Showing posts with label Kerajaan. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan. Show all posts

Kerajaan Negeri Selangor dan UNISEL Sedia Membantu Pelajar Mangsa Biasiswa JPA - Nik Nazmi



KERAJAAN NEGERI SELANGOR DAN UNISEL SEDIA MEMBANTU PELAJAR MANGSA BIASISWA JPA

Shah Alam: Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil maklum mengenai isu pelajar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kolej INTEC.


Ekoran beberapa aduan daripada pelajar-pelajar biasiswa JPA ini, kami dapati bahawa pihak JPA telah menamatkan kontrak dengan 26 pelajar (A-Level 16 2014/2016), tanpa notis awal. Alasan yang digunakan hanyalah kerana mereka tidak melepasi sesuatu piawaian yang telah ditetapkan berdasarkan keputusan peperiksaan terkini – dan ini pula hanyalah disampaikan oleh Ketua Program A Level Kolej INTEC.

Polisi ini tidak pernah dinyatakan oleh mana-mana pihak kepada pelajar-pelajar ini dan ia memberi kesan kepada mereka yang terus hilang hala tuju. Kemasukan mereka ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga mempunyai rintangan akibat kebanyakan Universiti yang tidak menerima pensijilan A Level, apatah lagi pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan menghabiskan pelajaran.

Keputusan JPA untuk menghentikan serta-merta pembiyaan pelajar-pelajar cemerlang ini tanpa rundingan amatlah mengecewakan dan ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa kerajaan tidak menghiraukan kebajikan pelajar. Beberapa minggu ini terdapat juga isu berkenaan 115 pelajar biasiswa JPA (INTEC) (batch A-Level 11 2013/2015) yang juga tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak ditempatkan di Universiti tempatan walaupun sudah berjaya menamatkan pelajaran Tahun Asas. Malah 40 orang pelajar daripada mereka juga telah ditamatkan kontrak tanpa diberi sebarang notis formal.

Mengikut carian kami dan pihak Universiti Selangor (UNISEL), keputusan-keputusan pelajar ini sudah dikira lulus dan bukanlah pada tahap gagal oleh itu ia masih boleh digunapakai di peringkat Universiti.

Dengan itu, berteraskan falsafah “Mempedulikan Rakyat” dan keperihatinan Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, pihak UNISEL dan Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa Universiti bersedia menawarkan tempat melanjutkan pengajian di peringkat Tahun Asas dengan pembiayaan ‘Derma Siswa’ iaitu penajaan yuran pengajian kepada semua mereka yang layak dan berminat.

Derma Siswa tersebut juga turut merangkumi pembiayaan yuran penginapan pelajar semasa sedang melanjutkan pengajian diperingkat Tahun Asas di UNISEL. Semua pelajar cemerlang ini akan ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi kemasukkan Oktober 2015.

Kami mengharapkan inisiatif ini dapat membantu pelajar-pelajar cemerlang ini untuk melanjutkan pelajaran dan akhirnya menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Di samping itu kami juga mohon penjelasan daripada pihak JPA dan kerajaan Barisan Nasional mengenai isu ini, dan mahukan satu alasan yang kukuh mengapa polisi pembiayaan JPA ini berubah-berubah dengan begitu kerap, dan seakan-seakan tidak menggalakkan pelajar-pelajar untuk ke luar negara sedangkan itulah yang telah dijanjikan. Jikapun pelajar-pelajar itu tidak layak untuk ke luar negara atas sebab keputusan yang tidak cemerlang, mengapa mereka terus diabaikan sedangkan mereka sepatutnya tetap diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Oleh itu, kami juga akan meneliti cara lain untuk membantu para pelajar ini termasuklah mendapatkan nasihat guaman.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI MAJLIS MESYUARAT PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Perkembangan Terkini Operasi Pembehinan Awan - Madius Tangau



KENYATAAN MEDIA

YB DATUK MADIUS TANGAU
MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI MALAYSIA


17 SEPTEMBER 2015

MENGENAI

PERKEMBANGAN TERKINI OPERASI PEMBENIHAN AWAN

OPA hari ini telah dijalankan di sekitar kawasan Negeri Melaka, Utara Johor dan Negeri Sembilan telah berjaya menghasilkan hujan di kebanyakan kawasan di mana operasi dijalankan. Operasi telah bermula pada jam 1.05 tengah hari dan berakhir pada pukul 3.15 petang.

Bagi negeri Sarawak, OPA tidak dapat dijalankan hari ini kerana faktor cuaca dan juga keselamatan penerbangan. Tinjauan cuaca di Sarawak terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman keadaan atmosfera yang kering dan stabil yang tidak menggalakkan pertumbuhan awan. Selain daripada itu, jarak penglihatan yang dicerap sejak 6.30 pagi tadi merosot kepada 200 m berbanding dengan semalam. Jarak ini berbahaya untuk aktiviti pelepasan dan juga pendaratan kapal terbang. Oleh sebab itu, OPA di Kuching untuk hari ini dibatalkan.

Datuk Madius Tangau
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi

Kenyataan Media YAB Menteri Besar Kelantan Berkaitan Kehilangan Tujuh Murid Orang Asli



KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN BERKAITAN KEHILANGAN TUJUH MURID ORANG ASLI

Berkaitan insiden kehilangan seramai tujuh orang murid Orang Asli daripada Sekolah Kebangsaan Tohoi semenjak 10 hari lalu, saya berharap pihak keluarga terbabit bersabar dan usaha mencari mestilah dipertingkatkan daripada semua pihak. Semalam saya sempat hadir sendiri ke Pos Tohoi setelah selesai Sambutan Hari Kebangsaan 2015 bagi meninjau perkembangan tersebut secara dekat dan mendapat taklimat daripada pihak polis tentang usaha yang telah dilakukan.


Walaupun operasi pencarian ini sedikit rumit memandangkan kawasan di sekitar Pos Tohoi ini terlalu luas serta laluannya yang berbukit, namun hasil usaha semua pihak yang bertungkus-lumus sejak hari kehilangan mereka, insyaallah akan memudahkan lagi urusan ini. Semua pihak terutamanya pihak berwajib mestilah mengerahkan pasukan masing-masing bagi menjayakan operasi pencarian ini. Saya sangat berterima kasih kepada pihak anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung sendiri yang telah berusaha sedaya mungkin bagi operasi menyelamat tujuh orang pelajar terbabit.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh: 17 Zulkaedah 1436/1 September 2015

Perutusan Hari Kebangsaan 2015 YAB Menteri Besar Kelantan



PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 2015
YAB MENTERI BESAR KELANTAN

بسم الله الرحمن الرحيم


Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَنْ يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, kenanglah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu ketika kaum kuffar yang memusuhi kamu hendak menghulurkan tangannya demi untuk menyerang kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada menyerang kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
(Al-Maidah: 11)

Sesungguhnya, Baginda Rasulullah SAW adalah seorang tokoh agung pejuang pembebasan dan kemerdekaan. Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia dari segala bentuk penjajahan dan perhambaan. Ianya bermula dengan penjajahan minda dan pemikiran, penjajahan akidah dan kerohanian, sehinggalah kepada penjajahan fizikal dan sistem kehidupan, sama ada dalam bentuk ekonomi, politik mahupun sosial.
Bersempena dengan sambutan kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah kita sama-sama menghayati aspek sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana yang telah diungkapkan oleh seorang pejuang kemerdekaan iaitu Rib’ie bin Amir kepada panglima tentera Parsi, Rustum:

إِنَّ اللهَ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ العِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ رَبِّ العِبَادِ وَمِنْ جَوْرِ الأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الِإسْلَامِ وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلَى سعَةِ الدُنْيَا وَالآخِرَة

Maksudnya: Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki daripada penghambaan diri kepada sesama manusia agar mereka menghambakan diri hanya kepada Tuhan manusia, daripada penyelewengan agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada sempitnya dunia menuju kepada luasnya dunia dan akhirat.

Inilah intipati kemerdekaan yang sebenar iaitu membebaskan diri sendiri daripada belenggu kesesatan yang mendiami diri. Manusia yang bebas ialah yang menyerahkan semua urusannya kepada Tuhan dalam segala hal dan sentiasa menjadikan kebaikan serta keadilan agenda utama kehidupan mereka.

Ini bermakna, kemerdekaan menurut Islam ialah tidak tunduk kepada makhluk Allah, kemerdekaan yang meletakkan sepenuhnya cara hidup berlandaskan syariat Allah dan kemerdekaan yang menolak ideologi dan pemikiran manusia yang bertentangan dengan hukum Allah yang ianya akan membawa kepada kemurkaanNya. Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama ialah menentang jahiliyah yang ada dalam masyarakat Arab ketika itu. Mekah pada masa itu bukannya dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi, tetapi dijajah oleh jahiliyah Arab. Kemerdekaan dicapai setelah peristiwa Fathul Makkah berlaku dan disitulah jahiliyah mula tunduk kepada kekuasaan syariat islam sehinggalah ke zaman khulafa Al-Rasyidin.

Di negara kita, setiap tahun pada tanggal 31 Ogos disambut sebagai tarikh perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan kuasa asing. Sambutan ini seharusnya diraikan oleh kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik mahupun aliran fahaman, kerana ia merupakan satu anugerah kemenangan yang besar dalam sejarah perjuangan umat ini membebaskan diri dan watan daripada cengkaman kuasa asing.

Sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama mempertahankan akidah umat Islam semenjak negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13 lagi. Nama-nama besar seperti Tuan Guru Haji Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut yang bangkit mempertahankan ketuanan Islam di Pasir Puteh Kelantan pada tahun 1915, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu telah memimpin kebangkitan ummah menentang kemaraan penjajahan British serta tokoh-tokoh lain seumpama Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abas Mohamad Taha, Pendita Za’ba, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan Dr Zulkifli Mohamad adalah merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Peta pemikiran yang dibina mereka juga telah melahirkan idea dan pemikiran bagi memajukan masyarakat untuk bangkit membina tamadun umat Islam yang unggul di negara kita.

Sempena memperingati kemerdekaan ini juga, marilah sama-sama kita kukuhkan jalinan ukhuwwah, Ta’awun ‘Ala Al-Birri Wa Al-Taqwa iaitu berganding bahu dalam perkara kebaikan dan takwa untuk membina umat yang kuat. Dengan kesatuan hati, bergerak sehati sejiwa dan rasa tanggungjawab terhadap negara, kita akan mampu membina ketamadunan yang unggul dalam negeri dan negara, kita akan mampu membangunkan negara dengan stabil dan saksama.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadikan kemerdekaan ini sebagai anugerah Allah SWT yang sangat bermakna dalam usaha membangunkan negara ini dengan tuntutan syariat sepertimana yang disifatkan Allah sebagai;
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُور ٌ

“MERAKYATKAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

“MERDEKA FIKRAH DARIPADA FAHAMAN JAHILIYAH”

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim

Bertarikh: 15 Zulkaedah 1436/30 Ogos 2015

Kerajaan Negeri Melaksanakan Kemudahan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) Ke Sungai Langat



KENYATAAN MEDIA YB TUAN HAJI ZAIDY BIN ABDUL TALIB

KERAJAAN NEGERI MELAKSANAKAN KEMUDAHAN PROJEK PENYALURAN AIR MENTAH PAHANG-SELANGOR (PAMPS) KE SUNGAI LANGAT

26hb Ogos 2015 / 11 Zulkaedah 1436H

1. Melalui persetujuan di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Pahang, penyaluran air mentah sebanyak 500 JLH daripada Sg. Semantan, Pahang ke Sg. Langat dengan menggunakan kemudahan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) telah dilaksanakan.

2. Buat pertama kalinya air daripada Sungai Semantan telah dipam pada 24 Ogos 2015 pada jam 10.16 malam apabila kapasiti Empangan Sg. Langat menurun sehingga 44.24%. Sebanyak 300 JLH air dipam bagi proses penyaluran pertama kali ini dan masuk ke dalam Sungai Langat melalui terowong outfall pada jam 8.30 pagi semalam.

3. PAMPS adalah sebuah projek yang merangkumi pemindahan air mentah dengan kapasiti 1,890 JLH daripada Sg. Semantan di Pahang melalui terowong sepanjang 44 km terus ke LPA Langat 2. Bagaimanapun pembinaan LPA Langat 2 dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2019.

4. Bagi mengoptimakan kemudahan PAMPS sedia ada dan meningkatkan kebolehdapatan sumber air di Lembangan Langat, penyaluran awal sebanyak 500 JLH telah dilaksanakan. Caj sebanyak RM 50,000 atau RM 0.10 bagi setiap meter padu yang disalurkan akan dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi penyaluran tersebut sebagaimana perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.

5. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menyelaras penyaluran air mentah tersebut di Negeri Selangor dan pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Pahang di Negeri Pahang. Manakala operasi pengepaman akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh KementerianTenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

6. Penyaluran awal air mentah ini juga merupakan salah satu langkah mitigasi bagi tujuan mengurangkan pelepasan air daripada Empangan Sg. Langat yang kini berada pada kapasiti 45.07%. Dengan penyaluran tersebut, pelepasan daripada Empangan Langat dan pengepaman daripada Empangan Semenyih telah dihentikan. Ianya juga adalah satu langkah untuk menangani gangguan bekalan air yang disebabkan oleh henti tugas LPA utama di Sg. Langat iaitu LPA Cheras, Batu 11 dan LPA Bukit Tampoi semasa musim kering oleh kerana kurangnya kadar pencairan dan peningkatan parameter ammonia di dalam sungai.

7. Selain itu, ianya juga adalah untuk menangani isu penurunan paras air Sungai. Langat yang memberi kesan kepada LPA di mana pengepaman tidak dapat dijalankan disebabkan paras air sungai yang rendah. Justeru, penyaluran awal air mentah daripada Pahang ini disasarkan untuk membantu menangani isu tersebut sementara kemudahan LPA Langat 2 siap sepenuhnya.

8. Akhir sekali, Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan mengharapkan langkah yang dilaksanakan ini dapat menangani beberapa isu sumber air di negeri Selangor terutamanya di lembangan Sungai Langat.

Sekian, terima kasih.

YB TUAN HAJI ZAIDY ABDUL TALIB
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.


Penafian KPWKM Berkaitan Program Bersepadu 1 Ayah 2 Ibu



PENAFIAN KPWKM BERKAITAN PROGRAM BERSEPADU
1 AYAH 2 IBU


PUTRAJAYA, 14 OGOS Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan agensi di bawahnya menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa Program Bersepadu 1 Ayah 2 Ibu yang dihebahkan menerusi laman dan aplikasi media sosial ada berkaitan dengan Kementerian.

Kementerian kesal dengan tindakan penyalahgunaan nama, logo serta laman web Kementerian dalam poster tersebut.

Susulan daripada itu, Kementerian telah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini bagi siasatan lanjut.

Kementerian ingin menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat palsu tersebut dan menyeru berhenti menyebarkan kepada orang lain.


 * * *

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat





Fitnah 'Jangan hantar anak ke sekolah kerajaan jika tak suka kerajaan Barisan Nasional' - Idris Jusoh


Dato' Seri Idris Jusoh


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Saya mendapat makluman mengenai satu portal menyiarkan kenyataan saya yang telah diputarbelitkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Ingin saya membuat beberapa penjelasan dan penafian bahawa:


1) Kenyataan yang disiarkan dalam blog dan beberapa website berbunyi "Jangan hantar anak ke sekolah kerajaan jika tak suka kerajaan Barisan Nasional".

Hal ini amat berlawanan dengan kenyataan saya yang asal iaitu:

"Kalau ada yang mengatakan bahawa sistem tak baik dan nak hantar anak ke luar negara kita tak halang, tapi saya akan pastikan sistem pendidikan kita bertambah baik".

2) Kenyataan yang diputarbelitkan itu adalah bertujuan untuk mencalarkan nama saya, Kementerian Pendidikan Malaysia (pada masa itu) serta Kerajaan Malaysia.

3) Kenyataan yang disiarkan blog tersebut telah tersebar dalam media sosial dan portal MalaysianInsider yang telah memulakan putar belit tersebut (dan kemudiannya ditukar) pada September 2013. Saya tidak pernah membuat kenyataan itu dalam masa terdekat ini.

Saya harap penjelasan serta penafian ini cukup jelas bahawa saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang bersentimen sedemikian rupa. Diharapkan rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan cerita-cerita sedemikian.



Dato Seri Idris Jusoh
Menteri Pendidikan Tinggi
Kementerian Pendidikan Tinggi
6 Ogos 2015

Recent Posts Widget

.

.