SERU RAKYAT TOLAK TPPA JIKA TIADA KONSULTASI YANG EFEKTIF
1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) minta majoriti rakyat Malaysia menolak Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) sekiranya substantif perjanjian tidak dijelaskan secara telus dan komprehensif terlebih dahulu. Kerajaan perlu mendedahkannya kepada ruang awam sebelum ia dibentangkan di peringkat Parlimen untuk dibahaskan.
2. Kerajaan Malaysia juga harus memberikan jaminan untuk bersedia keluar daripada perjanjian yang diketuai oleh Amerika Syarikat ini sekiranya rakyat menolak substantif yang dikemukakan. Kita tidak mahu proses konsultasi di Malaysia hanya sekadar memenuhi syarat semata-mata sebaliknya pra persetujuan telah diikat dikalangan negara-negara anggota kelmarin.
3. Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global hari ini, Malaysia seharusnya memikirkan inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan dengan negara-negara kontroversi khususnya Amerika Syarikat. Ikatan perjanjian yang termeterai akan menyebabkan Malaysia terdedah kepada konteks ekonomi politik yang berisiko tinggi.
Sekian.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
24 Zulhijjah 1436 / 7 Oktober 2015
Hidupkan semula pasukan siasatan khas 1MDB
Sebelum ini, 1MDB telah membidas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sejurus beliau menyatakan nilai Ringgit akan pulih jika masalah 1MDB dapat diselesaikan secepat mungkin.
Kementerian Kewangan langsung tidak menyambut cadangan Gabenor mahupun membuat teguran kepada 1MDB – seolah-olah teguran 1MDB diberi lampu hijau. Maklumlah penasihat 1MDB ialah Datuk Seri Najib Razak sendiri yang bertindak sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.
Hari ini, Raja-raja Melayu pula menyatakan kerisauan yang sama bahawa kegagalan kerajaan memberikan jawapan yang menyakinkan telah menyebabkan rakyat percaya sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa masalah 1MDB turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak.
Apakah 1MDB akan mengeluarkan kenyataan untuk membidas pendapat Raja-Raja Melayu dan Kementerian Kewangan pula akan terus membisu terhadap saranan baik daripada Raja-Raja Melayu?
PAS menyokong penuh saranan Raja-Raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan dengan cepat.
Dengan saranan Raja-Raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM dan membenarkan mereka untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
PAS mengharapkan pasukan siasatan ini akan melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail meskipun beliau telah bersara dan juga Ketua Audit Negara yang telah menyerahkan laporan audit 1MDB kepada PAC.
Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan.
Sebagaimana dakwaan Perdana Menteri bahawa tiada penyelewengan dalam isu 1MDB, maka beliau sepatutnya mendokong penuh siasatan dilakukan.
Apakah kerajaan yang menyahut saranan Raja-Raja Melayu atau akan membiarkan 1MDB menjawabnya sekali lagi? Sikap Najib selepas teguran Raja-Raja Melayu akan menentukan nasib politik beliau dan 1MDB.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
6 Oktober 2015
Kenyataan Media.
NAJIB SELAMAT DENGAN 30 JUTA RAKYAT MALAYSIA DIPENJARA TPPA.
1. Kenyataan Dato' Mustafa Mohammad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkaitan rundingan TPPA sangat meragukan. Rundingan yang dirumuskan hanya sekadar bersetuju mempertimbangkan kebimbangan dan sensitiviti Malaysia dalam isu-isu pemerolehan kerajaan, perusahan milik negara dan bumiputra, tetapi tiada satu pun pengesahan yang ianya memberi jaminan perlindungan kepada kepentingan tersebut. Pada hal Kerajaan telah bersetuju kandungan perjanjian tersebut.
2. Persoalannya, bagaimana kebimbangan dan senstiviti terhadap kepentingan perlindungan dan Kedaulatan Malaysia dapat diatasi apabila Kerajaan telah pun bersetuju dengan kandungan perjanjian tersebut? Sejauhmanakah pula soal hak kepentingan bumiputra akan dilindungi di bawah TPPA jika sekarang pun Kerajaan sendiri yang mencabuli perjanjian berkaitan hak bumiputra yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan?
3. Jaminan Dato' Mustafa Mohammad bahawa teks perjanjian ini akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan bukan untuk mengubah kandungan perjanjian yang telah dipersetujui. Perbahasan kepada perkara yang sudah dimuktamadkan hanya sekadar "wayang pacak" untuk memperlihatkan kononnya Kerajaan telah mendapat persetujuan Parlimen yang dikuasai majoritinya Ahli Parlimen mereka daripada BN. Demi kepentingan kedudukan sebagai Ahli Parlimen dan kepentingan lain, semua Ahli Parlimen BN akan akhirnya akur kepada keputusan Kabinet dan PM Najib untuk melindungi Najib daripada tekanan Amerika terhadap Skandal 1MDB. Najib akan berusaha menyelamatkan diri daripada tekanan kuasa Amerika walaupun memaksa 30 juta rakyat Malaysia terpasung dalam penjara TPPA Amerika.
SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.
DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
6 Okt 2015/22 Zulhijjah 1436H
MENDERAP LANGKAH MENUJU HIMPUNAN FASTAQIM
Suasana politik Malaysia hari ini menyebabkan rakyat semakin muak dan benci terhadap penyelewengan serta kezaliman yang dilakukan oleh Umno-BN. Rakyat juga dilihat semakin tidak berminat kepada parti politik yang menyajikan pelbagai siri pengkhianatan kepada rakan seperjuangan.
Sedang umum menyaksikan, PAS sebagai sebuah gerakan Islam, dalam mendepani suasana ini, kekal istiqamah bersama Islam yang diperjuangkan. Bahkan PAS dilihat semakin diterima rakyat sebagai sebuah parti yang diyakini untuk menyelamatkan Malaysia daripada segala kebejatan dilakukan Umno-BN.
Buktinya, setiap program dianjurkan PAS telah mendapat dokongan dan sokongan hebat daripada masyarakat. Rakyat berpusu-pusu membanjiri Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) yang telah diadakan di seluruh negara.
Malah, dalam perhimpunan itu juga kita menyaksikan, ribuan borang keahlian baru PAS telah diserahkan kepada pimpinan PAS Pusat tanda rakyat begitu meyakini perjuangan ini.
Kemuncak kepada episod kebangkitan rakyat ini, satu perhimpunan mega telah diatur. Perhimpunan gergasi yang diberi nama Himpunan Fastaqim akan berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-V, Kota Bharu, Kelantan tanggal 17 Oktober ini.
Selaku Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, saya menyeru kepada semua ahli dan pencinta kebenaran untuk kita hadir beramai-ramai menjayakan himpunan tersebut. Semua murabitun parti wajib menghadirkan diri sebagai membuktikan kecintaan kita terhadap parti dan perjuangan agung ini.
Himpunan yang mensasarkan 60 ribu kehadiran ini bakal menjadi 'turning point' kepada kemenangan Islam yang didambakan oleh semua pejuang. Ayuh, kita ke bumi Serambi Makkah menjayakan Himpunan Fastaqim.
BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN
MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pulau Pinang.
6 Oktober 2015 /
22 Zulhijjah 1536H
Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
TPPA : DESAK SIDANG PARLIMEN KHAS
1. Keputusan hasil rundingan TPPA bersama 12 negara anggota telah ditemerai semalam dengan Jepun dan US hampir pasti menandatangani perjanjian perdagangan terbesar pada era ini.
2. Kini, isi rundingan tersebut akan dibahaskan di setiap negara anggota untuk mendapatkan keputusan bersama sebelum disahkan secara hitam putih. Perkara ini juga seringkali dibangkitkan oleh pemimpin parti-parti pembangkang yang melihat asas pertimbangan terhadap kebaikan kepada rakyat seharusnya didahulukan daripada segala-galanya dan ia memerlukan kepada perbincangan bersama.
3. Setiap negara anggota mempunyai pertimbangan yang tertentu dan ia merupakan suatu titik asas terhadap penerimaan dan penolakan terhadap TPPA. Begitu juga Malaysia yang mempunyai pendirian terhadap beberapa perkara yang dibangkitkan.
4. Pelbagai kritikan dan desakan telah disampaikan kepada pihak kerajaan supaya meneliti beberapa perkara melibatkan kedaulatan negara itu sendiri, implikasi serta perlindungan terhadap pasaran domestik dan juga isu-isu berkenaan hak harta intelek yang menjadi perhatian utama terhada TPPA.
5. Tambahan lagi, Malaysia juga perlu lebih berhati-hati terhadap permainan politik kuasa-kuasa besar dan isu-isu yang dibangkitkan tidak boleh hanya dinilai di atas kertas semata-mata, malah, ia juga perlu dinilai pada skop geopolitik dunia yang lebih besar.
6. Di atas faktor perjanjian TPPA merupakan suatu perjanjian perdagangan yang besar disamping melibatkan isu-isu yang begitu kritikal, DPPM menyarankan pihak kerajaan memperuntukkan satu sesi sidang Parlimen khusus bagi membincangkan mengenai TPPA.
7. Perbincangan mengenai TPPA tidak seharusnya dicampur adukkan untuk sesi Parlimen akan datang kerana bimbang peruntukan masa yang tidak mencukupi untuk dibahaskan dengan lebih teliti. Pembentangan Bajet 2016 juga dijadualkan pada sidang Parlimen Oktober depan.
8. DPPM yakin bahawa dengan perbincangan yang menyeluruh dan matang akan menghasilkan suatu keputusan yang baik kepada rakyat dan negara demi membina suatu legasi yang lebih baik pada masa hadapan.
“Mempersiap Generasi Kemenangan"
"Beristiqamah Hingga Kemenangan”
NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
Ahli Parlimen Pasir Mas.
Selasa, 6 Oktober 2015 | 22 Zulhijjah1436H
CATATKAN NAMA ANDA SEBAGAI SALAH SEORANG YANG BAKAL MENJAYAKAN H60K!
Tanggal 19 Februari 2011 menjadi kenangan dan kejayaan yang sukar dilupakan apabila HImpunan 30K Pemuda PAS telah berjaya diadakan di Kota Sarang Semut, yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah merangkap PJ PAS negeri Kedah.
Saya telah diberikan amanah sebagai Pengarah H30K ini dan ia adalah kesinambungan kepada Himpunan 15K Pemuda PAS di Kelantan pada penghujung tahun 2006 yang mana saya tidak dapat hadir ke H15K kerana Johor dilanda banjir besar.
H30K telah menyaksikan komposer terkenal, sdr Bob Lokman mengistiharkan diri menyertai PAS dan buat pertama kali petikan gitar dikumandangkan di dalam Kompleks PAS Kedah oleh Pak Long.
17 Oktober ini, Pemuda PAS dengan kerjasama Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS akan menggandakan peserta himpunan menjadi Himpunan 60K di Kota Bharu dan tentulah satu lagi sejarah baru akan dicatitkan.
Ketika berucap di Kota Sarang Semut, saya menyebut bahawa seluruh peserta yang hadir telah mencatatkan sejarah bersama dan nama mereka telah tercatat sebagai salah seorang daripada 30 ribu Pemuda PAS yang menjayakan H30K.
Kali ini, saya berazam untuk nama saya dicatatkan sebagai salah seorang ahli PAS yang menjayakan H60K.
Semoga ahli PAS di seluruh negara memasang tekad untuk turut sama melakarkan sejarah gemilang ini. Jangan lepaskan peluang keemasan ini!.
Wassalam.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
5 Oktober 2015.
SUMBANGAN BUAT MANGSA KEBAKARAN KG SIMUNUL, SABAH
Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan simpati dan berdukacita atas insiden kebakaran yang menimpa penduduk Kampung Simunul, Semporna, Sabah. Takziah diucapkan kepada semua mangsa insiden.
Sebagai tanda simpati, Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Kebajikan & Prihatin Rakyat akan melancarkan kutipan derma untuk disalurkan kepada keluarga mangsa bermula pada 4 – 11 Oktober 2015 melalui akaun Maybank (Tabung Rakyat Prihatin : 564025400414). Penyerahan sumbangan kepada wakil penduduk akan disampaikan oleh pihak kami antara 13 – 15 Oktober 2015.
Sehubungan dengan itu, pihak kami menyeru seluruh rakyat Malaysia berusaha meringankan beban mangsa kebakaran di kalangan penduduk Kampung Simunul yang diuji dengan musibah kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Sumbangan yang dihulurkan oleh semua rakyat Malaysia diucapkan jutaan terima kasih dan didoakan agar mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
“Mempersiap Generasi Kemenangan”
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM
Lajnah Kebajikan & Prihatin Rakyat
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahad, 4 Oktober 2015 | 20 Zulhijjah 1436H