KENYATAAN MEDIA
GANTUNG WAKIL RAKYAT TIDAK MENYELESAIKAN PERSOALAN 1MDB
1. Pemuda AMANAH Nasional melahirkan rasa dukacita atas tindakan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Gelang Patah, YB Lim Kit Siang. Penggantungan sebagai ahli Dewan Rakyat selama 6 bulan adalah keterlaluan dan mencemar perjalanan demokrasi berparlimen negara ini.
2. Penasihat DAP itu hanya melakukan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat untuk mempersoalkan kebrobrokan dan skandal yang berlaku melibatkan kepentingan rakyat termasuklah isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
3. Skandal 1MDB bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng memandangkan ia telah menjadi isu yang hangat diperbual serta dipertikaikan, bukan sahaja di dalam negara, hatta di seluruh dunia. Isu ini seolah-olah tidak diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan untuk memperjelaskan perkara yang sebenar.
4. Parlimen adalah platform check and balance (semak dan imbang), wakil rakyat berhak meminta penjelasan secara terperinci berhubung apa jua perkara dan pihak kerajaan wajib serta bertanggungjawab untuk menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan.
5. Sewajarnya semua pihak terutama wakil rakyat yang bertanggungjawab mengundi usul penggantungan tersebut memikirkan perkara yang lebih besar iaitu apa yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang. Perkara-perkara di sudut teknikal tidak sepatutnya diperhangatkan hingga menenggelamkan isu asas yang lebih utama.
6. Anak muda kini cakna kepada perkembangan negara, apabila berlakunya tindakan ke atas wakil rakyat disebabkan membawa aspirasi rakyat, kelompok ini sangat gusar dan menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara seperti ini.
7. Kami sangat berharap agar isu 1MDB diberikan ruang yang secukupnya di dalam Dewan Rakyat agar ke semua wakil rakyat dapat membahaskan secara terperinci seterusnya dijelaskan oleh pihak kerajaan.
#HarapanBaru
#IslamRahmatUntuk Semua
USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Naib Ketua,
Pemuda AMANAH Nasional
23 Oktober 2015
RESOLUSI SIDANG ANAK MUDA – “WISHLIST” BAJET 2016
Sidang Anak Muda berkenaan Bajet 2016 yang telah berlangsung pada 20 Oktober 2015, telah bersetuju untuk mengemukakan 9 desakan berikut kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak:
1) Kerajaan perlu mengambil langkah segera mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam usaha mengurangkan beban hutang negara, terutama dengan adanya hasil tambahan GST.
2) Inisiatif perlu dimulakan di setiap peringkat untuk membangun model ekonomi baru yang tidak hanya menjadikan wang dan pertumbuhan material sebagai kayu ukur; sebaliknya didasarkan atas nilai-nilai Islam contohnya dengan memberi insentif untuk mengembangkan institusi waqaf.
3) Anak muda mahukan budaya kolektif dan kerjasama serta menolak budaya individualistik dan kronisme yang diakibatkan oleh perlumbaan mengejar pertumbuhan ekonomi yang pesat.
4) Kerajaan perlu serius untuk memastikan pendidikan yang berkualiti dan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat; pendidikan yang diharapkan adalah pendidikan yang mampu milik dengan kualiti yang bertaraf antarabangsa.
5) Tumpuan perlu diberi kepada pembangunan keluarga muda secara menyeluruh, dengan melihat aspek memulakan perkahwinan, pemilikan rumah, kos kesihatan dan kos hidup harian.
6) Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar perlu dirapatkan untuk mengelakkan masalah pembangunan tertumpu di Lembah Klang.
7) Kerajaan perlu merangka polisi, membuat pelan tindakan dan memberi peruntukan untuk memastikan kualiti alam sekitar tidak diabaikan dalam usaha pembangunan yang pesat; tumpuan perlu diberi kepada masalah kualiti udara, pembuangan sampah yang dan lain-lain masalah alam sekitar yang berkaitan.
8) Kerajaan perlu merancang polisi jangka panjang untuk membina masyarakat yang berdikari, berkeusahawanan dan tidak terlalu bergantung pada kerajaan.
9) Kerajaan wajar memberi peruntukan kepada pembangunan pendidikan ekonomi dan kewangan untuk melahirkan generasi yang celik ekonomi dan bebas daripada masalah pengurusan kewangan.
PEMUDA AMANAH NASIONAL
22 Oktober 2015
www.amanahnegara.org
APAKAH KEWAJARAN MAHB MENANGGUNG KOS BAIKPULIH KEROSAKAN KLIA2 SEBANYAK RM76.5 JUTA?
oleh Faiz Fazdil
KLIA2 yang telah digunakan sejak Mei 2014 walaupun dibina untuk kemudahan awam merupakan satu lagi projek mega kerajaan yang tidak seharusnya menelan belanja yang melampau tinggi dalam keadaan ekonomi negara yang meleset dan bebanan kos sara hidup yang begitu tinggi. Laporan juga menyebut bahawa kos asal pembinaan sebanyak RM1.7 billion telah meningkat kepada RM3.9 biliion.
Tidak cukup dengan kos pembinaan yang terlalu tinggi, kos pembaikan juga telah menelan belanja sebanyak RM76.5 juta. Kerosakan yang berlaku dilaporkan melibatkan mendapan di parkir apron, takungan air di 'taxiway' dan landasan serta retakan di bangunan terminal.
Kenapakah kualiti pembinaan tidak sempurna dan bebas daripada kerosakan, sedangkan kos pembinaan terlalu tinggi? Tidak sewajarnya wujud kerja baikpulih yang begitu substantif. Yang mengelirukan adalah kenapa MAHB yang perlu menanggung kos baikpulih, sedangkan dalam amalan biasa kontrak pembinaan, kontraktor yang perlu membaikpulih sebarang kerosakan jika ia berlaku dalam tempoh tanggungan kecacatan.
Jika kontraktor enggan membaiki kerosakan, barulah MAHB boleh menanggung kos baikpulih, tetapi kosnya tetap akan dipotong daripada wang tahanan kontraktor. Namun, jika tempoh tanggungan kecacatan telah tamat, pihak MAHB masih mempunyai remedi melalui tort kecuaian sepertimana yang berlaku dalam kes Highland Towers.
Maka timbul persoalan kenapakah harus MAHB yang perlu menanggung kos baikpulih sebanyak itu? Adakah kos tersebut benar-benar berpadanan dengan kerosakan yang berlaku? Siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan kerosakan yang begitu substantif, samaada pihak MAHB, kontraktor atau konsultan? Apakah pihak MAHB akan mengambil tindakan terhadap kontraktor atau konsultan yang berkaitan? Mengapakah wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya bagi manfaat pihak-pihak tertentu memandangkan MAHB adalah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC)? Adakah wujud apa-apa unsur jenayah rasuah, pecah amanah atau penyelewengan dalam pembinaan dan pembaikan yang menelan belanja begitu tinggi?
Maka, laporan audit yang segera dan menyeluruh amat penting bagi menjelaskan persoalan-persoalan ini. Siasatan menyeluruh dan bebas oleh pihak SPRM juga amat penting bagi menyiasat isu kos pembinaan dan pembaikan yang amat tinggi ini. Kerajaan perlu telus dalam isu-isu yang melibatkan penggunaan wang rakyat.
Apatah lagi, kerosakan yang berlaku melibatkan keselamatan pekerja dan pengguna di KLIA2 yang merupakan 'stakeholder' di pusat perkhidmatan awam tersebut. Integriti dan kredibiliti pentadbiran negara perlu dipertingkatkan memandangkan negara sedang dilanda dengan pelbagai skandal kewangan termasuk 1MDB yang mendapat perhatian masyarakat luar yang boleh menjejaskan lagi nilai matawang.
Cukuplah rakyat menderita akibat ketidakcekapan dan ketidaktelusan pentadbiran negara pada hari ini.
Ucapan YB Ketua Pembangkang di Majlis Pelancaran Belanjawan Pakatan Harapan 2016
Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis,
Barisan pimpinan parti KEADILAN, DAP dan Amanah,
Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
1. Izinkan saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Belanjawan Negara Pakatan Harapan yang telah bertungkus-lumus merangka dan seterusnya menerbitkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016 ini. Kerjasama berterusan di antara pakar-pakar dalam beberapa bidang ekonomi daripada parti Keadilan, DAP dan Amanah ternyata telah berjaya memastikan penghasilan dokumen Belanjawan ini.
2. Saya amat berharap agar komitmen dan semangat kesatuan yang diamalkan oleh pasukan Belanjawan ini dapat terus dipupuk dan dicontohi di dalam segala kerjasama bersama kesemua parti-parti komponen dalam keluarga besar Pakatan Harapan. Kerjasama dan kesatuan yang erat ini akan memastikan kejayaan kita berdepan dengan kerajaan Barisan Nasional, seterusnya mengukuhkan keyakinan rakyat akan kebolehan kita merangka dasar-dasar utama negara seperti Belanjawan Negara ini.
3. Terlebih dahulu kita harus sedar bahawa Maqasid atau tujuan Belanjawan adalah untuk merancang dan merangka kutipan Hasil Pendapatan Kerajaan dan Perbelanjaan Kerajaan untuk mencapai Pembangunan Sosio-Ekonomi yang mampan dan inklusif (sustainable and inclusive socio-economic development).
4. Ia mesti berpandukan kepentingan bersama memenuhi prinsip keadilan sosial (social justice) dan mengambil kira keutamaan (priority) dan penyesuaian (adjustment) sesuai dengan realiti ekonomi global semasa untuk:
terus membina keupayaan ekonomi negara untuk berdaya-saing (competitiveness capacity building) terus memperkukuhkan daya ketahanan ekonomi (economic resilience) untuk menghadapai cabaran ekonomi global yang tidak menentu mengurangkan jurang atau kesenjangan pendapatan dan kekayaan rakyat (reduce income and wealth inequality).
5. Selaras dengan itu, pelaksanaan segala perancangan pembangunan sosio-ekonomi mesti berpaksikan Tata Kelola Urus Tadbir Baik dengan Timbang Tara dengan penuh adil, bertindak professional dan amanah (Good Governance with Check and Balances based on fairness, professionalism and integrity)
6. Kita wajib melaksanakan reformasi politik dan ekonomi yang menyeluruh agar kita tidak kekal dengan ‘status quo’ yang terus memerangkap negara dalam ekonomi berpendapatan menengah sahaja. Satu pendekatan reformasi politik dan ekonomi baru dapat dilihat di dalam konsep Agenda Ekonomi Malaysia atau Malaysia Economic Agenda (MEA-2008).
7. Agenda Ekonomi Malaysia (MEA-Malaysia Economic Agenda) dilancarkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2008 sebagai kenyataan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi membangunkan negara secara mampan dan inklusif. Dasar-dasar ini telah mendahalui Model Ekonomi Baru (NEM-New Economic Model dan Economic Transformation Program - 2010) yang dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional.
8. Malaysian Economic Agenda (MEA -2008) sudah pun mengenal pasti matlamat dan halatuju dalam membentuk negara maju dan berpendapatan tinggi. Hal ini termasuklah menggariskan strategi utama serta mengenal pasti halangan-halangan struktural kepada pembangunan negara secara jelas dan jitu.
9. Pasca-1998 selepas krisis ekonomi Asia 1997, menyaksikan unjuran trajektori pertumbuhan KDNK 9.4% tersasar dan jatuh merudum ke paras unjuran kadar pertumbuhan purata 5.7% setahun sehingga sekarang. Satu anjakan regresif telah berlaku dan berterusan sehingga ke hari ini. Malah unjuran pertumbuhan KDNK ETP juga gagal mencapai kadar purata 6% setahun yang diperlukan untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
10. Defisit Fiskal kita pula sudah berlanjutan 18 tahun semenjak 1998. Ini juga memperlihatkan hutang kerajaan menghampiri 54% KDNK. Namun, ini tidak termasuk ‘contingent liability’ yakni hutang yang dijamin kerajaan jika diambil kira meletakkan beban hutang melebihi 70% KDNK.
11. Pelaburan Asing atau FDI juga mendatar. Purata pelaburan sebagai peratusan KDNK (investment per GDP) sebanyak 42.32% pada 1994-1997 berbanding purata 25% sahaja dari 2010-2014. Ini perlu diubah dengan meningkatkan daya tarikan pelaburan luar negara oleh warga asing dan kemasukan kembali pelaburan dari luar negara (capital return) yang dimiliki rakyat Malaysia. Tanpa pertambahan pelaburan, potensi pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas.
12. Justeru itu, sebagai permulaan analisa masa depan ekonomi negara, kita harus ‘muhasabah’ yakni menilai kembali dan belajar daripada sejarah mengenai kelemahan pengurusan sosio-ekonomi semenjak merdeka. Segala pencapaian ekonomi negara apabila diukur daripada kekayaan sumber asli dan sumber manusia adalah dibawah paras potensi yang mampu (underperforming economic potential).
13. Prestasi di bawah paras potensi boleh dinilai daripada ‘Jurang-KDNK’ (GDP-Gap) berbanding beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura seperti yang pernah dihuraikan mantan Ketua Pembangkang Saudara Anwar Ibrahim dalam Agenda Ekonomi Malaysia (Malaysia Economic Agenda) pada 2008.
14. Contoh jurang KDNK antara Malaysia dan Korea Selatan di mana pada tahun 1970 KDNK adalah hampir setaraf. Malah Malaysia dengan KDNK per kapita sebanyak USD 400 mengatasi Korea Selatan dengan USD270. Tetapi pada hari ini kita telah jauh ketinggalan apabila untuk 2014 Korea Selatan yang tiada sumber asli seperti petroleum mendahului Malaysia sebanyak USD26,205 berbanding USD10,060; iaitu melebihi 260 peratus atau 2.6 kali ganda. Bila dibandingkan dengan KDNK per kapita Singapura USD 56,319, ia melebihi kita sebanyak 500% atau 5 kali ganda.
15. Ini yang maksudkan oleh saya didalam Ucapan Perbahasan RMK-11 bahawa kita sudah mengalami ‘Kehilangan Potensi KDNK Malaysia’ (Malaysia GDP Potential Loss) sebanyak 500 peratus. Maka kita boleh andaikan bahawa, KDNK per kapita rakyat Malaysia sepatutnya adalah USD50,000 dan bukan USD10,060 sekarang.
16. Analisa pembangunan sosial pula menyaksikan kesenjangan pendapatan dan kekayaan masih melebar. Indeks atau Pekali GINI Pendapatan pada 0.401, GINI Kekayaan pada 0.518 dan GINI Aset Kewangan pada 0.90 menjadi pengukur bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan pembangunan negara lebih inklusif dan bukan eksklusif yang menguntungkan segelintir kecil rakyat sahaja.
17. Apabila 3.85 juta isi rumah hanya memperolehi pendapatan purata bawah RM4,000 sebulan dengan kadar hutang isi rumah negara mencapai 86% KDNK mencecah lebih RM900 billion dan peratusan gaji pekerja hanya 32% KDNK (berbanding 43% KDNK Korea Selatan dan 41% KDNK Singapura) adalah menjadi petanda pendekataan sedia ada atau ‘business as usual’ tidak boleh diteruskan.
18. Oleh demikian, usaha merangka belanjawan jelas menunjukkan bahawa cabaran besar adalah bukan untuk merangka dasar, strategi serta perancangan pembangunan sosio-ekonomi sebuah negara tetapi adalah dari faktor pendekatan pelaksanaan.
19. Cabaran dan kunci kejayaan terletak kepada pelaksanaan dasar serta strategi dan perancangan yang bergantung kepada dua (2) prinsip asas yang membezakan pendekatan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional iaitu: Pertama, perlu wujud tata kelola urus tadbir baik (Good Governance), ketelusan (Transparency), akauntabiliti (Accountability) dan kejujuran (Honesty). Kedua, perlu dipandu Prinsip Keadilan Sosial (Social Justice).
20. Tanpa wujudnya prinsip asas seperti Tata Kelola Urus Tadbir Baik, Ketelusan, Akauntabiliti dan Kejujuran; akhirnya negara ini berdepan dengan krisis seperti 1MDB dan ketirisan sumber kewangan negara yang melampau.
21. Tanpa Keadilan Sosial untuk mengatasi kesenjangan pendapatan dan kekayaan; kita akan terus menerima BR1M yang tidak mampu merapatkan kesenjangan pendapatan dan kekayaan majoriti tanpa penstrukturan ekonomi berkesan untuk meningkatkan pendapatan secara mampan.
22. Justeru, perbezaan pendekatan perancangan dan pelaksanaan (planning and implementation) di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ini menjadi faktor penentu utama mencapai status negara maju yang dinikmati semua dan bukan hanya segelintir rakyat.
23. Bilamana keadaan ekonomi negara dengan defisit fiskal saban tahun semenjak 1998 menuntut pengurusan ekonomi yang lebih baik. Pendekatan yang diambil Pakatan Harapan dalam merangka Belanjawan ini adalah untuk memastikan agar negara mempunyai ketahanan ekonomi (economic resilience) yang lebih baik dalam mengharungi rencam ekonomi dunia yang penuh ketakpastian. Keadaan ini ditambah lagi dengan norma baru penyusutan harga minyak mentah dunia yang bakal memberikan dampak negatif kepada pendapatan komoditi negara pada tahun 2016.
24. Kemelut politik semasa yang penuh dengan beberapa ‘mega-scandals’ juga menuntut penyelesaian segera untuk mengembalikan keyakinan para pelabur tempatan dan asing. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, nilai ringgit dan penarafan kedaulatan negara (sovereign rating) akan terus terjejas dan boleh mengheret negara ke jurang kemelesatan ekonomi.
25. Pada hemat saya, tidak wajar sekiranya rakyat terbanyak dipaksa untuk menanggung kesilapan dan kecuaian pihak kerajaan ini menerusi langkah-langkah seperti GST 6% dan kenaikan kadar tol. Sebaliknya, dalam kemurungan ekonomi dunia kini, ekonomi domestik harus dirancakkan untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan.
26. Belanjawan yang memberikan tumpuan kepada pembinaan ketahanan ekonomi negara adalah bertepatan dengan objektif menyelamatkan Malaysia daripada terus terdedah kepada risiko kemelesetan ekonomi yang berkekalan. Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa langkah penyelesaian segera di dalam belanjawan ini.
27. Di antara langkah segera untuk memulihkan keyakinan pelabur adalah menyelesaikan skandal 1MDB dengan menutup syarikat ini dan mengheret individu-individu yang berkaitan ke muka pengadilan. Portfolio Menteri Kewangan juga tidak boleh terus dikuasai oleh individu yang juga Perdana Menteri. Kami juga menggesa agar perkhidmatan Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara disambung untuk tempoh dua tahun lagi.
28. Pakatan Harapan juga menyarankan agar reformasi Institusi Perundangan, Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah terus dilaksanakan untuk memastikan kebebasan institusi-institusi ini dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada mereka dengan lebih berkesan. Ini akan memastikan segala ketirisan kewangan dan rasuah yang saban tahun dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara boleh diatasi dengan berkesan, seterusnya menjamin penjimatan kewangan negara yang boleh disalurkan kembali menerusi lebih banyak program pembangunan untuk rakyat.
29. Pakatan Harapan mencadangkan penghapusan GST dalam belanjawan alternatif ini untuk merangsang pengembangan ekonomi domestik. Walaupun pendapatan negara bakal terkesan dengan penghapusan GST, kami yakin dengan pendekatan perbelanjaan berhemah, dan penjimatan daripada ketirisan dan rasuah, akan membolehkan belanjawan kami mencatatkan defisit 2.42% pada 2016 berbanding defisit 3% unjuran pihak kerajaan.
30. Di samping itu, Pakatan Harapan juga mencadangkan beberapa langkah penstrukturan semula tahap cukai pendapatan untuk mengurangkan bebanan pembayar cukai kelas rendah dan menengah.
31. Pakatan Harapan menekankan bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar Jadual 10 Bahagian 4 Perlembagaan Malaysia mengenai Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak, contohnya, pemberian khas setiap tahun yang berjumlah 2/5 daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh kerajaan persekutuan dari Sabah. Walaupun Jadual tersebut telah menetapkan kadar 2/5, atau 40%, sebagai jumlah dari hasil bersih kepada Sabah, ia tidak pernah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Justeru, Pakatan Harapan berpendapat bahawa kerajaan Barisan Nasional telah gagal mengimplementasikan Jadual 10 dan, secara tidak langsung, tidak berpegang teguh pada Perjanjian Malaysia 1963, yang jikalau ditepati, dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Sabah.
32.Keupayaan tenaga kerja tempatan, wanita dan penduduk luar bandar juga perlu ditingkatkan bagi mengurangkan kesenjangan pendapatan yang semakin meruncing di antara kaum dan juga; di antara penduduk Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak. Dalam belanjawan ini, Pakatan Harapan mencadangkan agar sebahagian daripada 20% royalti minyak dan gas Sabah dan Sarawak diuruskan menerusi suatu endowment fund yang bukan sahaja menyumbang kepada keperluan pembangunan jangka pendek seperti akses kepada elektrik, air bersih dan internet, tetapi juga melibatkan diri dalam beberapa pelaburan strategik untuk keperluan dana jangka panjang.
33. Pakatan Harapan menyarankan agar Skim Subsidi Harga Beras (Rice Price Subsidy, RPS) dihapuskan dan Skim Subsidi Harga Padi (Paddy Price Subsidy, PPS) distruktur semula untuk menaikkan pendapatan para petani padi dan juga menggalakkan penyertaan lebih ramai gologan muda ke dalam industri penting ini. Langkah-langkah ini penting untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih berkesan kepada golongan sasar di seluruh negara dan bukan dikecapi oleh beberapa orang kroni politik sahaja.
34. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016. Terima kasih
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN
21 Oktober 2016
KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH JASIN, MELAKA
21 OKTOBER 2015
Pengharaman Menubuhkan Parti Islam Baru Di Malaysia oleh Dr Yusuf Al Qaradhawi: Mohon Dedahkan Surat Penjelasan Presiden PAS dan Catatan Setiausaha Dr Yusuf Al Qaradhawi.
1) Pemuda Amanah Jasin telah pun menonton video viral Presiden PAS yang menceritakan tentang haramnya hukum menubuhkan parti Islam baru di Malaysia yang telah disandarkan kepada Dr Yusuf Al Qaradhawi.
2) Kami melihat kenyataan Presiden PAS itu seperti bercanggah dengan pendapat Dr Yusuf Al Qardhawi sebelum ini kerana terdapat banyak kitab-kitab beliau yang menceritakan tentang keharusan hukum menubuhkan parti Islam yang lain. Malah Dr Yusuf Al Qardhawi juga menganggap kepelbagaian parti ini seperti kepelbagaian mazhab dalam fiqh.
3) Tulisan dan hujah-hujah ini boleh dirujuk dalam kitab beliau seperti kitab Fiqh Ikhtilaf, Fiqh Daulah serta artikel yang lain.
4) Kami berpendapat, kenyataan oleh Presiden PAS itu boleh mendatangkan persepsi yang buruk kepada rakyat Malaysia terhadap Parti Amanah Negara kerana ianya melibatkan soal halal-haram dan sebagaimana yang kita sedia maklum, perkara haram ini hukumnya berdosa dan boleh mendatangkan implikasi yang besar kepada amalan & juga pegangan umat Islam.
5) Justeru itu, kami memohon kepada Presiden PAS supaya menunjukkan surat penjelasan yang telah dihantar kepada Dr Yusuf Al Qaradhawi itu supaya umat Islam di negara ini amnya dan para ilmuan Islam khususnya dapat menilai setiap penjelasan yang telah diberikan itu.
6) Kami juga memohon agar catatan Setiausaha Dr Yusuf Al Qardhawi juga dapat ditunjukkan bersama supaya pihak kami dapat mengetahui dalil & sebab haramnya penubuhan parti Islam AMANAH.
7) Pemuda Amanah Jasin dengan ini mengambil pendirian untuk tidak membalas sebarang komen mengenai kenyataan Presiden PAS itu sehingga beliau mendedahkan dokumen-dokumen tersebut.
Sekian, terima kasih.
Adeysham Nor
Ketua,
Pemuda AMANAH Jasin, Melaka.
KENYATAAN MEDIA
AMANAH DI PERSADA ANTARABANGSA
www.amanahnegara.org
1. Misi antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH) mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan tokoh-tokoh gerakan Islam adalah bertujuan untuk memposisi peranannya sebagai sebuah parti Islam di peringkat antarabangsa.
AMANAH mahu bersama-sama dengan semua badan dan gerakan antarabangsa memperjuangkan isu keadilan dan kemanusiaan serta menentang kezaliman yang dihadapi masyarakat dunia dewasa ini.
2. AMANAH telah memberikan komitmen untuk sentiasa menyumbang dan berperanan di dalam mana-mana persidangan antarabangsa sama ada dalam isu kemanusiaan, keadilan mahupun alam sekitar.
3. Kewajaran kewujudan AMANAH akan dibuktikan melalui peranannya dan kegigihannya dalam memperjuangkan Islam sebagai paksi keadilan dan kerahmatan. Tidak timbul sama sekali isu pengiktirafan oleh mana-mana golongan atau individu.
4. Oleh yang demikian AMANAH akan terus melebarkan pengaruhnya di peringkat nasional dan antarabangsa, bersesuaian dengan pendekatan Islam yang mempamerkan wajah rahmat untuk semua.
"Dan katakan (kepada mereka), berkerjalah! Akan Allah lihat kerja kamu dan juga RasulNya dan orang-orang beriman..." (At-Taubah 105).
"Harapan Baru"
SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden AMANAH
21 Oktober 2015
Kenyataan Akhbar
Pemuda AMANAH Nasional
20 OKTOBER 2015
WAJIB SOKONG USUL DEMI SELAMATKAN NEGARA
1. Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat adalah tepat dan sejajar dengan perkembangan mutakhir ini.
2. Kami menyambut baik usul tersebut dalam usaha menyelamatkan negara daripada terus 'dirosakkan' oleh BN dibawah pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Usul ini sangat penting kepada negara yang sedang berada dalam keadaan yang sangat tenat setelah menyaksikan Najib selaku ketua kerajaan gagal memimpin negara dengan bersih dan amanah.
3. Pentadbirannya menyaksikan berlaku pelbagai skandal besar terutama berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan sejumlah wang negara dengan nilai begitu besar. Kerajaan pimpinan Najib juga telah gagal meguruskan ekonomi Malaysia hingga berada di tahap cukup membimbangkan.
4. Najib telah mengheret kegagalannya ke atas rakyat, ini termasuklah dengan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kos sara hidup di semua kelompok rakyat meningkat. Ditambah lagi dengan kenaikan harga bahan bakar petroleum yang seolah-olah menjadi rutin bulanan.
5. Ada yang berpandangan, Najib tidak sepatutnya diseru meletakkan jawatan sebaliknya wajar menghadap rakyat di dalam pilihan raya umum yang akan datang. Kami turut menyokong agar beliau dihukum dan diadili melalui pilihan raya namun dalam suasana yang cukup kritikal seperti sekarang ini, usaha mendesak Najib meletakkan jawatan wajar disokong.
6. Jika dibiarkan Najib terus berkuasa, kami sangat risau ekonomi dan urus tadbir negara akan sampai satu tahap yang cukup teruk seterusnya rakyat terpaksa menanggung bebanan tersebut. Dalam keadaan ini, kami lebih memikirkan nasib yang akan dan terpaksa ditanggung oleh rakyat sekiranya Najib terus berkuasa.
7. Pengunduran Najib sangat penting dalam menyelamatkan negara. Tempoh untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang masih jauh, tidak mustahil keadaan akan menjadi semakin meruncing sekiranya Najib dibiarkan terus 'bermaharaja lela'.
8. Oleh yang demikian, kami menyeru dan merayu kepada seluruh wakil rakyat terutama wakil rakyat kerajaan agar menyokong usul yang akan dikemukakan. Fikirkan masa depan negara dan kesejahteraan rakyat melebihi segala-galanya. Kasihanilah rakyat di kawasan masing-masing yang sedang bergelut melalui kehidupan seharian dengan penuh bebanan!
#HarapanBaru
#IslamRahmatUntukSemua
USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Naib Ketua,
Pemuda AMANAH Nasional