Showing posts with label AMANAH. Show all posts
Showing posts with label AMANAH. Show all posts

Patut Bai'ah Cerai Isteri Jika Ponteng Sidang Parlimen - Zainulfaqar Yaacob



PATUT BAI'AH CERAI ISTERI JIKA PONTENG SIDANG PARLIMEN

Bai'ah cerai angkat martabat isteri dalam perjuangan Islam, kata bekas pemimpin parti Islam terdahulu kami.

Sesetengah menganggap lafaz bai'ah sebegitu kononnya mengangkat martabat isteri di sini agama.


Segelintir lain berpendapat lafaz sebegitu seakan lebih mempertahankan kepentingan partinya, berbanding kepentingan rakyat hatta kemuliaan Islam itu sendiri - Islam Rahmat Ke Seluruh Alam.

Sindir saya begini, jika parti Islam tersebut lebih mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak, patut lafaz bai'ah cerai talak isteri jika ponteng perbahasan di parlimen.

Ini kerana ponteng persidangan Dewan Rakyat ertinya mengabaikan kepentingan rakyat terbanyak.

Mengutamakan Islam ertinya mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak, berbanding kepentingan parti Islam terdahulu itu.

Kalau diri sendiri rajin ponteng sidang dewan rakyat di Parlimen, jangan pula lafaz bai'ah parti Islam berkenaan demi mengutamakan keserakahan politik melampau pemimpin parti Islam terbabit semata-mata.

Sesungguhnya Islam agama kasih sayang, maka pemimpin terbabit hatta parti Islam terdahulu elok jangan memperolok-olok kedudukan wanita atau agama Islam sendiri.

Islam memartabatkan institusi kekeluargaan atas rasa kasih sayang di antara suami, isteri dan anak-anak, bukanlah sebaliknya.

Firman Allah S.W.T:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ
Maksud:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." [Surah Ar-Room: 22]

Jangan keserakahan politik melampau peribadi diri sendiri sampai mahu meruntuhkan institusi kekeluargaan umat Islam yang lain.

Kalau 'negara Islam' sekecil keluarga inipun mahu diruntuhkan atas serakah politik peribadi, bayangkan jika pemimpin melampau terbabit mentadbir negara.

"ISLAM RAHMATAN LIL 'ALAMIN"

ZAINULFAQAR YAACOB
Ketua Penerangan
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Pulau Pinang

Apakah Yang Akan Diwarisi Oleh Anak Muda Malaysia di Masa Depan - Faiz Fadzil



APAKAH YANG AKAN DIWARISI OLEH ANAK MUDA MALAYSIA DI MASA DEPAN?

Krisis kemelesetan ekonomi yang sedang menghantui negara amat membimbangkan terutama kepada anak muda. Dalam mengatasi kemelut ekonomi yang semakin membarah ini, Perdana Menteri telah mengumumkan suntikan dana sebanyak RM20 billion ke dalam pasaran saham domestik melalui syarikat ValueCap Sdn Bhd yang dimiliki oleh agensi kerajan iaitu Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Pelbagai persoalan yang meragukan timbul, justeru kami Pemuda Amanah Nasional ingin membangkitkan beberapa persoalan yang amat relevan dan penting:

1) Mengapakah Kerajaan tidak menggunakan wang RM20 billion tersebut untuk tujuan pelaburan dalam aktiviti ekonomi sebenar (real economy) yang mendatangkan kesan pengganda (multiplier effect) yang lebih tinggi yang mana akan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik sekaligus menambahkan pendapatan dan menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata? Tidakkah tindakan suntikan sebegini hanya menaikkan nilai keuntungan di atas kertas semata-mata, tidak lebih dari itu?

2) Adakah wang rakyat akan digunakan lantaran pemegang saham ValeuCap adalah terdiri daripada institusi-institusi yang dilihat sebagai lubuk tabungan rakyat iaitu KWAP, PNB dan Khazanah Nasional Bhd?

3) Adakah suntikan dana ini merupakan pakej pemulihan jangka panjang dan efisyen dalam menangani krisis yang sedang dihadapi sedangkan langkah yang sama telah dilakukan oleh kerajaan China beberapa bulan dahulu namun akhirnya mengheret pasaran saham republik itu ke dalam tragedi ‘China Black Monday’ pada tanggal 24 Ogos 2015? Tidakkah sentimen negatif terhadap kewangan negara bertambah memandangkan langkah China berkenaan turut dikritik hebat oleh para pakar ekonomi dan penganalisis dunia?

4) Siapakah yang akan sebenar-benarnya mendapat faedah daripada suntikan dana ini dan apakah jaminan kerajaan bagi memastikan suntikan dana tersebut tidak dimanipulasi untuk kepentingan politik dan juga individu tertentu melalui pemberian 'duit kopi' untuk tujuan pembersihan wang haram (money laundering) sepertimana yang didakwa berlaku dalam skandal 1MDB?

Penyusutan nilai mata wang negara yang mendadak perlulah ditangani dengan segera bagi pemulihan ekonomi jangka panjang. Suntikan dana tersebut hanyalah langkah pintas dan bersifat pemulihan jangka pendek semata-mata yang bakal mendedahkan pasaran Malaysia sekali lagi kepada aliran keluar dana asing yang lebih besar, terutamanya setelah suntikan RM20 billion itu habis dibelanjakan. Jumlah sebesar ini jika disuntik sebagai peruntukan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kecil dan sederhana seluruh negara mampu meningkatkan pendapatan rakyat melalui peluang penglibatan dalam ekonomi domestik yang lebih luas.

Meskipun pihak kerajaan sering menggunakan alasan fenomena global yang menyebabkan penyusutan nilai mata wang, namun sesuatu yang tidak mampu pihak kerajaan nafikan ialah skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.67 billion ke akaun peribadi PM sendiri telah menggalakkan dan meningkatkan lagi sentimen negatif terhadap kedudukan ekonomi negara. Justeru kami melihat perletakan jawatan oleh Perdana Menteri adalah antara langkah awal yang efisyen, berakauntabiliti dan bertanggungjawab yang seharusnya dilakukan bagi memulihkan ekonomi negara.

Pemimpin negara wajib mendahulukan nasib negara dengan membela masa depan anak muda. Kami mahu mewarisi kekayaan yang adil lagi saksama di samping kesenangan hidup tanpa bebanan kos saraan yang tinggi. Wariskanlah kepada kami kemakmuran dan bukannya bebanan hutang dan pinjaman. Kegusaran tentang nasib anak muda semakin bertambah apabila perhimpunan baju merah gagal melihat keseriusan kemelut ini, malah jika api perkauman yang mahu diwariskan, kami bimbang masa depan anak muda amat gelap - bukan sekadar hidup dalam kemiskinan, malah dalam persengketaan dan perbalahan sesama sendiri. Kami khuatir nantinya yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang.

Faiz Fadzil
Timbalan Ketua Pemuda
Amanah Nasional
Parti Amanah Negara
18 September 2015

Pendirian PAS Mudahkan Pembentukan Pakatan Rakyat 2.0 - Salahuddin Ayub



KENYATAAN MEDIA


PENDIRIAN PAS MUDAHKAN PEMBENTUKAN PAKATAN RAKYAT 2.0


www.amanahnegara.org


1. Setelah berkali-kali Parti Amanah Negara (AMANAH) mempelawa supaya PAS bersama menyertai perbincangan untuk menubuhkan muafakat politik baharu, PAS hari ini telah membuat keputusan untuk tidak bersama dalam Pakatan Rakyat 2.0 itu namun hanya akan berkerjasama dengan PKR.


2. Mengulas perkara itu, saya berpendapat bahawa keputusan PAS itu akan memudahkan Parti AMANAH, PKR, DAP bersama NGO lain, untuk segera menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.


3. Bagi saya, biarlah rakyat menilai sendiri pendirian dan keputusan yang telah dibuat PAS itu.


4. Parti AMANAH mengulangi pendirian dan komitmen bahawa kami akan bersama dengan tuntutan rakyat untuk bersama dalam Pakatan Rakyat 2.0 bagi membawa perubahan politik sekaligus menyelamatkan Malaysia.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
19 September 2014

Permohonan Maaf Terbuka Kepada Felixia @Raisyya Rania - Adeysham Nor


PERMOHONAN MAAF TERBUKA KEPADA
FELIXIA @ RAISYYA RANIA

19 SEPTEMBER 2015


Pemuda AMANAH Negeri Melaka mengambil maklum mengenai isu Poster Anti Rasis yang menggunakan foto Saudari Felixia @ Raisyya Rania. Kami mengakui bahawa poster itu telah dibuat dan dikeluarkan oleh Pasukan IT kami yang ianya di bawah seliaan Pengarah Komunikasi, Pemuda AMANAH Negeri Melaka.

Pihak kami juga amat PEDULI dengan teguran & pandangan Saudari Felixia yang tidak mahu foto beliau dikaitkan dengan mana-mana aktiviti pertubuhan politik. Kami mengakui kesilapan pihak kami yang asalnya berniat untuk menyampaikan mesej “ISLAM MENOLAK RASIS” yang ianya juga menjadi pendirian kami tetapi telah menjadi kontroversi kepada pihak Saudari. Namun kami tetap mengakui bahawa niat yang baik juga perlu dilakukan dengan cara yang betul. Justeru itu, pihak kami telah mengambil keputusan untuk:

Memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Felixia berhubung isu ini dan pihak kami berjanji akan lebih cakna & berhati-hati dalam menghasilkan sebarang iklan, poster dan sebagainya di masa akan datang. Untuk makluman semua, pihak kami telah pun memadamkan semua status yang berkaitan poster tersebut dalam masa kurang 24 jam ianya dikeluarkan kerana kami mendapati ianya tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak kami.

Pihak kami juga telah mengerahkan 1000 anggota “Orange Army” untuk mengesan dan mencari poster itu di media-media baru. Mana-mana poster yang dapat dikesan akan diminta untuk dipadamkan dan tidak diviralkan lagi.

Pihak kami juga sedang merancang untuk bertemu secara ‘in-person’ dengan Saudari Felixia dalam masa terdekat untuk menamatkan isu ini daripada berpanjangan.

Pihak kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu-individu yang telah menghubungi pihak kami untuk menawarkan diri menjadi model sukarela bagi poster kami. InshaAllah, hasrat dan niat murni ini akan kami jadikan inspirasi untuk terus berbakti bagi mendaulatkan Islam sebagai RAHMAT BUAT SEMUA.

Sekian, terima kasih.

AMANAH | PROGRESIF | PEDULI

Yang Menjalankan Amanah,

Adeysham Nor,
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka







------------------------





Takziah BUat Keluarga Morais, Kerajaan Dituntu Fokus Kepada Isu Keselamatan Rakyat - Sany Hamzan AMANAH



TAKZIAH BUAT KELUARGA MORAIS, KERAJAAN DITUNTUT FOKUS KEPADA ISU KESELAMATAN RAKYAT, TEGAS KETUA PEMUDA AMANAH, SANY HAMZAN

Negara hari ni dikejutkan dengan hasil siasatan terhadap misteri kehilangan Timbalan Pendakwaraya, mendiang Anthony Kevin Morais. Kalungan takziah diucapkan buat keluarga mangsa. Semoga keadilan terhadap mendiang akan tertegak sebaik penjenayah kejam ini dihadapkan ke mahkamah nanti.

Realitinya kini, kes pembunuhan kejam melibatkan pegawai kanan berprofil tinggi dalam agensi kerajaan tentunya menimbulkan pelbagai persepsi dan pandangan negatif terhadap tahap keselamatan awam di negara kita mutakhir ini.


Justeru, Pemuda AMANAH menuntut kerajaan Persekutuan untuk memberikan fokus yang menyeluruh terhadap isu-isu keselamatan rakyat. Polemik dan isu politik dalaman UMNO sebaiknya tidak menjadi faktor untuk kerajaan membelakangkan aspek penting yang menjadi keresahan rakyat kini.

Pemuda AMANAH juga menuntut satu tindakan pantas di peringkat kerajaan agar kejadian sebegini tidak berulang. Menyedihkan apabila negara kehilangan seorang tokoh yang dimaklumi rakan dan taulan sebagai seorang pegawai yang berintegriti tinggi terutama dlm bidang undang-undang.

Perjuangan Morais selama ini dalam membanteras jenayah amat tinggi nilainya dan pastinya sukar diganti. Komitmen mendiang dalam mengendalikan pendakwaan kes-kes rasuah harus mendapat pengiktirafan nasional. Pada hemat Pemuda AMANAH, mendiang wajar diangkat sebagai wira negara.

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH

AMANAH Pandang Serius Jenayah Bunuh Yang Sedang Berlaku - Salahuddin Ayub



KENYATAAN MEDIA

AMANAH PANDANG SERIUS JENAYAH BUNUH YANG SEDANG BERLAKU

www.harapanbaru.net


1. AMANAH memandang serius dengan suasana yang sedang berlaku di dalam Negara kita tentang kejadian jenayah bunuh yang bermotifkan politik dan ianya mengacam keselamatan negara kita ketika ini yang sewajarnya dipandang berat oleh pihak keselamatan kita.

2. Penemuan Timbalan Pendakwa Raya Kevin Anthony Morais daripada Jabatan Peguam Negara yang dibunuh kejam serta yang terbaru kejadian tembak seorang mangsa yang dipercayai berasal dari Felda Bukit, Kuantan di Restoran Aliff bersebelahan Berjaya Mengamall awal pagi ini.

3. Pihak Pasukan Keselamatan terutamanya Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan keselamatan kita berikutan kes-kes berprofil tinggi termasuk menggunakan senjata api yang kerap berlaku dan ianya adalah isu keselamatan yang perlu diambil tindakan tegas.

4. AMANAH mengharapkan agar seluruh rakyat bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dengan suasana yang sedang berlaku serta jaminan keselamatan adalah tanggungjawab besar bagi sesebuah kerajaan yang perlu diterjemahkan dengan tindakan yang sewajarnya.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
18 September 2015

Kenyataan Akhbar Tentang Persidangan Meja Bulat Buat Pakatan Baru Pembangkang - Mat Sabu



KENYATAAN AKHBAR TENTANG PERSIDANGAN MEJA BUAT PAKATAN BARU PEMBANGKANG

1. Ketika menyampaikan Pidato Presiden pada Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (AMANAH) di Shah Alam, kelmarin, saya telah menegaskan betapa keperluan pakatan baharu perlu diwujudkan dengan segera.

2. Di Malaysia, apabila kita memilih cara demokrasi dan pilihan raya untuk memperoleh kuasa atau menambah kekuatan di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, maka tidak ada jalan lain melainkan mengadakan pakatan politik dengan parti-parti lain.


3. Untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN), parti-parti politik yang lain tidak boleh bersendirian, kerana BN menguasai sepenuhnya jentera kerajaan, media dan sebagainya. Hanya kesatuan rakyat melalui pakatan parti-parti politik sahaja jalan terbaik untuk membuat perubahan, seperti yang pernah dicapai Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

4. Oleh itu, jemputan daripada Ketua Pembangkang Parlimen dan juga Presiden Parti Kedilan Rakyat, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail untuk diadakan sidang meja bulat membincangkan pembentukan pakatan baharu amat dialu-alukan.

5. Kami daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi komitmen penuh untuk hadir dan akan memberi pandangan-pandangan ke arah pembentukan pakatan baharu itu.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
18 September 2015

Recent Posts Widget

.

.