Kenyataan Media.
MENYOKONG TAN SERI ZETI, GABENOR BANK NEGARA BAHAWA 1MDB ANTARA PUNCA KEJATUHAN NILAI RINGGIT MALAYSIA. SEGERA DAKWA MEREKA YANG TERLIBAT DAN SEGERAKAN PENGUNDURAN NAJIB.
1. Saya menyokong gesaan oleh Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara yang menggesa penyelesaian segera kes 1MDB bagi memulihkan kembali nilai mata wang ringgit Malaysia. Keadaan nilai mata wang Ringgit Malaysia berada dalam keadaan nazak sehingga hotel di negara China tidak menerima tukaran wang Ringgit Malaysia (RM) seperti yang saya sendiri alami di Hotel Shangrila, milik jutawan Malaysia di Changchon City Wilayah Jillin pada 30 Ogos hingga 2 sept 2015. Apabila saya bertanya mengapa RM tidak terima, pihak hotel memberi tahu bank di sana tidak lagi menerima tukaran wang Malaysia.
2. Gesaan Tan Seri Zeti sebagai Gabenor Bank Negara menunjukan nilai matawang Malaysia pada tahap yang nazak perlu diselamat dengan diberi "oksigen". Keberanian Tan Seri Zeti meletakkan 1MDB antara punca masalah, menunjukkan hasil siasatan Bank Negara bahawa 1MDB mempunyai kes yang perlu menyeret pihak tertentu ke Mahkamah.
3. Laporan Siasatan Bank Negara berkaitan kes 1MDB telah diserahkan kepada Peguam Negara sebulan yang lalu. Tetapi masih tiada apa- apa tindakan yang diambil oleh Peguam Negara. Apa yang berlaku ialah tindakan kerajaan PM Najib melalui pihak PDRM menahan Dato'Khairudin Abu Hassan di bawah SOSMA tidak membantu memulih nilai Ringgit Malaysia sebaliknya menambahkan lagi ketidak percayaan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia. Isu kejatuhan nilai ringgit adalah berpunca daripada krisis keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap pengurusan dan kes penyalahgunaan kuasa bagi melindungi skandal kewangan negara 1MDB yang melibatkan PM Najib dan kini dilindungi SOSMA.
4. Gesaan Tan Seri Zeti perlu dipandang serius oleh semua pihak. Pendakwaan segera mereka yang terlibat dalam Skandal 1MDB seperti yang dicadangkan di dalam Kertas Laporan Siasatan oleh Bank Negara akan mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa khususnya pelabur terhadap Malaysia. Ini sekaligus akan dapat membantu memulihkan ekonomi dan meninggkatkan nilai Ringgit Malaysia. Peguam Negara jangan dilihat menjadi macai Politik PM Najib.
5. Gesaan Tan Seri Zeti yang tidak dipedulikan oleh kerajaan menunjukkan Gabenor Bank Negara dan Bank Negara telah diketepikan peranannya untuk bertanggungjawab terhadap kawalan, pertumbuhan nilai matawang dan ekonomi Malaysia. Institusi ini sudah tidak mendapat kepercayaan PM Najib dan Kerajaan Malaysia. Sekali lagi saya menegaskan Majlis Raja-Raja Melayu perlu bertindak segera terhadap PM Najib dan bertindak untuk pastikan Najib segera berundur serta pemilihan PM baru dan pembentukan Kerajaan Peralihan daripada pelbagai pihak perlu segera memperbaiki sistem dan institusi-institusi yang menjaga kepentingan awam perlu bebas daripada cengkaman kuasa politik parti pemerintah.
SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.
DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
26 Sept 2015/12 Zulhijjah 1436
KENYATAAN MEDIA BERSAMA PIMPINAN AMANAH, DAP DAN PKR PUSAT
(Sempena Majlis Pelancaran Parti Amanah Negara peringkat negeri Johor)
12 September 2015
Taman Puteri Wangsa, JB
Dato' Saifuddin Nasution Ismail - Pengarah Pilihanraya PKR Pusat dalam majlis pelancaran Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat negeri Johor malam tadi menyatakan bahawa keadaan vakum dalam kepimpinan menjadi antara faktor penting untuk kemunculan parti baharu AMANAH disokong penuh.
Beliau berkata dalam satu sidang media sebaik sahaja selesai majlis pelancaran Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat negeri Johor di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru malam tadi.
Turut hadir ialah Tuan Hj Mohamad Bin Sabu, Pengerusi AMANAH Pusat dan Sdr Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP.
"Saya hadir malam ini dan beberapa lagi siri pelancaran AMANAH di beberapa buah negeri sebagai tanda sokongan penuh dan mengalu-alukan kemunculan parti baharu ini dalam arena politik nasional" ujar Saifuddin.
Menurutnya, ia selaras dengan pendirian Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang telahpun mengadakan pertemuan dengan pimpinan AMANAH baru-baru ini, PAS pada 14 September nanti dan seterusnya DAP.
"Untuk merealisasikan sistem politik dua parti di Malaysia, ruang vakum ini perlu diisi seterusnya pakatan pembangkang yang baru perlu segera dibentuk" tambahnya lagi.
Mohamad pula turut menyatakan bahawa beliau telahpun mengarahkan AMANAH Johor untuk berbincang tentang penubuhan pakatan baharu melibatkan AMANAH, DAP dan PKR diperingkat negeri Johor seberapa segera yang mungkin.
"Johor boleh teruskan perbincangan segera. Di peringkat pusat, siri-siri perbincangan sedang berjalan kearah pembentukan pakatan baharu" jelas Mohamad.
Lim Kit Siang dalam kenyataannya pula menegaskan keyakinan beliau bahawa negeri Johor bakal menjadi 'engine head' dalam membawa perubahan ke seluruh negara.
"Cita-cita mengambil alih Putrajaya tidak akan berjaya jika Johor gagal. Johor bakal menjadi 'engine head' kepada arus perubahan Malaysia. Perbincangan pakatan pembangkang baharu Johor perlu disegerakan. Johor akan jadi tauladan kepada perubahan di Malaysia" ujar beliau.
HJ MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi AMANAH
SDR LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Pengarah Pilihanraya PKR
DEKLERASI RAKYAT SHAH ALAM
Kongres Rakyat bertemakan MEMBINA MALAYSIA SEJAHTERA dengan ini mengisytiharkan:
1- Bersatu untuk membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional dan bersama-sama menggembelingkan tenaga bagi menangani krisis yang sedang melanda negara.
2- Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji semula semua undang-undang yang memeras rakyat.
3- Bertindak mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus seterusnya mengawal kegiatan politik dan perilaku ahli-ahli politik agar tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
4- Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik, demi mengelakkan pendekatan yang boleh menghuru-harakan negara.
5- Berusaha sedaya upaya membela golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.
6- Bertindak mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif , legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara.
7- Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.
Maka dengan ini, setelah menerima usul-usul dari akar umbi rakyat, mendengar secara langsung pandangan dari seluruh sektor masyarakat dan mengambilkira pandangan tokoh-tokoh masyarakat, Kongres Rakyat mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Penggubal Pelan Tindakan Rakyat yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, dan diuruskan oleh sekretariat. PELAN TINDAKAN ini akan dilancarkan pada 1 Muharam 1437 hijrah nanti.
KENYATAAN MEDIA
Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS)
TUAN HAJI JOFRI JARAIEE DILANTIK SEBAGAI PESURUHJAYA PAS NEGERI SARAWAK YANG BAHARU
1. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah melantik Tuan Haji Jofri Jaraiee sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak yang baharu. Beliau menggantikan Almarhum Tuan Haji Adam Ahid yang meninggal dunia baru-baru ini.
2. Tuan Haji Jofri Jaraiee, berusia 50 tahun dan merupakan Ahli PAS sejak 1989, merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Miri sejak penubuhannya pada tahun 2009 sehingga kini. Sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Sarawak, beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya 1 serta juga pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sarawak sejak tahun 2011.
3. Beliau merupakan anak tempatan Sarawak berasal dari Miri dan berketurunan Melanau Baiee. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan 4 orang cahaya mata. Berlatarbelakang pendidikan Pengurusan Pengangkutan dan Logistik, beliau kini berkhidmat sebagai Penyelia di sebuah syarikat minyak dan gas.
4. Tuan Haji Jofri Jaraiee ketika dimaklumkan tentang perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya, berharap agar seluruh Ahli PAS Sarawak akan bersatu fikiran dan gerak kerja dalam melaksanakan agenda jamaah serta terus beristiqamah berjuang Islam bersama PAS sehingga mencapai kemenangan.
5. Beliau juga memohon kerjasama dari semua pihak khususnya dalam memacu impian PAS Sarawak melahirkan ADUN Sulung dalam Pilihanraya Negeri Sarawak akan datang. PAS Sarawak akan bertanding di sekurang-kurangnya 8 kerusi DUN yang telah dikenalpasti, in shaa Allah. PAS Sarawak juga akan terus komited dalam melaksanakan agenda negara berkebajikan melalui program-program dan projek-projek Untukmu Sarawak yang telah dan akan dilaksanakan.
6. Sempena 16 September minggu depan, PAS Sarawak juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia Ke-52 dengan harapan semoga tanahair yang disayangi akan terus sejahtera. Rakyat Sarawak diharap memberi sokongan serta peluang kepada PAS Sarawak dalam Pilihanraya akan datang ke arah membentuk sistem semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.
7. Semoga Tuan Haji Jofri Jaraiee diberikan taufik dan hidayah dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Sama-sama membantu beliau menjayakan agenda siasah (politik), dakwah dan tarbiyah melalui wasilah PAS di negeri Sarawak tercinta.
"UNTUKMU SARAWAK"
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
Sekian, terima kasih.
Kenyataan Media dikeluarkan oleh:
Mukhtar Bin Suhaili
Setiausaha PAS Negeri Sarawak
Bertarikh: 11 September 2015
1MDB: 6 bulan - tempoh keramat yang tiada penghujung
Semalam – 9 September 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta tempoh enam bulan untuk menyelesaikan masalah 1MDB melalui pelan rasionalisasinya.
Ini bukan kali pertama, Najib berjanji akan menyelesaikan masalah 1MDB di depan Umno.
Kali pertama Najib merayu diberikan masa 6 bulan ialah satu pertemuan tertutup di PWTC tiga bulan lalu iaitu 14 Jun 2015. Perkara ini didedahkan oleh Hasan Hamzah, bekas Ketua Bahagian Bagan Batoh kepada media seperti The Malaysian Insider and The Rakyat Post. Kata Hasan, Najib berjanji masalah 1MDB akan diselesaikan akhir tahun 2015.
Hampir dua bulan kemudian, pada 1 Ogos 2015 Najib sendiri mengumumkan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Sekali lagi, Najib menegaskan beliau memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu.
Oleh itu, persoalan yang bermain di minda rakyat sekarang ialah berapa panjang sebenarnya tempoh 6 bulan yang disebut Najib?
Jika dikira daripada rayuan pertama, Najib hanya mempunyai tiga bulan sahaja lagi. Apakah semalam Najib telah menekan butang ‘reset’ dan memulakan semula kiraan tempoh 6 bulan bermula 9 September pula?
Walaupun menjadi hak PM untuk tidak menyatakan plan pemulihan tersebut, namun oleh kerana tempoh keramat yang diminta beliau sentiasa berubah, PAS mencadangkan rangka pemulihan dana 1MDB dibentang di parlimen bagi rakyat mengetahui dan mengemukakan cadangan balas terhadap pelan pemulihan tersebut.
Sehingga kini pelan tersebut hanya ada dalam pemikiran PM sebagai Menteri Kewangan sahaja. Pihak pengurusan 1MDB juga perlu diberi tempoh, kerana setiap hari yang berlalu, faedah pinjaman terus meningkat dan ini bermakna kerisauan rakyat semakin bertambah.
Drama 6 bulan ini tidak boleh berterusan. PAS meminta Najib menyatakan tarikh khusus bila masalah hutang 1MDB akan selesai, dan jika tidak, apakah beliau akan melepaskan sekurang-kurangnya jawatan Menteri Kewangan daripada portfolio beliau?
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
10 September 2015
Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia
24 Zulkaedah 1436/8 September 2015
TPPA : BENTANG 'COST BENEFIT ANALYSIS' (CBA) DI DEWAN RAKYAT
Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Mas
1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memerhati dengan teliti perkembangan isu perjanjian perkongsian TPP melibatkan 12 negara anggota termasuk kuasa-kuasa dunia seperti AS dan Jepun. Difahamkan segala proses rundingan telah berakhir pada Ogos yang lalu di Hawai.
2. Kini, fasa yang tinggal hanyalah fasa menandatangani perjanjian tersebut yang dijangka akan dimeterai pada penghujung Oktober depan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang mewakili Kerajaan dalam rundingan tersebut menjelaskan rundingan negara anggota telah pun mencapai kata putus dan hanya menunggu masa untuk ditandatangani sebelum ia dikuatkuasakan.
3. Memandangkan perjanjian perdagangan TPP ini lebih bersifat kontroversi berbanding perjanjian hubungan perdagangan dua hala Malaysia dengan negara-negara luar, maka tindakan membentangkan draft rundingan tersebut ke dalam Dewan Rakyat merupakan sesuatu yang mustahak.
4. DPPM mendesak agar pihak Kerajaan melakukan 'Cost Benefit Analysis' (CBA) ke atas TPP supaya ahli Dewan Rakyat dapat melakukan penilaian yang lebih terperinci terhadap baik buruk kesan perjanjian ini terhadap kepentingan rakyat dan negara. Laporan CBA yang tergantung sejak pertengahan 2014 ini seharusnya menjadi agenda utama sidang Dewan Rakyat Oktober depan.
5. DPPM juga ingin sekali menegaskan bahawa PAS tidak akan berkompromi terhadap apa jua tindakan mahupun polisi yang boleh memberikan risiko kepada kedaulatan negara dan hak bumiputra di samping menjaga kepentingan rakyat marhaen yang merupakan 'stakeholders' kepada negara.
Sekian, terima kasih.
IACC: Malaysia Terus Dimalukan Kerana Pemimpinnya
Dewan Pemuda PAS Perak merakamkan rasa dukacita diatas apa yang berlaku di Malaysia kini. Selepas 58 tahun Merdeka, Malaysia perlu berhadapan satu keperitan diatas kerakusan pemimpin yang tidak amanah.
Kritikan demi kritikan yang dilontarkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 yang berlangsung di Putrajaya merupakan satu perkara yang memalukan. Ketika rakyat masih menanti penjelasan yang kukuh berhubung dana RM2.6 bilion dari mana dan kemana wang ini, dunia juga sedang memerhati Malaysia. Masyarakat dunia juga seakan tidak boleh menerima hakikat derma RM2.6 Bilion yang diperolehi oleh Perdana Menteri dalam akaun peribadi beliau.
Ini diburukkan lagi dengan skandal 1MDB yang menatijahkan pemecatan timbalan Perdana Menteri, pemecatan peguam negara, penyiasatan terhadap SPRM dan juga penggantungan jawatankuasa kira-kira negara. Semua ini berpunca dari sifat tidak amanah dan berkemungkinan terdapat unsur rasuah di belakangnya.
Justeru itu, bagi membersihkan nama baik Malaysia, Dewan Pemuda PAS Perak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan yang telus dan konkrit dari mana dan kemana duit RM2.6 bilion itu dan juga membuka ruang siasatan tanpa halangan berhubung skandal 1MDB.
#IstiqamahSehinggaKemenangan
Mohd Akmal Bin Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak
22 Zulqaedah 1436H / 6 September 2015