Showing posts with label Kerajaan. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan. Show all posts

Penggantungan Yb Gelang Patah - Azalina Othman



KENYATAAN MEDIA

PENGGANTUNGAN YB GELANG PATAH

1. Dakwaan pihak pembangkang bahawa YB Gelang Patah dinafikan Hak Untuk Didengar (The Right To Be Heard) adalah tidak berasas sama sekali.


2. Beliau telah mempunyai tempoh hampir 3 hari dari tarikh beliau mengeluarkan kenyataan terhadap Speaker pada 19 Oktober 2015. Manakala, pada sebelah petang 21 Oktober 2015, pihak Kerajaan atas arahan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat, telah menarik balik Pemberitahu Usul untuk memberi peluang kepada YB Gelang Patah untuk memohon maaf.

3. Malah, beliau juga diberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan permintaan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat sebelum Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) dibaca pada jam 11.30 pagi semalam.

4. Selanjutnya, mengenai cadangan Pembangkang bahawa YB Gelang Patah sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 dan 80A juga tidak timbul malahan tiada keperluan.

5. Ini adalah kerana peruntukan kedua-dua Peraturan Mesyuarat ini memerlukan satu siasatan dijalankan dengan saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan. Sedangkan di dalam kes ini adalah jelas dan nyata di mana YB Gelang Patah telah membuat kenyataan tersebut di dalam Dewan yang mulia, di hadapan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat seperti yang dicatatkan dalan Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat bertarikh 19 Oktober 2015.

6. Sebagai seorang Ahli Parlimen veteran, sejak tahun 1969, YB Gelang Patah seharusnya sudah ariff akan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tahu apa tindakan sewajarnya yang perlu dilakukan apabila Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat berkali-kali meminta beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

7. Ini jelas membuktikan bahawa, YB Gelang Patah digantung bukan berkenaan dengan 1MDB sepertimana persepsi yang cuba diwujudkan oleh Pembangkang.

8. Malah, berpegang kepada prinsip ketelusan, pihak Kerajaan sendiri telah mengarahkan agar Jabatan Audit Negara dan PAC menjalankan siasatan terhadap 1MDB. Untuk rekod, arahan untuk Jabatan Audit Negara mengaudit 1MDB dikeluarkan selepas ia diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2015.

Sekian terima kasih.

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tarikh: 23 Oktober 2015

Pemberitahu Usul Menggantung Yb Gelang Patah - Azalina Osman



KENYATAAN MEDIA

PEMBERITAHU USUL MENGGANTUNG YB GELANG PATAH

1. Pihak kerajaan atas arahan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat (Speaker) telah menarik balik PEMBERITAHU USUL untuk menggantung YB Gelang Patah.


2. Berdasarkan kepada keputusan yang ditetapkan oleh Tuan Yang di Pertua (Speaker) YB Gelang Patah harus menarik balik kenyataan yang dibuat oleh beliau pada 19 Oktober 2015 selepas Usul Mengenai Jerebudibawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) selesai dibahaskan.

3. Oleh kerana YB Gelang Patah tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Tuan Yang di Pertua (Speaker), PEMBERITAHU USUL yang baharu telah pun diedarkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat sebelum berakhirnya sidang pada 21 Oktober 2015.

Sekian terima kasih.

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tarikh: 21 Oktober 2015

Statement on 1MDB - Bank Negara Malaysia

Statement on 1MDB

The Attorney General’s decision with respect to the investigations on 1Malaysia Development Berhad (1MDB) relates to Bank Negara Malaysia’s recommendation to initiate criminal prosecution against 1MDB for breaches under the Exchange Control Act 1953 (ECA). It is to be noted that under the Federal Constitution, the decision to initiate criminal prosecution lies solely with the Attorney General.

As an investigative authority, the Bank is duty bound to conduct its investigations with the highest professional care and diligence. The Bank at all times expects full and accurate disclosure of information by applicants in considering any application under the ECA. On its part, the Bank concluded that permissions required under the ECA for 1MDB’s investments abroad were obtained based on inaccurate or without complete disclosure of material information relevant to the Bank’s assessment of 1MDB’s applications.

Therefore, the Bank has revoked three permissions granted to 1MDB under the ECA for investments abroad totalling USD1.83 billion and also issued a direction under the Financial Services Act 2013 to 1MDB to repatriate the amount of USD1.83 billion to Malaysia and submit a plan to the Bank for this purpose.


The Bank will continue to extend its full cooperation to ongoing investigations by the Royal Malaysia Police and the Malaysia Anti-Corruption Commission.

Bank Negara Malaysia
09 October 2015

Kenyataan Media Berkenaan Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu



KENYATAAN MEDIA BERKENAAN KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA MELAYU

Merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 7 Oktober 2015 dan kenyataan serta kritikan negatif terhadap Jabatan Peguam Negara (JPN) diatas kelewatan dalam menyelesaikan siasatan berhubung isu 1MDB dan keputusan siasatan tersebut, Jabatan Peguam Negara ingin menjelaskan seperti yang berikut:-

1. Pasukan Petugas yang bertugas menyiasat isu 1MDB tidak pernah dibubarkan dan Jabatan Peguam Negara juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan. Malah, siasatan yang dijalankan oleh agensi-agensi bertanggungjawab tidak pernah dihentikan atau dihalang. Jabatan Peguam Negara sentiasa mengawal dan memberi arahan kepada agensi-agensi bertanggungjawab apabila proses siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, termasuk arahan bagi mempercepatkan kerja siasatan.


2. Sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum melengkapkan siasatan berikutan kenyataan beberapa saksi utama masih belum direkodkan.

3. Bagi Bank Negara Malaysia (BNM), siasatan telah dijalankan ke atas 1MDB dengan kesalahan di bawah perenggan (4) (b) Bahagian 1 Jadual Lima kepada Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 iaitu membuat kenyataan yang palsu secara sengaja dan tanpa bukti kukuh. Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 Ogos 2015.

4. Setelah mengkaji kertas siasatan berkenaan, Timbalan Peguam Cara 1 Datuk Tun Abd Majid Bin Tun Hamzah, memutuskan bahawa tiada kesalahan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai 1MDB dan tindakan lanjut akan diambil. Kertas siasatan telah dikembalikan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 11 September 2015. Keputusan berkaitan hal berkenaan turut disampaikan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada hari yang sama.

5. Walau bagaimanapun, pada 1 Oktober 2015, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menghantar surat permohonan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengkaji semula keputusan berkenaan. Mengambil kira permohonan yang dibuat serta hakikat bahawasanya tiada bukti-bukti baru yang diperolehi, pihak Peguam Negara memutuskan untuk mengekalkan keputusan yang telah dibuat. Sehubungan dengan itu, Jabatan Peguam Negara ingin menjelaskan bahawa apa-apa berita di antara 12 September 2015 sehingga hari ini berkaitan dengan kertas siasatan masih pada pihak Jabatan Peguam Negara dan perbincangan masih diteruskan adalah tidak benar sama sekali.

JABATAN PEGUAM NEGARA
MALAYSIA
8 OKTOBER 2015

Zahid Hamidi: Kerajaan menjunjung kasih dan mengambil maklum intipati kenyataan 'pre council' Majlis Raja-Raja



KENYATAAN MEDIA
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
8 Oktober 2015


1) Kerajaan menjunjung kasih dan mengambil maklum intipati kenyataan 'pre council' Majlis Raja-Raja. Sesunguhnya ini menunjukkan bahawa prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia berpisah tiada.

2) Kerajaan komited dalam mendukung sistem pemisahan kuasa (separation of powers), justeru setiap organ kerajaan perlulah dibenarkan berfungsi seperti yang dijelaskan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah peruntukkan berkenaan kuasa-kuasa yang tersurat dan tersirat Majlis Raja Raja.

3) YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Ketua Pentadbiran Kerajaan dan anggota kabinet yang lain mendukung sepenuhnya dan menghormati sistem Raja Berpelembagaan dan juga konsep pemisahan kuasa antara organ-organ Kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4) Segala titah Majlis Raja-Raja dinilai baik dan pihak kerajaan telah pun mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu yang dititah. Sememangnya kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang harus diberi keutamaan dalam apa jua keputusan dan kenyataan oleh semua pihak.

5) Justeru segala siasatan kepada mana-mana pihak sekalipun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, malah desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak patut berlaku.

6) Namun begitu pihak kerajaan ingin menegaskan bahawa segala maklumat tentang siasatan berkenaan akan dilakukan secara adil dan terbuka. Sistem perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan adalah jelas dan jika terdapat pihak yang didapati bersalah, maka tindakan undang-undang akan diambil.

7) Kita sedia maklum bahawa pihak Kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang (Debt Rationalisation) bagi syarikat 1MDB. Pelan ini telah disambut baik oleh pelbagai pihak pelabur dari dalam dan luar negara. Pihak kerajaan akan membentangkan pada masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang 1MDB melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut.

8) Pihak kerajaan sentiasa mengambil berat dan menghormati titah-titah Majlis Raja-Raja. Oleh itu kestabilan ekonomi Negara, pemulihan nilai matawang Ringgit, keharmonian antara kaum dan pengurangkan kos beban hidup rakyat menjadi fokus utama kerajaan. Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan pada masa terdekat.

9. Diharapkan tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah pihak kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan. Berilah kesempatan dan ruang secukupnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan semua permasalahan dengan sebaik mungkin.

TH mengesahkan seorang Jemaah Haji Malaysia meninggal dalam rempuhan Mina.



SIARAN AKHBAR

TH mengesahkan seorang Jemaah Haji Malaysia meninggal dalam rempuhan Mina.

Makkah, 27 September 2015. Lembaga Tabung Haji hari ini mengesahkan seorang jemaah haji di bawah kelelolaan Tabung Haji meninggal dunia di dalam insiden rempuhan di Mina pada 10 Zulhijjah yang lalu selepas dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.


Jemaah haji yang terlibat adalah Zulkifly Samad berumur 50 tahun beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang Selangor yang berasal dari Johor. Pihak Tabung Haji pada pemakluman awal mengesahkan tiada jemaah haji yang telibat dalam rempuhan tersebut berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal dari penempatan jemaah haji.

Pihak Tabung Haji telah membuat semakan dan pengumuman melalui siaraya di khemah jemaah pada jam 12.30 tengah hari sehingga 3 petang pada hari kejadian. Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan dengan sebarang kehilangan Jemaah.

Pada sebelah malam jam 11.00 Suria Hanim Bt Abdul Hamid, isteri Zulkifly Samad telah membuat laporan bahawa suaminya tidak pulang ke khemah. Dalam laporan tersebut, isterinya mengakui bahawa suaminya tidak bersama dengan Jemaah Tabung Haji dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasullulah ke Mina.

Menurut Suria Hanim panggilan terakhir telah dibuat kepada suami beliau adalah pada jam 7.15 pagi, 10 Zulhijjah. Dalam perbualan telefon tersebut, suami Suria Hanim memaklumkan beliau selamat tiba di Mina dengan jemaah haji negara lain dari Muzdalifah.

Setelah menerima aduan tersebut para petugas haji memulakan usaha mencari jemaah tersebut di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina yang diketegorikan tersasar.

Pada hari ini jam 1.30 petang pasukan perubatan Tabung Haji telah membuat tinjauan di rumah mayat Moaissim di mana pasukan perubatan telah menemui satu jenazah rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam keadaan yang sempurna.

Pasukan perubatan Tabung Haji telah mengesahkan jenazah tersebut melalui identifikasi yang ada pada jenazah tersebut. Di sini pihak Tabung Haji mengesahkan Jenazah tersebut adalah Zulkifly Samad.

Pihak Tabung Haji amat berdukacita dengan insiden yang tersebut. Kami mendoakan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang yang beriman dan para syuhada..

YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

Maklumat Terkini Kejadian Rempuhan di Mina



MAKLUMAT TERKINI KEJADIAN REMPUHAN DI MINA

Bismillahirahmanirahim, Assalamulaikum WBT.

Rentetan daripada tragedi di Mina, saya ingin menyampaikan maklumat terkini mengenai kejadian tersebut. Setelah dibuat semakan di tujuh (7) maktab dan 15 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan TH Travel & Services Sdn Bhd, tiada jemaah haji yang terlibat dalam kejadian pada pagi tadi.


Saya ingin makkumkan bahawa jemaah haji Malaysia akan melaksanakan lontaran sesudah asar, iaitu pada jam 5.30 petang dan 8.00 malam nanti.

Kita mempunyai lapan pos peronda sepanjang terowong Muassim sehingga ke Jamarat dan petugas akan melaporkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di kawasan berkenaan.

Mengikut maklumat yang diterima sejak dari awal pagi, tiada jemaah haji negara ini yang tersasar daripada laluan ke Kompleks Jamarat. Pos-pos peronda ini telah diwujudkan sejak awal operasi Masyair lagi, dan bukannya semasa insiden ini berlaku sahaja.

Saya juga ingin menafikan berita kematian Allahyarhamah Puan Siti Haryati Shaikh Ali, yang disebarkan melalui viral dan media sosial yang dikaitkan dengan insiden rempuhan berkenaan. Allahyarhamah telah kembali ke rahmatullah akibat sesak nafas.

Setakat ini, sejumlah 16 kematian dilaporkan termasuk tujuh mangsa yang terlibat dengan insiden runtuhan kren. Kematian lain adalah diakibatkan oleh serangan jantung dan sebagainya.

Saya juga ingin tegaskan sekali lagi bahawa, laluan jemaah haji Malaysia ke Kompleks Jamarat adalah berbeza. Jemaah haji Asia Tenggara dan Turki berkongsi laluan yang sama. Jemaah Turki telah selesai melaksanakan ibadat melontar pada pagi tadi, cuma yang tinggal adalah jemaah yang melibatkan Indonesia dan Malaysia.

Kita mendoakan agar jemaah haji kita sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dan menunaikan ibadat dengan selamat.

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki,
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

24 SEPTEMBER 2015, JAM 3.40 PETANG

Recent Posts Widget

.

.