan politik khususnya di Malaysia? Bukankah lebih utama didebatkan kebejatan kepimpinan negara dari kalangan orang Islam yang terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilon ringgit serta tadbir urus kewangan yang culas dan curang lantas mengkhianati amanah umat?
2. Adakah mana-mana pihak beranggapan mereka ada jawapan kepada perdebatan ilmu teologi yang sejak zaman berzaman ulama silam tidak menemukan penyelesaian? Ia bukan masalah mencari jawapan hitam-putih kepada cabangan masalah yang timbul tetapi melihat ia adalah perbezaan pandangan dalam lingkungan disiplin ilmu yang tidak boleh kita labelkan sebagai sesat atau menyeleweng. Jadi apa gunanya berdebat pada isu cabang yang sememangnya secara lumrahnya pasti akan terdedah kepada pelbagai perspektif dan penilaian sedangkan sejak dari mula lagi ia dizinkan oleh syariat kita.
3. Saya khuatir akan niat sesetengah pihak yang akan menghantar mesej yang silap apabila berusaha untuk memaksa hanya satu pandangan sahaja ke atas umat sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam sehingga membawa kepada kejumudan dan pembekuan perkembangan intelektual. Adakah mana-mana pihak mahu ambil kesempatan untuk tujuan tersebut? Jikalau ada, kesannya kepada umat Islam Malaysia khususnya akan mengalami zaman kejumudan yang sama dan itu adalah perkara terakhir yang kita mahu lihat berlaku kepada umat Islam Malaysia.
4. Akhirnya tujuan debat untuk menang dalam perkara yang pada asalnya bukan keluar dari persoalan garis aqidah tidak akan membawa ke mana-mana. Menggunalan istilah ASWJ (Ahli Sunnah Wal Jamaah) untuk berlindung atas kebenaran adalah sesuatu yang dikesali kerana istilah ASWJ pada asalnya adalah pengkategorian utama kepada perincian permasalahan bagi membezakan antara pegangan Syiah dan lain-lain dengan fahaman asal ajaran Nabi Muhammad iaitu Sunnah, khususnya dalam bab Imamah dan kemudiannya berkembang kepada permasalahan aqidah dan fiqah. Ia bukan pengkategorian yang digunakan antara pandangan berbeza sesama ASWJ.
Saya suka kepada keterbukaan dan perbezaan pandangan namun saya juga perlu mengambil kira perdebatan ini berbanding dengan maslahat besar lain yang sepatutnya menjadi keutamaan para ulama kita hari ini termasuk Ustaz Zamihan dan Dr Asri.
Sekian
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti Amanah Negara
Bertarikh 9 Februari 2016
Kenyataan Media
KENYATAAN PENGERUSI LEMBAGA TABUNG HAJI DIKESALI
Pengerusi Lembaga Tahung Haji (LTH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim perlu menjawab soalan-soalan dari surat Bank Negara Malaysia (BNM) yang sedang berlegar di media sosial tentang kedudukan kewangan yang menjejaskan pulangan dividen kepada pendeposit. Pengerusi LTH itu juga menggunakan kaedah menggugut terhadap pembocor maklumat seolah-olah cuba mengalihkan isu sebenar yang berlaku atas risiko 9 juta pendepositnya dari kalangan umat Islam. Pengerusi LTH tidak menjawab soalan utama iaitu;
1. Bagaimana Lembaga Pengarah dan pengurusannya membuat keputusan strategik tentang portfolio pelaburannya dari sudut kepentingan 9 juta pendeposit yang mempunyai kepercayaan tinggi terhadap LTH.
2. Pulangan dividen berasakan untung adalah untuk LTH melabur terus supaya masadepannya akan lebih berkembang. Bagaimana LTH dapat berbuat demikian jika ia membayar dividen lebih daripada untungnya? (107 peratus purata sejak 2012-2014)
3. Akibatnya, nilai rezabnya menjadi lebih rendah dari liabiliti (obligasinya) lalu menjejaskan pemberian dividen berdasarkan kepada Akta Lembaga Tabung Haji seksyen 22(2)(i). Adakah Lembaga Pengarahnya akan melanggar undang-undang dengan Pengerusinya terus menjaminkan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang? Betulkan nilai aset rezabnya 98sen berbanding RM1 nilai liabilitinya?
4. Pengerusi LTH juga tidak menjelaskan bahaya kepada porfolio pelaburannya apabila 5 peratus dari pendepositor secara berinstitusi menguasai 75 peratus saiz deposit. Berbeza dengan pendeposit individu yang tidak bertujuan keuntungan hanya menyimpan untuk melakukan ibadat Haji, pendeposit “instituitional” bermotifkan keuntungan. Apakah mereka mahu mengalami kerugian dengan kedudukan sekarang atau mahukah mereka meneruskan pelaburan dalam keadaan pengurusan korporat LTH yang tidak telus dan melanggar undang-undang? Penarikan mereka daripada pelaburan TH akan menyebabkan kedudukan LTH lebih parah.
5. Memasukkan Peguam Negara sebagai ALP baru tidak akan membetulkan keadaan malah menimbulkan lebih spekulasi tentang “conflict of interest” seolah-olah bertujuan untuk sekali lagi ‘menyelamatkan’ LTH daripada tindakan undang-undang dan bukan untuk menjawab persoalan kedudukannya sekarang.
Akhirnya, janganlah membunuh pembawa berita (don't shoot the messenger) tetapi carilah apa permasalahannya supaya LTH kekal dihormati oleh umat Islam sebagai institusi pengurusan Haji yang unggul di mata dunia.
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Amanah
Ahli Parlimen Malaysia
Bertarikh 28 Januari 2016
Mengapa ‘bail out’ AES untuk tekan rakyat? – Faiz Fadzil
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dilaksanakan pada 2012 kononnya bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya melalui kaedah tangkapan gambar kamera dihentikan setelah mendapat pelbagai tentangan.
Bagaimanapun, AES bakal dilaksanakan semula pada Mac tahun ini sepertimana pengumuman Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Persoalan yang timbul adakah AES bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya atau menjana pendapatan negara?
AES dilaksanakan awalnya dengan hak konsensinya dipegang 2 syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.
Melalui model kewangan dengan formula 3 langkah yang dipersetujui bersama antara syarikat konsensi dan kerajaan, syarikat konsensi akan mendapat pulangan yang dianggarkan berjumlah RM3.2 bilion bagi tempoh 5 tahun.
Bagaimanapun, pegangan saham dalam kedua-dua syarikat konsensi tersebut kemudiannya diambil alih sebuah syarikat lain iaitu Irat Properties Sdn Bhd.
Kini, pegangan saham syarikat konsensi ini dimiliki Boustead dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
LTAT pula merupakan pemegang saham terbesar Boustead.
Untuk rekod, sebanyak 2.14 juta saman dikeluarkan sepanjang AES dilaksanakan.
Kerajaan pula perlu membayar RM16 bagi setiap saman yang dikeluarkan sebagai yuran perkhidmatan kepada syarikat konsensi.
Setakat 25 Ogos, 2015, kerajaan membayar yuran perkhidmatan sebanyak RM60 juta kepada 2 syarikat konsensi terdahulu AES iaitu RM27 juta kepada ATES Sdn Bhd dan RM33 juta kepada Beta Tegap Sdn Bhd.
Dengan pembekuan AES selama ini, sudah pasti syarikat konsensi tidak mendapat pulangan yang dijanjikan.
Justeru, pengambil alihan saham Boustead dan LTAT boleh dianggap sebagai langkah “bail out” projek AES ini.
Mengapa wang rakyat terutama anggota tentera digunakan untuk tujuan menekan rakyat terbanyak melalui saman AES.
Dalam keadaan hasil pendapatan negara terjejas akibat penurunan harga minyak dunia, kerajaan seolah-olah tiada sumber lain selain daripada mengutip hasil duit rakyat.
Tidak cukup dengan hasil GST dan cukai pendapatan yang dikutip daripada rakyat, kini datang pula AES.
Rakyat kini cukup terbeban dan tertekan dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup, petrol dan tol dan dengan saman AES yang berjumlah RM300, maka keperitan hidup rakyat akan menjadi lebih parah dan menderita. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Sedangkan RM300 adalah jumlah yang cukup besar dan bermakna untuk perbelanjaan rakyat ketika ini.
Justeru, AES yang akan dilaksanakan semula adalah bertujuan untuk menjana pendapatan negara dan memberikan keuntungan kepada syarikat konsensi melalui cara menghakis wang rakyat.
Perlaksanaan AES pada waktu ini bukan bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
Sebaliknya, meningkatkan kempen dan mendidik rakyat tentang langkah-langkah keselamatan jalan raya, penurunan harga barang bagi menggalakkan rakyat sentiasa menyelenggara kenderaan dengan baik, peningkatan sistem pengangkutan awam dan pelebaran jalan raya adalah langkah lebih berkesan bagi mengatasi masalah ini.
Maka AES perlu ditentang.
Protes perlu dilakukan rakyat bagi menggesa kerajaan membatalkan terus AES.
Perlaksanaan AES kelak yang akan menempatkan lebih kurang 404 kamera di seluruh negara pasti akan menambah beban dan derita rakyat yang akhirnya merencatkan pembangunan dan ekonomi negara.
Jangan sampai hutang rakyat semakin meningkat kerana dipaksa membayar saman AES. – 20 Januari, 2016.
Perkauman boleh bawa keganasan – Faiz Fadzil
Dunia dikejutkan dengan siri pengeboman di beberapa negara termasuk Perancis, Turki dan terkini Indonesia.
Pemuda Amanah mengecam tindakan sebegini yang tidak Islamik dan tidak bertamadun.
Islam agama yang membawa rahmat bukan sahaja kepada manusia, malah seluruh alam. Islam menganjurkan keamanan negara, kemakmuran hidup rakyat dan keharmonian antara kaum.
Amat malang jika pengeboman sebegini dilakukan oleh militan orang Islam seperti kumpulan Isis yang sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam.
Kejadian sebegini akan meningkatkan lagi sentimen Islamophobia. Keganasan dan ekstrimisme bukan metod dakwah Islam.
Pendekatan Islam adalah wasatiah dan sederhana.
Allah memerintahkan hambaNya berdakwah dengan bijak dan nasihat yang baik (an-Nahl, ayat 125).
Justeru, Pemuda Amanah percaya keganasan sebegini disumbangkan oleh salah faham tentang ajaran Islam yang sebenar dan sikap taksub atau fanatik terhadap agama dan bangsa.
Pemuda Amanah tegas menolak ajaran dan fahaman sebegini.
Masyarakat negara ini cukup bimbang sekiranya agenda ekstrimisme sebegini menyerap masuk ke negara ini. Usaha semua pihak terutama pihak kerajaan bagi membendung ekstrimisme perlu diberikan perhatian serius.
Mendidik rakyat terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi dan kempen anti-ekstrimisme adalah usaha efisyen bagi membendung ancaman ini.
Tindakan undang-undang jika diambil hendaklah berpaksikan kepada keadilan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Keselamatan negara hendaklah diimbangi dengan kebebasan dan hak yang dijamin perlembagaan dan nilai sejagat.
Namun, usah pula kerajaan menggunakan alasan menyekat keganasan untuk justifikasikan undang-undang drakonian seperti Pota, Sosma dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sesungguhnya kezaliman tidak menyelesaikan kesulitan ini.
Jangan kerana mahu mempertahankan kuasa, Umno terus meniupkan sentimen perkauman kononnya Melayu akan hilang kuasa kepada Cina jika Umno hilang kuasanya.
Sesungguhnya, khurafat dan hegemoni ini yang boleh menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat Melayu, yang boleh menyemarakkan semangat ekstrimisme yang akhirnya merugikan negara dan rakyat jika ia berakhir dengan tindakan-tindakan keganasan.
Amat menghairankan bila kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap golongan yang bermain api perkauman termasuk kumpulan baju merah. Sikap pilih bulu kerajaan tidak menguntungkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Pemuda Amanah menyeru agar sentimen perkauman dan fahaman ekstrimisme dihindari bermula hari ini demi kejayaan negara jutaan hari yang mendatang. – 17 Januari, 2016.
Keputusan pelik kerajaan negeri Melaka.
Amat menduka citakan umat Islam amnya negeri Melaka apabila kerajaan negeri Melaka menghalang kuliah ustaz Azhar dan vape tetapi dalam masa yang sama menghalalkan ratu cantik tourism yang sudah tentunya hukumya haram bagi orang Islam untuk menghadiri dan sewenang- wenangnya di luluskan.
AMANAH Melaka ingin penjelasan secara terperinci akan tindakan kerajaan negeri yang kami rasakan satu tindakan yang tidak adil dan memalukan Islam.
1. Di manakah rujukan agama dan exco agama atas dua perkara di atas sedangkan bersama-sama menghadiri dalam program kemaksiatan adalah haram.
2. Kenapa kuliah agama contoh salah satunya ustaz Azhar Idrus di larang untuk memasuki masjid tetapi kegiatan maksiat dan hiburan di benarkan.
3. Apakah bentuk atau syarat-syarat pertandingan ratu cantik tourism ini di benarkan di negeri ini agar rakyat amnya umat Islam memahami akan kelulusan tersebut.
5. Adakah jabatan mufti di rujuk dari segi syarat-syarat dan jika ada di mana rujukan tersebut.
AMANAH Melaka mahu jawapan ini di berikan kepada rakyat Melaka supaya kita mengatahui bagaimana keputusan kerajaan negeri Melaka meluluskan agar persepsi negatif tidak berlaku kepada negeri kami. Sekiranya Dato Idris Haron tidak keberatan boleh menjemput kami mendengar taklimat dari semua pihak terutamanya dari mufti Negeri Melaka dalam menangani isu-isu seperti di atas.
Jauhar Muhammad Dawi
Timbalan pengerusi AMANAH Melaka.