KENYATAAN MEDIA
PERUTUSAN TAKZIAH PRESIDEN KEADILAN
Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Allahummaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fu 'anhum.
Saya amat berdukacita menerima berita kemalangan kren yang tumbang di Masjidil Haram pada 11 September 2015 yang telah meragut lebih 100 nyawa, termasuk 5 orang warga Malaysia:
- Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan
- Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan
- Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan
- Rusiah Suar, 56, dari Felda Besout 2, Perak
- Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor
Bagi pihak KEADILAN, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa tragedi ini. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan Ilahi.
Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kesemua petugas Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia yang telah bekerja bertungkus-lumus untuk mengenalpasti jenazah serta memastikan semua warga Malaysia yang sedang mengerjakan haji selamat.
Marilah kita sedekahkan al-Fatihah buat mangsa-mangsa kejadian ini. Semoga Allah SWT menempatkan roh mereka di kalangan orang-orang yang beriman.
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
14 September 2015
Dato Seri Anwar Ibrahim terus Dinafikan Hak Rawatan Perubatan, Perlukan Pembedahan Segera.
Hari ini adalah hari ke 218 bapa kami, Dato Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sebagai tahanan politik Malaysia.
Kami berasa amat kecewa dengan layanan buruk, serta sikap acuh tidak acuh kerajaan dalam memberikan rawatan perubatan yang diperlukan Dato Seri Anwar, yang menjadi bertambah buruk semenjak dipenjarakan pada 10 Februari 2015. Beliau telah mengadu berkenaan kesakitan yang dialami di bahu kanan beliau semenjak Mac 2015. Sehingga kini beliau masih lagi tidak mendapat rawatan, dan kesakitan beliau itu telahpun merebak ke kedua-dua belah bahu beliau.
Semalam, kami telah menemui bapa kami, dalam pertemuan berjadual tiga minggu sekali di Penjara Sungai Buloh.
Kami amat terkesan dan bimbang, apabila kami diberitahu yang Dato’ Seri Anwar memerlukan pembedahan segera.
Pilihan yang diberikan oleh pakar-pakar yang telah memeriksa beliau adalah samada pembedahan-mikro, ataupun pembedahan penggantian bahu. Menurut pakar-pakar tersebut, alternatif lain seperti suntikan steroid tidak memadai; dan fisioterapi dan ubat tahan sakit yang lain tidak mungkin dilakukan dalam penjara, sepertimana yang berlaku pada Dato’ Seri Anwar.
Dengan cadangan-cadangan yang begitu jelas, kami sekeras-kerasnya mengutuk keengganan Dato Dr Jeyaindran Sinnadurai membenarkan kemasukan Dato’ Seri Anwar ke hospital. Keluarga kami juga tidak mendapat apa-apa penjelasan berkenaan dengan keadaan kesihatan DSAI oleh panel doktor yang terlibat dalam rawatan perubatan beliau.
Dr Jeyaindran merupakan doktor yang menyusun keperluan perubatan Dato’ Seri Anwar semasa pemenjaraan beliau diantara 1998 dan 2004. Beliau juga merupakan saksi utama pendakwa dalam kes Fitnah 2, dan merupakan doktor peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Jumaat lepas, keluarga kami telah memohon bantuan daripada Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato Noor Hisham Abdullah untuk mempercepatkan rawatan yang diperlukan oleh Dato’ Seri Anwar.
Kami amat kecewa sekali apabila mendapati beliau menggunakan laporan yang berusia 3 bulan yang lepas dan cadangan yang disediakan oleh Dr Jeyaindran.
Secara am, Dr Jeya menyarankan Dato’ Seri Anwar hanya memerlukan fisioterapi intensif dan ubat tahan sakit. Ingin kami ingatkan saranan yang dibuat seperti fisioterapi perlu dilakukan setiap hari, tetapi hanya dibuat sekali sebulan! Apa yang lebih menyedihkan, fisioterapi yang dilakukan tidak dilakukan secara menyeluruh, kerana kekurangan kemudahan di dalam penjara.
Tindakan pihak berkuasa dan Dr Jeya yang enggan menghantar Dato’ Seri Anwar ke hospital untuk menjalani fisioterapi adalah amat tidak munasabah. Dalam pemenjaraan beliay sebelum ini (1999 - 2004) beliau dibenarkan untik menjalani fisioterapi dan rawatan lain dengan kekerapan yang betul di HKL ataupun PPUM
Kami menuntut agar perhatian segera diberikan kepada permintaan kami untuk mengadakan sesi penerangan di antara keluarga kami, panel doktor dan Dato’ Seri Anwar sebagai pesakit supaya beliau boleh membuat keputusan pembedahan apa yang beliau akan jalani.
Kami ingin memberikan amaran kepada pihak berkuasa yang keluarga Dato’ Seri Anwar tidak akan berdiam diri dengan kelewatan dan sikap tidak professional Dr Jeya berkenaan rawatan segera yang diperlukan oleh Dato’ Seri Anwar. Sekiranya perkara ini berterusan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik untuk melindungi hak bapa kami untuk mendapatkan rawatan, termasuk memfailkan laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia, sekiranya perlu.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah JPRP KEADILAN
TERIMA KASIH YAB TUAN LIM GUAN ENG
AMK SELANGOR mengucapkan terima kasih kepada YAB Tuan Lim Guan Eng berkenaan dengan ucapan beliau di Johor Bharu pada 13/9/2015 berkaitan kerjasama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Kami berpandangan beliau sudah menunjukkan kematangan berpolitik dan telah meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan khususnya di Negeri Selangor. Kenyataan beliau jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat amat penting didalam meneruskan agenda yang telah dipersetujui bersama selama ini. Konsensus dan muafakat didalam Pakatan Rakyat adalah amanah daripada rakyat dan kemenangan besar Pakatan Rakyat di Selangor adalah kerana harapan dan amanah besar rakyat kepada Pakatan Rakyat.
AMK SELANGOR berharap agar kerjasama dan muafakat Pakatan Rakyat akan dapat diperkukuhkan demi menyelamatkan negara daripada kehancuran oleh UMNO dan Barisan Nasional. Di samping itu, muafakat Pakatan Rakyat di Selangor adalah sangat penting didalam mengekalkan kemenangan rakyat dan bagi menjayakan agenda Pembangunan Berkualiti Rakyat Di Peduli.
Kepada semua pimpinan utama Pakatan Rakyat, AMK SELANGOR menyeru agar kita semua kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Rakyat sedang memerhatikan kita dan jangan sesekali kita khianat amanah yang telah diberikan oleh rakyat.
AMK SELANGOR menyokong dan mendukung penuh usaha ke arah memperkukuhkan Pakatan Rakyat demi Malaysia tercinta dan negeri Selangor yang kita kasihi bersama.
Terima kasih.
Salam Reformasi,
Zainol Abidin Mohamed
Timbalan Ketua AMK SELANGOR/
Ketua AMK Gombak
14/9/2015
KENYATAAN MEDIA BERSAMA PIMPINAN AMANAH, DAP DAN PKR PUSAT
(Sempena Majlis Pelancaran Parti Amanah Negara peringkat negeri Johor)
12 September 2015
Taman Puteri Wangsa, JB
Dato' Saifuddin Nasution Ismail - Pengarah Pilihanraya PKR Pusat dalam majlis pelancaran Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat negeri Johor malam tadi menyatakan bahawa keadaan vakum dalam kepimpinan menjadi antara faktor penting untuk kemunculan parti baharu AMANAH disokong penuh.
Beliau berkata dalam satu sidang media sebaik sahaja selesai majlis pelancaran Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat negeri Johor di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru malam tadi.
Turut hadir ialah Tuan Hj Mohamad Bin Sabu, Pengerusi AMANAH Pusat dan Sdr Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP.
"Saya hadir malam ini dan beberapa lagi siri pelancaran AMANAH di beberapa buah negeri sebagai tanda sokongan penuh dan mengalu-alukan kemunculan parti baharu ini dalam arena politik nasional" ujar Saifuddin.
Menurutnya, ia selaras dengan pendirian Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang telahpun mengadakan pertemuan dengan pimpinan AMANAH baru-baru ini, PAS pada 14 September nanti dan seterusnya DAP.
"Untuk merealisasikan sistem politik dua parti di Malaysia, ruang vakum ini perlu diisi seterusnya pakatan pembangkang yang baru perlu segera dibentuk" tambahnya lagi.
Mohamad pula turut menyatakan bahawa beliau telahpun mengarahkan AMANAH Johor untuk berbincang tentang penubuhan pakatan baharu melibatkan AMANAH, DAP dan PKR diperingkat negeri Johor seberapa segera yang mungkin.
"Johor boleh teruskan perbincangan segera. Di peringkat pusat, siri-siri perbincangan sedang berjalan kearah pembentukan pakatan baharu" jelas Mohamad.
Lim Kit Siang dalam kenyataannya pula menegaskan keyakinan beliau bahawa negeri Johor bakal menjadi 'engine head' dalam membawa perubahan ke seluruh negara.
"Cita-cita mengambil alih Putrajaya tidak akan berjaya jika Johor gagal. Johor bakal menjadi 'engine head' kepada arus perubahan Malaysia. Perbincangan pakatan pembangkang baharu Johor perlu disegerakan. Johor akan jadi tauladan kepada perubahan di Malaysia" ujar beliau.
HJ MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi AMANAH
SDR LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Pengarah Pilihanraya PKR
Sidang media mengalu-alukan kemasukan Dato' Kamaruddin Jaffar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam KEADILAN pagi ini di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana..
Negara hari ini sedang mengalami krisis yang parah dan defisit keyakinan. Kesannya, ekonomi semakin gawat dengan nilai ringgit terus menjunam tanpa tanda-tanda dapat dipulihkan dalam waktu terdekat. Dalam masa sama, rasuah terus berleluasa dan kewibawaan institusi-institusi negara terus terhakis.
Malaysia tidak akan dapat diselamatkan melainkan melalui proses reformasi menyeluruh. Sebagai sebuah parti politik reformasi yang bertanggungjawab, kami mahu menggembleng kekuatan untuk menjadikan reformasi sebagai satu kenyataan bagi rakyat Malaysia.
Untuk melaksanakan reformasi tersebut tentunya memerlukan kekuatan politik. Justeru itu, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus meningkatkan kekuatan dengan penyertaan generasi muda dan juga golongan veteran yang komited dengan cita-cita perubahan.
Sebagai parti yang mendapat jumlah undi kedua terbesar dalam pilihanraya umum lalu, KEADILAN meraikan serta membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang komited dengan agenda reformasi demi menyelamatkan Malaysia.
Untuk itu, pada hari ini kita mengalu-alukan dan berbesar hati dengan penyertaan YB Dato' Kamaruddin Jaffar, Ahli Parlimen Tumpat dan YBhg Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam keluarga besar Parti Keadilan Rakyat.
YB Dato' Kamaruddin Jaffar akan memperkukuh dan memberdaya Pejabat Ketua Umum KEADILAN. Beliau juga akan berperanan sebagai Pengarah Politik dan Dasar bagi memberi input kepada Presiden dan Timbalan Presiden. Sebelum menceburkan diri dalam politik, YB Dato' Kamaruddin pernah menjadi Setiausaha Agung ABIM. Justeru itu, beliau juga akan berperanan memperkukuhkan rangkaian dengan NGO Islam untuk membawa perubahan dalam negara dan jaringan bersama negara-negara Islam dan serantau.
Tan Sri Muhammad Taib adalah seorang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran kerajaan dan politik. Sepertimana yang umum maklum, beliau adalah mantan Menteri Besar Selangor ke-11 dan pernah menyandang jawatan Naib Presiden UMNO.
UMNO yang merupakan tonggak BN kini dilanda masalah dalaman yang parah akibat dari skandal 1MDB yang gagal dijelaskan selain pengaliran dana berjumlah $2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Presiden parti tersebut.
Setiap hari kita mendengar suara tokoh dan aktivis UMNO sendiri yang hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan tertinggi mereka. Gejala ini pasti akan mendorong mereka mencari wahana yang boleh dipercayai untuk meneruskan perjuangan.
Dalam konteks ini, penyertaan Tan Sri Muhammad Taib tentunya tidak sendirian selain beliau boleh memainkan peranan untuk mensejahterakan rakyat khasnya di desa dan luar bandar serta menarik penyertaan dan sokongan mereka terhadap KEADILAN.
Beliau juga akan berperanan memperkasa Biro Penerangan dan Komunikasi khususnya demi mengangkat martabat masyarakat luar bandar termasuk komuniti Felda. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meraih sokongan luar bandar selepas lebih sedekad KEADILAN menjadikan bandar sebagai teras sokongan.
Penyertaan Tan Sri Muhammad Taib ini diyakini dapat membantu memperkukuh Pakatan Rakyat bagi melakar kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang.
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
11 September 2015

10 September 2015
Kepada ;
Ybhg. Dato’ Janeral (B) Abdul Hadi Abdul Khatab,
Pengerusi,
Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat,
A-1-09, Merchant Square,
No.1, Jln Tropicana Selatan 1,
47410 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
Ybhg Dato’ ;
ADUAN DISIPLIN KE ATAS YAB AZMIN ALI, TIMBALAN PRESIDEN PKR
Adalah dengan ini perkara di atas dirujuk.
Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Dato’ kerana menarik semula penggantungan yang saya sifatkan sebagai tindakan tidak sah. Ekoran penarikan penggantungan itu saya telah membuat kenyataan terbuka meminta respon Dato’ , bersama surat ini dikepilkan kenyataan saya. Sila klikhttp://chegubard.blogspot.my/2015/08/respon-status-keanggotaan-pkr-chegubard.html?m=1
2. Saya dengan ini ingin membuat aduan rasmi meminta tindakan disiplin dibuat ke atas YAB Azmin Ali kerana tindakan beliau membuka entiti yang dinamakan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) jelas memberikan peluru kepada pihak musuh dan sukar dipertahankan. Di dalam keadaan kita menyerang Umno, Bn khususnya Perdana Menteri Malaysia sendiri dengan isu seperti 1MDB maka apa yang harus kita jawab apabila Azmin mewujudkan entity hampir sama di Selangor. Azmin juga dalam hal ini dilihat membelakang parti. Antara sebab Tan Sri Khalid Ibrahim disingkirkan ialah kerana membelakangkan parti dan ini diulangi oleh Azmin. Bukan sahaja parti tidak dimaklumkan menyebabkan bila perkara ini timbul maka parti berdepan masalah malah wakil rakyat PKR dan sekutu di Selangor juga tidak mengetahui perkara dalam kedudukan sebenar sehingga perkara ini didedahkan. Saya juga punya bukti di mana kenyataan belia menjawab isu DEIG bersifat tidak betul.
3. Azmin semenangnya sering menyalah guna media sosial. Malah dia pernah menyerang Presiden parti, Ketua Umum secara terancang di media sosial. Dia sendiri pernah keluar di media perdana menyerang Presiden. Aduan telah dibuat tetapi sehingga kini tidak ada tindakan dan jelas kerana kelemahan lembaga disiplin bertindak dia terus mengamalkan perkara ini. Banyak kenyataan dia bercanggah yang meletakkan parti dalam keadaan tidak ada pendirian tetap ada pandangan umum. Ketika PAS masih berteka teki, GHB (atau kemudian dikenali sebagai AMANAH) dilihat lebih mesra PKR tetapi dia membuat kenyataan sebaliknya dengan mengatakan gabungan baru nanti akan bersama PAS. Umum melihat jika PAS masih bersama apa gunanya PR dibubar dan wujud pakatan baru. Umum melihat betapa kartunya kita kerana Azmin yang suka bercakap di media tanpa berfikir. Azmin ialah Timbalan Presiden bukan Ketua Cabang, maka dia harus berdisiplin di media. Terbaru dia telah bergaduh secara terbuka dengan pimpinan parti sekutu di media sosial.
4. Aduan ini juga dibuat berkenaan dengan agihan wang bantuan sempena Ramadhan dan Aidulfitri (2015) yang diagih Azmin ke seluruh negara. Diyakini ia wang zakat dari negeri Selangor. Isu ini juga memberikan peluru kepada Umno, Bn. Adakah dari aspek moralnya betul kita mengambil wang zakat dari negeri Selangor mengagihkan melalui jentera parti ? Apakah makanisme audit yang memastikan semuanya disalurkan dengan betul tanpa ketirisan ? Saya tegaskan saya mendapat rungutan ada Ketua – ketua cabang yang bukan pro Azmin merungut mendapat agihan tidak sama dengan Ketua Cabang yang pro Azmin. Malah ada Ketua Cabang yang tidak mendapat agihan ‘bantuan’ zakat tersebut. Ini amat memalukan wang zakat bukan sahaja disalurkan mengikut jentera parti tetapi dilihat sebagai bentuk kempen peribadi Azmin pula.
5. Saya mendesak Lembaga Disiplin segera membuka fail disiplin ke atas Azmin Ali ini. Saya sedia membentangkan kes ini bersama bukti dihadapan Lembaga Disiplin. Saya percaya ketegasan Dato’ dalam menangani hal ini berbeza dengan Pengerusi Lembaga Disiplin yang lepas yang gagal membuka fail siasatan kerana diyakini dia antara penyokong tegar Azmin Ali.Saya mohon tindakan serius oleh Lembaga Disiplin kerana jika kita punya Timbalan Presiden yg ada masalah disiplin parti dan tidak diperbetulkan ia akan jadi contoh anggota di bawah.
Surat ini dibuat umum kerana tidak dimasukkan bukti dan butiran lanjut yang akan saya beri apabila hanya dipanggil oleh lembaga disiplin.
Sekian dan terima kasih
Badrul Hisham Shaharin a.k.a che'GuBard
Anggota Biasa
Cabang Rembau
N060000001
Perutusan DS Anwar mengenai "perhimpunan baju merah"
Berikut merupakan perutusan DS Anwar Ibrahim yang disampaikan melalui peguam beliau pada 9 September 2015:
"Adalah wajar pertahankan hak dan keadilan bagi semua kaum dan rakyat Malaysia termasuk mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu.
Namun kita tidak wajar mengapikan isu perkauman yang dibantah oleh Islam dan budaya Melayu, seperti yang dirancang melalui perhimpunan baju merah pada 16 September.
Kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi serta sekerat pemimpin Umno lain bahawa ahli Umno bebas untuk menyertai perhimpunan sedemikian, memperlihatkan kegagalan moral pada kepimpinan mereka.
Yang pastinya apa yang dirancang adalah untuk mengalih pandangan dari kemelut politik dan kegawatan ekonomi yang terus melanda negara.
Rakyat tidak wajar terpedaya atau termakan oleh taktik pecah-belah seperti ini."
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
10 September 2015