Showing posts with label KEADILAN. Show all posts
Showing posts with label KEADILAN. Show all posts

Syed Ibrahim : Beri Peluang Kepada Pakatan Pembangkang Baharu Terbentuk Demi Menjamin Masa Depan Lebih Baik Buat Negara



BERI PELUANG KEPADA PAKATAN PEMBANGKANG BAHARU TERBENTUK DEMI MENJAMIN MASA DEPAN LEBIH BAIK BUAT NEGARA

Saya telah menghadiri Dialog Politik tentang Pembangunan Koalisi atau Pakatan di Malaysia anjuran Akademi Keadilan (ArK) dan Penerangan Keadilan pada Ahad 20 September lalu.

Ucaptama telah disampaikan oleh Presiden KEADILAN dan Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Pengarah Wilayah Asia Selatan dan Timur Friedrich Naumann Foundation (FnF), Siegfried Herzog. Manakala sesi dialog telah dimudahcara oleh Fuziah Salleh, Pengarah dan Pengasas Akademi Keadilan, Ahli Parlimen Kuantan dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Rafizi Ramli, Setiausaha Agung KEADILAN, Ahli Parlimen Pandan; Moritz Kleine Brockhoff, Pengarah Projek FnF Malaysia, dan Dr Wong Chin Huat, Felo Penang Institute.

Pelaksanaan dialog ini amatlah tepat pada masanya ketika negara sedang menghadapi krisis keyakinan dan ketempangan kepimpinan di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak, di samping pakatan pembangkang diambang mengadakan rundingan meja bulat ke arah pembentukan pakatan pembangkang yang baharu.

Rakyat seolah-olah mencari penyelesaian dan cahaya harapan sama ada masih menaruh kepercayaan kepada pakatan BN dan Perdana Menteri yang diselubungi skandal demi skandal atau kepada pakatan pembangkang yang dianggap rapuh dan tiada kepimpinan.

Mungkin ada yang mengatakan dialog berkenaan agak terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur apabila Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Namun saya tidak percaya begitu. Saya melihat ini adalah kesempatan keemasan untuk masing-masing parti politik pembangkang khususnya dan parti-parti pemerintah amnya, untuk melihat kembali dasar kewujudan pakatan.

Pergi kepada asas dan jawab soalan-soalan asas seperti kenapa perlunya pakatan, apakah perkara asas atau prinsip yang disetujui bersama, apakah had-had dalam pakatan dan apakah cabaran lalu yang boleh diambil pengajaran untuk diatasi.

Dengan erti kata yang lain, cari ruang persamaan dan ketepikan perbezaan dengan aspirasi menjayakannya atas sebab terpenting dan terutama.

Dalam menegaskan perkara ini, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN dan Ketua Pembangkang Malaysia dalam ucaptamanya ketika dialog mengatakan, untuk mencapai kemerdekaan negara malah untuk masa depan negara yang lebih baik, maka ia bergantung kepada "coalition based politics" atau politik berpaksikan pakatan/koalisi.

Menurutnya, pakatan politik yang tulen menuntut pembangunan kerjasama dan kesepakatan sebagai 'prinsip pertama politik'.

Ini bermakna polisi dan objektif bersama wajib mengatasi hairaki objektif dan ideologi parti masing-masing iaitu dengan mendahulukan kepentingan rakyat atau warganegara.

“Masa depan Malaysia akan dicorakkan oleh sejauh mana pimpinan parti-parti pembangkang memahami bahawa pakatan politik yang berkesan menuntut kesepakatan dan keanjalan yang dipasak kepada Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip demokrasi sejagat”, tambahnya lagi.

“Kita mesti mengatasi kepentingan sempit dan manfaatkan kebijaksanaan bersama daripada kekayaan pengalaman dalam pakatan”, katanya.

Apa yang diungkapkan oleh Dr Wan Azizah ini bukan bermakna beliau tidak memahami krisis politik dalaman parti atau menghargai pengorbanan dan usaha yang telah dilakukan oleh mana-mana parti atau tokoh parti, namun pada masa dan suasana sekarang, apa yang lebih penting ialah memenuhi harapan rakyat dan selamatkan Malaysia.

Benar, kita boleh lihat dan baca sendiri pelbagai pandangan yang dikeluarkan oleh PAS, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tentang rundingan meja bulat tajaan KEADILAN tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan menegaskan tidak akan menghadiri rundingan meja bulat yang melibatkan DAP dan Amanah kerana menyifatkan persidangan tersebut diadakan dengan tergesa-gesa dan pihaknya belum mengadakan perbincangan dalaman mengenainya.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dilaporkan pernah menolak kemungkinan PAS bekerjasama dalam pakatan baharu pembangkang yang turut dibarisi Amanah dan DAP.

Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah pula dilaporkan berkata kerjasama melibatkan KEADILAN, DAP, Amanah dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang pro pembangkang, akan mempercepatkan lagi penubuhan muafakat baharu tanpa PAS.

Kemudian, Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh pula dilaporkan berkata DAP tidak mahu menyertai projek Pakatan baharu jika PAS turut diajak menganggotainya. Namun menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, DAP akan hadiri rundingan meja bulat apabila dijemput.

Walaupun kita hormati semua pandangan tersebut tetapi yang jelasnya semua pandangan ini dibuat secara berasingan dan mendahului rundingan meja bulat.

Apakah tidak mungkin sikap keterbukaan, keikhlasan, kehormatan dan berlapang dada dapat dizahirkan untuk menghadiri rundingan berkenaan? Untuk sekurang-kurangnya memberi peluang menyampai dan mendengar pandangan tanpa prasyarat dan syak wasangka yang menebal demi kepentingan rakyat dan negara?

Saya tahu ini tidak mudah tetapi ia tidak mustahil kerana ia pernah berjaya dahulu. Saya bangga dan kagum dengan mereka yang berjiwa besar, sabar dan sanggup ketepikan emosi dan sentimen.

Menurut Dr Wan Azizah, pakatan politik yang formal adalah lazim manakala pakatan sementara pilihan raya atau ‘electoral pact’ merupakan jenis kerjasama politik paling minimum. Ini bermakna jenis dan bentuk pakatan boleh dibincangkan dan diteliti dengan mengatasi apa-apa kekurangan dahulu.

Malah jika ditinjau jenis pakatan di negara Eropah khususnya Jerman, mereka sudah jauh lebih matang dari segi ‘berpakatan’ ini apabila boleh mewujudkan pakatan dengan anggota yang berbeza-beza di peringkat yang berbeza.

Memetik artikel yang pernah ditulis oleh Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP; di Jerman, parti Canselor Angela Merkel, Christian Democratic Union (CDU) telah menubuhkan kerajaan pakatan dengan Social Democratic Party (SPD) di peringkat Persekutuan manakala blok pembangkang ialah Green Party dan Die Linke.

Namun, bentuk pakatan ini berbeza di peringkat Negeri. Di Negeri Brandenburg, SPD bergabung dengan Die Linke manakala di North Rhine-Westphalia, SPD berkongsi dengan Green Party. Lebih menarik lagi, di Hessen, CDU membentuk kerajaan pakatan dengan Green Party sedangkan kedua-dua parti lahir daripada ideology yang bertentangan.

Bagaimana ini boleh berlaku dan apakah ini boleh digunapakai di Malaysia?

Menurut Zairil, ini tidak pelik dan boleh berlaku kerana ia menggambarkan keperluan dan aspirasi peringkat wilayah dan politik yang berbeza-beza. Bukan sahaja negara maju seperti Jerman mengamalkannya tetapi negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Filipina juga turut mempraktikkan bentuk pakatan tersebut. Yang menggabungjalinkan atau meng’gam’kan mereka walaupun berbeza ideologi ialah kerana setiap pakatan bersifat sementara atau tidak tetap dan tertakluk oleh perjanjian persefahaman yang bertempoh.

Inilah juga yang dinyatakan oleh Seigfried Herzog, Pengarah Wilayah Asia Selatan dan Timur, FnF, ketika memberi ucaptama dalam Dialog Politik pada 20 September lalu.

Menurutnya, satu bentuk dokumen perjanjian diperlukan untuk memastikan kelestarian pakatan parti politik.

“Tanpa dokumen perjanjian itu, sesebuah pakatan tidak boleh dibentuk atau bertahan lama”, katanya.

Selain itu, tambahnya, parti-parti yang terlibat perlu bersetuju dengan tempoh masa untuk perjanjian dan struktur tatakelola pakatan berkuatkuasa.

Berpandukan di atas, saya boleh merumuskan syarat asas kepada sesebuah pembentukan pakatan atau gabungan seperti berikut:

Pertama, wujudnya terma rujukan atau dokumen asas perjanjian bertulis (semasa Pakatan Rakyat dahulu, ini ialah apa yang disebutkan sebagai dokumen Kerangka Polisi Bersama);

Kedua, wujudnya dasar dan prinsip bersama yang dipersetujui;

Ketiga, wujudnya struktur tatekelola pakatan termasuk kaedah pembuatan keputusan dan timbangtara yang jelas, dan

Keempat, wujudnya tempoh masa pakatan yang bersesuaian

Empat sahaja syarat asas tetapi setiap satunya membawa pemberat yang tinggi.

Justeru, dengan masa kurang daripada 24 jam antara tempoh artikel ini ditulis dan rundingan meja bulat pakatan pembangkang baharu, saya berharap di bawah kepimpinan Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah dan dengan kehadiran pimpinan parti pembangkang tanpa syak wasangka atau prejudis serta kefahaman terhadap apa yang terpenting dan terutama, maka rundingan meja bulat dapat dijayakan demi kepentingan rakyat dan negara.
Saya akhiri dengan kata-kata penutup Dr Wan Azizah berikut:

"Lastly, we will only succeed if we apply humility, respect and sincerity as the tone of our approach to coalition building. We must go beyond narrow interest and use our collective wisdom from our rich political coalition experience.

On 22 September a round table meeting among key opposition parties may decide if it is a bloc, coalition, electoral pact or just a divided opposition.

On 22 September will be our moment of truth if we continue to deserve the support and mandate to lead all those that have shown what 'Yellow' is and what 'Red' is not.

On 22 September will be our day of reckoning if we move together towards a common future or remain stuck in a self-made political prison of the past.

Finally, a coalition by any name or configuration is just a means to an end which must be a Better Malaysia for All and I end with a quote from Anwar Ibrahim; “Let us put aside all other considerations and differences, and focus upon this great struggle to save Malaysia.”"

Semoga segala tindak tanduk kita diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah dan mendapat keberkatan dan rahmatNya sebagaimana Nabi merapatkan hubungan antara Auz dan Khazraj, antara Muhajirin dan Ansar.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

21 September 2015

Anwar Ibrahim : 'Saya terima baik usaha rundingan meja bulat yang akan disertai wakil-wakil PAS, KEADILAN, DAP dan Amanah serta NGO-NGO pada Selasa ini.'



Kenyataan Media: Perutusan DS Anwar pada 21 September 2015

Berikut merupakan perutusan DS Anwar Ibrahim yang disampaikan melalui peguam beliau pada 21 September 2015:


"Saya terima baik usaha rundingan meha bulat yang akan disertai wakil-wakil PAS, KEADILAN, DAP dan Amanah serta NGO-NGO pada Selasa ini.

Ini merupakan langkah awal yang penting bagi mewujudkan muafakat yang melibatkan semua pihak termasuk parti-parti politik, NGO dan individu-individu yang amat diperlukan demi membawa perubahan kepada negara.

Tujuan pertemuan ini bukan hanya untuk mewujudkan muafakat politik; usaha kita lebih dari itu, iaitu untuk menyelamatkan Malaysia dengan menggembleng tenaga semua pihak yang komited kepada reformasi, keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Walau saya di penjara, saya tetap dapat merasai kerisauan dan kebimbangan rakyat terhadap isu ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang ringgit, penggunaan retorik perkauman yang semakin meningkat dan skandal 1MDB yang tidak berkesudahan.

Dalam keadaan genting ini, kita perlu mengetepikan perbezaan dan maju ke hadapan untuk membentuk alternatif yang berdaya maju, adil dan demokratik berbanding kerajaan sedia ada."

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi
Parti Keadilan Rakyat

--

Media Statement: DS Anwar's message to the public on 21 September 2015

DS Anwar Ibrahim conveyed the following message to the public through his lawyers on 21 September 2015:

"I welcome the round table gathering of representatives from PAS, KEADILAN, DAP and Amanah and NGOs expected to take place on Tuesday.

This is an important preliminary step in forging a representative, participatory and inclusive alliance of political parties, NGOs and personalities to bring much-needed change to the country.

The aim of the gathering is not simply to forge a political alliance; ours is a greater endeavour to save the country by uniting all forces committed to reform, justice and the rule of law.

From this prison, I sense the anxiety and concerns of the Rakyat on the economy and fall in currency, increase in racial rhetoric and the continuing 1MDB scandal which remains unresolved.

In this critical situation, we must set aside differences and move forward to forge a viable, just and democratic alternative to the current government."

Fahmi Fadzil
Communications Director
Parti Keadilan Rakyat

Nurul Izzah: Pertahankan Maruah Melayu dengan Perangi Perkauman Sempit, Rasuah dan Pertahankan Integriti Negara



Pertahankan Maruah Melayu dengan Perangi Perkauman Sempit, Rasuah dan Pertahankan Integriti Negara

Melayu harus dibangun dengan nilai-nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit. Melayu ideal adalah Melayu yang Islamis, bukan Melayu yang racist. Melayu Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih kemanusiaan, setia menjunjung nilai ukhuwwah, persaudaraan dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan agama,ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah insaniyyah (persaudaraan kemanusiaan).
-Dato' Dr Siddiq Fadzil


Perhimpunan Himpunan Maruah Melayu yang dianjurkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) semalam yang disertai rata-rata orang Melayu dari pelbagai negeri dengan bas-bas yang dikatakan ditaja oleh parti UMNO wajar dikecam.

Lebih mengejutkan apabila himpunan ini turut disertai pimpinan UMNO termasuklah Timbalan Menteri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Bung Moktar Radi, Datuk Abdul Rauf Yusof, Tan Sri Ali Rustam, Datuk Rizalman Mokhtar, Datuk Jamal Yunos, Datuk Ismail Kijo dan Datuk Seri Noh Omar. Malah pimpinan ini turut berada di pentas himpunan.

Laungan-laungan kasar berbentuk maki hamun jelas kedengaran di Perhimpunan ini dengan pelbagai panggilan yang penuh dengan sentimen perkauman. Pastinya ini bukan Perhimpunan Pertahankan Maruah Melayu. Ini Himpunan menjual Maruah Melayu! Apakah yang mereka perjuangkan?

Tanggal 16 September 1963, sebuah kesatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah termeterai untuk membentuk sebuah negara baru yang digelar sebagai Malaysia. Kesatuan ini dibina atas dasar kerjasama demi membawa ketiga-tiga wilayah ini kearah kemajuan dan keharmonian sejagat, tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik. Rakyat Malaysia wajar menjiwai dengan sepenuhnya maksud Hari Malaysia ini.

Hari Malaysia sepatutnya disambut dan dizahirkan dengan merapatkan hubungan silaturrahim antara kaum serta menghapus semua sentimen perkauman yang wujud di negara ini. Watak orang Melayu itu menolak permusuhan, mengangkat persahabatan serta saling tolong menolong antara satu sama lain. Orang Melayu juga satu bangsa yang saling jujur memaafkan dan mengutamakan silaturrahim yang rapat antara ahli keluarga dan sahabat handai. Sebagai bangsa majoriti di negara ini, orang Melayu sepatutnya menjadi abang besar dalam memastikan silaturrahim antara kaum sentiasa kukuh dan erat.

Menurut saya, untuk mempertahankan maruah orang Melayu, kita wajib bangun dan perangi perkauman yang sempit, perangi rasuah, selongkar skandal 1MDB, dan pulihkan integriti negara!

Selamat Hari Malaysia!

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN

Wan Azizah: Persidangan Meja Bulat Ke Arah Pembentukan Pakatan Pembangkang Yang Baru



PERSIDANGAN MEJA BULAT KE ARAH PEMBENTUKAN PAKATAN PEMBANGKANG YANG BARU

Mutakhir ini, pelbagai kemelut negara akibat ketempangan kepimpinan kerajaan di bawah YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri telah membebankan rakyat. Rakyat meletakkan harapan yang tinggi supaya parti-parti pembangkang di negara ini bersatu dalam sebuah pakatan yang harmoni demi tujuan bersama membela rakyat dan menewaskan Umno/Barisan Nasional.


Sebagai Ketua Pembangkang, saya telah mengambil inisiatif untuk duduk berbincang dengan pimpinan parti-parti pembangkang utama sejak sebulan yang lalu. Alhamdulillah melalui pertemuan-pertemuan ini, saya yakin ada kesepakatan yang kukuh ke arah membentuk sebuah pakatan pembangkang baru seperti yang dikehendaki rakyat.

Justeru, saya dengan penuh keinsafan dan harapan akan menganjurkan satu persidangan meja bulat ke arah pembentukan sebuah pakatan pembangkang baru, seperti berikut:

Tarikh : Selasa, 22 September 2015

Tempat : Banquet Hall, Hotel Empire Subang Jaya

Aturcara

930 pagi : Pendaftaran pimpinan parti-parti politik, NGO & pemerhati

10 pagi : Persidangan meja bulat

12 tengahari : Sidang media

Pada hari ini, saya telah memanjangkan jemputan kepada pimpinan parti-parti pembangkang utama iaitu YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YB Saudara Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) dan YBhg Tuan Haji Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) untuk menyertai persidangan meja bulat itu bersama-sama 3 pimpinan kanan lain dari setiap parti. Selain pimpinan parti-parti pembangkang, saya juga telah memanjangkan jemputan yang sama kepada pimpinan NGO seperti ABIM, Wadah, IKRAM, BERSIH dan Negaraku serta tokoh-tokoh seperti Dato’ Saifuddin Abdullah, Tan Sri Simon Sipaun dan lain-lain.

Saya memanggil persidangan meja bulat ini untuk membincangkan perkara-perkara penting yang perlu dipersetujui bersama ke arah pembentukan sebuah pakatan pembangkang baru dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang selama ini bersama-sama berjuang untuk melahirkan sebuah Malaysia yang adil, inklusif, harmoni dan berdaya saing.

Saya yakin semua pihak akan mengenepikan perbezaan demi melahirkan sebuah pakatan pembangkang baru yang berkesan untuk membela rakyat dan menumpaskan Umno/Barisan Nasional.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang Malaysia
Presiden KEADILAN

Perutusan Hari Malaysia - AMK



PERUTUSAN HARI MALAYSIA AMK

Angkatan Muda KEADILAN ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia terutamanya generasi muda. Kami mengharapkan agar kesemua rakyat Malaysia tidak kira di mana, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, dan juga mereka yang berada di perantauan, dapat menyambut hari ulang tahun penyatuan Malaysia ini dengan aman dan bersepadu. Hari Malaysia adalah suatu peristiwa yang amat penting kerana ia menekankan ciri kepelbagaian serta perpaduan kita. Kedua-dua aspek itu saling bergantung pada satu sama lain, dan kedua-duanya kekal menjadi sumber kekuatan dan kecekalan kita.


Memang benarlah rakyat Malaysia pada hari ini sedang menghadapi pelbagai masalah. Kegawatan ekonomi, ketidakstabilan politik yang berpanjangan, penyalahgunaan kuasa serta tadbir urus yang lemah dan provokasi perkauman termasuklah yang sedang berlaku ketika kita menyambut hari penting negara ini. Mungkin juga ada yang akan memandang Hari Malaysia dengan penuh sinis, terutamanya anak muda. Namun begitu kita tidak akan berlaku adil kepada diri sendiri dan warisan perjuangan negara jika kita putus harapan dan membiarkan peristiwa ini berlalu sahaja.

Kami yakin Malaysia masih boleh diselamatkan. Kita masih mempunyai masa depan yang cerah jika nilai keberanian dan kebijaksanaan diamalkan untuk merealisasikan impian. Tapi apa yang penting adalah kita memahami bahawa reformasi mesti berlaku dari setiap sudut termasuklah, politik, ekonomi dan sosial. Kita mesti mempunyai keinginan untuk berubah sama ada secara kendiri mahupun untuk negara. Hanyalah masyarakat yang sedar dan berketerampilan, dari setiap suku kaum, yang mampu melakukan perubahan ini dengan memastikan pihak yang berkuasa bertanggungjawab terhadap tindak tanduk mereka.

Pastinya akan ada kekangan di dalam usaha ini. Tapi ketahuilah bahawa setiap generasi mempunyai hakikat kecermalangan tersendiri. Inilah cabaran utama kita; untuk menyatukan setiap individu masyarakat dan menggerakkan Malaysia ke hadapan. Di hari yang bersejarah ini, marilah kita bertekad untuk mencapai kecemerlangan ini.

Sekali lagi kami ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Perutusan DS Anwar



KENYATAAN MEDIA

Perutusan DS Anwar

Berikut merupakan perutusan DS Anwar Ibrahim yang disampaikan melalui peguam beliau pada 15 September 2015:


“Saya mengecam tindakan beberapa anggota Umno dan lain-lain yang terlibat dalam kejadian pembakaran patung yang menyerupai pimpinan DAP. Ia satu tindakan yang memalukan lagi tidak beradab, dan juga mempunyai elemen perkauman.

UMNO di bawah pimpinan Dato’ Sri Najib Razak semakin tidak bertoleransi, dan semakin tidak bertanggungjawab dengan memperalatkan isu perkauman dan keagamaan untuk kekal relevan.

Taktik memburuk-burukkan pimpinan pembangkang mirip sifat pemerintah autoritarian.

UMNO dan pimpinannya perlu berani berdepan dengan pembangkang dan masyarakat sivil melalui perbahasan yang sihat dan berasaskan logik.

Ketiadaan keberanian ini dicerminkan dalam tindak-tanduk Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang sering menggunakan undang-undang menindas seperti Seksyen 124B Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk mendiamkan pengkritik.

Undang-undang mesti diguna untuk melindungi masyarakat, bukan untuk menggertak dan menakut-nakutkan rakyat.”

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
15 September 2015
-
MEDIA STATEMENT

DS Anwar’s message to the public

DS Anwar Ibrahim conveyed the following message to the public through his lawyers on 15 September 2015:
“I condemn the actions of the Umno members and others who instigated and participated in the burning of effigies of DAP leaders. It was a disgraceful and uncultured act, which a carries a racial slant.

The UMNO leadership under Najib Razak is increasingly intolerant, irresponsibly relying upon race and religion in an attempt to remain relevant.

The tactic of demonizing opposition figures is reminiscent of authoritarian statecraft.

UMNO and its leaders must have the courage to face the opposition and civil society in healthy and reasoned debate.

This lack of courage is also mirrored in the frequent resort by Home Minister Zahid Hamidi to oppressive laws such as Section 124B of the Penal Code, the Sedition Act and Printing Press and Publication Act to silence criticism.

Laws must be wielded to protect society, and not to cow and intimidate the people.”

Fahmi Fadzil
KEADILAN Communications Director

15 September 2015

Rafizi Ramli: Bagaimana ValueCap Mendapat Dana RM 20 Billion dan Rang Undang-Undang Persendirian Pemisahan Jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan



15 SEPTEMBER 2015

BAGAIMANA VALUECAP MENDAPAT DANA RM20 BILION DAN RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN PEMISAHAN JAWATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

Pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa pentadbiran beliau akan memperuntukkan RM20 bilion kepada ValueCap Sdn Bhd untuk membeli saham-saham di Bursa Kuala Lumpur bagi tujuan merangsangkan pasaran saham negara perlu diberi perhatian segera.


Sehingga kini, rakyat tidak dimaklumkan dari manakah dana RM20 bilion ini akan diperolehi untuk disuntik ke dalam ValueCap. Umum mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia telah berdepan dengan defisit belanjawan sejak tahun 1999 dan tidak mungkin mempunyai ruang fiskal untuk memperuntukkan sejumlah RM20 bilion bagi tujuan yang diumumkan semalam.

ValueCap adalah sebuah syarikat pelaburan saham yang dimiliki secara sama rata di antara Khazanah, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Ketiga-tiga dana yang memiliki ValueCap ini adalah dana milik rakyat.

Semasa ValueCap ditubuhkan dalam tahun 2002, ketiga-tiga dana ini menerbitkan bon sebanyak RM10 bilion untuk digunakan bagi tujuan melabur di Bursa Kuala Lumpur. Ini bermakna ValueCap sebelum ini berhutang dari pasaran bon bagi tujuan menyuntik dana ke Bursa Kuala Lumpur dengan membeli saham-saham tertentu.

Semakan terhadap penyata kewangan ValueCap terkini yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 menunjukkan bahawa syarikat itu mempunyai aset cair (tunai dan saham-saham selepas ditolak dividen) sebanyak RM3 bilion sahaja. Maka, untuk menyediakan dana sebanyak RM20 bilion bagi membeli saham-saham yang jatuh kerana sentimen pasaran yang lemah, ada kemungkinan besar ValueCap terpaksa menerbitkan bon yang besar.

Ini bermakna sekali lagi Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan dana rakyat untuk berhutang bagi tujuan menutup kelemahan pentadbiran beliau. Sekiranya ValueCap menerbitkan bon bagi tujuan mendapatkan dana RM20 bilion ini, ia samalah seperti mendedahkan Khazanah, PNB dan KWAP kepada risiko hutang sebanyak RM20 bilion.

Lebih membimbangkan adalah apabila dana RM20 bilion ini bakal digunakan untuk membeli saham-saham yang disifatkan bernilai rendah. Saya khuatir jika ValueCap diarahkan untuk membeli saham-saham dari syarikat-syarikat yang berkepentingan rapat dengan Umno/Barisan Nasional bagi tujuan membuat keuntungan jangka pendek kepada mereka yang berkepentingan itu. Jika ini berlaku, maka dana rakyat melalui Khazanah, PNB dan KWAP telah digunakan untuk menyelamatkan mereka yang berkepentingan dan rapat dengan Umno/Barisan Nasional.

Masalah sentimen yang lemah terhadap saham-saham di Bursa Kuala Lumpur tidak akan selesai selagi masalah 1MDB dan krisis kredibiliti Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak diselesaikan segera. Ini membawa risiko yang besar kepada Khazanah, PNB dan KWAP kerana hutang RM20 bilion melalui bon yang diterbitkan (jika tiada suntikan dana dari Kerajaan Persekutuan) akan dihabiskan untuk membeli saham-saham yang tidak akan meningkat nilainya selagi masalah 1MDB dan krisis kredibiliti Perdana Menteri tidak diselesaikan. Akhirnya, Khazanah, PNB dan KWAP berhutang RM20 bilion dan memiliki saham-saham yang nilainya lebih rendah dari RM20 bilion.

Ubat sebenar kepada masalah ini adalah menyelesaikan krisis kredibiliti yang terpalit dengan Perdana Menteri. Oleh itu, hari ini saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendiri untuk memisahkan jawatan Menteri Kewangan dari Perdana Menteri. Hanya dengan perletakan jawatan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan barulah Bursa Kuala Lumpur ada harapan untuk pulih.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Recent Posts Widget

.

.