KENYATAAN MEDIA
PERTEMUAN AMANAH DENGAN PROF DR YUSUF AL QARADHAWI DAN PIMPINAN GERAKAN ISLAM
www.amanahnegara.org
1. Saya telah mengetuai misi antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH) ke Doha, Qatar dan Istanbul, Turki dari 13 hingga 18 Oktober lalu. Misi ini bertujuan untuk memperkenalkan AMANAH di peringkat antarabangsa khususnya gerakan Islam.
2. Bersama saya ialah Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin selaku Timbalan Penasihat Umum AMANAH yang juga Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof serta Bendahari Hj Asmuni Awi.
3. Semasa di Doha, Qatar pada 13 Oktober, kami telah mengadakan pertemuan dengan Prof Dr Ali Al-Qaradaghi selaku Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia. Pertemuan hampir dua jam itu antaranya adalah untuk memaklumkan mengapa AMANAH perlu wujud di persada politik tanah air. Perbincangan kami berlangsung dalam suasana amat mesra dengan saling bertukar pandangan dan memperjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan mengenai AMANAH.
4. Kami juga telah bertemu dengan Sheikh Dr Ibrahim Munir, Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin semasa di Istanbul, pada 16 Oktober. Di akhir pertemuan itu, beliau telah mencadangkan agar digerakkan usaha mencapai persefahaman dalam bidang siasah di kalangan parti politik termasuk PAS, agar politik Islam dapat diperkukuhkan di Malaysia khususnya dan dunia amnya.
5. YB Dato' Dr Mujahid Yusuf pula ketika dalam perjalanan pulang dari Istanbul telah bertemu sendiri dengan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi di Doha, Qatar pada 17 Oktober dengan membawa mesej yang sama. Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain daripada PAS. Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya. Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam.
6. Saya sebagai mewakili AMANAH menegaskan bahawa kami bersedia dan sentiasa terbuka untuk bertemu, dan komited untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kepentingan perjuangan Islam dan ummah seluruhnya.
8. AMANAH juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada tokoh-tokoh ulamak dan gerakan Islam tersohor dunia yang menunjukkan sikap terpuji dengan mengambil pendekatan terbuka, dan memberi peluang untuk berbincang dengan AMANAH dan bukan mengambil pendekatan mencerca ataupun menghukum sewenang-wenangnya.
"Harapan Baru"
SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden AMANAH
19 Oktober 2015
KENYATAAN MEDIA
GODAM NOMBOR TELEFON, TAKTIK KOTOR CUBA SEKAT KEMARAAN AMANAH
www.amanahnegara.org
1. Saya menerima beberapa laporan berkenaan dengan nombor telefon beberapa orang setiausaha AMANAH di peringkat negeri yang telah digodam dan digunakan untuk menghantar mesej palsu berkait keahlian dan penghinaan kepada pihak tertentu.
2. Setakat ini, ia melibatkan nombor telefon setiausaha AMANAH Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Perlis, Pahang dan Kelantan. Kesemua mereka hanya mengetahui hal ini selepas mendapat mesej balas dari penerima yang menghubungi mereka.
3. Bagi pihak Parti Amanah Negara, saya ingin menyatakan kekesalan terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang telah menggunakan taktik politik kotor. Kami tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan ini sebagai cubaan mengganggu dan menyekat gelombang penyertaan rakyat ke dalam parti AMANAH yang semakin pesat waktu ini khususnya di peringkat kawasan.
4. Kes sebegini bukan pertama kali berlaku. Sebagai sebuah parti baharu, kami sedar akan risiko yang terpaksa dihadapi dalam usaha memposisikan parti AMANAH di persada politik tanah air.
5. Saya ingin menegaskan bahawa, walau apa cara sekalipun digunakan untuk menyekat usaha kami, ia sama sekali tidak akan mematahkan semangat para petugas parti AMANAH untuk terus mendampingi rakyat.
6. Kepada ahli dan orang ramai, khususnya penerima mesej palsu itu, saya mengharapkan anda bersabar dan tidak mudah keliru dengan permainan politik jijik ini.
7. Pasukan teknikal AMANAH sedang menyiasat kes ini dan mereka yang nombornya terlibat digodam, dinasihatkan membuat laporan polis.
"Harapan Baru"
"Islam, Rahmat Untuk Semua"
HJ MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha
Parti Amanah Negara
18 Oktober 2015
KENYATAAN AKHBAR AMANAH MELAKA
Parti AMANAH Negara Negeri Melaka (Amanah Melaka) mengucapkan tahniah kepada kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana sepakat menubuhkan gabungan baharu yang diyakini membawa harapan baharu kepada kehidupan rakyat dan negara Malaysia.
AMANAH Melaka juga menghormati keputusan kepimpinan tertinggi yang mengarahkan setiap negeri menubuhkan Pakatan Harapan (PH) di negeri masing-masing.
Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan AMANAH Melaka yang bermesyuarat pada hari Khamis, 15 Oktober 2015 telah mengambil pendirian:
1. Memohon untuk menangguhkan penubuhan PH di peringkat Negeri Melaka
2. Penangguhan ini dipohon kerana AMANAH Melaka ingin mendapatkan kepastian tentang status parti sahabat PH yang mengadakan kerjasama dengan PAS: dalam masa yang sama PAS turut mengadakan kerjasama dengan Perkasa.
3. AMANAH Melaka merasakan bahawa keputusan mana-mana parti komponen PH untuk menjalin kerjasama dengan PAS yang mesra Perkasa perlu diperjelaskan kerana semua rakyat tahu bahawa Perkasa adalah NGO yang bersifat perkauman dan mendokong aspirasi Umno dalam perjuangannya. Malah, rata-rata pimpinan Perkasa adalah bekas pemimpin atau masih memegang jawatan di pelbagai peringkat dalam parti tersebut.
4. Sayugia diingatkan bahawa Perkasa telah banyak mengguris hati rakyat Malaysia dengan kenyataan dan tindakan bersifat perkauman melampau, di samping seringkali menyokong dasar pemerintahan Umno/BN yang merugikan rakyat.
5. Oleh hal yang demikian, AMANAH Melaka mengharapkan kepimpinan AMANAH Nasional dapat mempertimbangkan permohonan kami ini.
Sekian, terima kasih.
Hj Yuhaizad Abdullah
Setiausaha
AMANAH Melaka
KENYATAAN MEDIA
PENUBUHAN PAKATAN HARAPAN PERINGKAT NEGERI PERLU DIUTAMAKAN
www.amanahnegara.org
Kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat Nasional telah menerima permohonan dari Amanah Melaka berhubung penangguhan penubuhan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Negeri Melaka. Permohonan dan alasan sebalik penangguhan itu difahami dan bersama ini disertakan reaksi kami:-
1. Kepimpinan AMANAH peringkat Nasional telah memutuskan bahawa penubuhan PH perlu disegerakan demi mengisi kelompangan yang terhasil dengan terkuburnya Pakatan Rakyat. Ianya dianggap keperluan yang mendesak. Melalui penubuhan PH penyelarasan sikap dan tindakan parti-parti anggota dapat dicapai melalui perbincangan dan pertemuan secara rasmi. Kata sepakat dalam semua persoalan boleh seterusnya diusahakan.
2. Kerjasama antara PERKASA dan PAS tidak melibatkan mana-mana anggota PH. Penjelasan adalah wajar dipohon daripada PAS sendiri dan bukan daripada mana-mana parti anggota PH.
3. Kerjasama PAS dengan PERKASA adalah bukti perubahan yang telah berlaku dalam pendekatan PAS dan dengan itu menjadi hujah menyokong pembentukan AMANAH.
4. Wujudnya kerjasama ini adalah bukti wujudnya usaha mempopularkan gaya politik perkauman. Kecenderungan politik perkauman ini ditolak oleh PH. Oleh itu perlu dipercepatkan penubuhan PH di semua peringkat.
5. Maka dengan itu AMANAH Melaka adalah diarah untuk mengusahakan penubuhan PH Melaka supaya akan lebih berkesan dalam menangani trend politik perkauman dan masalah negara yang semakin meruncing.
6. Pada masa sama, pimpinan AMANAH di semua peringkat diingatkan supaya menghormati pendekatan berbeza anggota PH dan saling meyakini komitmen setiap anggota terhadap agenda perubahan dan pembaikan serta penolakan politik perkauman.
Sekian untuk pengetahuan dan tindakan pimpinan AMANAH di semua peringkat.
"Harapan Baru"
"Islam Rahmat Untuk Semua"
KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara
17 Oktober 2015
JANGAN SELEPAS INI PERKASA BUAT KUNJUNG HORMAT PEMIMPIN PAKATAN HARAPAN PULA
13 Oktober 2015 | Batu Kawan
PERKASA hanya buat kunjungan hormat kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja, pada hari ini.
Itu yang Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri tegaskan, sambil menafikan PAS ada kerjasama rasmi dengan pertubuhan pelampau PERKASA, yang diketuai Datuk Ibrahim Ali.
Walaupun begitu, AMANAH perlu mencari jalan supaya tiada kunjungan hormat daripada PERKASA pula untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin utama yang lain dalam Pakatan Harapan.
Ini kerana, usaha membawa masuk PAS ke dalam koliasi Pakatan Harapan masih berlaku, sehingga kini, dan niat itu cuba dimurnikan oleh pemimpin tertentu PAS sendiri.
Rakyat pasti akan bertanya, takkan Pakatan Harapan tidak boleh menerima kunjungan hormat daripada PERKASA suatu hari nanti, selepas PAS sendiri menerima kunjungan hormat pertubuhan pelampau itu sekarang.
Barangkali selepas ini, pemimpin AMANAH sendiri pun akan ditanya, bila lagi nak terima kunjungan hormat Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sekarang ini lantang menentang Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jangan ingat rakyat tuli dalam menilai Pakatan Harapan, khususnya AMANAH.
Kalau nak mementingkan "politik kekuasaan" macam PERKASA yang mesra dengan Umno dan PAS, majoriti rakyat akan pertikai integriti politik kita.
Sempena sambutan 1 Muharam 1437H ini, saya menyeru AMANAH memperkasa "politik nilai" seperti integriti, anti kezaliman, telus dengan rakyat.
Saya berharap Pakatan Harapan fokus pada agenda mengukuhkan sokongan rakyat, termasuk mengikat perjanjian politik dengan parti-parti anti kezaliman Umno BN dari Sabah dan Sarawak.
Pada masa yang sama, jangan lupa agenda membebaskan bakal Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seterusnya ke arah usaha menyelamatkan ekonomi negara.
Semarakan kefahaman rakyat bahawa Najib adalah pemimpin yang menindas semua rakyat, dan terbaru adalah isu kenaikan tol yang nyata membebankan rakyat terbanyak.
Saya yakin Pakatan Harapan lebih berwibawa tanpa anasir politik asabiah melampau tajaan Umno serta Perkasa.
AMANAH perlu terus mempertahankan "politik nilai" yang rakyat harapkan ini.
Semoga AMANAH, khususnya di Pulau Pinang boleh menggarap lagi sokongan rakyat terbanyak kepada Pakatan Harapan atas amalan "politik nilai", bersama-sama PKR dan DAP.
AMANAH perlu menggandakan usaha saling bekerjasama dengan PKR dan DAP atas nama Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang ke arah memupuk sokongan rakyat terbanyak, dari peringkat Negeri sehinggalah peringkat Parlimen, ADUN dan komuniti setempat. In sha Allah.
Salam Hijrah!
ZAINULFAQAR YAACOB
Pengarah Komunikasi
AMANAH Pulau Pinang
KENYATAAN MEDIA PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) BERHUBUNG KENYATAAN MEDIA MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN.
www.amanahnegara.org
Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan pada 11hb Oktober 2015 selepas sahaja selesai Mesyuarat Khas mereka. Bersama ini dikeluarkan respons AMANAH terhadap kenyataan media tersebut:-
1. AMANAH mengalu-alukan kenyataan media yang dikeluarkan pada 11hb Oktober oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan. Ianya menunjukkan sikap yang terus fokus terhadap usaha pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh dan bersatu demi menangani krisis ekonomi dan kepimpinan negara yang semakin mendesak.
2. AMANAH mengucapkan tahniah kepada saff kepimpinan Parti Keadilan Rakyat atas kemampuan mereka mencapai kata sepakat dalam suasana yang digambarkan begitu mencabar sehingga ada yang meramalkan PKR boleh berpecah dua. Ini adalah bukti akan kematangan dan kebijaksanaan saff kepimpinan PKR, di bawah DS Wan Azizah selaku Presidennya, dalam mengurus perbezaan pandangan.
3. AMANAH berpendirian bahawa pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh adalah antara keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara. Ini berpaksikan keyakinan bahawa kerajaan BN perlu digantikan dan oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak boleh dilengah-lengahkan. Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis negara yang semakin meruncing.
4. AMANAH mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan Harapan kepada semua yang berminat untuk menyertainya. Namun disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan Harapan sepertimana mereka telah berjaya terhadap Pakatan Rakyat. Setiap anggota Pakatan Harapan hendaklah kommitted kepada Pakatan Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan.
5. Ke arah ini AMANAH mengesyorkan supaya segera dibentuk Sekretariat dan Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya persoalan dasar bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk dipersetujui dan didukungi bersama. Amalan bermusyawwarah demi mencapai kata sepakat dalam menangani semua persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan.
Sekian terima kasih.
KHALID BIN ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara
12 Oktober 2015
Apa lagi yang PKR harapkan daripada PAS? – Faiz Fadzil
Pembentukan Pakatan Harapan pada 22 September 2015 antara parti pembangkang Amanah, PKR dan DAP adalah satu rahmat kepada rakyat Malaysia.
Agenda Barisan Nasional untuk melenyapkan permuafakatan pembangkang ternyata gagal walaupun Pakatan Rakyat terkubur setelah PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Sejarah menunjukkan BN boleh dijatuhkan dengan gabungan parti-parti pembangkang.
Sejarah juga menunjukkan parti-parti pembangkang kalah teruk dalam pilihan raya setelah gabungan berpecah. Inilah senjata yang paling digeruni BN. PAS secara 'sub-conscious' sanggup membiarkan dirinya dijadikan ejen kepada agenda BN untuk memecahkan PR.
PKR seharusnya terus istiqamah mengukuhkan PH dan bukannya terus mendambakan kerjasama dengan PAS. PAS sekarang yang bersifat takfiri seolah-olah mereka sahaja yang benar, sudah pasti tidak akan menganggap mana-mana pihak sebagai rakan. Bagi mereka, siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka, adalah musuh walaupun hakikatnya, kezaliman adalah musuh utama. Sedangkan, Allah mencegah kita daripada cenderung kepada kezaliman (surah Hud:113).
Namun, PAS sekarang bukan sahaja gagal melihat kezaliman sebagai musuh, bahkan sanggup membela kezaliman atas alasan demokrasi. Dalam keadaan rakyat dihimpit dengan tekanan ekonomi akibat GST dan kenaikan kos sara hidup serta amalan rasuah dan salahguna kuasa pemimpin kerajaan terutama perdana menteri, PAS tidak menyokong usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap perdana menteri. Tindakan ini seharusnya dijadikan kayu pengukur, PAS mempunyai agenda perjuangan yang berbeza dengan rakyat dan PH. Malahan, agenda perjuangan PAS juga sekarang kabur umpama jerebu.
PAS kini yang dipimpin presiden yang sama mempunyai sejarah mengkhianati PKR. Watikah pencalonan PAS di dalam 5 kerusi yang ditandingi PKR ditandatangani beliau sendiri. Pengkhianatan terus dilakukan apabila beliau menolak persetujuan yang dicapai PR untuk mencalonkan Datin Seri Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.
Pengkhianatan terbesar dilakukan apabila beliau menolak untuk mengarahkan ahli PAS hadir ke Mahkamah Persekutuan untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat 2 walaupun menyedari Anwar difitnah dan dizalimi. Jelas, PAS cukup istiqamah mengkhianati rakan dan perjuangan.
PKR perlu mematuhi pesanan Rasulullah S.A.W., umat Islam dilarang untuk dipatuk ular dalam lubang yang sama dua kali.
Bersediakah PKR untuk dikhianati lagi PAS. Apakah jaminan PAS akan komited untuk mengelak pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi PKR? Adakah PAS bersetuju untuk menerima Anwar sebagai calon perdana menteri walaupun sedar mereka tidak mampu mencadangkan calon yang setanding Anwar? Adakah PAS akan menjunjung persetujuan untuk berpegang kepada dasar bersama yang akan dirangka?
Mengukuhkah PH adalah pilihan terbaik dan efisyen berbanding asyik mengajak PAS untuk bersama PH sedangkan PAS menolaknya. Sedarlah yang mempertahankan PR dahulu adalah pimpinan Parti Amanah Negara sekarang. PAS mampu menabur pasir ke dalam periuk nasi dan kesannya PH akan dihukum rakyat jika ia berlaku menjelang pilihan raya umum kelak jika PAS bertindak di luar dasar bersama atau bertindak bertentangan dengan perjanjian yang dibuat.
Masa untuk rakyat menghadapi PRU ke 14 semakin hampir. Sekarang adalah masa untuk PH mengukuhkan perpaduan di antara semua parti koalisi ini di semua peringkat. Sekarang adalah masa untuk PH menyiapkan dasar bersama. Logo yang satu bagi PH hendaklah dirangka segera bagi mendapat kelulusan segera daripada ROS.
Jangan biarkan virus kemarahan rakyat kepada PAS berjangkit kepada PKR. Jikalau PH rapuh, BN akan terus berkuasa, rakyat akan terus merana kerana ditipu lagi.
Usahlah yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
Membujur lalu melintang patah, menjatuhkan BN memerlukan pasukan PH yang kukuh, kuat dan berdaya saing.
PAS akan terus istiqamah dengan pengkhianatan, jadi apa lagi yang PKR harapkan?
– 11 Oktober, 2015.